Skip to main content

Telekerja


Dengan kaedah pembelajaran eletronik (e-learning), tidak mustahil untuk seorang pensyarah mengurangkan kekerapannya ke tempat kerja, berdepan dengan pelajar menyampaikan bahan kuliah. Selebihnya beliau mungkin terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan ataupun perundingan dengan pihak industri di luar. Namun pergerakan dan mutu kerjanya masih boleh dipantau dan tidak menjejaskan prestasi organisasi secara keseluruhannya. Begitu juga seorang jurutaip yang masih lagi berupaya membereskan kerja-kerja pejabatnya tanpa masalah dan dalam masa yang sama melakukan kerja-kerja rumah dan mengasuh anak-anak dan tidak perlu bergantung kepada seorang pembantu rumah lagi. Kedua-dua senario ini dapat direalisasikan dengan telekerja.

Budaya telekerja masih lagi asing di negara ini. Namun mulai tahun depan telekerja bakal menjadi kenyataan di sektor awam apabila 35 pelukis pelan JKR bakal menjadi perintisnya. Idea ini pernah disuarakan oleh Menteri Sumber Manusia penghujung tahun lalu yang dikatakan bakal memberi peluang pekerjaan kepada golongan suri rumah, ibu tunggal, pesara dan graduan menganggur. Menerusi penubuhan Pusat Tele-kerja (T-centre), kira-kira 7.1 juta rakyat negara ini yang tidak tergolong dalam sektor tenaga kerja berpeluang menyertai pasaran buruh dan sekaligus mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

Telekerja merujuk kepada pekerjaan yang dijalankan di luar pejabat utama dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Konsep kerja ini telah muncul sejak tahun 70an dan telah digunakan secara meluas dalam pengurusan sumber manusia di negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Kepesatan yang cukup hebat berlaku dalam teknologi komunikasi dan maklumat sebenarnya pemangkin kepada telekerja. Tidak menghairankan sekiranya sektor kerjaya yang melibatkan penggunaan teknologi ICT memberi ruang kepada lebih banyak kerja untuk dilakukan dari pelbagai lokasi yang jauh daripada premis pejabat utama.Bagi mereka yang sedang bekerja, perlaksanaann telekerja bakal memberi manafaat bukan sahaja kepada diri sendiri malah juga kepada majikan dan organisasi disamping beberapa faedah ekonomi dan sosial. Kajian-kajian yang dilakukan di negara-negara yang telah lama mengamalkannya menunjukkan ia memang berjaya dan bermanafaat.

Bagi pekerja, faedah yang paling besar yang mungkin boleli dinikmati ialah keupayaan untuk mengimbangi antara kerja dan keluarga. Dengan ini mengurangkan masa untuk berulang alik ke tempat kerja, pekerja mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Seterusnya, isu keletihan dan tekanan yang berkait rapat dengan perjalanan ulang alik ke tempat kerja juga dapat dikurangkan dan ini membawa kepada peningkatan produktiviti individu. Seperti yang ditekankan oleh Pejabat Buruh Antarabangsa (ILO), apabila pekerja tidak lagi membuang masa dan berasa kecewa semasa perjalanan ke tempat kerja, mereka mampu meningkatkan tumpuan terhadap kerja; meningkatkan motivasi dan semangat serta lebih bertenaga dalam mengharungi hari-hari bekerja.

Selain daripada dapat mengurangkan kos minyak dan penyelenggaraan kereta, telekerja juga mampu membuka ruang untuk gaya hidup yang lebih sihat kerana pekerja tidak perlu menghadapi tekanan akibat daripada perjalanan yang panjang dan sesak. Kajian yang dilakukan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada, telekerja berjaya membantu mengurangkan masalah kesesakan lalulintas dan pencemaran akibat penjanaan trip kenderaan persendirian yang memasuki kawasan bandaraya.

