Sunday, January 04, 2015

Sangkaan

Saya menegur Haziq yang terpandang sekumpulan lelaki di atas jalanraya yang masih lagi bekerja walaupun azan solat Jumaat sudah berkumandang. Saya tidak setuju bila dia kata lelaki-lelaki yang dilihatnya itu teruk lakunya kerana tidak solat Jumaat. Saya meningkah dengan berkata bahawa mereka mungkin akan bergegas untuk solat juga nanti. Sebagai manusia yang bertaraf hamba, kita tidak berhak untuk menghukum orang pada pandangan pertama..Hanya melihat luarannya kita mula mengulas itu dan ini dan bersangka yang bukan-bukan.

Mungkin betul sangkaan kita. Tetapi kalau salah bagaimana? Dosa percuma. Allah mengingatkan kita "Wahai orang beriman, jauhilah daripada bersangka-sangka. Sesungguhnya ada antara sangkaan itu dosa" (Al-Hujurat 49: 12).

Malah Rasulullah juga ada menegaskan "Jaga-jaga kamu daripada persangkaan. sesungguhnya bersangka-sangka itu kata-kata yang paling dusta" (Riwayat al-Bukhari).

Kalau kita jadi orang baik, tidak cuai solat dan puasa, lain pula strategi syaitan membodohkan kita. Syaitan akan memerangkap kita dengan sifat ujub, takbur, riak dan sum'ah. Lalu sifat-sifat buruk itu semakin membesar dalam diri kita seiring dengan amalan yang bertambah. Maka senjata ampuh untuk mengangkisnya ialah kukuhkan sifat tawaduk. Tawaduk itu kita menganggap semua orang yang kita lihat adalah lebih baik daripada kita. Bahkan mungkin pun mereka lebih baik daripada kita. Mudah sahaja untuk kita memperdayakan permainan syaitan.

Oleh itu, sesiapa sahaja yang kita bersua baik orang bodoh, orang popular, orang kelainan upaya, pendatang asing, peminta sedekah dan sebagainya, fikirkan yang mereka mungkin lebih baik daripada kita!

Pena Tumpul - Tidak pernah rasa diri lebih baik pun

No comments:

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...