Skip to main content

Posts

Showing posts from August, 2010

Merdeka

I klan ini amat menarik dan mengajar anak-anak kita supaya faham erti kasih sayang kepada ibu bapa. Nikmat hidup di tanah merdeka jangan dipersia. Hanya kerana kita kelahiran pasca merdeka, kita dengan mudah mempersoalkan apalah sangatnya merdeka. Kita tidak merasa perit getir yang dirasa oleh mereka yang berjuang untuk sebuah kemerdekaan. Kita hanya akan memberi nilai kepada merdeka bila satu hari nanti nikmat merdeka ini tidak lagi kita miliki. Jangan jadi kacang lupakan kulit. Tertarik saya dengan pantun Dr Rais Yatim ini yang saban ketika didengari lewat corong radio. Anak dara pergi ke utara Makan mangga di atas dulang Kalau saudara cintakan negara Mari kita kibarkan jalur gemilang Pena Tumpul - Selalu percaya di mana bumi pijak, di situ jugalah langit yang kita junjung

Tebus

"Aziq akan tebus kesilapan dalam peperiksaan percubaan baru lalu. Aziq tahu ayah dan mama kecewa. Beri Aziq peluang sekali lagi untuk memberi keputusan yang akan menyenangkan hati ayah dan mama". Saya berjumpa guru kelasnya pagi ini dalam satu pertemuan yang cukup ringkas namun berfaedah. Saya tahu apa yang Haziq buat dalam kelas. Puan Zazilah kata Haziq dilihat banyak bermain dalam kelas dan kurang fokus dalam pelajaran. Adakalanya gagal menyiapkan latihan yang diberikan. Hasilnya keputusan yang amat-amat mengecewakan dia persembahkan untuk saya dan mamanya. Dia sedar kesalahannya itu. Amat sedar. Saya sentiasa memberinya peluang untuk terus berubah. Dan saya harap kali ini dia benar-benar melakukannya. Dengan PMR yang bakal diduduki kira-kira 42 hari dari sekarang saya berharap Haziq akan berusaha lebih keras. Lebih serius dan lebih fokus. Cara dia belajar sebelum ini amat perlu dia ubah. Namun saya tidak sangat berharap sesuatu yang diluar kemampuannya untuk mencapainya. C

Suap

"Belajar di peringkat master tak sama waktu belajar ijazah pertama dulu. Jangan harap pensyarah akan bagi semua. Pandai-pandailah usaha sendiri kalau nak berjaya" I tu respon semerta saya kepada keluhan isteri sepulangnya dari kuliah pertamanya petang ini. Belajar di tahap ini bukan lagi bagai anak kecil yang perlu di suap. Kena suap sendiri. Tidak boleh sangat bergantung kepada orang lain lagi. Zaman belajar ambil nota sudah berlalu. Dia perlu mengubahnya kalau ingin berjaya. "Belum apa-apa dah kena cakap dalam kelas. Kena beri pandangan. Manalah sedia lagi...buku pun tak sempat baca lagi. Ingatkan datang kelas, duduk dan ambik nota aja ", keluhnya. Saya harap pertemuan pertamanya itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus bertarung hingga ke penghujung. Saya tahu bukanlah mudah baginya untuk melakukannya, lebih-lebih lagi di peringkat usia yang sudah melewati angka 40 ini. Otak sudah berkarat katanya. Susah nak menerima. Perlu digilap balik. Hasrat