Umum mengetahui bahawa aliran kenderaan yang banyak ke dalam bandar menyumbang kepada pelepasan bahan cemar yang memberi kesan kepada kesihatan penduduk bandar serta kesesakan lalulintas. Selain daripada itu, pekerja terpaksa menanggung kos tempat letak kereta, petrol dan juga penyelenggaraan. Melalui telekerja juga pekerja mempunyai sedikit ruang kuasa dalam mengendalikan kerja melalui jadual kerja yang lebih fleksibel serta jauh dari pengawasan pengurus dan rakan sekerja. Oleh yang demikian, mereka boleh bekerja dalam keadaan yang selesa dengan gangguan yang minima. Seterusnya, telekerja juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kepayahan untuk berulang alik seperti warga tua, kurang upaya dan wanita berkarier yang bertanggungjawab menjaga ahli keluarga serta mereka yang terpaksa berhenti kerja akibat pasangan bertukar tempat.

Di pihak majikan dan organisasi pula, pengenalan budaya telekerja dilihat mampu mengurangkan kos yang berkaitan dengan penyelenggaraan pejabat (seperti penghawa dingin dan peralatan pejabat), kos penempatan pekerja dan keluarga mereka. Pembentukan budaya telekerja juga memungkinkan sesuatu kerja dapat dilaksanakan walaupun ketika berlakunya sesuatu malapetaka atau masalah yang berkaitan dengan pergerakan fizikal . Contohnya tatkala hujan lebat atau apabila banjir melanda sesuatu tempat. Tidak dapat dinafikan lagi, membudayakan telekerja akan membuka ruang baru kepada pekerja untuk menjadi lebih bermotivasi dan kreatif apabila menjalankan tugasnya selain membentuk peribadi yang berdisiplin.

Namun begitu, telekerja ini bukan tiada kekurangannya malah cabaran yang perlu dihadapi. Dari perspektif individu, masalah kesunyian akibat daripada pemisahan daripada rakan-rakan sekerja merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi. Kajian di luar negara mendapati ramai pekerja berasa kecewa dan bosan kerana tidak dapat berinteraksi bersama rakan-rakan sekerja mereka Malah ada berasa risau akan dianaktirikan daripada kenaikan pangkat dan ganjaran kerana mereka jarang berada di pejabat. Memandangkan telekerja menggalakkan penggunaan kuasa autonomi daripada saling bergantung dan bekerjasama, ramai pekerja melaporkan tahap komitmen dan kepatuhan kepada organisasi semakin terhakis. Selain daripada terhakisnya komitmen dan kepatuhan terhadap organisasi, pengasingan yang berlaku juga turut menghalang individu daripada mempelajari budaya organisasi dan mengurangkan pengaruh mereka dalam organisasi.

Selain daripada itu bagi mereka yang bekerja di rumah terutamanya kaum wanita, ramai yang menghadapi kesulitan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif. Ada antara mereka yaiig gagal untuk membezakan antara tugas dan keluarga, Tambahan pula, ramai antara pasangan dan anak-anak yang tidak menghormati dan memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan tugas semasa di rumah.


Di pihak majikan pula, salah satu cabaran besar mereka ialah ketidakupayaan memantau prestasi pekerja secara fizikal. Bagaimanakah seseorang majikan itu boleh mengukur produktiviti, memmbina kepercayaan dengan pekerja dan mengurus mereka jika mereka tiada di depan mata? Jika pengurus tidak dapat melihat subordinat ketika bertugas, bagaimanakah pengurus boleh mengetahui sama ada subordinatnya menghadapi masalah atau melakukan kerja dengan baik. Dengan itu, pengurus tidak mampu menyediakan maklumbalas yang tepat ketika melakukan penilaian prestasi. Sesetengah pengurus mungkin boleh memfokus terhadap hasil dan bukannya proses kerja dengan mengandaikan output yang dihasilkan senang diukur dan dipantau seperti tugas seorang jurujual. Namun bagi sesetengah pekerjaan, pengamalan telekerja mungkin mendatangkan masalah.

Walau apapun halangan dan cabaran yang bakal dihadapi, telekerja tetap dilihat akan menjadi satu amalan bekerja yang popular pada masa akan datang. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh perkembangan teknologi telekomunikasi dan multimedia yang memungkinkan komunikasi berlaku antara kawasan yang terpencil dengan pejabat utama.Dengan sokongan kerajaan yang berterusan adalah tidak mustahil telekerja akan diterima baik dan meluas di negara ini.

Pena Tumpul - Memerhati dari jauh sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w