Monday, June 22, 2009

Penyakit


Di depan mata saya melihat perjalanan sebuah kedai runcit di tengah-tengah penduduknya rata-rata Melayu. Selama enam bulan melintasi kedai yang saya kira ditegakkan dengan semangat yang amat berkobar-kobar, acapkali mengheret saya untuk bermonolog. Mampukah ia bertahan lama? Mengapa tidak ramai pelanggan yang datang membeli? Barang-barang yang nampak terpamer dari jauh kelihatannya semakin susut, kenapa tidak ditambah? Persoalan-persoalan ini bermain setiap kali kedai di atas bukit tersebut di lintasi.

"Habis saja barang-barang yang tinggal ini dijual, saya tutuplah" kata Encik Mantoba(bukan nama sebenar), menjawab pertanyaan bila saya singgah sebentar untuk membeli sesuatu tidak berapa lama dulu. "Beginilah berniaga dengan orang kita, asyik nak berhutang, tak bagi salah, bagi beginilah jadinya, sendiri yang susah" rungutnya.

Selang beberapa hari kemudian, kedai tersebut berwajah baru. Bukan lagi kedai runcit tetapi sebuah warong. Mampukah dia dalam percubaan kedua kalinya ini? Bagaimana persepsi orang ramai bersangkut kemampuannya mengurus sebuah kedai makan pula? Adakah dia mampu bertahan atau bakal senasib kedai runcitnya dahulu?

Hari pertama saya lihat cukup membanggakan, pengunjung yang datang cukup ramai untuk membuatkan hati Mantoba kembali segar, namun cuma buat seketika.Pelanggan hampir tidak ada pada kebanyakan hari. Warong yang sepatutnya dibuka jam 7 dan ditutup 14 jam berikutnya sudah mula lewat dibuka dan cepat pula ditutup dan pada hari-hari tertentu ditutup langsung. Sejak beberapa hari yang lalu, petanda gerhana makin jelas - dari lima atau enam meja yang dihamparkan pada permulaannya dahulu, seorang budak perempuan belasan tahun cuma mampu duduk sendirian menunggu pelanggan (barangkali) di sebuah meja!

Perniagaan orang Melayu tidak kira kecil atau besar terus dihimpit masalah, bukan kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu juga. Penyakit suka berhutang orang Melayu di kedai orang Melayu membunuh perniagaan orang Melayu. Di kalangan peniaga Melayu ada segelintir yang tidak cukup menarik penampilannya (perhubungan awam), berbanding dengan peniaga bukan Melayu yang pandai menambat hati kita. Pada mereka, dalam perniagaan matlamatnya wang di tangan kita seboleh-bolehnya berpindah ke tangan mereka dengan apa cara sekalipun!

Ironisnya, di sebuah petempatan yang penduduknya rata-rata Melayu, tiga buah kedai runcit ini dikuasai oleh orang bukan Melayu dan pembeli Melayu bersifat tebal muka pula untuk berhutang di kedai ini!

Pena Tumpul - Hairan kenapa tiada kedai runcit milik Melayu di Taman Bunga Raya

1 comment:

suara.segamat said...

Asalam..

Tergaman segamat4u; apa dah jadi dengan wakil Stesen Servis Petronas Gemereh..

Setahu segamat4u, beliau bukan calang-calang orang. boleh Pena Tumpul beri pandangan....

tk & wslm

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...