Skip to main content

Baju

Bila saya lihat Haziq bebas untuk memilih baju kemeja kesukaannya untuk hari raya, hati saya sangat tersentuh. Saya dan mamanya menunggu sehingga beberapa jam malah berhijrah dari sebuah pasaraya ke sebuah pasaraya kerana baju yang diidam hatinya tidak kunjung jumpa.

Saya tersentuh bukan kerana perlu menunggu lama dengan kerenah anak lelaki yang seorang ini tetapi berpuluh-puluh tahun lalu seusianya saya tidak diberi peluang pun untuk buat pilihan. Malah saya tidak dibawa pun bersama ayah. Bukan kerana saya tidak mahu, tetapi saya tahu ayah ada sebab kenapa tidak perlu bawa anaknya bersama. Ayah tidak punya banyak duit. Saya bukan lahir dengan sudu emas, di mana apa yang saya hendak boleh sahaja saya dapat dengan mudah. Saya cukup mengerti kesukaran ayah menyara kami tujuh beradik.

Masih segar di ingatan saya ketika saya dan emak sedang sibuk-sibuk merebus ketupat, ayah balik dengan sehelai kemeja lengan panjang. Saya tidak pernah tanya pun apa jenamanya dan harganya. Saya terima apa yang ayah beli untuk saya dengan hati yang sangat terbuka. Saya sangat sedar itu yang ayah mampu. Walau tidak mahal dan tidak juga berjenama, saya bersyukur sekurang-kurangnya saya masih ada baju raya yang baru untuk dipakai di hari raya.

Jauhnya beza dulu dan sekarang. Dulu, anak-anak terima sahaja apa yang dibeli oleh ayahnya. Tidak banyak kerenah dan tidak banyak soal. Sekarang ini, anak yang membuat keputusan dan ayah pula yang mengikutnya.

Betullah kata Nabi, di waktu akhir zaman nanti, ibu dan ayah akan melahirkan seorang anak yang bakal menjadi tuan kepadanya!

Pena Tumpul - AlFatihah buat ayah

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...