Sunday, June 26, 2011

Terperangkap

Peniaga memang cukup licik menipu para pembeli untuk untung lebih. Kalau kita tidak cukup berhati-hati, pasti kita akan ditipu hidup-hidup. Di kedai dan di pasar nampak tiada cacat celanya barang yang dibeli, namun bila sampai di rumah lain pula halnya. Nampak segar di pasar namun bertukar busuk di rumah.

Saya ingin berkongsi cerita yang amat menarik ini tentang tipu helah peniaga ayam. Seorang penjual ayam hampir menamatkan jualannya untuk hari itu apabila dia didatangi seorang perempuan. Kebetulan cuma satu ekor sahaja ayam yang tinggal. Peniaga itu menimbangnya.

"1 kilo lebih, 8.20 sen", kata penjual itu. "Boleh tahan harganya, tetapi sayang kecil sangat", balas perempuan itu. "Awak ada ayam yang lebih besar ke?", tanya perempuan itu.

Penjual ayam itu termangu seketika. Dia tahu itulah satu-satunya ayam yang tinggal. Namun niat ingin menipu tetap ada. Dia memasukkan ayam tadi ke dalam peti sejuk dan berpura-pura mengeluarkan seekor ayam lain yang sebenarnya ayam yang sama tadi.

Dia menimbangnya. "Ini besar sikit. 9 ringgit", katanya.
Perempuan itu diam sejenak dan berkata, "Kalau begitu, saya mahu kedua-duanya"


Penjual ayam itu terperangkap!

Pena Tumpul -  Tunggu Kipmart di buka di Segamat

Saturday, June 25, 2011

4.30

"Tolong kejutkan saya pukul 4.30 pagi"
 Begitu pesan Mantoba kepada isterinya.Dia perlu bangun lebih awal untuk urusan penting kerjanya. Itulah yang baiasa dilakukan oleh Mantoba. Dia tahu isterinya mudah bangun awal. Selain itu dia tidak boleh terlalu bergantung dengan jam locengnya kerana dia selalunya gagal untuk bangun dengan bantuan jam loceng itu.Malah penggera dari telefon bimbitnya juga gagal mengejutkannya yang memang jenis tidor mati.

Malangnya pagi itu Mantoba bangkit dari tidor hanya 3 jam selepas itu. Dia tidak pernah menjangka isterinya tidak mengejutkannya seperti yang diharapkannya.Mahu sahaja dia menjerit melampiaskan marahnya yang tidak terperi kepada isterinya. Dia melihat isterinya tiada di sisinya. Dia tahu isterinya sudah lama bangun dan barangkali dalam perjalanan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Dia baru sahaja ingin menuju ke bilik air apabila dia terpandang sekeping nota di atas meja solek isterinya. Nota itu ditulis cukup ringkas, "Abang, bangun cepat sudah pukul 4.30". Melihat nota itu, baru dia sedar sebelum mereka tidor semalam berlaku perselisihan kecil antara mereka berdua. Namun tidak sempat untuk diselesaikan lalu masing-masing tidor dengan membawa hati yang masih terbuku. Oleh kerana nota yang ditulis buat isterinya, maka nota jugalah yang diberikan kepadanya sebagai balasan. Mesej tersangkut di tengah jalan.

Bila suami dan isteri berselisiah faham beginilah yang selalunya terjadi. Ia bagai perang dingin. Masih lagi boleh tidor seranjang namun tidak cukup selesa untuk berbual bicara buat beberapa ketika sehinggalah reda semula. Jauh di lubuk hati masing-masing, masih saling perlu. Cuma mulut tidak terucap kerana di sekat oleh ego yang cukup tebal dalam diri kedua-duanya.

Sedangkan lidah lagi tergigit!

