Skip to main content

Sayu

Sayu adalah perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Ia terbit dari gejolak rasa yang sarat dengan kesedihan yang sukar untuk dijelaskan. Hari Raya kali ini menyaksikan wajah-wajah sayu atok, emak, Mak Itam, Mak Ngah dan Mak Utih. Saya melihat emak bergenang air matanya bila bersalam dengan Atok Dolah. Bukan emak tidak selalu bersalam dan bermaafan dengan atok, namun kali ini jelas terpancar kesedihan emak.

Saya tumpang sayu dan sebak melihat emak berpelukan dengan Mak Ngah dan Mak Itam. Mak Itam mengadu tidak sesihat dulu. Mak Utih pula kelihatan sedikit segar dan agak pulih dari sakit yang ditanggung setahun yang lalu. Mak Ngah pun tidak secergas dulu. Mereka pastinya menyimpan pelbagai cerita  sendiri yang tidak mampu saya selami. Mungkin mengenangkan arwah nenek yang sudah lama pergi meninggalkan atok dan kami semua. Mungkin juga melihat diri yang kian dimamah usia dan mengimbau kenangan-kenangan manis menyambut raya bertahun-tahun dulu ketika insan-insan tersayang masih di sisi.

Saya tidak pernah sayu begini. Bukan tidak pernah dihinggap rasa sayu sebelum ini.  Saya memang mudah tersentuh sebenarnya . Kali pertama saya rasa sayu sangat di saat ingin berpisah dari ayah dan emak juga adik bongsu yang cukup manja dengan saya. Mereka mengiringi pemergian saya melanjutkan pelajaran di universiti. Saya memang tidak pernah berpisah dengan keluarga sehinggalah saat itu. Saya menahan sebak. Saya tidak mahu melepaskannya. Saya menyembunyikan kesedihan saya di depan mereka.

Adakalanya sekeping gambar pun boleh buat kita sayu. Cukup sayu. Ia tidak terungkap dengan kata-kata!

Pena Tumpul - Dengar lagu lama pun sayu









Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...