Wednesday, August 31, 2011

Sampah

"Ada di kalangan orang sekeliling kita yang boleh disifatkan bagai lori sampah"

Melampaunya kenyataan di atas. Amat keterlaluan melihat orang di sekeliling kita sampai begitu. Saya ingin berkongsi apa yang saya dengar lewat corong radio awal pagi ini. Saya belajar sesuatu yang amat berharga dalam mendepani pelbagai ragam manusia yang menggugah hati, perasaan dan tindakan kita.

Secara sedar atau tidak hampir saban hari kita berdepan dengan aneka jenis manusia dan kita adakalanya membiarkan mereka wewenangnya mempengaruhi perasaan kita. Pemandu yang biadab, pelayan kedai makan yang kurang sopan, majikan yang menjengkilkan atau pun rakan sekerja yang menyerabutkan kepala adalah sebilangan yang berperanan mencalarkan keceriaan hidup kita.

Bagaimana timbulnya kisah lori sampah ini. Ia tentang seorang pemandu teksi yang membawa seorang penumpang di tengah kesibukan kota Kuala Lumpur. Dalam kesesakan menuju ke destinasi, tiba-tiba terpacul sebuah kereta keluar dari tempat letak kereta. Pemandu teksi panik dan sedikit terbabas malah nyaris-nyaris menghentam belakang kereta itu.

Pemandu teksi tidak kata apa-apa pun walaupun jelas itu memang salahnya. Ironisnya, pemandu kereta itu yang terus mengalihkan pandangannya kepada pemandu teksi dan menghamburkan kata-kata kesat.
Menarik dan anehnya juga, pemandu teksi tersenyum lebar dan mengangkat tangan kepada pemandu yang biadab itu. 

Penumpang hairan lalu bertanya. "Awak boleh senyum aja, sedangkan sudah jelas memang salah dia yang hampir-hampir mencetuskan kemalangan tadi  dan sempat pula bersikap kurang ajar pada awak, kenapa?

Pemandu itu berkata, "Orang-orang di sekelilling kita tidak ubah bagai lori sampah yang penuh dengan pelbagai sampah.Mereka membawa lori sampah ini ke mana-mana. Mereka disaluti kekecewaan, rasa marah, rasa putus asa dan macam-macam lagi. Bila sampah-sampah ini sudah cukup penuh, mereka perlukan tempat untuk mencampakkannya. Dan kalau kita membenarkan mereka menghumbannya pada kita. Jangan ambil pusing dengan sampah-sampah ini. Sebaliknya, kita senyum, doakan kesejahteraan mereka dan beredar. Percayalah kita akan rasa senang dan tenteram.

Ada benarnya. Sudah acapkali saya berdepan dengan lori sampah ini. Saya membiarkan lori sampah ini mengotori rasa, akal dan tindakan saya.

Saya tidak akan membiarkan ia melakukannya lagi selepas ini!

Pena Tumpul - Ingin lihat imej baru lori sampah

Sunday, August 28, 2011

Kekasih


Ketika Ramadan melabuhkan tirainya senja tadi, hati dijentik rasa sayu. Begitulah yang dialami setiap kali Ramadan pergi. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa di mana sifat Pemurah dan Penerima Taubat Allah itu berlipat ganda. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat di mana bala syaitan itu digari. Masakan tidak sedih berpisah dengan saat pintu syurga dibuka seluasnya, dan pintu neraka itu ditutup serapatnya. Masakan tidak sedih berpisah dengan tempoh masa khusus untuk melahirkan generasi bertaqwa, berasaskan kepada hidayah al-Quran. Semua ganjaran ini, hanya ditawarkan terhad sepanjang Ramadhan sahaja dan tidak akan kita temui dan perolehi di bulan-bulan yang lain. .

Alhamdulillah, kita berjaya juga melalui bulan Ramadhan tahun ini. Yang paling penting ialah semoga setiap amalan kita diterima Allah dan dijadikan pemberat amal di akhirat nanti. Amat saya takuti kalau  tergolong dalam golongan yang rugi kerana tidak diampunkan dosa walaupun telah menjalani bulan Ramadhan sebagaimana yang telah diungkapkan dalam hadis baginda Nabi yang bermaksud,

“Rugi dan celakalah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”

Momentum yang dicerna di bulan Ramadan perlu terus diperkasa pada bulan-bulan yang mendatang.   Ramadhan hadir sebagai madrasah, mendidik jiwa kita agar lebih bertaqwa, menekan gelojak nafsu agar tidak bermaharajalela, melatih diri melazimi tilawah al-quran dan memotivasikan semangat mencari redha Allah.

Di masjid tadi seusai takbir kelihatan wajah-wajah sedih mengiringi pemergian Ramadan yang hanya akan menjengah setahun lagi. 

Pena Tumpul - Kekasihku, hadirmu dinanti pemergianmu ditangisi




Bising

Baru sehari hujan turun namun sang kodok sudah mula bising-bising. Pastinya ia bersyukur kerana setelah beberapa hari panas terik membakar, bumi dibasahi hujan. Memang kodok cukup seronok kalau hujan turun dan kalau boleh mahu hujan terus turun tanpa henti.

Hafiz yang baru berusia sembilan tahun merasakan dirinya terganggu oleh bunyi kodok yang bersahutan awal subuh tadi. Bunyi bising kodok itu menggangu tidornya. Saya beritau, dia tidak boleh kata begitu. Seperti juga manusia, kodok sebagai makhluk ciptaan Tuhan juga memuji Tuhan dan mengucapkan terima kasih atas nikmat hujan yang diturunkan. Hafiz akur dengan penjelasan saya dan berjanji tidak akan marah-marah kodok lagi. Saya lihat dia menyambung tidornya dalam kedinginan pagi yang cukup menyamankan. Anak kecil seperti ini memang perlu diberitahu.

Namun ada cerita yang lebih mencuit hati fasal kodok ini. Ia diceritakan oleh seorang pakar motivasi ketika saya menghadiri kursus yang dikendalikannya tidak lama dulu. Kisah seorang petani yang datang ke bandar lalu menemui seorang pengusaha restoran dan bertanya sama ada restorannya memerlukan bekalan kaki-kaki katak yang tidak terhingga banyaknya. Dia mampu menyediakannya.