Atok

"Dulu masa atok, mana nak cari gerai-gerai jual kuih dan lauk-pauk macam sekarang. Kalau nak makan, kenalah suruh nenek kau itu buat sendiri" S aya, isteri, Haziq dan emak berbuka puasa rumah atok petang ini. Kehadiran kami mengejutkan atok, nenek, Mak Utih dan anaknya Milah kerana sengaja kami tidak memberitahu pun mereka terlebih dahulu. Bila isteri menghidangkan pelbagai juadah yang dibeli di bazar Ramadan di depan atok, atok mula bercerita tentang puasa di zamannya. Kata atok, atok Senah (sudah lima tahun meninggalkan kami semua) bangun sahur seawal tiga pagi. Bila semuanya telah siap terhidang, barulah atok akan mengejutkan yang lain-lain. Bersilalah masing-masing mengadap juadah yang di tengah-tengahnya tertegak pelita minyak tanah yang suram-suram cahayanya. Dulu tidak semua orang mampu memiliki peti sejuk. Jadi kalau teringin nak air batu, terpaksalah membelinya di kedai. Saya ingat membelinya di kedai Pak Ngah Hassan satu batang panjang. Kalau lambat sampai ke rumah

Pemandu

Lawatan ke Shah Alam berakhir lebih cepat dari yang dijangka. Ada masa yang berbaki dalam perjalanan pulang ke Segamat. Semua pelajar yang turut serta dalam rombongan ini menyuarakan sebulatnya hasrat untuk singgah sebentar di Petrosains. Sambil menyelam minum air. Terujanya mereka sampai sanggup untuk mengeluarkan ongkos sendiri untuk meloloskan diri ke dalam Discovery Centre ini. Hasrat tinggal hasrat. Enam pemandu juga sepakat. Enggan memenuhi permintaan atas satu dua alasan. Jalan ke KLCC dikatakan mengalami kesesakan yang luar biasa teruknya. Ia bakal menggendalakan perjalanan. Juga dikatakan tidak cukup selesa untuk berpenat sedikit dan bulan puasa disandarkan sebagai alasan. Kami menerimanya dengan hati berat namun apakan daya kami tidak punya kudrat untuk melunaskan apa yang dihajat. Dalam meniti jalan pulang pemandu menunjukkan gelagat. Sudah nasib saya berada di kerusi penumpang yang dengan pemandu ini amat dekat. Isu saman kerana memandu laju dibual hebat. Penangkap had laj

Syukur

Rasullulah bersabda “Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala seba gaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi). A yah dan Mak mentua mempelawa saya, isteri dan Haziq berbuka puasa bersamanya petang ini. Bagai orang mengantuk disorong bantal dan pucuk dicita ulam mendatang Mak Itam dan anaknya Mahathir juga diundang sama. Saya tahu emak mentua sudah pasti akan menyediakan lauk kegemaran saya. Jangkaan saya tidak meleset. Gulai ayam masak merah cantik tersaji cuma menunggu masa untuk dinikmati. Kami berdepan dengan pelbagai makanan. Ada gulai lemak ikan baung, paceri nenas, daging rusa, pucuk ubi dengan sambal belacan, rojak sotong, sayur campur dan udang goreng tepung hasil tangan isteri. Mak Itam tidak ketinggalan membawa pengat pisang dan juga gulai ketam masak lemak. Sedapnya. Tidak saya sedari tiga pinggan nasi saya habiskan. Mewahn

Aniaya

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri "(Yunus:44) S aya berkesempatan menonton sebuah drama yang cukup menarik lewat Tv1. Ia menarik kerana tema agama yang dipaparkan sesuai untuk dihayati di Ramadan yang mulia ini. Sudah acap kali tema begini ditonjolkan namun masih mengesankan. Ia berkisar tentang seorang usahawan muda, Airel yang berjaya namun dangkal ilmunya dalam agama. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga dimana agama bukannya panduan. Amalan yang disuruh tidak dikerja malah diberatkan lagi dengan amalan yang ternyata bercanggah dengan kehendak agama. Yang haram dibedal. "Saya tidak pernah sembahyang dan tidak tahu sembahyang" , pengakuan paling berani anak muda ini. Ini dan mengejutkan teman wanitanya yang digambarkan sebagai muslimah solehah. Pemuda ini mengorbankan hubungannya dengan gadis ini apabila diminta sigadis agar mengubah cara hidupnya yang tidak berpedomankan agama it