Pena Tumpul - Pernah

Friday, June 24, 2011

Kaki

Emak mengadu sakit kaki. Kata emak ia mungkin kesan sekepas dia jatuh beberapa ketika dahulu. Saya lihat kaki kiri emak sedikit bengkak. Sakit kaki yang dialaminya membataskan pergerakannya. Emak tidak boleh berdiri lama. Sesekali terasa pedih dan ngilu. Jalannya pun tidak boleh sangat lama berbanding dahulu. Terincut-incut. Mungkinkah emak di peringkat awal gout?

Petang ini emak bersungguh-sungguh benar supaya saya membawanya ke rumah Mak Mendek supaya diurut kakinya. Mak Mendek memang cukup terkenal sebagai tukang urut di kampungnya. Saya ikutkan permintaan emak dan berharap selepas berurut nanti sakitnya akan sedikit berkurangan. Lepas ini harap-harap emak akan kembali bergerak macam lipas kudung seperti sebelumnya.

Di rumah Mak Mendek emak kebetulan berjumpa kawan lamanya. Bila emak memberitahunya tentang kakinya yang sudah agak payah untuk berjalan itu, kawan emak ini secara selamba menjawab. Jawapannya memang cukup menarik perhatian.

"Dah puas berjalan pun. Sejak umur setahun lagi dah. Cukuplah tu. Sekarang masa untuk duduk pula", katanya. Saya tahu ia berseloroh dengan emak. Ada kebenarannya juga kata-kata Mak Tisah ini yang usianya lebih kurang emak juga. Dengan usia emak mencecah 70 tahun sekarang, secara logiknya emak memang sudah dikira cukup puas berjalan meneroka bumi Tuhan ini. Sekarang masa untuk berihat dan memberi ruang untuk kaki bernafas pula.

Berurut tidak menyelesaikan masalah emak!

Pena Tumpul - Kekadang lenguh kaki

Thursday, June 23, 2011

Pelahap

Dengan wujudnya Kedai Rakyat yang menawarkan lebih 250 barang keperluan harian yang dijual sehingga 40% lebih murah, kesimpulan boleh dibuat sebenarnya. Bahawa barang-barang memang boleh dijual dengan harga yang relatif murah dan tidak sangat membebankan pengguna.

Khabarnya berbondong-bondong orang berkunjung ke kedai ini untuk membeli belah. Barangkali sudah lama benar mereka tidak merasai nikmat membeli barang dengan harga yang murah. Barang menjadi mahal bukanlah kerana memang barang itu mahal tetapi sikap peniaga yang tamak haloba, cekik darah dan ingin untung berganda-ganda. Kadang-kadang saya benar-benar kecewa dengan sikap peniaga yang menghisap darah bagai lintah darat ini. Suka sangat menangguk di air keruh dan menahan jerat di pergentingan.

Saya melihat adalah wajar Kedai Rakyat ini disebarluaskan dan dibiarkan menjalar di seluruh negara bagi membuka mata para peniaga yang cuma memikirkan keuntungan melampau ini. Biar mereka sedar bahawa mereka ada saingan dan orang ramai punya pilihan. Selagi mereka rasa mereka tiada tandingan, selagi itulah mereka akan terus bermaharajalela mengikis wang orang ramai dengan lahapnya.

Selepas ini diharapkan akan terbit pula restoran rakyat dan pasar rakyat. Hidup Maidin dan nyahkan pelahap-pelahap!

Pena Tumpul - Minum air suam sahaja

Tuesday, June 21, 2011

Gila

Bila Haziq mengatakan orang yang dilihatnya berbasikal sarat dengan gendong dan bungkusan di atas basikalnya sebagai gila, saya cepat menangkisnya. Memang seorang lelaki ini selalu sangat dilihat dengan basikalnya tanpa tujuan tertentu. Namun adalah tidak wajar untuk melabelnya sebagai gila. Tiada seorang pun yang berhak untuk memanggillnya begitu.

