Skip to main content

Corot

Saya cukup tertarik dengan dapatan Readers Digest tentang budi bahasa orang kita. Khabarnya,majalah Reader’s Digest yang tinggi reputasinya ini  meletakkan Kuala Lumpur hampir di tempat paling corot dalam senarai Bandar Raya Paling Kurang Berbudi Bahasa iaitu di kedudukan ke-34 daripada 36 bandar raya utama dunia.Dalam lain perkataan, orang kita agak biadab.

Saya melihat dapatan ini ada benarnya. Antara yang biasa dilihat dan dialami- bergolot menaiki bas sebelum penumpang turun, tidak mematuhi papan tanda larangan merokok dan meninggalkan troli di kawasan letak kereta. Dikhabarkan juga, perbuatan membiarkan perempuan hamil berdiri di dalam bas juga sangat ketara berlaku di kalangan kita.

Nilai berbudi bahasa, sopan santun, sabar, merendah diri,toleransi dan hormat-menghormati masih belum menjadi cara hidup kita. Di sebalik kemajuan teknologi, kita sebenarnya berdepan dengan isu kemerosotan moral dalam kehidupan seharian kita.

Sikap pemandu kita yang tidak mematuhi undang-undang dikhabarkan berada  di kedudukan paling teratas dalam senarai perilaku tidak berbudi bahasa.Tengoklah di mana-mana pun, harapan sentiasa ada untuk kita melihat kereta-kereta di letakkan sesuka hati  tanpa mengambil kira sama ada di kawasan bergarisan kuning, di pili bomba dan sebagainya.


Paling memualkan menyaksikan pemilik kereta yang kononnya mewah, bernombor plet yang agak istemewa pula, ditambah lagi dengan pelekat kereta di cermin depan yang melambangkan mereka sangat istemewa. Golongan ini secara wewenang meletak kereta di depan lobi hotel, pintu masuk pusat membeli belah ataupun restoran. Siapa yang boleh marah mereka? Khabarnya, pihak berkuasa,polis dan pengawal keselamatan fobia bila berdepan dengan kereta-kereta begini. Saya pernah terserempak seorang petugas parkir meletakkan surat saman di atas sebaris kereta-kereta Proton tetapi tidak pula melakukannya pada sebuah kereta Audi SUV yang bercermin gelap. Pastinya dia tidak mahu "menyusahkan" dirinya nanti, saya membuat kesimpulan sendiri.

Lebih menjengkilkan, kalau memandu di lebuh raya pula, pemilik kereta mewah ini seolah-olah berfikiran bahawa kereta-kereta yang tidak mewah perlu dengan segera memberikan laluan kepada mereka. Kalau tidak diberikan laluan kepada mereka, bersedialah untuk diikut dengan rapat oleh pemilik kereta ini, atau lampu kereta mereka akan berkelip-kelip tanda amaran buat kita atau lebih tidak bernasib baik andainya mereka akan menghalakan tangan kepada kita.

Sudah tersangat lama kita menunggu sampainya waktu untuk melihat masyarakat kita menyemai taat dan patuh kepada undang-undang yang ada.

Pena Tumpul - Tertanya-tanya juga apa hasilnya kempen berbudi bahasa budaya kita

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...