Skip to main content

Hindustan


Tidak dinafikan filem Hindustan begitu dekat dengan orang Melayu. Tanpa memahami sepatah pun daripada perkataan yang dituturkan oleh para pelakonnya, (kecuali dengan bantuan sarikata), kita tetap asyik untuk menonton cerita yang disajikan hingga ke penghujungnya. Begitu sekali kuatnya tarikan filem ini, sehingga kini penonton Melayu masih menggemarinya. Jalan cerita yang meleret-leret dan penyudah cerita yang sudah dijangka tidak pernah membuat kita jemu untuk terus meminati filem-filem yang sinonim dengan hero dan heroin yang tampan dan jelita, disulam pula dengan lagu-lagu merdu selain adegan pertarungan yang penuh aksi.

Saya mula terdedah dengan filem-filem dari Mumbai ini seawal usia 9 tahun ketika wayang pacak cukup popular dan satu-satunya hiburan paling murah yang ada waktu itu. Di era lewat 60an dan awal 70an negara dibanjiri oleh filem-filem dari India sehingga menenggelamkan filem-filem Melayu keluaran tempatan. Nama-nama seperti Shashi Kapoor, Rajendra Kumar, Saira Banu, Babita, Sharmila Tagore dan ramai lagi menjadi tarikan orang ramai untuk menonton filem-filem yang kebanyakannya panjang berjela. Saya masih ingat bagaimana Pak Itam mengumpan saya dengan membonceng basikalnya untuk menonton filem Hindi secara percuma sebulan sekali bagi mendapatkan Mak Itam saya sebagai teman hidupnya. Filem Jeeni Ki Raah saya kira adalah filem hindustan pertama yang pernah saya tonton. Begitu sekali obsesnya Pak Itam dengan kemerduan lagu dari filem tersebut, setiap kali majlis kahwin di kampung, beliau sering diminta untuk mendendangkan lagu tersebut. Pak Itam juga membeli piring hitam hampir setiap judul filem Hindustan waktu itu dan saya terheret sama dengan kegilaan Pak Itam terhadap lagu-lagu dendangan Mohd Rafi.

Kegilaan saya terhadap filem Hindustan berlarutan sehingga lewat 70an dan banyak dipengaruhi oleh minat saya terhadap lagu-lagu merdu yang enak didengar dendangan penyanyi hebat Mohd Rafi yang menghiasi hampir keseluruhan filem Hindi pada dekad tersebut. Saya melihat kelunakan suara beliau memang tiada tandingannya. Tidak hairanlah kalau Qari terkenal dari Kedah Allahyarham Hj Ismail Hashim pun pernah berkata bahawa beliau juga dipengaruhi oleh lengguk lagu Mohd Rafi dalam menyampaikan lagu bacaan AlQuran. Minat saya terhadap filem Hindustan pudar apabila Mohd Rafi tidak lagi menjadi penyanyi latar berikutan kematiannya pada tahun 1980. Dapatan secara tidak sengaja tentang Youtube mengimbau kembali nostalgia saya 3 setengah dekad yang lalu terhadap lagu-lagu Hindustan dendangan Mohd Rafi.

Pena Tumpul - Suka adegan pertarungan dalam filem Hindustan sekarang

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w