Pengusaha restoran terkejut dan bertanya kepada petani itu dari mana dia boleh dapat kaki-kaki kodok yang sebegitu banyak.

Petani itu berkata, "Ada sebuah kolam dekat rumah saya yang saya yakin dipenuhi dengan berjuta-juta kodok. Hampir setiap malam kodok-kodok ini membuat bising bersahutan sesama sendiri. Saya tak tahan lagi dengan bunyi yang memekakkan telinga ini!

Pengusaha restoran bersetuju dengan tawaran petani itu dan mengikat perjanjian bahawa petani itu perlu menyediakan sejumlah 500 ekor kodok setiap hari untuk beberapa minggu berikutnya. Pada minggu pertama yang telah dijanjikan, petani datang dengan wajah layu dan cuma membawa dua ekor kodok dan bukan 500.

Pengusaha restoran hairan dengan apa yang dilihatnya dan bertanya kenapa cuma dua ekor kodok sahaja yang dibawa. Petani itu berkata, " Saya silap perhitungan. Rupa-rupanya ada dua ekor kodok ini sahaja dalam kolam itu. Tetapi bisingnya bagaikan datang daripada berjuta-juta ekor kodok!

Begitulah juga kita dalam hidup ini. Adakalanya kita mudah melenting dan bingkas bila ada orang yang buat bising tidak tentu fasal dengan kita. Namun sebenarnya ia tidak ubah bagai bunyi kodok yang buat bising itu. Bunyi saja yang riuh rendah. Adakalanya juga sesuatu itu nampak macam besar sangat bila dalam gelap. Bila kita meletakkan kepala kita di atas bantal misalnya, segala masalah akan sentiasa dirasakan besar dan rumit. Namun bila kita bangun keesokan harinya, di waktu pagi yang cerah ia tidak lebih cuma sekelumit masalah atau bukan sebenarnya masalah pun!


Kita sering tertipu dalam kegelapan dan bunyi yang gah!


Pena Tumpul - Masih kurang jelas beza katak dengan kodok

Saturday, August 27, 2011

Khatam

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya(pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa alif laam miim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf"
 direkodkan oleh Tarmizi


Pemurahnya Allah kepada hambaNya. Saya tidak mahu terlepas merebut tawaran Allah ini.  Akhirnya dengan izin Allah saya khatam AlQuran tepat jam 4 petang hari ini. Syukur yang tidak terhingga kepadaNya kerana Ramadan kali ini diberi kekuatan untuk membaca seluruh isi kandungan AlQuran. Secara kebetulan masjid menganjurkan majils tahlil dan khatam alQuran yang biasa diadakan setiap penghujung Ramadan. Saya merasakan majlis itu diadakan khas untuk saya. Maha Suci Allah. Bersama-sama dengan empat yang lain termasuk Imam Masjid Kampung Gudang Garam yang juga bapa mentua saya, Hisham, Zakaria dan Faruq kami memimpin majlis ini.

Saya melihat puasa sebagai satu proses persediaan untuk kita kembali kepada alQuran. Tidak dinafikan ketika berpuasa, kita rasa lebih dekat dan gembira dengan al-Quran. Itu yang saya rasa. Anggota badan terasa lebih ringan untuk berinteraksi dengan al-Quran. Khatam alQuran baru di pusingan pertama.

Momentum perlu dikekalkan untuk masuk pula ke pusingan yang kedua dan ketiga. Pada saya khatam al-Quran tanpa memahami makna dan isi kandungannya tidak memberi impak yang mendalam pada jiwa yang membaca. Isinya perlu difahami. Inilah yang sedang saya lakukan di pusingan kedua. Usai pusingan kedua saya berusaha untuk tidak  memahami sekadar makna setiap ayat al-Quran kerana ada yang lebih penting lagi daripada itu iaitu meneliti, memahami dan mendalami Al-Quran. Pusingan ketiga ialah pusingan untuk tadabbur. Juga mengetahui asbabul nuzul (sebab diturunkan sesuatu ayat itu) di samping mennyingkap kisah-kisah pengajaran di dalamnya.

Seperti kata seorang Ustaz ketika berbicara lewat TV9, martabat al-Quran tidak sangat terletak pada kemerduan bacaan, taranum dan tajwidnya tetapi sejauh mana kita memahami mesej yang terkandung di dalamnya dan sekaligus menjadikannya sebagai panduan hidup dalam mencari redaNya.

Pena Tumpul - Ulama dahulu khatam sehari sekali, mampukah kita?








.


Thursday, August 25, 2011

Pensil

Hafiz yang berumur lima tahun amat kerap mengasah pensilnya. Gurunya membekalkannya dengan latihan tulisan hampir setiap hari. Petang ini bila saya ke rumahnya, dia cukup tekun menulis huruf-huruf dengan pensilnya. Sesampai saja saya di rumahnya, dia tidak tunggu lama tetapi terus menunjukkan pensilnya minta diasah. Pensilnya memang cukup dompok masa itu. Semua pensil yang dia ada memang tidak berasah pun. Mungkin emak dan ayahnya sibuk sehingga tidak terlayan kerenahnya. Banyaknya pensil-pensil kontot yang masih disimpan dalam kotak pensilnya.


Sambil mengasah pensil saya beritau Hafiz bahawa hidup ini juga macam pensil. Pensil bukan sekadar pensil yang kita lihat itu sahaja. Ia bergantung bagaimana kita melihat pensil ini. Pensil ini mempunyai beberapa nilai baikyang boleh kita pelajari daripadanya.

Bila kita mengasah pensil misalnya, bayangkanlah betapa rautan dek pisau yang tajam akan membuat si pensil menderita. Tapi setelah proses meraut selesai, si pensil akan mendapatkan ketajamannya kembali. Begitu juga dengan hidup kita, dalam hidup ini kita harus berani menerima penderitaan dan kesusahan ia menjadi baja atau sebab untuk diri kita menjadi lebih baik.