Sesekali terlihat gelagatnya dengan bolanya. Menimbang-nimbang bola di depan sebuah kedai yang sering menjadi pilihannya di bawah sinaran lampu yang benderang.Kehebatannya menimbang bola nampak jelas setiap kali saya melewati kedai tersebut. Saya beranggapan besar kemungkinan dia pernah menyimpan hasrat untuk menjadi pemain bola namun tidak kesampaian.

Teringat saya kisah yang amat menarik tentang orang gila ini. Kisah seorang yang melawat hospital gila. Mulutnya cukup celupar dan amat memandang rendah pada orang gila yang di hospital itu. Kenyataannya penuh dengan penghinaan terhadap sekumpulan pesakit gila ini.

Dia sempat berbual dengan salah seorang petugas di situ dan mengeluarkan kata-kata yang kesat begini,
"Mereka ini semua memang gilakah?, dia bertanya. Petugas itu menjawab, "Tidak semuanya kecuali mereka yang gagal dalam ujian."  Orang itu bertanya lagi, "Apa ujiannya?"

"Mudah sahaja,  Kita tunjuk kepada mereka kolah mandian penuh dengan air, sebuah baldi, jag dan cawan. Kemudian mereka diminta melakukan cara yang paling pantas untuk mengosongkan air dalam kolah tersebut." ujar petugas itu.

"Senang sangat, orang yang normal pastinya akan kata dengan gunakan baldi itu, sebab ia lebih besar", ujarnya penuh yakin.

"Tidak begitu sebenarnya, Orang yang normal biasanya akan beri jawapan yang lebih baik daripada itu. Mereka akan cabut gabus dan air akan mengalir keluar dengan laju. Nak saya sediakan katil untuk awak ke dan jadi penghuni baru hospital ini?" kata petugas itu sinis.

Orang yang mulut celupar itu amat malu.

Jangan mudah sangat mengata orang lain sebagai gila!

Pena Tumpul - Gila-gila bahasa

Sunday, June 19, 2011

Stress

Somebody sent me this joke.Hillarious and worth reading. It is about work stress. An office manager arrives at his department and sees an employee sitting behind his desk, totally stressed out.

He gives him the advice: "I went home every afternoon for two weeks and had myself pampered by my wife. It was fantastic, and it really helped; you should try it too!".

Two weeks later, when the manager arrives at his department, he sees the man happy and full of energy at his desk. The faxes are piling up, and the computer is running at full speed. "I see you followed my advice".

"I did", answers the employee. "It was great! By the way I didn't know you had such a nice house!".

Pena Tumpul - Be careful with your words, they might be misinterpreted

Friday, June 17, 2011

Bonus

Ada bonuskah tahun ini? Berapa bulan? Enam bulan atau tiga bulan? Sebulan atau langsung tiada bonus. Pertanyaan begini selalu diungkap menjelang perayaan dan hujung tahun. Lazimnya, bonus dikaitkan dengan pemberian imbuhan dan ganjaran dalam bentuk wang ringgit. Sering dikatakan bonus dilihat sebagai penyumbang motivasi dan sekaligus meningkatkan prestasi pekerja. Namun saya melihat ia tidak semestinya betul kerana ada kalangan mereka yang diberi bonus bukan kepalang banyaknya, tetapi prestasinya bagaimana?

Bonus tidak ubah bagai menggaru badan yang gatal bila gatal hilang legalah seketika, namun perlu terus digaru dan digaru seperti juga bonus yang perlu diberi dan diberi untuk mengekalkan motivasi dan meningkatkan prestasi. Ada yang berpendapat bonus dalam bentuk wang ringgit tidak lebih daripada sekadar berperanan sebagai penyumbang kepada motivasi yang cukup sementara sifatnya.

Bila dengar bonus akan diberikan pada hujung tahun misalnya, hati melonjak gembira bukan kepalang. Belum lagi dapat bonus namun ia bagaikan suntikan semangat untuk bekerja lebih keras. Bila bonus sudah diperolehi, motivasi dan azam bekerja lebih kuat cuma kekal bertahan selagi wang bonus belum habis dibelanjakan. Bila wang habis, segalanya kembali seperti asal. Yang malas akan tetap malas. Yang tidak bersemangat akan terus tidak bersemangat lagi sehinggalah diberikan bonus lagi.

