Skip to main content

Mengantuk

Acapkali saya mengalami keadaan mengantuk semasa memandu. Kedegilan untuk berhenti sejenak justeru untuk cepat sampai menggagahkan saya melawan mata walapun mengundang padah. Sesekali pernah tersasar namun nasib baik menyebelahi diri. Pun begitu,insiden hampir terlanggar pembahagi jalan tidak pula merentap hati saya untuk tidak terus memandu ketika mengantuk.

Bahawa bahaya memandu semasa mengantuk boleh mengundang padah adalah satu kenyataan yang tidak boleh sesiapa pun menyangkalnya. Sedetik sahaja kita terlelap ketika memandu, kemungkinan untuk ditimpa kemalangan adalah 99% kerana ketika terlelap itu, otak kita sebenarnya tidak lagi berfungsi dan sedar, mata tertutup dan anggota tangan dan kaki tidak lagi dapat mengawal kenderaan yang dipandu.Untuk kesekian kalinya saya terleka lagi akibat mengantuk.Saya menguap saban kali namun hati berkeras untuk terus melawan mata.

Nah,dalam perjalanan pulang dari Batu Pahat petang ini,ketika hampir menyinggahi  RR Macap saya dikejutkan dengan bunyi hon dari sebuah bas ekspres yang membontoti kereta yang saya pandu. Kebetulan tiada siapa yang menemani untuk di lawan bersembang sekurang-kurangnya bagi mengurangkan rasa mengantuk. Saya terkejut dan menyedari bahawa saya mungkin telah terlelap sedetik sehingga kereta berada di luar kawalan. Terima Kasih kepada pemandu yang megejutkan saya atau mungkin saya akan terjebak dalam sebuah kemalangan yang tidak pernah saya impikan. Syukur kepadaNya. Insiden ini pastinya akan membuat saya lebih berwaspada nanti.

Emak yang bimbang dan penyayang mencadangkan saya supaya mengamalkan sepotong ayat Al Quran di dalam Ayat Qursi LA TAKKHUDZUHU SINATUW WALA NAUM... " (maknanya: [DIA - ALLAH] TIDAK MENGANTUK DAN TIDAK TIDUR yang boleh dijadikan penawar untuk menghilangkan rasa mengantuk ini. Emak juga berpesan, agar saya tidak lupa membaca Ayat Qursi 3x sebelum memasukkan gear pertama untuk memulakan pemanduan ditambah dengan ayat "BISMILLAHIL LADZI LA YADHURUHU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDHI WALA FISSAMAA'WAHUWASSAMIUN 'ALIIMM" 3X.

Pena Tumpul - Mama selalunya tidor lena disebelah ketika saya memandu

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...