Pensil juga mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan membetulkan tulisan ini semula. Begitulah juga dalam hidup, setiap kesalahan yang kita lakukan kita sentiasa diberi peluang untuk membetulkan kesalahan ini. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan kita sentiasa berada di jalan yang benar. 

Pensil usai di asah dan Hafiz menulis semula!


Pena Tumpul- Selalu hilang pensil semasa sekolah rendah dulu



Monday, August 22, 2011

Palsu

Mulai solat Asar hari ini saya cuba menahan diri saya untuk tidak menyapu muka lagi selepas memberi salam. Saya sendiri tidak pernah ingin bertanya kenapa solat perlu disudahi dengan menyapu muka. Cuma yang saya tahu kerana saya melihat majoriti yang dilihat bersolat menyapu muka seusai sahaja memberi salam. Lalu saya juga melakukannya sejak saya mula bersolat dulu tanpa ragu pun. Ikut apa yang orang buat. Itulah silapnya kita.

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila selesai solatnya, baginda s.a.w menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya kemudian baginda berkata: Dengan nama Allah yang tiadalah Tuhan melainkan Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani . Ya Allah, hindarkan daripadaku kedukaan dan kesedihan “

Hadis di atas dikategorikan sebagai hadis lemah dan sekaligus tidak boleh diterima apatah lagi dijadikan sandaran dalam melakukan satu ibadah seperti solat ini. Lantas tidak ada sebab mengapa kita perlu menyapu muka sedangkan ia bukan sunnah Nabi pun. Dan umum mengetahui bahawa solat itu ialah "beberapa perkataan dan perbuatan tertentu yang dilakukan pada waktu tertentu dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam" Bukan dengan menyapu muka.

Buku ini memang cukup menarik untuk dibaca. Ada hadis yang selama ini kita anggap sahih rupanya lemah dan palsu tarafnya. Antara yang dibincangkan dalam buku yang memuatkan 40 hadis palsu populat ini ialah Menuntut Ilmu Hingga Ke China, Kelebihan Solat Tarawih, Amalan Khas Nisfu Syaaban dan beberapa lagi.Memang menarik kupasannya.

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul!

Pena Tumpul - Semakin banyak kita tahu, semakin kita kenal kebodohan kita
























Sunday, August 21, 2011

Ambulan






Umum mengetahui bahawa ambulan dipandu atas jalan raya dengan satu misi yang cukup murni. Misi membawa pesakit yang perlu dikejarkan segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Misi yang mempertaruhkan antara hidup dan mati. Pemandu kenderaan ini diberikan amanah yang cukup berat untuk melaksanakan tugas ini.

Pengetahuan dan kepercayaan bahawa ambulan perlu dilayan sebagai "raja" di jalan raya adalah sesuatu yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Dalam keadaan sesak mana sekali pun seboleh mungkin kita sebagai pemandu perlu bergerak ke bahu jalan untuk memberi laluan supaya kenderaan yang sedang dipandu dalam keadaan kecemasan ini boleh melungsur laju tanpa halangan. Kesedaran bahawa ada pesakit yang perlu dibawa segera ke hospital menerbitkan tindakan para pemandu lain untuk beralah tanpa paksaan pun. Benar adalah satu kesalahan untuk menyekat laluan ambulan, bomba, polis dan sebagainya, namun saya kira bukan faktor ini yang sangat mendorong mengapa pemandu bertindak memberi laluan kepada kenderaan bersiren ini.

Namun kepercayaan saya dirobek dan disiat pagi ini. Saya dalam perjalanan ke Melaka. Apa yang saya alami mungkin perlakuan yang amat terpencil namun sedikit sebanyak ia bakal meninggalkan titik hitam pada kenderaan ini. Saya dan beberapa pemandu yang lain memberi laluan kepada sebuah ambulan. Saya percaya dan yang lain juga percaya ada pesakit yang perlu diberikan bantuan segera, lantas jangan digendalakan perjalanannya. Saya akur kerana saya tidak pernah gagal melakukannya sebelum ini.

Selang beberapa minit saya melihat kenderaan ini di sebuah warong tepi jalan. Saya harap apa yang saya lihat cuma berlaku sekali dalam sejuta!

Pena Tumpul - Teringat cerita seorang budak gembala kambing yang membohongi orang kampung dengan seekor harimau yang ingin membaham kambing-kambingnya






Saturday, August 20, 2011

Gelap



Kira-kira 20 minit menghampiri waktu berbuka puasa semalam, tiba-tiba lampu yang sedang menyala terpadam manakala kipas yang sedang ligat berputar terhenti. Adakah litar pintas berlaku? Saya memeriksa panel suis utama dan mendapati tiada sebarang tanda litar pintas. Namun sebelum itu, kilat sabung menyabung di iringi dengan dentuman petir. Saya pantas membuat kesimpulan pasti ada pokok yang tumbang dan menimpa talian letrik lalu menyebabkan litar pintas.

Seluruh Kampung Gudang Garam bergelap. Saya berharap keajaiban berlaku untuk melihat bekalan elektrik dipulihkan sesegera mungkin. Saya mula menyelongkar seisi rumah mencari lilin. Sumber cahaya alternatif ini gagal ditemui. Pilihan terakhir yang ada ialah sumber cahaya yang amat minimum dari telefon bimbit yang baru saya beli sebulan yang lalu. Sebuah telefon bimbit yang paling murah tidak sampai pun RM70 memberi sinar untuk saya dan keluarga berbuka puasa. Satu tamparan untuk isteri yang punya telefon jauh lebih mahal. Moralnya jangan pandang rendah apa pun yang murah!

Yang pasti masjid kampung juga gelap. Saya mengambil keputusan berhijrah ke masjid berhampiran dan yang terlintas di fikiran Masjid Lubuk Batu. Imamnya seorang hafiz. Hasrat tidak kesampaian. Seluruh Mukim Gemereh bergelap. Lantas saya ke masjid Jame' Bandar Segamat.

Saya difahamkan bahawa Kampung Kuala Paya terjejas teruk. Beberapa buah rumah musnah dilanda angin kencang. Ada atap yang berterbangan. Ada juga yang melendut di bantai angin.

Begitu kebesaran Tuhan yang mentadbirkan alam ini. Segala yang berlaku atas kudrat dan iradatNya.

