Sunday, May 29, 2011

Satu


Diam tak diam sudah 38 tahun seniman agung P.Ramlee meninggalkan kita. Saya adalah antara sekian ramai yang meminati seniman lagenda yang tidak akan ada gantinya ini. P.Ramlee tidak akan ada duanya. Dia cuma satu sahaja walapun ramainya yang terkial-kial hendak jadi macam dia. Ada yang berpuli-puli menyanyi lagunya dan ingin bersuara macam dia. Namun dia tetap satu. Tiada gandingan.

Benar kata pepatah, Yang patah akan tumbuh dan yang hilang kan berganti tetapi ternyata sampai kini pun tidak ada seorang pun anak seni yang seratus peratus menyamai bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Insan istemewa yang nama asalnya Teuku Zakaria Nyak Puteh tidak akan ada duanya sampai bila-bila pun. Huruf P dipangkal nama Ramlee itu sesungguhnya membawa tuah yang bukan kepalang hebatnya dalam memberi kecemerlangan kepada bintang seni beliau. Siapa yang tidak tertawa apabila melihat jenakanya? Siapa yang tidak asyik apabila mendengar lagu-lagunya? Siapa yang tidak sedih apabila melihat lakonan menyayat hatinya? Siapa yang tidak terpana dengan filem arahannya?

Amat sukar untuk mencari insan yang boleh menandingi kehebatan beliau. Apatah lagi untuk mencari mereka yang boleh menggantikan P.Ramlee. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menggantikan tempat beliau sebagai seniman yang serba boleh. Biarpun dari seniman seangkatan dengannya atau pun dari generasi baru seniman yang lebih dikenali sebagai artis pada masa kini.Pernah ada cubaan untuk mengaitkan M.Nasir sebagai pengganti P.Ramlee tetapi malangnya M.Nasir tidak mampu berlawak sehebat P.Ramlee.

P boleh sahaja membawa maksud Pelawak, Pencipta, Pengarah, Pelakon, Penyanyi dan ini memang tepat untuk menerangkan bakat seni yang beliau miliki.P Kalau seorang anak kecil yang tidak pernah hidup dalam zaman beliau apatah lagi mengenalinya boleh begitu menggilai lakonan beliau tentunya bukti jelas betapa P.Ramlee memang insan seni yang hebat dan amat tersohor. Dailog lucunya menjadi ikutan, lagunya tidak luntur ditelan zaman, filem-filem lakonannya tidak jemu-jemu ditonton dan tidak akan pernah menjemukan.

Saya masih ingat betapa berita pemergian P.Ramlee begitu menyedihkan dan meruntun perasaan seorang seperti saya yang amat meminati beliau. Dalam usia 12 tahun sesampainya saya di rumah emak memberitahu saya P.Ramlee telah pergi. Mengapa secepat itu. Namun itu ketentuan Ilahi yang tidak ada siapa pun yang mampu menolaknya.

 Saya ingat lepas itu saya menggunting segala gambar beliau yang terdapat dalam akhbar dan saya hasilkan sebuah buku skrap bukti minat yang mendalam kepada beliau. Ada ketikanya saya tidak segan-segan mendendangkan sendiri-sendiri lagu beliau malah berhempas pulas meniru gaya dan suara beliau. Taksubnya.

Kini P.Ramlee telah 38 tahun tiada. Peminatnya masih ramai malah semakin ramai. Namun beliau tidak akan ada gantinya.

Beliau akan tetap menjadi ikon seniman sepanjang zaman. AlFatihah.

Pena Tumpul - Masih menunggu pengganti PRamlee

Friday, May 27, 2011

Kerdil

Haziq bertanya kepada saya tentang mesin dialysis.Dia pulang dari melihat atok kawannya di hospital. Katanya, atok kawannya ada masalah buah pinggang.

Saya gunakan kesempatan ini untuk bercerita sedikit kepadanya tentang hebatnya Allah berbanding manusia. Mesin sebesar itu digunakan untuk menggantikan ciptaan Allah yang begitu kecil iaitu buah pinggang. Kerdilnya manusia.

Selama bertahun kita hidup di dunia, tidak pernah sesekali Allah meminta bayaran di atas nikmatnya buah pinggang yang kita miliki. Dan kadangkala kita tidak pernah terfikir pun mengenai hal ini, seperti mana bicara Syed Qutb, kita jarang bersyukur kerana kita sudah terbiasa dengan nikmat tersebut. Cuba bayangkan, kalau Allah tarik sekejap sahaja nikmat tersebut?

