Skip to main content

Perang

"Anak awak dapat berapa A?"

Lazimnya, pertanyaan beginilah yang akan terpacul dari mulut kita setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Bermula dengan UPSR, kemudian PMR, SPM dan akhirnya STPM. Kalau UPSR pastinya yang dapat 5A akan dijulang bangga. Bukan anak sahaja yang girang bukan kepalang tetapi ayah dan ibu sama menumpang riang. Satu kampung kalau boleh mahu dicanang. Kalau PMR, lebih pula bilangan A yang dipertaruhkan dan didambakan. Paling maksimum dapat 8A. Sedikit lebih meriah berbanding UPSR. Namun keputusan SPM lebih dinanti-nantikan lagi kerana lebih banyaknya jumlah A yang bakal dinobatkan.

Beginilah senario pendidikan kita sekarang. Pendidikan dilihat bagaikan persaingan memburu jumlah A. Pertarungan untuk mencari yang kalah dan yang menang. Mereka yang lemah akan tersingkir dan dipinggirkan manakala yang menang akan dijulang bagai juara. Adakalanya bukan anak-anak yang menduduki peperiksaan itu yang dilanda bimbang tetapi ibubapalah yang lebih-lebih lagi dihantui gusar dan gundah gulana. Anak-anak bagaikan bala tentera yang dihantar bertarung untuk mengumpul sebanyak-banyaknya harta rampasan perang buat mereka!

Pendidikan bukan setakat pengumpulan jumlah A sahaja. Pendidikan itu luas perspektifnya. Ia proses menambah ilmu, dari tidak tahu kepada tahu. Dari tidak tahu membaca kepada tahu membaca. Membentuk personaliti pelajar juga. Juga memberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan potensi diri kerana setiap pelajar adalah unik dan kelebihan tersendiri. Tidak cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM tidak bermakna mereka bukan pelajar yang tidak baik. Peperiksaan bukanlah satu-satunya kayu pengukur yang ada dan sangat-sangat kita pertanggungjawabkan. Ini tidak adil buat sebilangan anak-anak kita!

Pena Tumpul - Berapa A Diko?


Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...