Sunday, April 05, 2015

Hebatkah?

Saya tertarik dengan bicara seorang Ustaz lewat corong radio pagi ini. Kata Ustaz tersebut kita sebagai manusia tidaklah hebat pun berbanding haiwan. Menurutnya, jika manusia kata, “Kami hebat kerana setiap kali kami bangun pagi, kami basuh muka,” kucing pun basuh muka setiap kali bangun tidur. Ada binatang yang apabila bangun pagi, ia akan ludah pada tangannya dan cuci muka. Ada juga binatang yang selepas makan, ia pandai untuk cuci tangannya. Jadi, membasuh muka bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang.

Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami sentiasa mandi,” binatang pun mandi. Ada burung yang mandi di sawah. Jadi, mandi bukan faktor kemuliaan manusia berbanding binatang.

Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami boleh mencari rezeki sendiri,” binatang pun pandai mencari rezeki sendiri. Bahkan mafhum hadis menyatakan, “Jika kamu ada sifat tawakal kepada Allah sepertimana sifat tawakal seekor burung yang keluar dengan perut yang kosong dan balik dalam keadaan kenyang maka Allah SWT akan beri rezeki sepertimana Allah SWT beri kepada burung.” Jadi, kemampuan untuk mencari rezeki bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang."

Jika manusia kata, “Kami hebat kerana boleh bina bangunan di tempat yang tinggi,” burung pun boleh membina sarang di tempat yang tinggi. Semangat untuk membuat kediaman di tempat yang tinggi sama sahaja seperti semangat burung membuat rumah. Jika manusia suka buat rumah yang pelik-pelik, burung pun boleh buat rumah yang pelik-pelik. Jika manusia suka buat rumah dengan pintu yang banyak, lebah pun boleh buat sarang dengan pintu yang banyak. Jika manusia suka letak lampu di dalam rumah, lebah pula akan menangkap kelip-kelip dan mengantungkan di rumahnya sehingga terang.

Manusia hidup berkeluarga dan beranak isteri. Binatang pun berkeluarga dan beranak isteri. Burung siak jantan dan betina sama-sama buat sarang. Kemudian, setelah bertelur, Allah keluarkan anak. Kemudian, pasangan burung tadi pun keluar mencari makanan untuk anak-anak mereka. Jika manusia memikirkan rezeki anak-anak, binatang juga memikirkan rezeki untuk anak-anak."

Apabila manusia semakin besar, mereka mahu menjadi orang besar dan berpengaruh. Ayam jantan juga memiliki keinginan dipandang besar dan berpengaruh. Ayam jantan sanggup bertarung demi menjadi ketua reban walaupun tuan mereka memberikan makanan yang sama banyak kepada mereka. Keldai juga suka bergaduh berebut kandang walaupun mereka tinggal di kandang yang luas. Apabila bergaduh, tentulah ada menang dan kalah. Ayam jantan jika menang, ia akan pergi berkokok dengan memanjangkan lehernya. Ayam lain pun kagum dengan kehebatannya. Jika ada makanan, ia akan terpa makanan itu dahulu dan sanggup menghalau ayam-ayam lain. Ia rasa dirinya besar. Samalah seperti manusia, berebut kuasa, harta dan wanita sama seperti binatang."

Kesimpulannya, jika manusia buat perkara yang binatang boleh buat, itu bukan satu kehebatan.Meskipun begitu, ada satu kelebihan binatang ialah di hari akhirat kelak, mereka tidak akan masuk ke neraka seperti manusia yang ingkar. Di akhirat, mereka akan diberi peluang membalas dendam antara satu sama lain sehingga akhirnya masing-masing menjadi tanah. Namun begitu, manusia yang kafir terpaksa duduk dalam neraka untuk selama-lamanya.

Jadi, apakah kelebihan yang ada pada manusia berbanding binatang dan makhluk-makhluk lain? Jawapannya, kerana Allah meletakkan kemampuan kepada manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini! Peranan kita sebagai khalifah itulah yang menjadikan kita lebih hebat daripada binatang-bintang tadi.

Pena Tumpul - Suka tengok ayam jantan berebut ayam betina

No comments:

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...