Skip to main content

Samseng

Gejala salahlaku disiplin menghangatkan semula suhu sekolah setelah sejuk buat beberapa ketika. Isu ini pernah panas pada tahun 2000 dahulu dan saya pernah menulis tentangnya dalam Utusan Malaysia.

Bendung samseng pelajar daripada merebak
Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED

SETELAH kita digemparkan dengan beberapa insiden keganasan yang melibatkan para pelajar sekolah di sekitar awal 1997 yang lalu, kali ini kita dikejutkan lagi dengan masalah disiplin yang kian membimbangkan.
Nampaknya, masalah yang menghantui dunia pendidikan selama ini masih lagi belum dapat diselesaikan malah semakin parah dan mencemaskan.
Kajian yang memaparkan betapa sejumlah satu pertiga daripada sekolah-sekolah harian di negara ini terdedah kepada bahaya kegiatan samseng atau pun gengsterisme bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Ibarat api dalam sekam, jika dibiarkan marak tanpa kawalan sudah tentu bakal mengundang padah yang lebih buruk lagi. Walaupun Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Shukor Abdullah mengatakan bahawa gejala ini masih terkawal dan tidak membimbangkan, namun di satu sudut janganlah pula kita mengambil sikap menunggu sehingga keadaan sudah menjadi serius baru tindakan mahu diambil kerana dikhuatiri bila sampai ke peringkat itu kelak, segala-galanya mungkin sudah terlambat.
Janganlah kita dikatakan bila sudah terantuk baru nak terngadah! Kita seharusnya belajar daripada pengalaman yang telah lalu di mana masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar yang dahulunya dianggap kecil dan boleh dikawal akhirnya menjadi beban yang paling besar yang terpaksa ditanggung oleh negara sekarang.
Semuanya berpunca dari sikap kurang prihatin kita dalam menangani permasalahan yang timbul di samping terlalu mudah percaya kepada angka-angka yang kadang-kadang tidak selalunya menggambarkan realiti yang sebenarnya. Kajian yang dijalankan selama enam bulan bermula Disember 1998 itu, pastinya ekoran daripada beberapa insiden samseng yang melibatkan pelajar sekolah sekitar awal 1997.
Tentunya kita masih ingat lagi betapa dalam bulan Februari 1997, kita telah digemparkan dengan beberapa siri salah laku yang melibatkan pelajar seperti pembunuhan, pengedaran dan penagihan dadah, rogol, memukul guru, menonton video lucah dan sebagainya.
Setelah lebih kurang dua tahun berlalu, apakah kita cuma mampu setakat mendakwa bahawa masalah samseng tidaklah begitu serius seperti yang digembar gemburkan khususnya oleh pihak media?
Apa sudah jadi dengan jawatankuasa kabinet yang dibentuk khas melibatkan tujuh kementerian bagi menangani masalah yang wujud ketika itu? Sudahkah ia menggerakkan program yang telah dirancang dulu - program keibubapaan untuk ibu bapa, Briged Putera dan kerahan tenaga untuk remaja? Adakah program itu berjaya membendung masalah disiplin di kalangan pelajar remaja? Bagaimana pula dengan kuasa polis tambahan atau Auxiliary Police Power (AP) yang diberikan kepada guru disiplin sekolah dalam usaha membendung masalah disiplin di kalangan pelajar - sudahkah ia dilaksanakan?
Begitu juga dengan peruntukan Akta Juvana 1972 yang membolehkan bon dikenakan terhadap ibu bapa jika anak-anak mereka terus melakukan kesalahan- sudahkah ia dikuatkuasakan dan sejauh manakah keberkesanannya? Apakah tindakan kita selama ini?
Kita sepatutnya bertindak sebaik-baik sahaja Perdana Menteri sendiri sudah mengatakan bahawa masalah disiplin ini sebenarnya sudah berada di tahap kritikal dan perlu dibendung segera.
Malangnya pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya Kementerian Pendidikan, sekolah dan juga ibu bapa lebih suka mengambil sikap berdiam diri tanpa berusaha memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah yang konkrit bagi menghambat masalah ini.
Setiap pihak cenderung menyalahkan satu sama lain. Akibatnya, masalah disiplin terus menjadi serius bila mana kajian menunjukkan ada pelajar yang terlibat dalam pesta seks dan sebagainya!
Dalam menangani masalah ini, peranan semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan, sekolah, guru dan ibu bapa amat perlu sekali digemblengkan.
Ketepikan buat sementara sikap suka menuding jari kepada pihak-pihak tertentu kerana ia tidak akan membawa kepada sebarang penyelesaian. Apa yang diperlukan sekarang ialah pihak-pihak yang terbabit perlu duduk bersama-sama di meja rundingan mencari punca masalah dan jalan penyelesaiannya.
Setiap pihak perlu merenung kembali peranan masing-masing dan sumbangan yang dapat mereka berikan untuk membendung masalah ini.
Sikap setengah ibu bapa yang lebih mementingkan materialistik dan kurang memberikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka di rumah sudah acap kali diperkatakan sebagai salah satu punca kepada kebobrokan disiplin pelajar dan bukan lagi suatu isu yang baru. Setiap kali masalah yang membabitkan pelajar timbul, golongan ibu bapa pasti menjadi sasaran. Namun itulah hakikat yang harus diterima oleh ibu bapa di zaman moden ini.
Tidak dapat tidak mereka perlu akur dengan kenyataan bahawa pembentukan akhlak serta moral yang baik perlu disemai dan dipupuk dari rumah lagi.
Malangnya melihat senario masa kini, ibu bapa nampaknya lebih leka dengan pembangunan ekonomi sehingga melupakan soal pembangunan insan yang bertunjangkan agama dan menitikberatkan nilai-nilai murni. Soal memberi didikan agama dan rohani kepada anak-anak semakin diabaikan oleh ibu bapa di zaman moden ini. Tidak dapat dinafikan mana-mana agama pun sentiasa menitikberatkan penerapan nilai-nilai murni yang rata-rata menghendaki penganutnya menjadi baik - soalnya adakah ibu bapa mengambil berat tentang perkara ini?

