Skip to main content

RM 1 juta

Komentar ini disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.


Insentif satu juta ringgit yang ditawarkan oleh kerajaan bagi menjayakan misi negara beraksi cemerlang dalam sukan Olimpik Beijing dilihat sebagai pembakar semangat atlet negara untuk melaksanakan impian meragut pingat emas pertama di temasya suka empat tahun sekali ini. sekian lama. Cukup terbakarkah semangat atlet kita?

Persoalan ini sengaja dibangkitkan justeru sebelum ini ganjaran setinggi RM160,00 pun tidak berupaya mengisi sebutir emas pun dalam kantung pingat kontinjen Olimpik negara empat tahun yang lalu.

Memang tidak dinafikan, manusia perlu didorong dan disuntik dengan motivasi untuk menjana semangat agar dapat bertindak lebih hebat dan cemerlang. Atlet yang berjuang untuk negara juga tidak terlepas dari keperluan ini. Insentif dalam bentuk wang ringgit walaupun dilihat sebagai pendorong semangat namun selalunya motivasi yang bersifat ekstrinsik begini tidak kekal lama kerana ia akan lenyap sekiranya ganjaran tidak diberikan secara konsisten.

Pakar psikologi berpendapat bahawa motivasi intrinsiklah yang sebenarnya diperlukan oleh seorang atlet dalam setiap penampilannya. Justeru motivasi intrinsik yang terbit dari dalam diri individu lebih bersifat tahan lama justeru ia bebas dari dipengaruhi oleh faktor dorongan dari luar yang dipenuhi pujian dan kebendaan. Saya melihat aspek yang menitikberatkan pembinaan motivasi dalaman inilah yang sewajarnya diberikan oleh perhatian sebagai acuan dalam melahirkan atlet negara yang kita harapkan menjulang nama negara.

Dalam hubungan ini, psikologi sukan perlu diperhebatkan dalam kerangka pembinaan atlet negara bermotivasi dalaman yang tinggi. Psikologi sukan, sebagai salah satu cabang dan bidang kajian baru dalam psikologi, sebenarnya amat diperlukan kerana ia mampu memberi impak positif dalam pembangunan fizikal dan juga mental para atlet.

Sekolah-sekolah sukan yang ada tentunya permulaan yang baik untuk melahirkan atlet yang kita idamkan. Difahamkan peningkatan mendadak negara China dalam sukan ada kaitannya dengan penekanan dalam aspek psikologi sukan ini. Dengan memahami secara jelas karakter dan sifat masyarakat China, proses melatih dan membina semangat juang di kalangan atletnya dikatakan menjadi lebih mudah. Tidak hairanlah juga China yang selama ini terpisah sekian lama dengan luar berjaya meraih keyakinan antarabangsa untuk menjadi tuan rumah olimpik tahun ini.

Selain daripada itu, secara logiknya harapan negara untuk merangkul pingat emas dalam Olimpik kali ini bukanlah sukar untuk direalisasikan. Apa yang perlu dilakukan oleh kontinjen Olimpik negara ialah memberi tumpuan kepada acara sukan yang sebenarnya kita mempunyai lebih peluang dan berpotensi besar untuk menang. Kita sebenarnya tahu di mana kekuatan dan kelemahan kita. Begitu juga saiz fizikal dan kemampuan orang kita. Sukan angkat berat tentunya bukan milik kita sekiranya saiz yang dijadikan ukuran. Begitu juga sukan bola keranjang yang mementingkan aspek ketinggian pemainnya.

Umum mengetahui bahawa prestasi pemain badminton negara di arena antarabangsa memang boleh dibanggakan. Walaupun berlaku turun naik namun secara keseluruhannya persembahan pemain kita dalam sukan ini sentiasa ada ruang untuk diperbaiki dan seterusnya dilonjakkan kemercu kecemerlangan. Bahawa pasukan badminton negara sebelum ini pernah menggondol pingat perak dan gangsa dalam sukan Olimpik, menjadi rangsangan cukup kuat untuk merangkul emas pula dalam sukan Olimpik kali ini. Segala kelemahan yang menjadi punca kepada kegagalan perlu ditelanjangkan dan tidak seharusnya menjadi duri dalam daging yang menjadi penghalang untuk mara meraih kemenangan.

Ibarat sebuah kilang yang mengeluarkan produk, dalam menghadapi persaingan yang semakin kompetitif, untuk terus unggul dan gah di pasaran, elemen “core competency” perlu diberikan perhatian. Contoh yang paling mudah – sekiranya Tiger Woods tiba-tiba berhasrat meninggalkan sukan golfnya dan beralih arah ke sukan tenis, adakah dia berkemungkinan mengungguli Grand Slams? Begitu juga misi mustahil Beckham untuk menjuarai sebarang
pertandingan dalam PGA Tour sekiranya dia berhijrah ke sukan golf!

Jadi, dalam usaha mencapai kemenangan bergaya dan berprestij dalam pertarungan kita di sukan Olimpik kali ini, kita sewajarnya perlu fokus dan iltizam kepada sukan badminton yang sebenarnya berpihak dan memberi kelebihan kepada negara. Sekiranya kita masih sibuk-sibuk dengan jenis sukan yang pelbagai rencamnya, hasilnya kita bagaikan “Jack of all trades but master of none”. Sukan badminton perlu sinonim dengan negara kita. Lupakan sukan yang menuntut kepada manipulasi fizikal sebaliknya tumpukan kepada sukan yang menuntut kepada percaturan minda dan mental yang strategis.

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...