Menyedari bahawa diri masih punya kerja berbanding mereka yang tidak punya kerja itulah sebenarnya bonus!

Pena Tumpul - Wang bukan segala-galanya

Tuesday, June 14, 2011

Cakap

Kata Dr Fadzillah Kamsah yang di dengar lewat corong radio pagi ini, kaum perempuan memang banyak cakap. Menurut kajian, kaum Hawa ini melontarkan lebih kurang 20,000 patah perkataan sehari dan meninggalkan jauh di belakang kaum Adam yang memaculkan sekitar 6,000 patah perkataan sehari. Banyaknya, macam sukar untuk dipercayai!

Kaum wanita juga dikatakan bercakap pantas macam peluru. Tidak menghairankan mengapa mereka memang hebat membebel dan berleter berbanding kaum lelaki. Oleh itu kita perlu faham kalau wanita banyak mengomel itu tabiinya sebagai wanita.  Sebagai kaum lelaki kita tidak boleh menolaknya tetapi perlu menerimanya dengan hati terbuka, walau terpaksa tahan telinga menerima serangan bertubi-tubi. Dia sedang mencukupkan kuota 20,000nya itu, jadi berikan dia kesempatan itu. Dengar sahaja.

Pena Tumpul - Sudah biasa

Monday, June 13, 2011

Helah

Awal-awal pagi lagi, Haziq sudah mengadu sakit perut dan pening kepala bila saya mengejutkannya pagi ini. Ia tidak mengejutkan kalau dia liat untuk ke sekolah semula setelah lama dibuai cuti. Lebih-lebih lagi di hari pertama Isnin ini. Saya cukup faham.

Mamanya juga tahu anaknya ini memang pandai mencari helah. Dia memang sudah faham dan masak benar dengan cara anak lelakinya ini. Sebelum ini pun, sudah acap kali dia berlakon begini. Pura-pura sakit meraih simpati. Kami tidak memberinya peluang. Dengan malas dan terpaksa dia ke sekolah juga.

Gejala liat dan menggeliat bukan berlaku pada anak-anak sekolah. Adakalanya kita juga dijangkiti rasa begini bila sahaja Isnin membuka tirainya. Macam-macam yang dirasa. Malas dan longlai. Tidak bermaya. Tidak bermotivasi untuk memulakan hari baru. Tidak bersemangat untuk ke tempat kerja lebih-lebih lagi setelah lama bercuti. Begitu juga bila di penghujung perkhidmatan.
Fenomena biasa hari Isnin!

Pena Tumpul - Sesekali rasa liat juga namun gagah melawan

Saturday, June 11, 2011

Kesan

Saya melihat saban minggu Haziq tidak pernah gagal untuk memiliki majalah sukan kegemarannya "Soccer". Kuantiti majalah ini yang dibelinya sejak beberapa tahun lalu hampir memenuhi separuh daripada rak bukunya. Saya tahu dia memang taksub dengan majalah ini. Saya juga tahu dia tidak mahu terlepas mengikuti perkembangan bintang bola sepak pujaannya. Saya tidak sampai hati untuk menyekat kegilaannya terhadap majalah ini dan sekaligus memuja bintang-bintang bola sepak itu. Namun dalam diam, saya memang tidak menyenanginya.

Saya bertanya apakah ada sebarang faedah yang diperoleh dengan membeli majalah begitu. Apa juga faedah yang diraih dengan memuja bintang-bintang bola itu. Tidak ada jawapan yang cukup meyakinkan darinya. Dia cuma kata ingin jadi seperti bintang yang dipujanya. Tidak lebih dari itu. Membaca majalah tersebut dikatakan menyuntik semangatnya untuk berusaha mencapai hasratnya untuk menjadi pemain bola terkenal seperti mereka. Mengarut! Ia tidak ubah bagai ingin menggapai awan.

