Skip to main content

Romantis

"Baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah isterinya, apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, berapa ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?"

Saya mendengar seorang Ustazah menyampaikannya lewat corong radio pagi ini dalam perjalanan ke tempat kerja. Isteri yang duduk di sebelah saya lihat tersenyum. Dia tahu sama ada suaminya ini buat atau tidak. Saya mengakui saya tidak buat pun.

Itulah cara Nabi junjungan kita. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah  ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Cerita-cerita tentang Baginda dalam rumahtangga berikut ini sudah kerap sangat kita dengar namun tidak salah kalau diulang-ulang lagi. Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezeki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.
 
Bukan juga sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama.

Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni.

Sifat romantiknya lahir dari hati!

Pena Tumpul - Bawakan beg pejabat isteri

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...