Skip to main content

Hafal

Minggu-minggu terakhir sebelum datangnya Ramadan jemputan ke kenduri memang agak ragat. Hujung minggu lepas sahaja ada empat undangan kenduri yang tidak mampu saya tolak. Pun begitu seronok juga, sesekali dapat makan lauk kenduri.Tetapi, bukan itu sebabnya pun. Malam tadi saya dijemput oleh Encik Nasir ke rumahnya. "Jemput datang rumah malam ini, lepas Isyak,ada kenduri dan tahlil."

Setiap kali menghadiri kenduri begini saya tidak pernah gagal memasukkan dalam poket kitab Surah Yaasin dan Tahlil. Saya tahu saya memang memerlukannya. Sebab utama saya tidak lagi mampu untuk menghafal apa yang terkandung dalam bacaan tahlil. Saya melihatnya ia satu kelemahan yang tidak sepatutnya pun saya miliki. Namun saya sedang berusaha walaupun saya sebenarnya masih boleh terus bergantung kepada kitab kecil itu. Tidak salah pun.

Saya cuba berbaik sangka dengan berasa kagum melihat semua yang hadir tidak bergantung pada kitab pun kecuali Imam yang mengemudi bacaan. Leganya, saya tidak keseorangan. Hebatnya mereka kerana mampu menghafal kandungan tahlil ketika saya tidak mampu melakukannya. Saya berburuk sangka juga. "Betul-betul ke mereka semua hafal? Saya bertanya begitu kerana suara rakan di sebelah cuma tenggelam timbul dan jelas dihujung ayat sahaja. Yang jelas cuma suara Imam sahaja. Yang ternampak cuma mulut yang komat-kamit tetapi kejelasan bacaan hilang entah di mana.

Saya pernah melakukannya lama dulu. Namun saya sedar saya perlu lebih malu kepadaNya daripada malu kepada orang di sekeliling saya. Saya tidak mahu menipu diri sendiri lagi. Allah lebih mengetahui.

Pena Tumpul - Pernah hafal surah Yasin dulu




Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...