Skip to main content

Mata

" Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
   

Saya meminta Haziq mengeluarkan sehelai kertas kosong. Saya mahu dia menulis seluruh nikmat Allah berikan kepadanya. Saya memberinya masa lebih kurang 10 minit. Banyaknya yang dia tulis. Nikmat mata, hidung, telinga, hati, mulut, limpa, kaki, tangan, rambut, kulit. Juga ditulisnya nikmat hidup, nikmat udara, bumi, tumbuhan yang pelbagai jenisnya, haiwan yang bermacam, makan, minum, teknologi, harta, keluarga, kebahagiaan, kesedihan, nikmat tidor. Banyaknya yang ditulis dalam waktu terbatas itu. Namun nikmat Allah bukan mampu untuk kita tulis satu persatu pun. Tidak terkira. Tiada siapa yang mampu pun!

Saya mahu mengingatkan Haziq siapa Pencipta dan Pemberi nikmat-nikmat yang sedang dirasainya sekarang. Ketika saya melihat dia sedikit lalai dalam mengingatiNya saya mahu dia sedar semula. Saya harap dia amat sedar dan saya mahu dia belajar menghargai nikmatNya dengan tidak lupa kepadaNya.

Saya ingin berkongsi cerita yang saya kira ada pengajarannya tentang nikmat Tuhan. Ia berkisar pada kisah seorang hamba Allah yang ingin membayar nikmat-nikmat Allah kepadanya. Direkodkan bahawa hamba ini telah beribadah selama 80 tahun tanpa henti. Dia bertapa di atas gunung dan menumpukan seluruh hidupnya dengan solat, puasa, qiamullail, membaca Quran, berzikir dan sebagainya. Demikianlah kehidupannya sampailah pada satu hari, lelaki itu meninggal dunia dan kembali ke hadrat Allah.

Apabila dia berdiri di depan Allah, Allah menyatakan kepadanya, "Masuklah ke dalam syurgaKu dengan rahmatKu"

Lelaki itu enggan. Lelaki itu berkata, "Ya Allah, masukkan aku ke syurgaMu dengan amalku. Hitunglah amalku aku hendak masuk syurga dengan amalku"

Allah menghitung amal lelaki itu. Bila dihitung amal ibadah 80 tahunnya itu, dia hanya mampu membayar sebelah matanya sahaja. Tidak termasuk bulu kening, kaki, tangan dan yang banyak-banyak itu lagi.


Alangkah banyak dan banyak dan banyaknya nikmat Allah dan kita tidak mampu untuk membayar pun. Lalu, siapalah kita untuk sering melupakanNya ketika Dia tidak pernah melupakan hambaNya!

Pena Tumpul - Kerdilnya saya

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w