Skip to main content

Rosak

Pagi ini di sebuah kedai telefon,seorang lelaki dalam lingkungan usia lewat 60an yang saya temui sangat-sangat membuatkan saya terharu dan sebak buat seketika.

Pakcik itu meminta telefon bimbitnya dibaiki kerana katanya sudah hampir sebulan telefonnya tidak berdering. Telefon bimbitnya saya lihat jenis biasa-biasa saja. Sebuah telefon Nokia yang paling asas dan saya kira cukuplah untuk buat dan terima panggilan serta pesanan ringkas. Kata Pakcik telefon itu dibelikan oleh anaknya supaya dia mudah dihubungi dan ditanya khabar. Menurutnya, dua orang anak lelakinya tidak duduk bersamanya dan dia duduk sendirian sejak kematian isterinya beberapa tahun lalu.

Kata Pakcik lagi, anak lelakinya hanya mengajarnya bagaimana untuk terima panggilan sahaja. Selainnya bagaimana untuk mengecas bateri telefon. Itu saja. Selebihnya,dia tidak tahu.

Bila saya tanya apa yang rosak, Pakcik dengan sedikit sedih memberitahu bahawa telefonnya sudah hampir dua minggu tidak berbunyi. Selalunya, paling tidak pun sekali dalam sehari pasti akan berbunyi. Bila berbunyi ia tentunya panggilan dari salah seorang dua anaknya itu. Memang panggilan anaknya sentiasa dia nantikan untuk mengubat kerinduannya pada anaknya dan cucunya juga.Tetapi, sejak dua minggu lalu itu tidak pernah berbunyi lagi dan ini menghairankannya lantas menyangka telefonnya itu rosak.

Bila saya periksa telefon Pakcik itu,dia tidak rosak pun. Saya tahu bukan telefon itu yang rosak tetapi anak-anaknya yang sudah dua minggu tidak menghubunginya.

Kesian Pakcik!

Pena Tumpul - Jagalah hati ibu dan bapa kita

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...