Terlalu banyak nikmat Allah yang perlu kita syukuri. Ketahuilah bahawa manusia itu terlalu kerdil Namun kekerdilan itu semacam tidak mendatangkan keinsafan dalam diri kita. Mengapa hati kita begitu keras? Tepuk dada, tanyalah iman.

Saya beritahu dia bahawa pengidap penyakit buah pinggang tidak mampu untuk kencing. Ya Allah, rupanya buang air kecil yang kita rasakan tiada apa-apa itu juga adalah nikmat. Bayangkan seminit, kalau Allah tarik nikmat tersebut?

Rahmat Allah terlalu luas buat kita. Allah mengetahui sekecil-kecil perkara tentang kita. Cuba bayangkan setiap pokok yang ada di dunia ini. Terlalu banyak dan kita tidak pernah mampu untuk mengiranya. Tapi Allah, Dia mengatahui setiap helai daun yang gugur di muka bumi ini. Dan Allah yang Maha Mengetahui semua ini pastinya mengetahui segala maksiat yang kita lakukan.

Kerdilnya kita di sisiNya!

Pena Tumpul - Allahu Akbar

Thursday, May 26, 2011

Janji

Saya mendengar Ustaz mentadabbur ayat ini di corong radio semalam. Saya semakin gerun dengan hati sendiri sebenarnya. Bimbang sangat. Banyaknya janji kita dengan Allah. Namun lebih banyak pula yang tidak ditunai dari yang ditunai.


Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh" Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta. (Surah Attaubah: 75-77)

Berapa kali kita berjanji dengan Allah? Terlalu banyak kan? Memang amat banyak.

Ya Allah, aku sibuk sangat waktu ini. Kerja banyak sangat. Nanti bila aku lapang sedikit, aku akan banyakkan masaku mengabdikan diri kepadaMu lebih daripada yang lain-lain. Ya Allah, aku tidak kaya sangat sekarang. Tunggulah sekiranya aku dikurnikan rezeki melimpah ruah aku akan bersedekah semahunya.

Macam-macam janji kita dengan Dia. Kadang-kadang bila sudah diperolehi apa yang dihajat, janji yang pernah dibuat tinggal tanpa dibuat.
Apa maksud ayat-ayat AlQuran di atas itu ye? Ayat-ayat itu untuk mereka yang sering berjanji setia dengan Allah. Namun saat mereka telah dikurniakan semua nikmat, mereka memungkiri janji mereka.

Apa jawapan Allah untuk golongan ini? Allah akan menanamkan kemunafiqan dalam hati mereka sehingga bertemu denganNya. Allah gunakan kalimah fa, faa'qabahum. Fa ini serta merta. Serta merta Allah tanamkan sifat munafiq dalam diri kita pada setiap janji yang tak tertunai. Dapat bayangkan tak bahawa sifat munafik itu ada dalam diri kita sehingga kita bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak?

Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzalimin

Pena Tumpul - Peringatan buat diri yang lalai

Tuesday, May 24, 2011

20Kasih

Diam tak diam sudah dua dekad saya dan isteri  mengharungi hidup berumah tangga yang dibina. Tanggal 24.5.91 mengesahkan hubungan kami sebagai suami isteri setelah empat tahun diberi peluang untuk kenal hati dan budi.

Alam berumahtangga memang tidak lari dari menongkah arus ujian.Semakin dewasa usia perkahwinan, semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Kemantapan rumahtangga tidak semata-matanya bergantung pada cinta seperti di awal-awal perkahwinan dahulu. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi perlu disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta memang hebat tetapi ia tidak dapat menandingi tanggungjawab. Cinta yang lebih hebat ialah cinta yang ditunjangi tanggungjawab.

Cinta juga untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz " Aku terima nikahnya" oleh suami bukan bererti kita menerima, sebaliknya untuk memberi. Suami sebenarnya memikul tanggungjawab untuk memberi kasih sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya.

Saling percaya juga penting dalam membina rumahtangga ampuh dan kukuh. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggungjawab dan tanggungjawab itu adalah oksigen cinta.

Dan oksigen cinta itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga!