Masalah disiplin yang lebih menjurus di kawasan bandar memberi gambaran kepada kita bahawa institusi keluarganya telah semakin rapuh di mana ibu bapa mereka lebih sibuk dengan urusan mencari kemewahan dunia dan tidak mempunyai masa langsung untuk bermesra dan berlipur dengan anak-anak. Anak -anak selalunya akan dibiarkan tinggal bersendirian di rumah tanpa pengawasan dan peluang yang ada ini selalunya akan mereka gunakan untuk memenuhi gelodak dan runtunan nafsu remaja mereka seperti menonton filem-filem lucah dengan rakan-rakan sebaya mereka. Oleh itu, tidaklah menghairankan kita di peringkat usia muda begitu sudah ada pelajar yang terjebak dalam perlakuan seks seperti bersekedudukan dan merogol. Jangan terperanjat kalau dalam beg anak-anak kita kini terdapat kondom selain daripada buku-buku sekolah mereka!
Dalam keadaan sekarang yang dipengaruhi oleh Internet, peranan ibu bapa sudah tentunya lebih berat lagi kerana anak-anak kini sudah mula berjinak dengan internet dan banyak menghabiskan masa di cybercafe dan mempunyai peluang yang seluas-luasnya untuk melayari laman-laman yang tidak sepatutnya mereka layari. Pendeknya anak-anak remaja sekarang kian terdedah dengan pelbagai bahan negatif yang berunsurkan seks yang boleh merosakkan minda mereka dan sekali gus menjerumuskan mereka ke dalam perlakuan-perlakuan yang tidak sihat.
Pendedahan yang dibuat oleh Majlis Belia Malaysia tidak lama dulu bahawa terdapat segelintir pelajar pusat pengajian tinggi yang menggunakan Internet sebagai saluran untuk mengiklankan khidmat berbayar seks mereka, merupakan satu petanda ancaman Internet kepada anak-anak remaja masa kini.
Tidak mustahil, gejala ini akan menular di kalangan pelajar sekolah sekiranya ibu bapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga dari sekarang bagi mengawal anak mereka dari terjebak sama. Saluran yang begitu popular dikalangan pengguna internet khususnya golongan pelajar yang masih muda remaja kadangkala di jadikan medan untuk mereka menghamburkan perkataan-perkataan yang berunsur lucah yang akhirnya membawa kepada perlakuan-perlakuan seks yang tidak diingini.
Di negara maju seperti Amerika sudah berlaku kejadian anak yang membunuh ibunya sendiri kerana geram dengan tindakan ibunya memutuskan talian telefon justeru kecewa dengan bil telefon yang mencecah ribuan ringgit gara-gara si anak yang menghabiskan masa berjam-jam bersembang di Internet! Tidakkah ia mustahil untuk berlaku di sini satu hari nanti? Tepok dada tanya selera. Namun, kalau dilihat kepada keadaan sekarang, tidak ada yang mustahil untuk berlaku.
Sikap sesetengah ibu bapa yang begitu memberi kebebasan kepada anak mereka sebenarnya memberi ruang yang cukup luas untuk menggalakkan gejala ini berlaku. Selain daripada sikap ibubapa, kadangkala sekolah juga bertanggungjawab dalam menyuburkan kegiatan salah laku di kalangan pelajar. Pendedahan yang dibuat oleh NUTP bahawa terdapat setengah-tengah pengetua yang cuba menyembunyikan gejala ini amat memeranjatkan kita dan tidak seharusnya berlaku.
Ada sekolah yang seboleh-bolehnya mahu memaparkan imej yang bersih semata-mata, walau pun realitinya tidak sedemikian. Segala bentuk kepincangan akan disapu bersih-bersih dan disorokkan di bawah tikar atas alasan menjaga kredibiliti pengetua sebagai pemimpin. Pengetua berkenaan bimbang jika kes-kes salah laku pelajar itu dilaporkan kepada pihak atasan, nama sekolah mereka akan disenaraihitamkan dan peluang mereka untuk naik pangkat atau naik gaji akan terjejas.
