Skip to main content

Minyak lagi

Masih lagi berbicara tentang minyak justeru sana sini orang ramai masih memperkatakannya. Saya membaca Utusan Malaysia hari ini dan amat bersetuju dengan pandangan yang diluahkan oleh seorang pembaca Mohamad Radzwill Abdullah dari Kuala Lumpur.Antara lain beliau menyentuh tentang kerakusan para peniaga yang sentiasa ingin mengaut untung besar di atas kesengsaraan rakyat. Tiada langsung tanggujawab sosial. Asyik nak fikir untung besar sahaja.

KENAIKAN harga petrol sebanyak 78 sen seliter dan harga diesel sebanyak RM1 seliter amat tidak dijangkakan.

Di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2008 terpampang bahawa minyak hanya akan dinaikkan pada bulan Ogos 2008, maka berita pengumuman kenaikan harga minyak pada lewat petang hari yang sama sungguh di luar jangkaan.

Umumnya tidak boleh dinafikan harga pasaran minyak dunia naik mendadak. Nasihat Perdana Menteri agar rakyat mengubah cara hidup itu baik dan benar. Kita harus mengasimilasikan kehidupan agar terbiasa dengan ketiadaan elektrik dan gas.

Penduduk yang tidak langsung merasai kesan adalah penduduk kampung di pedalaman. Mereka ini hanya menggunakan air perigi dan air sungai, hidup berbekalkan api pelita, bergerak menggunakan basikal dan berkomunikasi hanya dengan jiran-jiran terdekat.

Kini penduduk bandar perlu berbelanja hanya perlu. Selain dengan kenaikan harga minyak pada hari ini, kerajaan akan menaikkan tarif elektrik pula pada 1 Julai.

Pada beberapa bulan yang lepas, harga makanan ruji rakyat Malaysia iaitu beras telah dinaikkan. Semuanya telah meningkat dan peningkatan harga-harga barang komoditi lain dijangka turut meningkat.

Beruntung di Malaysia, kerajaan tidak berhadapan dengan kerenah rakyat yang memeningkan. Di serata dunia, di Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Britain, Eropah, Indonesia dan lain-lain, rakyatnya melakukan mogok dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak.

Walaupun kita mengetahui tiada hasil akan perilaku sebegitu, namun ia akan memberi satu tekanan kepada kerajaan agar sentiasa memikirkan nasib rakyat kebanyakan.

Tetapi di Malaysia, rakyat menyambut kenaikan harga minyak dengan beratur panjang di stesen-stesen minyak untuk memenuhi tangki-tangki kenderaan mereka. Kayalah pengusaha stesen minyak kelmarin. Dan hari ini semakin kayalah mereka.

Dahulu, kerajaan sering kali membandingkan harga minyak tempatan dengan negara-negara jiran. Bahawa harga minyak tempatan jauh lebih murah dari harga minyak di negara-negara lain.

Walaupun harga barang-barang mentah mereka lebih mahal namun harga barang siap (finished good) mereka jauh lebih murah dari Malaysia.

Contohnya di Indonesia, memang benar harga petrol, gas dan tepung mereka lebih mahal dari Malaysia namun kebijaksanaan kerajaan mereka menyebabkan harga barang-barang diproses atau barang-barang siap mereka jauh lebih murah dari Malaysia seperti kereta, ubat gigi, makanan dalam tin, berus gigi, sabun mandi, meja, kerusi dan komputer.

Ini menunjukkan walaupun harga petrol mereka mahal, tetapi ia diimbal balik dengan murahnya harga-harga barangan gunaan pengguna.

Walhal di Malaysia, barangan siap sungguh mahal sekali, dicampur dengan kenaikan harga petrol kali ini dan kenaikan tarif elektrik pada Julai nanti, kehidupan di negara ini adalah mungkin di luar kemampuan rakyat jelata.

Kerajaan diharap dapat prihatin dengan situasi yang menimpa rakyat kebanyakan. Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan terdiri daripada jutawan, Datuk, Tan Sri, ahli-ahli korporat, putera-putera raja yang mungkin alah biasa tegal biasa dengan kenaikan 78 sen harga minyak.

Majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang terpaksa mempunyai dua atau tiga kerja untuk menampung sara hidup keluarga mereka.

Dengan kenaikan harga barang-barang mentah, diharap kerajaan berusaha menurunkan harga barang-barang siap agar dapat meringankan beban rakyat jelata.
Terfikir juga saya dengan harga minyak yang begitu tinggi sekarang, saya berbelah bagi sama ada untuk terus belajar lagi kerana berulang alik dari Segamat ke JB tentunya semakin mahal sekarang!

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...