Friday, July 31, 2009

Kucing

Banyak orang yang tidak pernah puas dengan apa yang telah mereka dapat. Seringkali kita tidak menghargai orang bawahan kita yang telah bekerja dengan setia selama bertahun-tahun. Kita selalu menonjolkan kesalahan dan kelemahan sehingga menenggelamkan kelebihan dan jasa yang telah diberikan. Sebuah kesah pendek dibawah yang saya kutip dari sebuah buku yang sedang seronok saya baca rasanya cukup elok untuk dikongsi.

Seorang penjual daging hampir hendak menutup kedainya apabila ia dikejutkan dengan kehadiran eekor kucing. Ia mengusir kucing itu, tetapi kucing itu kembali lagi.

Maka, ia menghampiri kucing itu dan melihat ada suatu catatan di mulut kucing itu. Ia mengambil catatan itu dan membacanya, "Tolong sediakan 12 sosej. Wangnya ada di mulut kucing ini."

Si penjual daging melihat ke mulut kucing itu dan ternyata ada wang seperti yang dinyatakan. Segera ia mengambil wang itu, kemudian ia memasukkan sosej ke dalam plastik dan diletakkan kembali di mulut kucing itu. Dia betul-betul hairan dengan apa yang dilihatnya itu.

Dia terpanggil untuk menjejaki perjalanan kucing yang dianggap istemewa itu. Dia menutup kedainya dan dan berjalan mengikuti si kucing itu. Kucing tersebut berjalan menyusuri jalan sehingga sampai ke perhentian bus, dan mulai melihat "jadual perjalanan" yang dipaprkan di perhentian bas tersebut. Si penjual daging cukup kagum dengan apa yang dilihatnya. Si kucing kemudian duduk di salah satu bangku yang disediakan. Sebuah bas datang, si kucing menghampirinya dan melihat nombor bas, kemudian kembali ke tempat duduknya.

Bas lain datang. Sekali lagi bukan bas itu yang sepatutnya dia naiki sehinggalah datang sebuah lagi bas yang sepatutnya dinaiki berdasarkan nombor bas yang kucing itu lihat tadi. Si penjual daging yang terus dilanda kehairanan turut sama menaiki bas tersebut untuk terus menyusuri perjalanan kucing itu.

Bas berjalan meninggalkan perhentian, menuju ke pinggiran kota. Si kucing melihat pemandangan sekitar. Akhirnya ia bangun dan bergerak ke depan bus, ia berdiri dengan dua kakinya dan menekan loceng agar bas berhenti. Kemudian ia ke luar, beg plastik masih tergantung di mulutnya.

Kucing tersebut berjalan menyusuri jalan sambil diikuti si penjual daging. Si kucing berhenti pada suatu rumah, ia berjalan menyusuri jalan kecil dan meletakkan beg plastik itu pada salah satu anak tangga.

Kemudian ia menghempaskan badannya ke pintu barangkali untuk menarik perhatian tuan rumah itu supaya membuka pintu. Tidak ada jawapan dari dalam rumah, jadi si kucing menghampiri jendela dan menghantukkkan kepalanya beberapa kali untuk menarik perhatian tuan rumah sekali lagi dan kemudian menuju ke depan pintu semula.

Sejurus selepas itu Si penjual daging melihat seorang lelaki membuka pintu dan mulai menyiksa kucing tersebut, menendangnya, memukulnya, serta menyumpahinya. Si penjual daging berlari untuk menghentikan tindakan lelaki tersebut, "Apa yang kau lakukan? Kucing ini adalah kucing yang amat bijak"

Lelaki itu menjawab, "Kau katakan kucing ini pintar? Dalam minggu ini sudah dua kali kucing bodoh ini lupa membawa kuncinya!"

Pena Tumpul - Cerita kucing yang luarbiasa bijaknya mungkin dilihat tidak masuk akal, namun pengajaran dari cerita tersebut menuntut pertimbangan akal waras dari manusia


Wednesday, July 29, 2009

Batu


Zaman dahulu kala,tersebutlah seorang Raja, yang menempatkan sebuah batu besar di tengah-tengah jalan. Raja tersebut kemudian bersembunyi, memerhatikan jika ada sesiapa yang melalui jalan itu cuba mengalihkan batu tersebut.

Raja melihat ada yang sekadar berjalan melingkari batu besar tersebut. Tidak kurang juga yang kedengaran memaki hamun raja berkenaan kerana tidak membersihkan jalan dari rintangan. Namun tidak ada seorang pun yang kelihatan berusaha untuk menyingkirkan batu itu.

