Tuesday, June 09, 2009

Bahasa



Cadangan menjadikan subjek Bahasa Inggeris (BI) sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan lontaran terbaru Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada umum untuk difikirkan. Bahawa selama ini BI diajar sebagai subjek yang tidak wajib lulus dan aspek tatabahasa tidak dberikan perhatian dalam pengajaran bahasa kedua itu di sekolah nampaknya memeranjatkan beliau.

Pengajaran BI di sekolah sejak sekian lama memang menjadi isu yang kerap dibincangkan merangkumi soal-soal kaedah dan pedekatan, kurikulum, kebolehan guru-guru, kemampuan para pelajar serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah khususnya di luar bandar. Isu pembelajaran bahasa antarabangsa ini juga tidak pernah terlepas dari menjadi modal politik bagi kelompok-kelompok tertentu. Akibatnya isu pembelajaran dan pengajaran BI di sekolah terus diselubungi dengan pelbagai masalah yang sampai sekarang tidak ada jalan penyelesaiannya.

Pengajaran BI di sekolah bagaikan pasir yang dilanda air bah yang menuntut perubahan setiap kali pertukaran kepimpinan berlaku. Mangsa kepada perubahan ini tidak lain kecuali dua kumpulan pelaksananya iaitu guru yang mengajar dan para pelajar. Sebarang perubahan yang berlaku tentunya bakal mengubah momentum guru yang terbabit selain meletakkan para pelajar dalam keadaan yang celaru dan keliru.

Pengalaman penulis mengajar subjek ini selama tujuh tahun di sekolah dan sepuluh tahun di pusat pengajian tinggi menyaksikan pelbagai masalah dan cabaran, pahit dan getir dalam memastikan apa yang dihasratkan oleh pihak pembuat dasar dapat diterjemahkan secara tuntas di dalam bilik darjah atau kuliah.

Subjek BI itu sendiri pada asasnya sudah membosankan. Ini diperkukuhkan lagi dengan persepsi kebanyakan pelajar bahawa BI tidak penting dan tidak wajib lulus selain susah untuk dikuasai. Akibatnya subjek BI tidak mendapat tempat yang sewajarnya di hati mereka. Dalam banyak keadaan BI dianggap subjek kelas dua berbanding dengan subjek-subjek lain kecuali di kalangan pelajar yang memang sedia berminat.

Justeru sifat bahasa itu sendiri yang sudah sedia asing pelbagai kaedah diperkenal dan dicuba untuk dijinakkan dengan pelajar yang cuba menjauhkan diri darinya. Untuk membunuh kebosanan, kaedah-kaedah yang lebih mesra pelajar di praktikkan dalam pengajaran. Di sekolah-sekolah rendah minat terhadap BI disemai dan dipupuk melalui kaedah pengajaran yang menyeronokkan dengan menggunakan lagu dan cerita, hasilnya tidak mengecewakan. Bagi guru-guru yang kreatif dan inovatif adakalanya para pelajar dieksploitasi bakat mereka melalui drama, syarahan atau pun perdebatan. Selalunya para pelajar memang tertarik dan kecintaan terhadap subjek BI turut berkembang subur.

Kaedah pengajaran secara "santai" ini walaupun dilihat berupaya menanamkan minat pelajar kepada BI, namun aspek tatabahasa sering dikorbankan. Dalam hubungan ini soal "fluency and accuracy" atau "kefasihan dan ketepatan" kerap dikaitkan apabila soal pengajaran BI ini dibincangkan - antara melahirkan pelajar yang fasih berbahasa Inggeris tetapi cungkang kelalak tatabahasanya ataupun satu lagi kelompok yang hebat pengetahuannya dalam tatabahasa namun gagal untuk berkomunikasi hanya sekadar untuk meminta secawan kopi pun!

Lantas, apakah kemahuan kita sebenarnya. Melahirkan pelajar yang berbangga dengan gred A dalam BI yang dipaparkan di atas sijil SPMnya, namun gagal mempamerkan kebolehan bertutur dalam bahasa itu, atau yang sekadar lulus ataupun tidak lulus terus tetapi keyakinannya berkomunikasi tidak diragukan sama sekali? Realitinya bukan tidak ramai yang memperolehi gred yang hebat dalam BI tetapi gagal untuk berkomunikasi, justeru mereka mempelajari bahasa tetapi tidak pula bersungguh-sungguh untuk menggunakannya. Kelompok inilah yang banyak dilahirkan sekarang.