Israfil belum meniupkan sengkakala lagi, ini baru sedikit!

Pena Tumpul - Meneliti  surah Al-Takwir








Friday, August 19, 2011

Perang

Rumput di laman makin panjang. Kemuncup juga sama naik. Memotong rumput yang tumbuh meliar sekeliling rumah adalah tugas rutin saya setiap dua minggu. Saya lebih suka melakukan kerja ini sendiri daripada mengupah orang lain melakukannya. Pada saya, kerja yang boleh dibuat sendiri akan saya seboleh mungkin saya berusaha membuatnya.

Petang ini saya menyuarakan hasrat untuk memotong rumput. Tidak seperti selalu, kali ini hasrat saya dibantah keras bukan sahaja oleh isteri tapi Haziq juga. Alasannya mudah. Di bulan puasa ini adalah bukan langkah bijak untuk melakukan kerja ini. Saya pasti akan dipanah matahari yang membahang. Saya akan mudah penat dalam keadaan berpuasa sekarang. Saya juga akan haus dan akhirnya akan terdampar keletihan nanti.

Saya faham mereka tidak mahu lihat saya letih nanti. Namun saya menolak alasan itu. Menjadikan ibadat puasa sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu kerja yang mengundang keletihan tidak dapat saya terima langsung. Saya selalu percaya Tuhan sentiasa tahu dan sedar akan kemampuan hamba yang diciptaNya. Lagi pun memotong rumput bukanlah berat sangat pun kalau hendak dibandingkan dengan kerja-kerja lain yang ada jauh lebih berat dan lebih meletihkan. Bagaimana dengan mereka yang bergantung rezeki  dengan membelasah tulang empat kerat di bawah panas terik matahari? Tidak puasakah mereka? Perlukah mereka mengorbankan puasa mereka? Saya tidak fikir begitu.

Kalau saya cuba membandingkan bagaimana tentera yang dipimpin Nabi Muhammad boleh berjuang di medan perang  Badar ketika berpuasa dilihat tidak adil namun itulah hakikatnya. Puasa tidak wajar dijadikan alasan untuk kita "merehatkan" diri kita.

Saya cuma berperang dengan rumput-rumput sahaja dan tidak hebat mana pun!

Pena Tumpul - Perang nafsu itulah yang lebih sukar lagi














Thursday, August 18, 2011

Hamba

"Jangan kamu menjadi  hamba Ramadhan semata-mata, jadilah hamba Allah yang ikhlas mencari keredhaanNya dalam Ramadhan”

Itu pesan Yusuff Al-Qardhawi. Saya mendengarnya dilontarkan oleh seorang Ustaz lewat corong radio pagi ini. Secara jujur saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Ia satu peringatan yang amat baik untuk saya melihat dan menilai ibadat puasa saya. Saya tidak mahu dan cukup takut andainya tergolong sebagai hamba begini.

Kata Ustaz, walaupun banyak kita baca al-Quran, itu belum tanda kita sudah berjaya. Bulan Ramadan memang kita kerap ke masjid untuk solat Tarawih, itu juga bukan tanda kita sudah berjaya.  Begitu juga banyaknya sedekah yang kita hamburkan di bulan Ramadan ini, itu bukan tandanya kita sudah jadi pemurah.

Kenapa begitu? Tidak cukup baik dan sempurnakah amalan kita? Apa kurangnya lagi?  Sebabnya ialah kerana Ramadan adalah bulan “latihan.” Kejayaan sesuatu kursus bukannya di tempat kursus tetapi ukurannya ialah selepas selesai kursus. Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan puasa tetapi  11 bulan selepas Ramadan.

Kerana ada orang sepanjang Ramadan ke surau dan masjid setiap malam tetapi selesai Ramadan, dia tidak ke masjid dan surau, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah. Jika Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, tidak baca-baca lagi al-Quran, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah.

Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah.

Puasa dan Tarawih kita, bacaan al-Quran kita juga sepatutnya berjaya menggugah hati kita yang degil dan keras ini, manakala sedekah kita menjadi perisai daripada bahaya dan musibah.

Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid dan surau bukan ikut selera kita atau tengok ramai orang pergi kita pun pergi tetapi bila orang mula tidak pergi lagi ke masjid kita hilang semangat.

Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa pada satu bulan sahaja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hanya hidup 30 hari setahun? Mereka sama juga macam kita hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula.

Di garisan penamat Ramadan, pecutan kita perlu lebih laju untuk melangsar jauh ke depan!

Pena Tumpul - Menghimpun kekuatan

Tuesday, August 16, 2011

Bonceng

Kegiatan 'boncengan gratis' hakis kesarjanaan dan hikmah universiti


Universiti di Malaysia kehilangan hikmah. Akhir-akhir ini kita lihat universiti merestui 'pemboncengan gratis' di kalangan ahli akademik. Jika tidak membonceng dalam kegiatan penyelidikan dan penerbitan, mereka dianggap sebagai tidak normal.
Tiba-tiba kita terlihat banyak nama yang menulis pada sesuatu karya. Perkara itu tidak salah. Tetapi jika nama-nama itu tidak ada kaitan intelektual dengan bidang atau tema yang dibincangkan, bagaimana kita mengukur hasilnya?

Walaupun kajian dan penulisan antara disiplin digalakkan, perlu ada teguran jika ia disalahgunakan. Ramai ahli universiti yang telah salah tafsir konsep dan falsafah penglibatan kepelbagaian disiplin dalam sesuatu projek kajian.
Jika nama-nama itu hanya dikenali dengan kepakaran bahasa dan kemungkinan besar hanya menyunting sesuatu hasil penulisan, apakah namanya layak berkampung sekali?

Kadang-kadang, seseorang ketua jabatan itu meminta namanya diletakkan sebagai penulis bersama kepada penulisan yang tidak ada kaitan dengan bidangnya.
Asalkan tindakan itu dapat memberi markah kepada semua terbabit, dapat dicatat dalam kurikulum vitae dan dinilai untuk kenaikan pangkat, ia 'restui' oleh semua yang terbabit.