Kemudian lalulah seorang petani, yang sarat dengan muatan bakul yang dijunjung di atas kepalanya. Ketika menghampiri batu tersebut, petani itu kemudian meletakkan dahulu bebannya, dan berusaha keras memindahkan batu itu ke pinggir jalan. Tanpa rasa putus asa pun, akhirnya ia berhasil menyingkirkan batu besar itu. Ketika si petani ingin mengangkat kembali bakulnya, ternyata ditempat batu tadi ada kantung yang berisi banyak wang emas dan surat tulisan raja. Surat itu menjelaskan bahawa emas ini hanya untuk orang yang berusaha untuk menyingkirkan batu tersebut dari jalan.

Petani ini kemudian belajar satu pelajaran yang amat berguna dalam hidupnya. Bahawa tanpa kita ketahui dalam setiap rintangan, tersembunyi kesempatan yang tidak pernah kita jangkakan.

Pena Tumpul - Peluang tidak pernah datang banyak kali

Tuesday, July 28, 2009

Jiwa

Manusia dikatakan memiliki tujuh dimensi jiwa iaitu jiwa mineral, jiwa tumbuhan, jiwa haiwan, jiwa peribadi, jiwa insan, jiwa rahsia dan jiwa maha rahsia. Menurut ahli psikologi agama, sebahagian besar manusia nampak seperti manusia tetapi di dalamnya mereka seperti sebuah ladang ternakan haiwan. Dorongan jiwa hawan dalam diri manusia begitu kompleks sifatnya. Semakin besar dan melampau dorongan ini,kita semua semakin buta mencari penyelesaian dan kita semakin bersikap seperti haiwan daripada manusia cerdas yang berperilaku atas penilaian baik bertujuan mulia.

Robert Frager, pengikut tarikat Halvetti-Jerrahi menceritakan sebuah kisah menarik mengenai jiwa haiwan yang berbahaya apabila berfungsi tanpa kecerdasan. Saya angkat sepenuhnya kisah tersebut untuk renungan bersama.

Seorang pemburu terjumpa dengan seekor beruang yang menderita kerana terkena duri besar. Pemburu mencabut duri tersebut dan sebagai tanda terima kasih membawakan madu dan buahan untuknya. Ini dilakukannya setiap hari sehingga akhirnya pemburu mengambil keputusan untuk tinggal bersama beruang itu. Kawan-kawan pemburu berusaha menyakinkannya betapa luar biasanya untuk tinggal bersama beruang namun tidak dihiraukannya.

Suatu hari, ketika pemuda itu baring di sebelah beruang, seekor lalat terbang di sekitar muka pemuda itu. Beruang cuba mengusirnya namun gagal dan ini menimbulkan kemarahan si beruang. Dia mengambil sebongkah batu besar dan menghempaskannya dimuka pemuda itu ketika lalat itu hinggap di situ. Kesian pemuda yang malang itu. Menerima nasib paling malang akibat kebodohan beruang seekor binatang.

Pena Tumpul - Teringat lontaran Rubiah Suparman lewat filemnya" Dalam kelompok manusia ada yang berjiwa binatang, tetapi tidak pula ada yang berjiwa manusia dalam kelompok binatang"

Monday, July 27, 2009

Geliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii.....


Seorang suri rumah yang saya kunjungi selepas tiga hari memiliki penapis air Bio Aura memaculkan perkataan "geli" sebaik-baik sahaja saya tunjukkan tabung penapis air kepadanya. Begitulah sifat lahiriah air yang diteguknya sekeluarga bertahun-tahun. Bagaikan air limbah, berlumpur dan berlendir yang terperangkap lekat di penapis. Air yang nampak jernih dimata kasar rupa-rupanya amat kotor dan menjijikkan setelah melalui proses penapisan yang ketat. Segala yang kotor akan tertinggal membiarkan cuma air yang cukup bersih untuk diminum. Dia sempat berkata, kalaulah saya memiliki Bio Aura lama dulu...alangkah baiknya. Dia belum terlambat dalam membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya dan ahli keluarganya.

Namun, tidak semua berfikiran, mengambil keputusan dan bertindak secara positif seperti suri rumah tersebut. Kalau ada pun kesedaran tentang keperluan air bersih, tidak pula sampai teruja untuk memiliki satu sistem penapisan air yang baik dan benar-benar dapat diharapkan. Sebilangan besar memiliki penapis air setakat ada sahaja dan itulah alasan penolakan untuk memiliki penapis air yang saya cadangkan. Tidak kurang yang bergantung sepenuhnya kepada pelbagai jenama air tapisan yang dibotolkan di pasaran yang kualiti kebersihannya pun diragui!