Pena Tumpul - Hadiah makan luar biasa beratnya diluar dan isteri tidak perlu masak

Sunday, May 22, 2011

1/3malam


Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا مَضَى شَطْرُ اللَّيْلِ أَوْ ثُلُثَاهُ يَنْزِلُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُوْلُ: هَلْ مِنْ سَائِلٍ فَيُعْطَى، هَلْ مِنْ دَاعٍ فَيُسْتَجَابَ لَهُ، هَلْ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ فَيُغْفَرَ لَهُ حَتَّى يَنْفَجِرَ الصُّبْحَ. (رواه مسلم)

Jika telah lewat setengah malam atau sepertiganya, Allah Tabaroka wata'ala turun ke langit dunia dan berkata: “Bagi mereka yang meminta akan Aku beri, bagi mereka yang berdo’a akan Aku kabulkan, dan bagi mereka yang meminta ampun akan Aku ampuni dia” hingga masuk waktu subuh. (HR. Muslim)
 
At-Tanukhi mengatakan: Alkisah seorang menteri di Baghdad telah berlaku zalim terhadap kekayaan seorang wanita tua. Hartanya dirampas dan semua hak wanita itu dicabut. Tapi Si Wanita Tua dengan berani mengadukan kezaliman menteri tersebut dan memprotes kekejamannya.


Sang Menteri sama sekali tidak mengakui kekejamannya. Si Wanita Tua kemudian mengancam,  'Jika kau tidak mengakuinya juga, maka aku akan memohon kepada Allah agar engkau celaka'

Menteri itu malah tertawa terbahak, dan mengejek Si Wanita Tua dengan angkuh, "Berdo'alah di sepertiga akhir malam."

Setiap hari, pada sepertiga malam terakhir, menjelang fajar, Si Wanita Tua selalu berdoa. Tak berapa lama kemudian, menteri itu ditangkap dan diadili, seluruh hartanya disita. Ia diikat di tengah pasar dan dihukum sebat sebagai hukuman atas kejahatannya kepada rakyat.

Pada saat itu, Si Wanita Tua lewat dan melihat siapa yang diikat, kemudian berkata: "Hai, kau benar, telah menganjurkan kepadaku untuk berdoa di sepertiga malam terakhir, dan terbukti memang waktu yang paling baik."

Sepertiga malam terakhir itu sememamgnya amat berharga!

Pena Tumpul - Mohon keredaanNya

Saturday, May 21, 2011

Subsidi

Khabarnya negara menanggung lebih 20 billion untuk subsidi. Satu jumlah yang agak besar.Isu subsidi memang panas dan emosional. Tidak kira di negara kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin seperti Mesir. Di Mesir berlaku rusuhan apabila subsidi roti dikurangkan menyebabkan harga roti melambung tinggi. Di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran seperti tomato, susu lembu dan sebagainya. 

 Di negara kita pula, ramai kelam kabut melampau setiap kali bila harga petrol diumum naik. Stesyen minyak diterjah bagaikan minyak akan kehabisan!

Tidak ada salahnya subsidi ini. Ia memang perlu untuk rakyat. Cuma bukan untuk semua lapisan rakyat. Yang kaya tidak perlulah menumpang sama subsidi ini. Justeru pemberian subsidi yang melata ini, kita lihat golongan kaya yang pakai kereta mewah seperti Mercedes Benz dan BMW dapat subsidi minyak petrol yang berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang guna Kancil atau Proton. Mereka akan membazir petrol kerana mereka kaya dan harga petrol rendah. Misalnya mereka membiarkan enjin kereta berjalan sungguhpun sedang menunggu atau memakai kereta untuk membeli sebungkus rokok di kedai. Perlu ada mekanisme yang lebih baik supaya cuma yang betul-betul perlu sahaja dapat subsidi.

Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi. Sebaliknya jika subsidi ditarik balik, kos makanan akan meningkat kerana harga gula dan petrol meningkat. Golongan berpendapatan rendahlah yang akan terpukul teruk.

Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan.Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi.

Setiap peringkat rangkaian pembekalan (supply chain) akan menaikkan harga. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan. Api inflasi akan menyemarak. Jika di luar kawalan, ekonomi negara juga akan lumpuh.

Subsidi adalah  duit rakyat dan kerana itu perlu dinikmati rakyat. Duit yang digunakan untuk subsidi itu bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan sekadar menguruskannya.

Rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin masih ramai. Mereka  terpinggir dan memerlukan subsidi!

Pena Tumpul -  Mari ramai-ramai naik basikal

Friday, May 20, 2011

Ibu

Seorang anak kecil yang comel meluru keluar rumah tanpa toleh kiri dan kanan. Malang sungguh anak ini. Sebuah kereta melanggarnya. Darah berlumuran dan membasahi jalan. Si ibu mencari anaknya. Ibu ini baharu sahaja memarahi anaknya. Ibu bergegas keluar dan cukup terkejut melihat anaknya terbaring di jalan. Ibu kesal bukan kepalang. Dia memangku satu-satu anaknya yang ada dan telah meninggalkannya untuk selama-lamanya.

Dia mula sedar kesilapannya. Dia seorang ibu yang terlalu mementingkan kesempurnaan. Rumah yang dihuni perlu sentiasa bersih dan kemas. Tersusun rapi. Dia sangat cerewet. Anak tidak dibenar menyentuh barang-barang. Tidak juga dibenar menyepahkan barang. Anak cukup minat melukis. Lantai ditumpahi warna air. Ibu marah-marah.

Bukan tidak ramai ibu yang begini. Kerana ibu yang begini, bakat dan kreativiti anak-anak macam dibunuh. Anak merasa tertekan. Kemuncaknya anak mengakhiri keperitannya dengan sebuah kematian.

Ini hanya sebuah kisah dari sebuah drama yang sempat saya tonton. Cukup menyayat hati. Apa yang dipaparkan dalam drama memang berlaku dalam masyarakat kita. Drama adalah kisah masyarakat.

Kasihan sang ibu yang terus meratapi kematian anaknya penuh sesal!

Pena Tumpul - Selalu kena leter oleh emak waktu kecil dulu

Monday, May 16, 2011

Habuan

Alkisah Pak Luncai memberitahu empat orang anaknya bahawa dia bakal membuat pengumuman penting yang pasti menggembirakan mereka. Keempat-empat anak ini tidak sabar-sabar untuk mendengarnya. Mereka amat berharap bapa mereka tidak menghampakan mereka seperti selalu. Gah sahaja namun kosong dan hampa. Sudah acapkali mereka diperbodohkan oleh Pak Luncai.

Hari berganti hari. Malam beralih siang. Tibalah saat yang dinanti-nanti. Keempat beradik ini menunggu dengan penuh debar. Dalam fikiran masing-masing sudah terbayang sesuatu yang indah-indah dan menyeronokkan. Mereka berempat memang patut diberikan ganjaran pun kerana selama ini merekalah yang berhempas pulas mengusahakan ladang jagung Pak Luncai.

"Bapak amat menghargai penat lelah kamu berempat selama ini. Ladang jagung kita lumayan hasilnya. Tanpa usaha kamu berempat tidak mungkin kita akan untung besar macam sekarang". kata Pak Luncai.

"Mulai esok, kamu berempat akan terus bekerja seperti biasa. Upah juga macam biasa. Waktu bekerja juga macam biasa. Tetapi kamu berempat kena bekerja lebih kuat lagi kerana bapak akan besarkan lagi ladang jagung kita", Kalau ladang jagung kita bertambah-tambah hasilnya, bapak akan naikkan upah kamu."  kata Pak Luncai.

"Indah khabar dari rupa. Kita diperbodohkan lagi" serentak keempat-empatnya berkata.

Itulah kehebatan Pak Luncai. Menghampakan hati orang.

Keempat-empat anak berlalu pergi dengan hampa sambil menyanyikan lagu popular untuk bapa mereka.

"Pak Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!"

Pena Tumpul - Pak Luncai memang banyak muslihatnya

Sunday, May 15, 2011

Emosi

"Teknik penceritaan yang menyentuh emosi memang mantap apabila digunakan dalam proses mempengaruh" (Ilmu Pengaruh Bukan Jampi Tetapi Seni, laman 32)

Bijaknya pembikin drama bermain dengan emosi penonton. Subjek ibu cukup dekat dihati penonton. Tidak ada penonton yang tidak tersentuh hatinya kalau dalam drama dipaparkan kisah ibu yang terluka dek perbuatan anak yang kurang ajar dan tidak reti membalas jasa.

