Skip to main content

Pertemuan

Musim cuti sekolah amat sinonim dengan majlis perkahwinan mahu pun pertunangan. Belum pun hilang penat menghantar rombongan pengantin lelaki ke Kota Tinggi hujung minggu lepas, hujung minggu ini saya sanak saudara berkampung pula di Temerloh di rumah pihak lelaki. Dua hari dua malam di Temerloh walaupun agak meletihkan tetapi menyeronokkan. Sesampainya di rumah Pak Andak kira-kira jam 9 malam, Mak Andak terus mempelawa kami makan. Mak Andak memang tahu kesukaan kami. Gulai ikan patin masak tempoyak membuka selera kami semua yang sedang lapar. Bandar Temerloh memang terkenal dengan ikan patinnya. Keesokannya kami semua bekerja keras menyediakan apa yang patut. Pengalaman menyaksikan sendiri seekor kerbau di sembelih amat menarik dan tidak mungkin dapat dllupakan. Kemahiran mereka yang ditugaskan untuk melapah juga turut menarik perhatian. Selepas Isyak kami semua sama-sama mencincang daging-daging untuk dimasak buat jamuan.
Saya perlu mengakui bahawa kari daging kerbau tidak seenak daging lembu. Namun masakan umbut lemak putih amat menyelerakan ditambah pula dengan goreng ikan masin talang. Saat untuk berpisah setelah bermesra dan bergurau senda dengan sanak saudara tentunya memilukan. Saya lihat ada yang tidak mampu menahan genangan air mata, lebih-lebih lagi emak, atok dan Mak Andak. Mereka ada cerita sedih barangkali. Tidak dapat saya menjangkakan bilakah kami sanak saudara akan berkumpul begini lagi. Adakah atok Dolah, 88 tahun masih punya kesempatan untuk bersama meraikan cucu cicitnya yang lain. Atok Dolah, Atok Uda sudah semakin uzur.Sempat juga kami bergambar sebagai tanda kenangan abadi yang tidak akan dilupakan.

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...