Peluang

R amadhan yang mulia ini menyediakan peluang paling berharga untuk kita mendapatkan ganjaran dan pahala yang banyak dari Allah SWT. Minit-minit yang berlalu bagaikan ingin diisi sebaik mungkin. Rugi rasanya tanpa pengisian yang boleh meningkatkan tahap ketaqwaan kita kepadaNya. Bertadarus Al-Quran antara amalan yang terbaik dilakukan di bulan yang mulia ini. Menurut pendapat yang dikongsi daripada Ustaz Mursyid, jika kita tidak berapa lancar membaca Al-Quran bolehlah mengamalkan membaca Surah Al-Ikhlas 100 kali . Ini tentunya lebih baik daripada kita merangkak-rangkak membaca Al-Quran tanpa aturan tajwid yang betul.Namun begitu, jika kita berniat untuk belajar memperbaiki mutu bacaan Quran tentunya lebih afdal lagi. Jika amalan membaca Al-Quran sudah begitu sebati dengan diri kita,tentunya tidak terbit masalah tetapi bagaimana pula sekiranya sudah 10 tahun amalan membaca Al-Quran ini kita tinggalkan? Sememangnya bulan Ramadhan memberi kita cukup ruang untuk mendekatkan diri

Martabat

S eusai sahaja solat Jumaat, Haziq terus bertanya, " Bolehkah kita mencapai tahap puasa khusus al-khusus ayah?" . Saya pantas menjawab soalan yang saya tidak jangka akan terkeluar darinya. " Mengapa tidak, asalkan kita berusaha untuk mencapainya, tetapi ia tidaklah begitu mudah." Khutbah Jumaat hari ini mengupas isu puasa Ramadhan dan saya kira Haziq pertama kali diberitahu tentang martabat puasa Ramadhan ini. Saya perlu menjelaskan kepadanya agar keinginannya untuk berada di tahap paling tinggi itu dapat diterjemahkan dalam aktiviti rutin puasanya. Tentunya bukan mudah baginya kerana bukan semua orang mampu menggapai martabat itu. Cabaran mungkin pelbagai yang melekakan dan melalaikan. Akhirnya di hujung puasa ketika berbuka puasa yang kita lakukan sehari suntuk tidak lebih hanya sekadar berlapar dan berhaus tidak tentu fasal. Pahala puasa berkurang dan berkurang. Puasa martabat pertama tidak sukar untuk diperolehi selagi tidak makan dan minum dan tidak pula melaku

Ragu

S etiap kali Ramadan menjenguk hadis ini pasti singgah sama ada di kantung email atau pun dikirim oleh seseorang dalam bentuk pesanan ringkas lewat telefon bimbit. Beberapa hari lalu saya menerimanya lagi. Doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan: "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada) - Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri; Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. " Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat. Namun kesahihan hadis ini meragukan. Keraguan selama ini terlerai apabila pagi ini saya menerima email dari seorang ustaz yang tentunya cukup kredibel untuk bercakap tentangnya. Tidak siapa yang mampu menaf

Ganjaran

Satu permulaan yang cukup baik dan menyelesakan. Malam tadi diberi kekuatan untuk solat Tarawih di masjid. Walaupun 8 rakaat dan bukan 20 rakaat namun saya cukup bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk saya bersama Ramadan lagi kali ini. Kedatangan bulan Mubarak ini memang sentiasa dinantikan jengulnya justeru ia bulan untuk beramal dan mengumpul pahala berganda yang tiidak terhingga ganjarannya.Bulan untuk muhasabah diri. Setiap kali kehadiran bulan mulia ini, ingatan mengimbau ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dulu. Tidak pernah penuh sebulan tetapi rongak di sana sini, lebih-lebih lagi di penghujungnya. Ketika itulah godaan dari segala sudut amat kuat dan tidak mampu untuk ditangkis. Sememangnya dugaan di hari terakhir amat hebatnya bukan kepalang. Terik panasnya berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Godaan dari rakan sekelas juga tidak kurang hebatnya. Masih segar diingatan di hari terakhir Ramadan, saya bersama empat rakan rapat Zul, Johari, Rosli, Zahanudin berpa