Saya sempat menonton Diari Bonda lewat Tv1. Ia sebuah drama dibikin khas untuk Hari Ibu. Pada saya ia drama yang klise. Juga stereotype. Kisah seorang ibu tunggal yang bertungkus lumus untuk membesarkan tiga orang anaknya dengan bekerja siang dan malam bersengkang mata. Yang memilukan pengorbanan si ibu tidak dihargai oleh anak lelakinya. Ibu dicemuh. Hati ibu luluh bukan kepalang.

Di penghujung cerita, emosi saya dibuai sayu. Sebak.Hiba. Drama yang pada mulanya tidak mahu saya langsaikan hingga ke penyudah merentap dan meruntun emosi saya semahunya. Saya berjaya dipengaruh. Pembikin drama ini bijak mengesan titik lemah penonton seperti saya.

Ibu yang malang ini akhirnya terbujur kaku dan diratapi anak lelakinya!

Pena Tumpul - Suka lagu Syurga di telapak kaki ibu

Saturday, May 14, 2011

Gula

Gula naik lagi. Ini bermakna orang ramai yang kaki gula perlu berbelanja lebih untuk gula dan segala jenis makanan dan minuman yang berkaitan gula. Tidak dinafikan gula cukup penting dalam kehidupan manusia sejak dahulu lagi. Saya ingat masa kecil dahulu gula pernah dijual dengan harga 25 sen sekati. Gula dijual lambak dan dibungkus dengan kertas suratkhabar yang dibentuk kon. Kemudian diikat dengan tali guni. Kuatnya atok dan nenek saya makan gula namun mereka tidak pernah mengadu pun diserang kencing manis.Atok Dolah masih segar di usia 91 tahun.

Dengan kenaikan gula, tidak dapat tiada harga minuman di warung pastinya akan turut naik. Peniaga yang cuma fikir fasal untung melihat pengguna perlu menerima kesannya.

Saya melihat harga minuman tidak perlu dinaikkan pun. Jual ikut harga sedia ada. Tidak perlulah pengguna dibebankan. Kurangkan sahaja kuantiti gula dalam minuman dan secawan kopi masih boleh dijual dengan harga lama.

Saya melakukan sesuatu yang luar biasa bila ke warung Pak Daud untuk sarapan pagi ini. Saya minta secawan teh o tanpa dibubuh sedikit gula pun. Bukan saya tidak perlukan gula lagi dalam minuman saya. Saya bawa gula sendiri dari rumah. Saya tidak lihat ia salah pun.

Pena Tumpul - Guna hak sebagai pengguna

Friday, May 13, 2011

13Mei

Peristiwa berdarah yang berlaku pada hari ini 42 tahun yang lalu saya kira masih segar di ingatan kebanyakan rakyat negara ini khususnya yang menyaksikan secara langsung peristiwa tersebut. Antara ingat dan lupa saya yang ketika itu berusia sekitar 8 tahun cuma sedar pilihanraya dijalankan pada tahun itu dan tentunya kampung saya juga turut merasai bahang kehangatan kempennya.

Kalau tidak silap saya, Datuk Musa Hitam antara calun yang turut bertanding selain G.Pasamanickam. Saya ada mendengar orang bercerita bahawa telah berlaku "peperangan" antara orang Melayu dan orang China. Mereka saling berbunuhan. Di usia 8 tahun tentunya tidak banyak cerita yang dapat saya serap dan ingat. Ketika belajar di sekolah menengah saya terjumpa sebuah buku milik ayah saya yang mengisahkan peristiwa 13 Mei 1969 karya Tunku Abdul Rahman. Saya teruja untuk membacanya dan mendapat gambaran sebenar rusuhan kaum yang amat tragis itu.

Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan di negara.

Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.Menyoroti gambar-gambar dalam buku tersebut memang mengharukan malah menakutkan.

 Harap-harap peristiwa yang sama tidak akan berulang lagi. Riaknya mungkin ada. Air yang nampak tenang di permukaan tidak semestinya menjanjikan ketenangan di dasarnya. Ibarat sebutir bom jangka yang bakal meletup tidak tahu bilanya. Juga bak gunung berapi yang bakal meletus memuntahkan lava hangatnya dan entah bila gerangannya.

Tetapi saya selalu berfikir, selagi saya boleh bergunting rambut dengan aman di sebuah kedai gunting milik seorang India tanpa curiga dengan pisau cukur tajam di tangannya, cukuplah menjadi isyarat bumi Malaysia ini masih selamat untuk di huni oleh semua kaum.