Tanggapan sedemikian merupakan satu masalah amat besar yang melanda pandangan alam universiti ke arah 'prestasi yang cemerlang.'
Pemerhatian Prof. Muhammad Syukri Salleh (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011), dan Prof. Madya Mohamad Md. Yusof ( Utusan Malaysia, 26 Julai 2011) ke atas gejala budaya material yang menular di universiti amat menakutkan. Jika ini tidak ditangani, akan pupuslah kesarjanaan di Malaysia.

Ini ada kaitannya dengan bagaimana universiti kita dipaparkan dan ditonjolkan kepada dunia. Tidak kira universiti awam atau swasta, terlihat semacam kegilaan yang menyesatkan.
Ini ada kaitannya dalam penonjolan keakraban universiti dengan industri dan profesion. Universiti kita kini nampaknya tidak mempedulikan etika dan tatasusila dalam kerjasama, pemasaran dan pengiklanan universiti dan tawaran kursus yang ada. Jika kajian rambang dilakukan, pihak industrilah yang 'dipertuhankan.'

Universiti tidak boleh 'diindustrikan'. Malangnya inilah yang sedang berlaku apabila ahli akademik membonceng, sama ada dalam projek penyelidikan atau penerbitan, di mana hasil karya dan penulisan seseorang itu diukur dengan kaedah nombor, kerana kaedah inilah yang paling mudah.
Nampaknya, banyak masa terbuang dengan menumpukan kepada cadangan menulis dan mendapatkan pembiayaan penyelidikan, dan menyiapkan laporan penyelidikan. Ada yang menerbitkannya dan ada yang tidak. Akan tetapi apakah menerbitkan hasil penyelidikan yang dibiayai itu satu bukti pencapaian dan pemaparan kesarjanaan?

Kita lupa hikmah yang perlu ada pada universiti. Nilai jauhari terhakis dalam diri kita sehinggakan kita tidak lagi mengenal manikam. Kita tidak tahu menilai idea, konsep dan teori.
Saya khuatir jika gejala ini berlarutan tanpa kekangan, maka hapuslah kesarjanaan di Malaysia. Yang ada hanya kilang-kilang mengeluarkan ijazah hasil dari para pensyarah yang taksub kepada model Pengajaran Berasaskan Hasil (OBE) yang tidak boleh mengukur nilai dan kepercayaan.

Pensyarah-pensyarah berkenaan membayangi bahawa mereka bukan pensyarah tetapi sebahagian daripada profesion dan pasaran. Itu merosakan nilai akademik. Mereka tidak dapat membezakan antara nilai akademik dan nilai pasaran.Dengan itu apa yang kian berlaku ialah masyarakat pensyarah dilentur untuk akur kepada KPI tanpa kesarjanaan dan hikmah.
Apa yang mereka peduli ialah mengajar mengikut acuan yang diberi, mendapat sekian banyak pembiayaan untuk penyelidikan (tidak kira siapa membonceng) dan menerbit dalam jurnal-jurnal yang berindeks dalam pangkalan data tertentu. Amalan budaya material dan wang sebagai pengukur hasil para pensyarah kini amat tebal di kalangan universiti kita. Ini hendaklah dihentikan.

Para pemimpin universiti hendaklah muhasabah akan kesan jangka panjang jika ia berlarutan. Ilmu dan kesarjanaan tidak dapat dijanakan tanpa keikhlasan dan integriti.
Malah, keadaan ini kian mempengaruhi para pensyarah muda, dan juga yang lama. Ada wang, boleh terbit dan ini dikira dalam KPI pensyarah itu dan universiti.

Budaya ini telah banyak disalahgunakan. Ada 'pakar' dari universiti tempatan, yang dijemput oleh beberapa buah universiti lain, memaklumkan bahawa 'membonceng' itu halal. Dan 'membonceng' itu membolehkan nama kita tersiar di berpuluh-puluh jurnal dalam masa setahun. Dan kegiatan ini amat digalakkan.
Dengan itu, seseorang itu dinilai sebagai 'cemerlang' dan seterusnya dianggap sebagai pensyarah yang 'berkualiti.' Di mana integritinya di sini? Apakah istilah 'cemerlang' dan 'kecemerlangan' dan 'kualiti' itu telah mengaburkan kita akan kesarjanaan dan hikmah? Mengapa istilah 'cemerlang' ini digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam universiti dan masyarakat kita?

Saya kira kita telah lari daripada matlamat asal mengapa kita bekerja di universiti dan asas penubuhan universiti itu.Saya bukan menentang usaha dan inisiatif ke arah memperbaiki pengajian tinggi kita. Apa yang saya ingin tegur ialah usaha itu telah banyak disalah tafsir dan disalah guna oleh para pensyarah lalu direstui oleh pentadbir universiti itu sendiri.

Pena Tumpul - Bonceng motor saja

Sunday, August 14, 2011

Bersih

Ini mungkin cerita rekaan yang saya terima dari rakan blogger.Tetapi sangat baik untuk di jadikan teladan.Kisah berlaku dalam sebuah pesawat yang sedang menuju ke Kuala Lumpur.Kebanyakan dari penumpang pesawat tersebut ialah mereka yang sedang perjalanan pulang ke tanah air selepas mengerjakan umrah.

Dalam pesawat tersebut berlaku satu peristiwa di mana seorang pramugari ternampak seorang pak cik sedang membasuh kakinya di sinki di dalam tandas yang kebetulan lupa di tutup.

Pramugari: Pak cik tolong jangan basuh kaki di dalam sinki.Sinki untuk basuh tangan dan muka, bukan untuk basuh kaki yang kotor tu.Bersopan lah sikit pak cik!
Pak cik: Baik puan, maafkan pak cik.Tapi boleh pak cik tanya sikit?
Pramugari: Apa dia?
Pak cik: Puan, dalam sehari berapa kali puan basuh muka puan?
Pramugari: Saya basuh muka tiap tiap hari sekali selepas bertugas sebelum tidur.
Pak Cik: “Make Up” yang puan pakai di muka puan jenama apa?
Pramugari: (Dengan bangga) Kami pramugari semua pakai jenis jenama yang terkenal dari Peranchis.
Pak Cik : Puan, kalau begitu kaki pak cik ni lebih bersih dari muka puan.
Pramugari: Eh! pak cik jangan merepek.
Pak cik: Pak cik tak merepek tetapi ini kenyataan.Pak cik cuci kaki sekurang kurang nya lima kali sehari sebelum solat.Sedangkan puan cuci muka hanya sekali sehari.Jadi di antara kaki pak cik dengan muka puan yang mana lebih bersih? Lagi pun puan guna “make up” jenis yang tak suci lagi tak halal ertinya bernajis.Maka memang layak muka puan yang bernajis tu di basuh guna mangkuk tandas ini aje.
Pramugari: Tak terkata, malu,geram, lalu beredar.