Sampai bila gejala ini harus dibiarkan berlaku, kerana lambat laun perkara ini akan terbongkar juga dan kesannya tentu akan lebih teruk lagi. Dan, bila ini berlaku, segalanya mungkin sudah terlambat, disiplin sekolah mungkin sudah pun berada di tahap yang amat parah dan imej sekolah di mata orang ramai akan turut terjejas.
Peningkatan cadangan NUTP supaya pengetua-pengetua seperti ini disingkirkan dari jawatannya walau pun bernada agak keras, namun dalam banyak hal banyak membantu kepada peningkatan disiplin sesebuah sekolah. Nampaknya Kementerian Pendidikan meyambut baik cadangan itu dengan memberi amaran bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pengetua yang didapati cuba menyembunyikan tentang wujudnya kegiatan samseng di sekolah mereka. Pengetua-pengetua sekarang perlu lebih praktikal dan bersikap terbuka dalam menangani masalah disiplin ini dan tidak terbawa-bawa dengan budaya bahawa segalanya dalam keadaan baik.
Di samping itu, PIBG pula seharusnya dijadikan jambatan yang paling berkesan untuk mewujudkan hubungan yang erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Peranan sekolah sebagai institusi masyarakat atau memasyarakatkan sekolah perlu diperhebatkan supaya wujud rangkaian kerjasama yang padu antara sekolah dan masyarakat dalam mengatur sebarang program, langkah dan tindakan yang sesuai untuk kesejahteraan anak-anak mereka.
Biro khas untuk menangani masalah disiplin misalnya, boleh dibentuk di kalangan ibu bapa. Sebagai contoh, terdapat sebuah sekolah di rancangan Felda yang mempunyai skuad pelempang yang di anggotai oleh kalangan ibu bapa sendiri di mana tugasnya untuk menangkap dan seterusnya melempang pelajar-pelajar yang ponteng sekolah dan melakukan segala bentuk salah laku disiplin. Daripada maklum balas yang didapati, usaha ini sedikit sebanyak telah berupaya membendung gejala ponteng sekolah yang begitu berleluasa di sekolah tersebut.
Sebenarnya, banyak lagi usaha-usaha yang boleh difikirkan dan dilaksanakan oleh pihak guru dan ibu bapa untuk kebaikan dan faedah para pelajar. Dengan sokongan ibu bapa dan PIBG sekolah mungkin boleh menyediakan kemudahan rekreasi dan padang atau gelanggang permainan bagi mengelakkan pelajar dari menghabiskan masa mereka dengan berlepak di tempat-tempat yang tidak berfaedah dan bercampur pula dengan mereka yang rosak akhlaknya.
Sekiranya berkemampuan, sekolah juga boleh menyediakan kemudahan komputer yang dilengkapkan dengan Internet untuk para pelajar di bawah pengawasan guru-guru sendiri. Langkah ini tentunya akan sedikit sebanyak membendung para pelajar daripada mengunjungi cybercafe yang sejak akhir-akhir ini menjadi tempat bermulanya unsur-unsur yang tidak sihat seperti perjudian, pergaulan bebas dan sebagainya.
Tidak kurang pentingnya juga, kita mengharapkan ibu bapa akan lebih bersikap terbuka dalam menangani masalah disiplin di kalangan anak mereka. Kita dapati ada ibu bapa yang secara melulu cuba menyalahkan pihak sekolah ataupun guru sekiranya anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin. Ada kalangan ibu bapa yang cepat melenting dan cuba mengheret guru ke mahkamah sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap anak mereka.
Apa yang penting sekarang semua pihak perlu berganding bahu melaksanakan segala bentuk tindakan yang telah dirangka sebelum segala-galanya menjadi parah.
Lupakan kepentingan peribadi buat seketika kerana masa depan negara banyak bergantung kepada corak pelajar yang kita bentuk pada masa ini. Tersilap langkap bakal mengundang padah dan sesal yang berpanjangan.

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w