Pena Tumpul - Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung

Wednesday, May 11, 2011

Cinta

Beberapa hari dari sekarang, Mak Itam bakal bermenantu lagi. Anak bujangnya bakal membawa suri dalam rumahnya yang suram selama ini. Cinta bakal menyatukan dua insan lagi. Kata AlFarabi cinta dan rumahtangga tidak dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Jika ia dibina hanya untuk makan minum, rumah dan tangga, kereta, perhubungan kelamin apalah bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Cinta kelas kedua ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang. Cinta kelas pertama dibina atas dasar cinta Allah menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Cinta itu tapaknya di hati bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya.

Jangan sesekali kita meminggirkan Allah kerana Dialah yang mengurniakan rasa cinta. Jangan juga dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta.

Bajailah cinta!

Pena Tumpul - Akan ke Kuala Berang untuk menyaksikan cinta disatu 

Monday, May 09, 2011

Bisu

Kadang-kadang kalau telinga diasak tanpa henti dengan celoteh pun membosankan. Lontaran kata-kata terpacul bertalu-talu dari mulut sedangkan anggota badan yang lain kaku, kejang tidak berfungsi. Inilah yang lazimnya berlaku. Lalu tidaklah menghairankan persembahan yang cuma baru berlalu dua minit sudah dirasa bagai dua jam gamaknya. Hambar, tawar dan beku. Memualkan.

Saya menonton Maharaja Lawak dan meneliti penggunaan bahasa badan para pesertanya. Rata-rata lebih banyak bersuara dari membisu. Mesej dihumban kepada penonton melalui kata-kata yang sesekali menerbitkan deraian ketawa. Penonton tidak diberi peluang untuk mentafsir sendiri. Penonton tidak berfikir.

Saya setuju dengan Ahmad Idham, Kumpulan Jambu tampil lain daripada yang lain. Jambu tidak bergelut dengan kata-kata lucu untuk merangsang penonton supaya ketawa terbahak-bahak. Jambu hebat bermain dengan bahasa badan. Riak muka dimanpulasi sepenuhnya. Gerak tubuh dilengganglenggok penuh gaya dan menghantar makna sendiri-sendiri untuk setiap orang penonton mentafsirnya juga sendiri-sendiri. Gelanggang gegak gempita. Jambu tidak perlu bertegang leher menarik suara. Yus dan Tauke tahu selain mulut, anggota yang lain juga aset penting penyumbang deraian ketawa.

Dan saya tidak sabar menonton Maharaja Lawak menampilkan peserta bisu minggu depan!

Pena Tumpul - Suka Mr Bean

Friday, May 06, 2011

Pahit

Bila demam, makanan yang dijamah rasa pahit. Makanan yang manis sekalipun, rasanya menjadi sepahit jamu.Selera makan pun berkurang. Sejak tiga hari yang lalu diuji dengan demam. Agak luarbiasa demam kali ini. Hampir habis ubat yang dibekalkan oleh doktor namun demam tidak kebah seluruhnya. Saya ke klinik yang lain. Kata orang klinik ini lebih baik ubatnya. Saya mencubanya.

Betul. Konsultasi pun lebih setengah jam. Cukup teliti. Satu persatu ditanya. Ubat yang diambil sebelumnya juga diteliti. Katanya, ubat ada darjatnya. Baik dan lebih baik. Asbab ubatnya yang dikatakan lebih "berkualiti" Allah mengembalikan semula kesihatan saya. Rasa sedikit segar. Selera bangkit semula.

Dalam sakit, ada sesuatu yang dipelajari. Kata Ustaz Zaharuddin sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk direnungi. Cara Allah untuk menghapuskan dosa hambanya termasuk saya. Tidak kita sedar ada dosa yang kita laku besar dan kecil.

Kata Ustaz,ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sudah begitu keadaanya, tentulah tidak wajar untuk kita melihat sakit itu sebagai penderaan apatah lagi berburuk sangka kepadaNya. Sebaiknya kita melihatnya sebagai nikmat dariNya untuk menyucikan diri kita daripada segala dosa dan noda.

Semakin segar sambil makan bubur dan ikan bilis goreng masakan Diko. Sedap!

Pena Tumpul - Sesekali perlu juga ke klinik bukan panel

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...