Skip to main content

Dosa


Dosa itu memang meresahkan jiwa. Jika kita melakukan kesalahan, selalunya kita akan dihantui rasa gelisah yang kemudiannya akan mengocak rasa tenang dalam jiwa. Rasa takut, cemas dan curiga akan sentiasa berkecamuk di dalam hati yang menyebabkan kita rasa tidak normal dan tidak selesa juga. Walapun tiada siapa yang tahu kita melakukan kesalahan dan dosa, tetapi kita tidak berupaya membendung rasa bersalah yang bagai tidak tertanggung. Begitulah hebatnya penangan membuat salah dan dosa. Rasa bersalah itu lebih perit lagi daripada perbuatan salah yang kita lakukan itu. Ia amat mencengkam jiwa.

Pagi ini tanpa diminta apatah lagi dipaksa, Haziq tampil ke muka membuka cerita tentang salah lakunya. Sengaja saya biarkan dia berperang dengan rasa bersalahnya kerana dosanya itu dengan fitrah hatinya sebagai manusia yang memang bencikan kejahatan dan sukakan kebaikan. Saya mahu melihat sejauh mana dia mampu untuk terus berperang menangkis rasa gelisah dan resah dalam dirinya. Dia tidak berupaya bertahan terlalu lama sebenarnya.

"Ayah, aziq guna duit tu untuk bayar tingkap cermin dewan sekolah yang pecah masa main bola dengan kawan hari tu. Bukan untuk beli buku pun",

Beberapa hari sebelumnya dia meminta sejumlah wang untuk membeli buku seperti yang diminta oleh gurunya. Saya memberinya tanpa soal bicara kerana saya selalu percaya kepadanya. Pun begitu tidak juga terlalu percaya. Sedikit ragu bila buku yang dikatakan dibelinya tidak pula ada sebagai bukti. Saya semakin curiga bila dia mula memberi alasan itu dan ini.

Bagaimana dia boleh mengaku? Saya teringat cerita yang tidak pernah saya lupa ini. Cerita sebatang lidi yang boleh panjang dengan sendiri di tangan seorang yang bersalah. Seorang lelaki yang memiliki beberapa orang gaji kehilangan wang dan percaya salah seorang daripada orang gajinya adalah pencurinya. Namun tiada yang tampil mengaku. Lantas lelaki itu memberikan setiap orang gajinya sebatang lidi sakti yang sama panjang yang didakwanya akan panjang satu inci di tangan seorang pencuri. Pencuri sebenar diburu resah. Dia benar-benar percaya bahawa di tangan pencuri, lidi akan panjang seinci. Jadi, dia memotongnya seinci dengan harapan lidinya akan kekal panjang begitu. Di situlah dia tertangkap kerana rasa resahnya yang bersalah, kerana lidi itu cuma lidi biasa!

Selalunya begitulah, orang yang dihambat rasa bersalah tidak akan tunggu lama untuk menyatakan salahnya!

Pena Tumpul -Takut kerana salah

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...