Saya mengujinya. Saya memintanya menyenaraikan sepuluh pemain bola sepak terbaik dunia sejak 10 tahun yang lalu. Dia gagal menyatakannya dengan yakin dan pasti. Teragak-agak. Sebaliknya saya memintanya memberitahu saya lima orang guru yang benar-benar memberi kesan dalam hidupnya seawal darjah satu dahulu. Guru yang pernah mendidiknya dengan kasih sayang. Mengajarnya tulis dan baca. Kali ini dia tidak gagal menyatakannya dengan pasti. Dia memberitahunya satu persatu walau sudah lebih tujuh tahun berlalu.

Begitulah kita dalam melihat sesuatu. Kita mudah sangat terlepas pandang dengan orang yang paling hampir dengan kita. Kita begitu menyanjung dan memuja mereka yang diselubungi kemasyhuran dan punya nama besar sedangkan mereka tidak pernah rapat secara fizikal pun dengan kita. Mereka tidak pernah kenal dan tahu siapa kita pun. Kita dipisah begitu jauh dan terlalu jauh. Namun yang begitu hampir dengan kita, sering sangat kita lupakan kehadiran dan kepentingannya dalam hidup kita.

Saya harap dia akan lebih bijak dalam memberi penghargaan kepada mereka yang sebenarnya memberi kesan dalam hidupnya!

Pena Tumpul - Lumrah dunia

Thursday, June 09, 2011

Bantah

" Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut." ( al-Ma'arij:19:21)
Hafiz yang tidak kebah-kebah demamnya sejak beberapa hari yang lalu membentak-bentak bila ibunya memberinya makan ubat. Tidak cukup dengan itu, terpacul dari mulutnya kata-kata yang tidak enak didengar. "Ibu jahat, ibu jahat!".  Sambil menangis kata-kata itulah yang tidak henti-henti dilemparkan kepada ibunya. Kesian ibunya.

 Saya percaya ketika kita di usia begitu makan ubat bukanlah kita suka sangat. Namun ibu kita tetap juga menyudukan ubat ke dalam mulut kita.

Persoalannya jahatkah siibu kerana memaksa si anak untuk makan ubat. Kelihatannya macam jahat justeru memaksa kita memakan ubat yang tidak sangat kita suka itu. Lebih-lebih lagi kalau pahit rasanya. Siibu tidaklah jahat sebenarnya. Ibu sedang bertungkus-lumus berusaha untuk kebaikan anak.

Saya pujuk Hafiz dan kata kepadanya bahawa ibunya tidak jahat. Ibunya cukup baik kerana ingin melihatnya sembuh dan sihat seperti sedia kala. Namun siapalah Hafiz di usia begitu yang mampu berfikir dan memahami tindakan ibunya sehingga kebaikan dilihat sebagai keburukan. Dia belum dewasa untuk menerima hakikat sebenar di sebalik tindakan ibunya itu. Kebaikan akan dilihat sebagai kebaikan bila si anak kecil menjadi dewasa. Ketika itu barulah dia akan faham dan tidak akan membantah lagi.

Saya belajar sesuatu dan ia amat penting. Kebaikan kadangkala terasa menyakitkan. Dalam kehidupan seharian kita kelihatan seperti anak kecil sebenarnya. Kita mengeluh dan mengeluh. Suara kita bernada bantahan. Kita tidak ubah macam anak kecil. Tidak malukah kita kepadaNya?

Pena Tumpul - Selalu mengeluh panas, ampunkan saya Ya Allah!

Sunday, June 05, 2011

Adat

Lamanya tidak dipelawa dan diberi kesempatan untuk melakukan upacara tepung tawar ke atas mempelai. Malah memang tidak pernah berpeluang atau diberi peluang pun. Bila dapat peluang melakukannya, saya agak kekok. Tidak sukar pun. Sesuatu menjadi sukar kalau kita melihatnya sukar dan kita tidak pernah mengambil peluang untuk melakukannya buat kali pertama.

