Skip to main content

Melayu


Adakah rakyat negara ini, khususnya bangsa Melayu bersedia untuk menerima bukan Melayu sebagai Perdana Menteri (PM)?

Wajarkah kalau sampai masanya nanti, jawatan PM ini tidak lagi menjadi hak istimewa kaum Melayu semata-mata malah kaum lain pun berhak untuknya?

Inilah dua persoalan yang bermain di fikiran saya, apabila menyaksikan tindakan setengah-setengah pihak yang semakin lantang dan cabul mencabar ketuanan Melayu sejak akhir-akhir ini. Yang lebih mengharukan, orang Melayu sendiri turut terheret sama mempersoalkan malah cuba mencabar institusi raja-raja Melayu. Demi kuasa politik,segala yang menjadi hak dan perlu dipertahankan hendak digoyah begitu sahaja. Betullah, politik memang memungkinkan segalanya!
Walaupun perlembagaan tidak pernah menyatakan bahawa soal keturunan kaum menjadi syarat kelayakan untuk menjawat jawatan PM dan tidak ada menyebut bahawa cuma kaum Melayu sahaja yang berhak untuknya, ia tidak bermakna bahawa kaum bukan Melayu secara mudah boleh diberikan peluang untuk jawatan itu.

Soal sensitiviti orang Melayu yang menguasai tampuk pemerintahan negara ini sejak merdeka melalui pejuangan UMNO tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja.

Dasar perkongsian kuasa yang bermula dengan Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional (BN) yang diamalkan sewajarnya terus dihormati bilamana UMNO selaku parti terbesar dalam BN diberikan hak untuk jawatan PM. Sejak merdeka, sistem pemerintahan negara ini terus menyaksikan kelima-lima PM datangnya dari UMNO, parti yang mewakili sebahagian besar orang Melayu di negara ini. Sebagai sebuah negara yang majoritinya Melayu, rasanya amat wajar untuk memiliki seorang PM yang juga Melayu.

Saya kira kalau adalah satu-satunya negara di dunia ini yang PMnya orang Melayu, negara itu ialah Malaysia, jadi kalau PM ini pun hendak diberikan kepada bukan Melayu - di manakah kuasa dan ketuanan orang Melayu di dunia ini? Walaupun nadanya begitu keras dan berbau perkauman, tapi itulah hakikatnya yang perlu diakui oleh semua pihak yang cuba mencabar ketuanan Melayu.

Perjuangan bangsa Melayu belum lagi selesai. Kita masih memerlukan PM yang mampu membela nasib bangsa kita dalam bidang ekonomi, memperkasakan bangsa. Dan ini hanya boleh dilakukan secara tulus oleh PM Melayu. Dapatkah kita meletakkan harapan kepada seorang PM bukan Melayu untuk membela nasib kita andai sampai masanya nanti. Yang pasti bila tiba masanya nanti semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu akan dilayan sama rata, tiada lagi hak-hak istimewa yang pernah kita kecapi sebelum ini. Yang ada semua kaum akan dilayan atas dasar meritokrasi.

Sebagai orang Melayu yang selama ini begitu bergantung kepada hak-hak istemewa, sudahkah kita bersedia untuk bersaing dengan kaum-kaum lain tanpa berselindung disebalik pelbagai dasar yang menyebelahi kita selama ini? Sudah bersediakah kita untuk membiarkan anak-anak kita berjuang dengan kebolehannya sendiri menawan tempat di universiti tanpa bantuan kuota dan sebagainya? Sudah bersediakah kita memacu ke depan seiring dengan kaum-kaum lain dengan usaha sendiri tanpa subsidi dan tanpa biasiswa?

Hanya apabila orang Melayu sudah mampu untuk bangun sendiri tanpa bantuan dan sebarang hak keistimewaan kaum rasanya soal negara ini akan diterajui oleh PM bukan Melayu sebenarnya ibarat mimpi di siang hari dan masih jauh lagi sebelum menjadi kenyataan.

Selain dari soal sensitiviti orang Melayu yang perlu diambil kira, saya melihat soal polarisasi kaum yang masih lagi ketara juga tidak memungkinkan kita untuk melihat seorang PM lahir dari kaum bukan Melayu dalam tempoh yang terdekat ini.

Sehingga setiap orang dari kita dengan bangganya mengakui bahawa kami adalah bangsa Malaysia sebenarnya hasrat untuk melihat seorang PM bukan Melayu sebenarnya begitu jauh dari kenyataan. Kita lihat setiap kaum yang ada di negara ini masih tebal dengan amalan kebudayaan masing-masing malahan bahasa masing-masing.

Dalam bidang ekonomi kita masih lagi dicirikan dengan bentuk kegiatan yang diceburi.

Kita mungkin belum seperti Indonesia yang telah berjaya menjadi satu bangsa Indonesia hasil kekuatan Pancasilanya. Tidak kira apa keturunan mereka, semuanya berbangga mengatakan bahawa mereka berbangsa Indonesia. Nama-nama mereka tidak mencerminkan yang mereka itu sebenarnya kaum Cina, Melayu atau sebagainya.

Bagi kita orang-orang Malaysia, bila berada di luar negara cepat memperkenalkan diri sama ada saya bangsa Melayu, Malaysian Chinese dan sebagainya, bukannya bangsa Malaysia.

Walaupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan cuba meletakkan budaya orang Melayu sebagai teras kebudayaan nasional, namun sehingga kini masing-masing kaum terus ingin dilihat dengan jati dirinya yang tersendiri dan amalan budayanya sendiri.

Walaupun Dasar Pelajaran Kebangsaan menetapkan bahasa Melayu sebagai alat integrasi kaum melalui satu bahasa, namun realitinya kita masih lagi bercakap dengan pelbagai dialek dan bahasa.

Sebenarnya, banyak cabaran yang menanti di hadapan kita yang menyangkut soal sensitiviti kaum, kepelbagaian bahasa dan budaya setiap kaum yang perlu kita tangani secara bijaksana sebelum satu bentuk rupa bangsa Malaysia dapat direalisasikan dan seterusnya dicernakan di kalangan generasi muda hari ini.

Pena Tumpul - Tetap percaya di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...