Skip to main content

Ubi

Bila balik kampung saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menikmati sajian masakan kampung yang disediakan oleh nenek dan Mak Utih. Walapun arus permodenan bergerak pantas, nenek nampaknya masih selesa dengan dapor kayunya. Satu sudut khas disediakan untuk itu sekiranya nenek diminta oleh anak cucunya yang balik mengunjunginya sekali-kala untuk memasak menggunakan dapor kayu. Memang tidak dinafikan nasi yang dihasilkan dari atas dapor kayu begitu beraroma dan enak berbanding tanakan dapor jenis moden.

Selain daripada menikmati lauk ikan lais masak asam pedas belimbing dan berulamkan ulam raja, nenek turut mengajak saya dan Aman sama-sama mencabut ubi kayu yang ditanamnya sendiri. Berpeluh juga..hendak mengeluarkannya. Namun, penat kami berbaloi. Kami menikmati ubi rebus nenek dengan enaknya bersama sambal tumis ikan bilis yang tidak dapat digambarkan kesedapannya. Makin sedap bila diiringi hujan lebat yang mencurah-curah membasahi bumi. Mahu sahaja dihabiskan satu periuk ubi rebus nenek!


Dan awal pagi ini lewat corong radio Ustaz bercerita tentang ubi. Seorang tua dari Parit Sulong yang menjual ubi kayu ditemuinya di pasar tani. Katanya setiap kali dia menjual ubi kepada pelanggannya dia akan melebihkan sebanyak satu kilo. Ditanya kenapa dia berbuat begitu, jawapannya cukup mudah, "Saya tidak menjual tanah, saya cuma jual ubi" Mulia betul hatinya. Khabarnya semua anaknya belajar di luar negara. Berkat rezekinya.

Ramai ke macam Wak ini?


Pena Tumpul -Ingin tengok penjual durian jual isi sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...