Kalaulah dengan mendapat gred A dan lulus itu ingin dijadikan kayu ukur untuk menilai kebolehan pelajar dalam BI, kita cuma mampu melahirkan pelajar yang kompetens tetapi tidak mampu mempamerkan prestasi mereka dalam bahasa tersebut. Rasanya untuk menghasilkan ramai bilangan pelajar yang lulus BI dalam SPM tidaklah susah sangat berbanding untuk melahirkan pelajar yang yakin serta mahir bertutur dan menulis dalam BI. Mewajibkan pelajar untuk lulus BI dalam SPM mudah dicapai sekiranya subjek ini diajar seperti mana subjek-subjek yang lain seperti Sejarah, Geografi dan seumpamanya. Banyakkan latihtubi dalam tatabahasa, penghafalan model-model karangan dan anjurkan kelas tambahan bagi menghadapi peperiksaan, soal untuk lulus hatta mendapat gred A sekalipun bukan lagi sesuatu yang terlalu sukar untuk dicapai.

Saya berdepan dengan ramai pelajar dalam kelompok begini yang kurang yakin untuk berkomunikasi dalam BI walaupun gred yang dicapai dalam SPM tidak kurang hebatnya. Adakah cukup adil untuk kita menyalahkan mereka sekiranya kaedah pengajaran yang kita terapkan di sekolah yang membentuk mereka begitu?

Subjek BI boleh sahaja dibenarkan untuk dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM sekiranya beberapa perkara dasar diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Kita tidak mahu perlaksanaannya nanti bakal memberi kesan negatif kepada kelompok-kelompok tertentu.

Perkara yang paling penting perlu diberikan perhatian tentunya infrastruktur yang merangkumi tenaga pengajar serta kemudahan alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Adalah tidak adil untuk mengharapkan para pelajar di sekolah luar bandar bergaya hebat seperti rakan mereka di bandar sekiranya mereka dibekalkan dengan guru-guru yang kurang terlatih dan diragui kemampuannya untuk mengajar bahasa tersebut. Bukan asing lagi kita dengar guru-guru yang ditugaskan untuk mengajar subjek ini "dipaksa" mengajarnya justeru kurangnya guru terlatih dalam subjek tersebut. Asalkan boleh bertutur bahasa itu sepatah dua boleh sahaja mengajar BI. Akhirnya, pengajaran BI dalam kelas dilihat tidak lebih bagaikan sibuta memimpin sibuta!

Senario kini sebenarnya menuntut aspek tatabahasa dan komunikasi diberikan penekanan yang sama penting kepada pelajar. Tidak salah untuk mengajar tatabahasa kepada pelajar justeru ia menyumbang kepada kekuatan untuk berbahasa dengan tepat dan betul. Malah kaedah pengajaran beginilah yang diamalkan dahulu yang telah melahirkan golongan di kalangan ibu bapa kita yang bukan sahaja betul susuk bahasanya malah fasih pula gaya tuturnya. Dalam masa yang sama banyakkan aktiviti yang merangsang pelajar untuk menggunakan BI bukan sahaja di sekolah malah di luar sekolah juga.

Mahu tidak mahu pelajar kita tidak punya pilihan. Mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan bahasa yang paling penting ini atau bakal menghadapi saat amat getir dalam kehidupan mereka sebagai pelajar pusat pengajian tinggi justeru sekian banyaknya khazanah ilmu yang tersimpan di perpustakaan masih lagi ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Pena Tumpul - Sempat ambil MCE

4 comments:

Rantong said...

aku sokong bahasa inggeris perlu lulus utk dpt kan sijil SPM. kalau tak de paksaan, org melayu tak akan pandai..

View Profile: Rantong™

kamarularifin said...

saya juga menyokong bahasa inggeris wajib lulus dalam sijil SPM....pembelajaran bahasa inggeris sepatutnya lebih meluas dan lebih serius dalam subjek bahasa itu sendiri....tidak seperti apa yang terjadi di dalam subjek sains dan matematik...murid2 sebenarnya bersedia untuk belajar tetapi tenaga pengajar itu sendiri gagal memikul tanggungjawab tersebut...guru2 sendiri gagal mengusai bahasa inggeris drngan baik maka bagaimana mereka boleh mengajar dengan baik dan tentu hasilnya juga kurang baik...

Kamil said...

Bukan sahaja Bahasa Inggeris yang penting, malah bahasa lain termasuk Bahasa Arab.

kamarularifin said...

saya setuju bahasa arab itu juga penting sbb bahasa arab itu bahasa syurga...sebenarnya sekolah aliran agama sudah ada cuma kerajaan perlu menarik taraf sekolah2 ini agar ia dapat di lihat sama penting dengan sekolah2 aliran kebangsaan...galakan perlu di beri di peringkat bawah lagi....

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...