Saturday, November 28, 2009

Dramaton


Saya menonton empat buah drama tempatan menerusi tv yang cukup mengesankan.Semuanya berkisar tentang falsafah pengorbanan sesuai dengan sambutan Hari raya Qurban. Saya selalu percaya, drama adalah medium terbaik dalam mendidik penonton.Sebab itu saya selalu tertarik dengan drama tv namun masih selektif. Ia jauh lebih berkesan daripada kapsul ceramah atau "talkshow". Saya sendiri amat berkira dalam memilih program ceramah yang hendak ditonton. Bagi rancangan agama misalnya, ketokohan penceramah di samping "daya penarik" tersendiri menjadi asas untuk rasa tersangkut. Perkara-perkara yang berkaitan dengan soal agama akan menjadi lebih menarik kalau dikupas dan disokong dengan ayat-ayat AlQuran dan petikan hadis Nabi selain kisah-kisah teladan yang terpacul lancar dari mulut penceramah. Tanpa kelebihan ini, program begini akan hambar dan gagal meraih minat penonton. Sekadar menyebut beberapa nama, Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz Mohd Zawawi Jusoh, Ustaz Jamil Khir, Ustazah Sharifah Noor Haayati, Ustaz Mohd Farid Ravi, Ustaz Ridhuan Tee adalah antara ikon yang kemunculannya dinantikan di kaca tv.

Skrip yang baik sahaja tidak menjanjikan sebuah persembahan drama yang juga baik untuk dipertontonkan di kaca tv. Ia memerlukan garapan dan sentuhan hebat daripada pengarahnya. Malam tadi saya tidak kesal membuang masa hampir dua jam di depan tv melayan "Taubat Nasuha". Saya tewas dengan penangan "kotak ajaib" ini apabila diakhir cerita saya dipaksa untuk bergenang air mata. Seorang ayah yang panas baran menangis penuh sesal meratapi kehilangan tiga orang anaknya selain isteri yang sedang sarat mengandung. Mereka mati ditangan kekejaman perompak.

Kerana keagungan Kursimu juga naskah yang cukup menarik. Sekali lagi di akhir cerita saya tewas ditangan lakonan hebat Vanida Amran yang menangis kepiluan menemui kembali anaknya setelah 10 tahun berpisah. Sandaran Kasih juga sarat dengan pengajaran dan mengundang rasa sayu dan sebak apabila seorang anak lelaki terpaksa melepaskan ibunya pergi mengadap Ilahi dan sekaligus menyaksikan seorang ayah kehilangan anak yang baru sahaja ingin dicurahkan kasih sayang setelah 30 tahun berlalu. Salam Terakhir lakonan hebat Rosyam Noor juga tidak rugi untuk ditonton.

Kita sebenarnya memerlukan lebih banyak drama yang boleh mendidik dan memberi pengajaran kepada penonton. Saya kira kita tidak ketandusan penulis yang diperlukan untuk melaksanakan misi penuh tanggungjawab dalam mendidik penonton tv kita!

Pena Tumpul- Kurangkan atau lupuskan terus cerita seram di tv yang tidak berfaedah itu

1 comment:

Al_Yahya said...

Saya sokong 100%.Betul tu Dr.Saya pun susah nak kekal lama depan Tv tp drama2 sebagaimana yg disebut boleh tonton sampai ke penghujungnya.

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...