Apa kah iktibar dari kisah ini? Saya serahkan kepada pembaca sendiri untuk menilai.
Wallhu’alam.

Pena Tumpul -  Fikirlah sendiri

Friday, August 12, 2011

TiVi

Saya sering memberitahu Haziq malah pelajar-pelajar saya juga bahawa peluang untuk mendalami agama amat terbuka luas sekarang. Buku-buku tentang agama begitu banyak dijual di pasaran. Bahasanya mudah dan santai malah tidak tebal macam kitab-kitab dahulu. Mudah diulit dan dibawa ke mana-mana. Zaman saya sekolah dulu, program agama di tv boleh dibilang dengan jari dan amat terhad. Seingat saya program Sinar Islam yang disiarkan setiap malam Jumaat. Bukan siaran langsung pun apalagi interaktif.

Tidak cukup dengan itu, stesyen-stesyen tv sekarang juga turut rancak memberi ruang kepada program-program agama. Astro Oasis misalnya sudah agak lama menyajikan program agama. Begitu juga TV9 melalui program bicaranya yang kian mendapat tempat dihati penonton, Tanyalah Ustaz. 
Paling menarik ialah dengan kemunculan Stesyen Tv Al-Hijrah yang berkonsepkan agama sepenuhnya..Antara program yang cukup menarik ialah Madrasah AlHijrah. Saya berkesempatan mengikuti program ini pagi ini. Saya melihat Madrasah AlHijrah adalah usaha stesen ini untuk menjadikan budaya pengajian ilmu berasaskan kitab yang selama ini dikenali sebagai kelas pengajian di surau atau masjid, atau dianggap sebagai pengajian pondok dalam bentuk tradisonalnya dalam wadah baru iaitu menggunakan medium televisyen.

Saya merasakan bagai turut serta dalam kelas interaktif yang dikendalikan oleh seorang Ustaz dengan enam orang anak muridnya. Pagi ini saya berpeluang mengikuti kelas Tauhid yang dipimpin oleh seorang ustaz yang memang menarik penyampaiannya. Selepas itu diikuti pula kelas Akhlak yang dipimpin oleh ustaz yang lain pula dan akhirnya kelas Syariah. Tiga kelas dalam masa satu jam setengah yang cukup bermanafaat sambil duduk bersantai di depan tv. Bagusnya!

Kita diberi akal dan fikiran, pilihan di tangan kita!


Pena Tumpul - Ustaz dalam rumah kita, mahu apa lagi

Tuesday, August 09, 2011

Kenal

Ustaz bercerita tentang seorang orang putih yang masuk ke kampung orang asli. Dia diberitahu tentang harimau oleh penduduk petempatan orang asli itu. Dia memang tidak kenal harimau pun. Tidak juga tahu bagaimana rupa dan fizikal harimau itu. Bila orang asli menceritakannya tentang harimau dia begitu teruja. Dia menyatakan keinginan yang tinggi untuk berjumpa harimau yang dimaksudkan itu. Dia tidak takut pun berbanding dengan orang asli yang sentiasa kecut perut bila harimau disebut-sebut.

Ustaz menggunakan analogi ini untuk menjelaskan bahawa perlakuan yang berbeza akan dipamerkan bila kita kenal dan tidak kenal sesuatu. Dalam konteks kita beribadat kepada Tuhan, perlakuan kita terpapar jelas bila soal kenal ini dikaitkan. Oleh kerana kita kenal Tuhan, kita tidak payah berusaha untuk rasa takut. Takut akan datang dengan sendiri seperti mana takutnya kita kepada harimau kalau kita memang sudah kenal apa itu harimau.

Dalam mendirikan sembahyang misalnya, tidak munasabah kita sembah Tuhan kalau kita tidak kenal Tuhan dan kita tidak rasa yang Tuhan itu hebat. Apa erti penyembahan kalau kita tidak kenal siapa yang kita sembah. Kita tidak rasa takut sebab kita belum kenal Tuhan. Sembahyang bukan setakat penyembahan fizikal. Ia adalah pergerakan roh, hati dan perasaan.  Selama ini kita diberi ilmu tentang ibadah hanya yang bersangkut-paut dengan hukum-hakamnya sahaja iaitu tentang syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam ibadah, itulah perkara yang kita jaga sangat-sangat dan tidak lebih dari itu. Ilmu lain tentang ibadah termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman tidak diajar. Penghayatan tidak diajar. Hasilnya segala ibadah yang kita buat, kalaupun sah dan cukup syarat rukunnya, tetapi tidak dapat dihayati.

Apabila ibadah tidak dihayati, maka rugilah kita kerana ibadah kita itu tidak mendidik kita. Hati kita tidak berubah walaupun kita sudah beribadah berpuluh-puluh tahun lamanya malahan sepanjang hidup kita. Ibadah kita tidak menjadi makanan bagi jiwa. Ia tidak membentuk dan menguatkan jiwa kita. Ia tidak menambahkan taqwa kita. Lebih malang lagi, ibadah kita itu tidak sampai kepada Tuhan.

Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini tidak langsung menyentuh soal roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Justeru, ibadah dan sembahyang tidak memberi apa-apa kesan di dalam diri dan hati. Akhlak juga tidak banyak berubah.

Bila kita tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan, ibadah kita tidak memberi kesan. Kata Ustaz, ibadah termasuk sembahyang bukan untuk mengajar atau memahamkan manusia tentang Tuhan. Kita sepatutnya sudah ada ilmu dan sudah faham tentang Tuhan sebelum beribadah atau sebelum sembahyang. Ibadah dan sembahyang itu hanya untuk mengingatkan dan menyedarkan kita tentang Tuhan sebab kita sebagai manusia memang sering lupa.