Menepung tawar cukup mudah.Ia dilakukan di atas pelamin ketika kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan duduk bersanding. Ia sebagai simbolik kepada keluarga merestui kedua-dua mempelai dengan harapan supaya pasangan pengantin kekal bahagia selamanya.


Mengapa perlu menepung tawar? Ia bukanlah upacara wajib pun. Ia tidak memberi kesan sekiranya tidak dibuat.

Sejarah mengatakan budaya menepung tawar dilakukan oleh masyarakat India dalam majlis perkahwinan bertujuan mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Masyarakat kita pula menganggap menepung tawar sebagai tanda restu kedua-dua belah pihak. Kelihatannya tujuannya tidak berbeza pun dengan tujuan masyarakat India.

Perlukah kita meneruskan adat ini kalau kita sendiri sedar bahawa tujuannya jelas bertentangan dengan amalan dan kepercayaan kita? 

Pena Tumpul - Suka tonton filem Tamil sahaja

Saturday, June 04, 2011

Maskahwin

Lain padang lain belalang. Saya berada di Kampung Kemat Tersat, sebuah kampung yang agak terpencil di Kuala Berang, Terengganu. Loghat pekat tempatan di dengar cukup asing kepada kami yang baru sehari dua di sini.. Sebutan yang sukar dimengerti dengan jelas. Mempelai lelaki pun mengakuinya dan saya melihat ia memang sedikit menjejaskan kelancaran majlis akad nikah yang menemukan jejaka dari Segamat dan gadis Kuala Berang ini.

Lafaz nikah juga agak lain berbanding Johor. Tidak begitu cantik susun ayatnya. Namun yang lebih mengejutkan maskahwin yang diisytihar dalam lafaz terima nikah adalah jumlah hantaran pihak lelaki kepada perempuan. Nilai maskahwin berubah mengikut jumlah hantaran dan ia bukan nilai yang tetap. Ini tidak berlaku di Johor. Sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu RM22.50 itulah yang dilafaz dalam akad nikah. Dan nilai yang dilihat macam tidak masuk akal itu tidak pernah diubah sampai sekarang dan mungkin sampai bila-bila. Nilai maskahwin Johor masih yang terendah.

Masih relevan lagikah RM22.50? Ia kekal  relevan sekiranya hadis Nabi ini dijadikan sandaran,
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari)

Pena Tumpul - Jangan menyusahkan yang mudah

Friday, June 03, 2011

Khutbah

Hari ini sempat bersolat Jumaat di Masjid Bukit Payung di Marang. Saya di Terengganu bersama rombongan perkahwinan dari Segamat. Kita memang kaya dengan masjid. Jarak antara masjid dengan satu masjid tidaklah jauh. Akhirnya hati terpanggil untuk bersolat di masjid ini. Di masjid mana pun, kita tetap mengadap dan mengabdi kepada yang Esa.

Saya cukup tertarik dengan penyampaian khutbahnya. Khatib dibantu persembahan multimedia. Isi penting khutbah terpapar di layar putih. Jemaah tidak sahaja mendengar suara khatib tetapi juga melihat apa yang disampaikan. Saya melihat ia berkesan untuk menaympaikan mesej kepada jemaah yang hadir.

Tidak dinafikan khatib berperanan penting untuk memastikan isi khutbah yang dibaca disampaikan dengan berkesan dan melekat di hati makmum yang mendengar. Isi khutbah yang baik sahaja tidak semestinya berupaya menarik perhatian makmum untuk menghayatinya.

Mendengar khutbah di masjid ini terasa kelainannya. Kehebatan khatib terletak pada suaranya.
Kelantangan suaranya memecahkan suasana masjid dan membangkitkan sebahagian makmum yang nampaknya teranggok-anggok di bucu tiang.