Cemburu

K erajaan Melaka barangkali dilihat sudah cukup terdesak apabila mencadangkan sekolah untuk pelajar hamil dan paling menarik membenarkan lelaki serendah usia 18 tahun dan perempuan serendah 16 tahun untuk bernikah. Kerajaan Kelantan khabarnya ingin mengambil langkah serupa. Beberapa bulan lalu kita digemparkan dengan cerita pelajar sekolah terlibat dalam kegiatan pelacuran di negeri ini. Persoalannya adakah dengan mengambil langkah agak luar biasa ini bisa membendung kegiatan tidak sihat daripada terus merebak? Mungkin berkesan untuk jangka pendek.Nafsu bergelora anak remaja ini pastinya boleh disalurkan ke jalan yang betul dan bersyariat. Namun perlu juga difikirkan implikasi jangka panjangnya. Di usia semuda ini mereka sepatutnya berusaha untuk memajukan diri dan bukannya sibuk-sibuk untuk mengurus rumahtangga yang bukan ringan pun tanggungjawab untuk dipikul. Dikhuatiri nanti tanpa persediaan yang cukup, perkahwinan tidak lama usianya! Gejala ini memang membimbangkan malah menakut

Hafal

M inggu-minggu terakhir sebelum datangnya Ramadan jemputan ke kenduri memang agak ragat. Hujung minggu lepas sahaja ada empat undangan kenduri yang tidak mampu saya tolak. Pun begitu seronok juga, sesekali dapat makan lauk kenduri.Tetapi, bukan itu sebabnya pun. Malam tadi saya dijemput oleh Encik Nasir ke rumahnya. "Jemput datang rumah malam ini, lepas Isyak,ada kenduri dan tahlil." Setiap kali menghadiri kenduri begini saya tidak pernah gagal memasukkan dalam poket kitab Surah Yaasin dan Tahlil. Saya tahu saya memang memerlukannya. Sebab utama saya tidak lagi mampu untuk menghafal apa yang terkandung dalam bacaan tahlil. Saya melihatnya ia satu kelemahan yang tidak sepatutnya pun saya miliki. Namun saya sedang berusaha walaupun saya sebenarnya masih boleh terus bergantung kepada kitab kecil itu. Tidak salah pun. Saya cuba berbaik sangka dengan berasa kagum melihat semua yang hadir tidak bergantung pada kitab pun kecuali Imam yang mengemudi bacaan. Leganya, saya tidak keseo

Tawaran

H aziq menduduki PMR tahun ini. Saya begitu gusar.Dia tidak bersungguh langsung, macam tidak ada apa-apa. Dia tidak sangat bersungguh-sungguh menelaah pelajarannya. PMR semakin hampir namun tumpuannya lebih banyak kepada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada peperiksaan paling penting padanya itu pun. Dia lebih sibuk dengan bolanya. Mama pula tidak jemu-jemu mengingatkannya namun ia tak ubah bagai mencurah air ke daun keladi. Saya hampir putus asa. Saya memberikannya tawaran hebat ini. Saya harap tawaran ini menarik minatnya untuk berdamping dengan buku-bukunya. Saya cuma mahu dia mengutip 5A dan 3B dalam peperiksaan pra-PMR yang bakal didudukinya minggu ini. Sebagai ganjaran, dia boleh minta apa sahaja! Dia bertungkus lumus sementara saya menanti dengan rasa bercampur baur. Amat gembira kalau dia berjaya merangkulnya. Cemas juga kalau apa yang dimintanya tidak mampu pula saya tunai. Tunggu dan lihat. Pena Tumpul - Manusia memang perlu dijanjikan ganjaran untuk berubah