Skip to main content

Tamparan


Kedai runcit di kampung cuma dikunjungi pembeli untuk melepas sesak sahaja. Kewujudannya tidak lebih hanya sekadar memenuhi keperluan mereka yang secara tiba-tiba kehabisan gula, asam dan garam. Di luar daripada keperluan itu, kedai runcit secara umumnya tidak dilihat penting pun sebagai tempat berbelanja keperluan harian khususnya barangan dapor kepada ramai orang. Akhirnya kedai runcit wujud bagaikan hidup segan mati tak mahu. Malah dalam keadaan yang lebih ekstrim berkesudahan ditutup terus. Begitulah senario yang mewarnai hampir kebanyakan kedai runcit khususnya milik orang Melayu.

Perubahan yang pesat berlaku sekarang sebenarnya memberi impak yang bukan sedikit kepada hidup mati dan maju mundurnya sesebuah kedai runcit. Sebuah kedai runcit yang tipikal sebenarnya sedikit demi sedikit sudah pupus ditelan arus permodenan. Pemandangan sebuah kedai runcit yang suram dan berhabuk dengan sebuah kipas siling lama yang dimiliki seorang berusia lebih separuh abad atau seorang apek tua berseluar pendek sudah begitu sukar untuk dilihat sekarang. Begitu juga payahnya menyaksikan dacing kayu dan sempoa apatah lagi karung kertas berwarna coklat mengisi barang.

Segalanya sudah bertukar wajah. Dalam usaha menangani perubahan, banyak kedai runcit bertukar kepada pasar mini. Dengan pengurusan yang lebih kemas dan teratur selain daripada memudahkan orang ramai untuk mendapatkan hampir semua barang keperluan di bawah satu bumbung, kehadirannya di peringkat awal begitu di sambut baik. Ekorannya pasar mini didirikan hampir setiap ceruk petempatan orang ramai bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan. Konsep pasar mini cuma mampu bertahan buat seketika di kalangan orang ramai. Pasar mini mengalami nasib yang hampir sama walau pun tidak seteruk kedai runcit. Orang ramai beralih kepada gaya membeli belah yang lebih menarik di bawah satu bumbung yang menawarkan segala jenis barangan yang diperlukan. Konsep pasaraya yang lebih selesa sedikit demi sedikit membunuh minat orang ramai untuk berbelanja di pasar mini kecuali benar-benar perlu.

Namun kewujudan "hypermarket" milik syarikat asing benar-benar memberi tamparan kepada peniaga-peniaga berskala kecil. Rasanya cadangan kerajaan untuk membenarkan hypermarket milik asing ini menerobos sehingga ke kampung akan menambahkan bilangan peniaga kecil yang tergugat. Peniaga-peniaga kecil terpaksa gulung tikar kerana tewas dalam perang harga dengan syarikat gergasi ini. Sebagai pengguna yang bijak, orang ramai pastinya lebih teruja untuk berbelanja di kedai yang memberikan pulangan yang berbaloi kepada setiap sen yang dibelanjakan. Malang sekali ular lidi tidak berupaya melawan seekor naga.

Tesco, Carrefour dan Walmart mula bertapak di negara ini dan kehadirannya memang menggugat peniaga kecil. Ada cerita menarik tentang ketiga-tiga gedung beli belah yang mempunyai rangkaian merentasi global ini. Ketiga-tiganya bermula sebagai sebuah kedai runcit. Tesco misalnya yang diasaskan pada 1919 bermula dengan penjualan barang-barang runcit. Gedungnya yang pertama tegak sepuluh tahun selepas itu dan kemudian berkembang biak sehingga sekarang dan bertapak di negara ini pada Mei 2002. Kini Tesco adalah syarikat membeli belah yang ketiga besarnya dalam dunia. Jaringan kepentingan gedung ini berselirat diseluruh dunia.

Carrefour pula bertitik tolak dari sebuah pasar yang di sebuah pekan kecil di Perancis pada 3 Jun 1957. Kini Carrefour merupakan rangkaian hypermarket yang terbesar di dunia dari segi saiznya, kedua terbesar dari segi pendapatan dan ketiga terbesar dari segi perolehan keuntungan selepas Tesco dan Walmart. Kegagahan Giant juga bermula dengan sejarah yang sama. Ia di asaskan oleh keluarga Teng daripada sebuah kedai runcit di salah sebuah pekan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1944 dengan niat yang cukup murni - menawarkan pelbagai jenis barangan dengan harga yang serendah mungkin. Pada tahun 1999, Dairy Farm memiliki Giant dan mula mengembangkannya menjangkau sempadan antarabangsa. Giant memperkenalkan pusat membeli belah gaya baru kepada rakyat negara ini dengan tersergamnya gedungnya yang pertama di Shah Alam pada 1999 dan terus berkembang pesat di seluruh negara sehingga sekarang malah menyelinap masuk di bandar kecil seperti Segamat sekali pun!

Kehadiran luar biasa gedung membeli belah gergasi ini membuatkan ramai peniaga kecil rasa amat terpukul lebih-lebih lagi peruncit-peruncit Melayu. Malah ada yang meratap dan menangis. Tidak perlu menangis malah kalau hendak menangis pun tidak perlu berpanjangan tetapi perlu berani menghadapi kenyataan bahawa itulah kehendak globalisasi dan pasaran terbuka. Yang kuat akan kekal dan yang lemah terpaksalah mengundur diri. Kalau perlu, semak kelemahan yang ada dan kalau berupaya rebut semula pelanggan yang sudah beralih ke pasar mega ini. Jangan kita menyalahkan kehadiran mereka kerana sesuatu seperti kedai runcit dan pasar mini mungkin relevan pada 70an,80an dan 90an tetapi mungkin tidak lagi sekarang.

Ada kalanya lebih elok untuk kita melihat kekurangan yang ada. Contohnya bagaimana penekanan kita dalam pengurusan kedai, justeru saya melihat ketika peniaga kedai Melayu mengeluh perniagaan terjejas peniaga mamak pula dilihat kedainya tidak surut pelanggannya berbanding kedai Melayu tadi. Sebabnya cukup mudah- mamak ternyata peramah dan pelanggan dilayan mesra dan sangat berlebih kurang tentang harga!

Saya harap saya tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa yang membunuh kehidupan kita adalah dikalangan kita sendiri.Sewaktu kita mempersoalkan kerakusan gergasi ini mengaut keuntungan berganda,sebenarnya kalangan kita lebih kejam dari kapitalis gedung gergasi ini..Tanpa sewa tanpa kos pelbagai,mereka yang kita bela menekan kita dari segi harga.Ulam dipungut,sayur hampir busuk dijual dengan harga gila.

Kalau tidak tahu menari, jangan salahkan lantai yang jongkang jongkit, kerana songkok pesok dek lonjak awak!

Pena Tumpul - Hendak tengok Tesco di pekan Jementah

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w