Ibadah dan sembahyang hanya akan memberi kesan kalau kita ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Kalau kita  tidak faham Tuhan, ibadah dan sembahyang tidak ada erti apa-apa. Kita tidak akan dapat rasa bertuhan dalam ibadah kerana kita tidak tahu dan tidak faham Tuhan. Itu sebab sebelum kita bersyariat, Tauhid kena selesai dahulu. Hadis ada menyebut, “Awal-awal agama mengenal Allah.”

Pena Tumpul - Tak kenal maka tak cinta

Sunday, August 07, 2011

Hafal

 Saya melihat bulan Ramadan adalah bulan terbaik dan paling berkesan untuk menghafal beberapa surah dari Al-Quran yang tidak pernah saya berkesempatan melakukannya di bulan-bulan yang lain. Saya sedang melakukannya dan ia memang tidak sukar untuk dilakukan pada bulan penuh rahmat ini. Ketika duduk-duduk menanti masuknya solat Isya' malam ini, saya mengambil kesempatan ini meneruskan usaha menghafal ini. 

Faruk yang memang berkemampuan menghafaz surah-surah yang panjang malah membacanya dalam solat fardu yang diimaminya, mendekati saya dan berkongsi cara beliau melakukan penghafalan ini. Saya melihat ia kaedah yang cukup baik dan mudah untuk dilakukan. 
1. Baca ayat pertama sebanyak 20 kali.
2. Baca ayat kedua sebanyak 20 kali.
3. Baca ayat ketiga sebanyak 20 kali.
4. Baca ayat keempat sebanyak 20 kali
5. Keempat ayat di atas dari awal hingga akhir digabungkan dan dibaca ulang sebanyak 20 kali.
6. Baca ayat kelima sebanyak 20 kali.
7. Baca ayat keenam sebanyak 20 kali.
8. Baca ayat ketujuh sebanyak 20 kali.
9. Baca ayat kedelapan sebanyak 20 kali.
10. Keempat ayat (ayat 5-8) di atas dari awal hingga akhir digabungkan dan dibaca ulang sebanyak 20 kali.
11. Baca ayat pertama hingga ayat ke 8 sebanyak 20 kali untuk memantapkan hafalan.

Demikianlah seterusnya pada setiap surah hingga selesai menghafal seluruh surah bergantung kepada jumlah ayat dalam surah yang ingin dihafal.

Faruk juga memberitahu jika ingin menambah hafalan baru, surah baru misalnya, pada hari berikutnya, maka sebelum ditambah dengan hafalan baru, kita perlu membaca hafalan lama dari ayat pertama hingga ayat terakhir sebanyak 20 kali agar hafalan ayat-ayat sebelumnya tetap kukuh dan kuat dalam ingatan. Setelah selesai,barulah kita boleh memulai hafalan baru menggunakan kaedah tadi. Saya sedang mencuba kaedah ini dalam usaha saya menghafal surah AlGhasiyah ini. Saya amat berharap kaedah ini boleh memudahkan usaha saya. 

بِِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Dengan Nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.
هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ
1. Belum datangkah kepadamu kabar tentang peristiwa yang melingkupi?
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ خَاشِعَةٌ
2. Pada hari itu wajah-wajah akan menunduk.
عَامِلَةٌ نَّاصِبَةٌ 3. Bekerja keras, membanting tulang,
'تَصْلَى نَارًا حَامِيَةً
4. Masuk ke dalam neraka yang panas.
تُسْقَى مِنْ عَيْنٍ آنِيَةٍ 5. Diberi minum dari sumber air yang mendidih.
لَّيْسَ لَهُمْ طَعَامٌ إِلَّا مِن ضَرِيعٍ
6. Mereka tidak akan mendapat makanan selain duri,
لَا يُسْمِنُ وَلَا يُغْنِي مِن جُوعٍ 7. Yang tak akan menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاعِمَةٌ
8. Pada bari itu wajah-wajah (lain) akan berseri-seri,
لِسَعْيِهَا رَاضِيَةٌ
9. Merasa puas karena perjuangan mereka,
فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ
10. Dalam sebuah taman yang tinggi.
لَّا تَسْمَعُ فِيهَا لَاغِيَةً
11. Di sana engkau tidak akan mendengar pembicaraan yang sia-sia.
فِيهَا عَيْنٌ جَارِيَةٌ
12. Di dalamnya terdapat mata air yang memancar.
فِيهَا سُرُرٌ مَّرْفُوعَةٌ
13. Di dalamnya ada singgasana yang ditinggikan,
وَأَكْوَابٌ مَّوْضُوعَةٌ
14. Dan gelas minuman yang siap di tempat,
وَنَمَارِقُ مَصْفُوفَةٌ 15. Dan bantal-batal yang berderet,
وَزَرَابِيُّ مَبْثُوثَةٌ
16. Dan permadani dibentangkan.
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
17. Tidakkah mereka memperhatikan unta, bagaimana mereka diciptakan?
وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ 18. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?
وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ 19. Dan gunung-gunung, bagaimana mereka ditegakkan?
وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ
20. Dan bumi, bagaimana ia dibentangkan?
فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ 21. Maka, berilah peringatan, karena engkau hanyalah pemberi peringatan.
لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ
22. Engkau bukanlah penjaga atas mereka.
إِلَّا مَن تَوَلَّى وَكَفَرَ 23. Tetapi barangsiapa berpaling dan kafir
فَيُعَذِّبُهُ اللَّهُ الْعَذَابَ الْأَكْبَرَ
24. Allah akan menghukum mereka dengan azab yang terbesar.
إِنَّ إِلَيْنَا إِيَابَهُمْ
25. Sesungguhnya, kepada Kami kembalinya mereka.
ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا حِسَابَهُمْ 26. Lalu tentu saja pada Kamilah perhitungan mereka.

Pena Tumpul - Faham makna mempercepatkan hafalan

Friday, August 05, 2011

Iktibar

Gambar hiasan
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ 
Ketika mencari-cari juadah untuk berbuka di bazar petang ini, Haziq mengalihkan perhatian saya kepada seorang lelaki yang sudah agak tua. Lelaki ini duduk di tengah-tengah laluan orang ramai sambil mengalunkan ayat-ayat suci AlQuran. Fenomena begini biasa dilihat di tempat orang ramai berkumpul begini. Orang kita memang pemurah. Orang tua ini tidak akan pulang dengan tangan kosong. Ini pasti. Saya meminta Haziq memasukkan wang dalam bekasnya. Besarnya pahala bersedekah di bulan Ramadan ini.

Haziq bertanya sesuatu kepada saya. Dia hairan kenapa orang tua itu perlu mengemis begitu. Di mana keluarganya. Di mana anak-anaknya. Kenapa dia dibiarkan gelandangan begitu. Saya cuba bersangka baik. Mungkin dia sebatang kara dan tiada sesiapa lagi di dunia ini untuk dia bergantung harap. 

Pun begitu ada kemungkinan juga orang tua ini memang sengaja tidak diendahkan oleh anak-anaknya. Keadaan begini memang biasa berlaku. Tidak kurang juga ada anak-anak yang tergamak menghantar orang tua mereka ke rumah orang tua dan bersikap lepas tangan dalam menjaga ibu bapa yang semakin dimamah usia. Saya fikir tidak ada mana-mana ibu bapa yang telah tua yang rela di "buang" begtu.

Saya beritahu Haziq bahawa orang tua memang tidak wajar diperlakukan begitu. Mereka perlu dilayan dengan baik dihari tuanya. Penat jerih mereka membesarkan kita tidak sewajarnya dibalas begitu.

Barangkali cerita yang tidak mungkin benar ini boleh dijadikan iktibar. Ia pernah diceritakan oleh seorang guru ketika di sekolah dulu. Cikgu Zaidan memang kaya dengan cerita yang berjaya menyuntik kesedaran pada kami dalam kelas.

Kisah seorang petani China yang bekerja keras untuk menyara keluarganya yang agak besar termasuk ayahnya sendiri yang sudah meningkat usia. Dia sedar sekuat mana pun dia membanting tulang dia tetap tidak berupaya menanggung keluarganya. Makan tidak pernah cukup.

Lantas satu hari terlintas difkirannya untuk melakukan sesuatu yang boleh meringankan beban yang ditanggungnya. Dia tidak bekerja seperti selalu tetapi sebaliknya menghabiskan sehari suntuk menyiapkan sebuah kereta kayu. Dia memberitahu ayahnya yang tua bahawa ia bagai biawak hidup dalam keluarganya. Dia kemudiannya membawa ayahnya dalam kereta itu menuju ke sebuah bukit.

Sesampainya di puncak bukit ketika dia sedang berkira-kira untuk meluncurkan kereta kayu itu menjunami bukit, ayahnya berkata, "Nanti dulu, anakku. Ayah tahu apa yang kau nak buat kat ayah dan mengapa kau melakukannya. Tapi sebelum itu, tolonglah simpan kereta kayu ni baik-baik. Mana tau anak kau memerlukannya juga satu hari nanti"

Pena Tumpul - Ayah sudah lama tiada, AlFatihah

Wednesday, August 03, 2011

Ad-Dukhan

Di bulan Ramadan yang mulia ini, keinginan untuk membaca kitab-kitab agama memang kuat. Dalam keghairahan mencari kitab-kitab lama yang sudah lama tersimpan dan mungkin terselit di mana-mana saya menjumpai sebuah kitab kecil ini. Saya memang mahukan sebuah kitab bersaiz poket yang senang saya bawa ke mana.mana.

Daripada Abi Hurairah r.a berkata :Nabi SAW telah bersabda:"Sesiapa membaca surah "Haamim Ad-Dukhan" pada waktu malam, maka esoknya tujuh puluh ribu malaikat akan meminta ampun baginya." (HR. Ibnu Katsir)

 Lagi daripada Abi Hurairah r.a berkata, Nabi SAW bersabda:"Sesiapa membaca "Haamimm Ad-Dukhan" pada malam Jumaat, maka diberi keampunan baginya." (HR. Ibnu Katsir)

Daripada Zaid Ibnu Haritsah r.a, pula, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Zayyad:"Sesungguhnya aku simpan sesuatu, maka apa dia? Maka nabi SAW simpan baginya surah Ad-Dukhan, maka baginda bersabda "Dia ialah "Ad-Dukhan". 




Pena Tumpul - Sedang mendalami maknanya

Monday, August 01, 2011

Al Syams



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا (١)وَالْقَمَرِ إِذَا تَلاهَا (٢)وَالنَّهَارِ إِذَا جَلاهَا (٣)وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَاهَا (٤)وَالسَّمَاءِ وَمَا بَنَاهَا (٥)وَالأرْضِ وَمَا طَحَاهَا (٦)وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (٧)فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (٨)قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (٩)وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (١٠)كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِطَغْوَاهَا (١١)إِذِ انْبَعَثَ أَشْقَاهَا (١٢)فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ نَاقَةَ اللَّهِ وَسُقْيَاهَا (١٣)فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُمْ بِذَنْبِهِمْ فَسَوَّاهَا (١٤)وَلا يَخَافُ عُقْبَاهَا (١٥)

1. Demi matahari dan cahayanya di pagi hari,

2. dan bulan apabila mengiringinya,
3. dan siang apabila menampakkannya,
4. dan malam apabila menutupinya
5. dan langit serta pembinaannya,
6. dan bumi serta penghamparannya,
7. dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),
8. maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan,
9. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
10. dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
11. (Kaum) Tsamud telah mendustakan (rasulnya) karena melampaui batas,
12. ketika bangkit orang yang paling celaka di antara mereka,
13. lalu Rasul Allah (Saleh) berkata kepada mereka: “(Biarkanlah) unta betina Allah dan minumannya”.
14. Lalu mereka mendustakannya dan menyembelih unta itu, maka Rabb mereka membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyama-ratakan mereka (dengan tanah),
15. dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-Nya itu. 

Pena Tumpul - Satu hari satu surah

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...