Sampai kini, isi kandungan yang disampaikannya masih segar dalam ingatan.Begitu berkesan. Jumaat depan di masjid mana pula?

Pena Tumpul - Allahu Akbar

Thursday, June 02, 2011

Cap

Hebatnya kejadian Tuhan. Sejak beberapa tahun lalu cap jari digunakan sebagai gantian kepada sistem kad yang punya kelemahannya itu. Penggunaan kad walaupun berjaya membuat pekerja datang dan balik tepat pada waktunya namun kelemahan tetap ada. Ada pekerja yang tidak cukup amanah menyuruh pekerja lain menebuk kad untuknya. Bukan payah pun. Justeru tiada mekanisme yang boleh menyekat orang lain untuk melakukannya bagi pihak yang lain. Lalu, kad dilihat tidak seratus peratus berjaya dalam merekodkan kehadiran pekerja. Unsur penipuan tetap ada selagi manusia adalah manusia.

Cap jari mempunyai keunikannya yang tersendiri. Walaupun jumlah manusia di muka bumi ini berbilion ramainya sejak dari kelahiran Nabi Adam AS sehinggalah terjadinya hari kiamat, namun cap jari manusia tidak pernah sama dan tidak akan sama pun. Hasil ciptaan yang begitu halus. Bertambah menakjubkan ialah corak yang terdapat pada jari kita ini terbukti berbeza antara satu sama lain. Nampak serupa tetapi tidak sama pun.


Justeru ketika Allah SWT menyatakan dalam Al-Qur’an bahawa amat mudah bagiNya untuk membangkitkan manusia selepas kematian, cap jari manusia secara khusus ditekankan seperti yang terkandung dalam Surah al-Qiyamah:3-4.

"Apakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-temulangnya?. Bahkan, Sebenarnya Kami berkuasa untuk menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna."
Stesyen e-jari di tempat kerja saya ditambah lagi sejak beberapa hari yang lalu. Ia memang memudahkan!

Pena Tumpul - Apa pun sikap amanah diri tetap lebih penting daripada sebarang ciptaan manusia




.



.

Wednesday, June 01, 2011

Malu

Seorang wanita di lapangan terbang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu sambil membaca buku cerita. Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki disebelahnya dengan selamba turut mengambil biskut dari bungkusannya.


Setiap keping biskut yang dia ambil, lelaki itu turut mengambil sama. Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki tersebut. "Alangkah tak malunya lelaki ini, sudah la tak minta izin dari aku. dia makan sama banyak dengan aku pulak tu. Memang dasar pencuri!" rungut wanita itu dalam hati.

Dalam pada itu lelaki itu dengan muka yang tenang dan selamba terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut yang terakhir terdapat dalam bungkusan tersebut. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu. Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir lalu dipatah dua lantas memberikan separuh darinya kepada wanita itu.

Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki tersebut. Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam 'mencuka' wanita itu berkata dalam hatinya ."Berani sungguh lelaki ini. Memang muka tak malu. Dasar pencuri besar"

Kedua-dua mereka, wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah-olah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya. Apabila dia sampai ditempat duduknya dia membuka beg kecilnya untuk mengambil barang.

 Alangkah terkejutnya dia bila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya masih elok, baru dibuka hanya beberapa keping sudah dimakan sahaja. "Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi ?? Ya... biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu."

Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki tersebut. Lelaki yang tidak dikenali tersebut pula sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biar pun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marah terhadapnya. Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenarnya.

Sebelum kita berbuat sesuatu, pastikan semuanya jelas, jangan membuat keputusan secara membuta tuli dan hendak marah tidak tentu fasal.
 
 Akhirnya malu sendiri!
 
Pena Tumpul - Suka biskut bijan

Terkenang-kenang

T eringat satu ketika dulu di kampung bila Ramadan tiba. Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersa...