Thursday, April 02, 2015

Hujan

Hujan yang tidak henti-henti sejak awal pagi mengingatkan saya ketika membesar di kampung dulu. Ada cerita menarik yang tidak mudah untuk dilupakan.


Seronoknya setiap kali hujan turun waktu itu. Lagi lebat lagi bertambah seronoknya. Mana tidaknya kerana bermain bola dalam hujan memang amat menyeronokkan. Ketika usia 9 tahun apa lagi lah yang difikirkan kecuali bermain. Bila cuti sekolah buku tidak disentuh langsung. Sehari suntuk bermain. Penat bermain bola, main "jebat". Kadang-kadang main sorok-sorok. Kalau tidak dijerit, makan pun sampai tak kisah sangat. Bermain dan bermain.

Namun pengalaman tinggal sehari dua dengan Mak Itam cukup "menakutkan". Semua tahu Mak Itam memang bengkeng. Kalau sudah berleter dan marah, saya dan abang saya pasti kecut perut. Itu belum lagi dengan cubitannya diperut. Bukan kepalang bisanya. Satu petang itu kami sengaja nak tunjuk degil. Main bola bagai tak nampak hujan. Mak Itam sudah menjerit bagaikan halalintar kuatnya. Kami buat tak dengar sahaja.

Sampai di rumah Mak Itam dilihat macam singa lapar. Kami berdua betul-betul takut. Tidak berbunyi sedikit pun. Nah, cubitan demi cubitan singgah di perut. Kami sudah menjangkakannya. Kami tahu Mak Itam diberi mandat oleh emak dan ayah untuk buat begitu pada saya berdua.

Peristiwa ini sudah 40 tahun berlalu namun ia tetap segar dalam ingatan. Seronoknya di zaman kanak-kanak!

Pena Tumpul - Mak Itam pun dah tua sekarang

No comments:

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...