Pena Tumpul - Malam ini akan ke Kampung Tengah untuk memasang penapis air lagi

Sunday, July 26, 2009

Menu

Sejurus selepas selesainya majlis ringkas pernikahan anak saudara dan pasangannya lewat pagi ini, saya dan rombongan meninggalkan Masjid AlMizan Kempas untuk makan tengahari di sebuah restoren di Tampoi. Pertama kali ke restoren yang dikenali sebagai "Restoren Macam-Macam Ada". Hidangan nasi beriani yang amat sedap dan menyelerakan. Begitu sedap dan lazat sehingga terbit keinginan untuk menambah sepinggan lagi tetapi terpaksa mengunci hasrat justeru tidak kelihatan seorang pun yang berbuat begitu, malu juga.

Dalam keenakan menjamu selera, mata tertarik kepada menu yang terpampang hijau dan jelas. Dalam pelbagai jenis nasi yang ditawarkan, terselit menu nasi kedekut. Dengan harga RM2.00 saya dapat menjangka nasi ini khas untuk mereka yang sakit poket atau yang begitu berkira-kira dalam berbelanja. Kreatif juga pemilik restoren ini, sesuai benar dengan nama restoren itu sendiri yang macam-macam ada!

Pena Tumpul - Teringat sedapnya nasi lenyek yang emak buat masa kecil-kecil dulu

Friday, July 24, 2009

Water


A physicist, biologist and a chemist were going to the ocean for the first time.
The physicist saw the ocean and was fascinated by the waves. He said he wanted to do some research on the fluid dynamics of the waves and walked into the ocean. Obviously he was drowned and never returned.

The biologist said he wanted to do research on the flora and fauna inside the ocean and walked inside the ocean. He too, never returned.

The chemist waited for a long time and afterwards, wrote the observation, "The physicist and the biologist are soluble in ocean water".

Thursday, July 23, 2009

Habis

Malam tadi saya menemani isteri kerumah Mak Munah untuk memasang unit terakhir penapis air. Satu pencapaian yang diluar jangkaan dalam masa tidak sampai pun sebulan. Di samping menjual, saya dan isteri ingin melihat mereka yang kian celik dan sedar tentang "kotor"nya air yang masuk ke rumah tidak dinafikan keinginan mereka untuk menikmati air bersih. Ramai yang ingin memiliki namun hasrat terbantut oleh harga penapis air yang agak tinggi. Kalau hendak difikirkan berapalah sangat RM2000 untuk dibandingkan dengan nikmat kesihatan yang tidak ternilai oleh wang ringgit. Kami memudahkan mereka dengan pembayaran ansuran sekadar RM100 sebulan. Malah ada yang berkemampuan untuk RM50 tidak juga kami hampakan hasrat mereka.

Kami sedar pada akhirnya dengan sejumlah modal yang pernah kami laburkan dulu, kami hanya akan menuai hasilnya tanpa sebarang keuntungan pun dalam tempoh 21 bulan dari sekarang! Kalau begitu keadaannya, kenapa saya dan isteri perlu menjadi begitu bodoh untuk menceburi satu bentuk bisnes yang tidak mendatangkan keuntungan apa-apa pun? Kelihatanya segala bentuk perniagaan ala MLM tidak ada bezanya. Realitinya tidak begitu. Tidak pernah saya terfikir, isteri begitu bekerja keras mempromosi penapis air kepada sesiapa yang beliau jumpa- sesuatu yang tidak pernah dia lakukan langsung dalam bisnes MLM sebelum ini! Ternyata kerja keras, ringan mulut dan tebal muka memberi impak maksimum dalam melariskan barangan.Saya dan isteri tidak dibiarkan kesorangan. Mereka yang berada di atas dan telah berjaya hampir saban minggu akan turun padang menjengah pemain-pemain dibawah supaya terus teruja dan tidak patah semangat di tengah jalan. Inilah bezanya. Paling terkini, isteri berjaya meyakinkan prospeknya untuk turut serta melabur modal dalam perniagaan ini. Seorang yang berfikiran positif sepertinya kini sudah berada dalam genggaman kemasnya dan menunggu masa untuk sama-sama bingkas dan tangkas.

Pena Tumpul - Gelas yang setengah kosong semakin berisi, berisi dan berisi

Wednesday, July 22, 2009

Keretapi


Berkunjung ke rumah Ustaz Saidin lewat petang semalam sambil menemankan isteri bersama Cikgu Wan untuk memasang penapis air yang diminta oleh isterinya. Walaupun pertemuan agak singkat sempat juga saya mengutip ilmu daripada Ustaz yang sebenarnya tidak asing di kalangan warga tempatan ini. Beliau sering diundang untuk majlis-majlis ilmu dan juga kuliah subuh di masjid dan surau dan ketika mengunjunginya beliau sedang bersiap untuk keluar bagi ceramah Israk Mikraj.

"Hidup ini bagaikan perjalanan sebuah keretapi" katanya. Tanpa landasan keretapi akan mudah sahaja tergelincir dan begitulah juga hidup ini tanpa landasan iman yang kukuh dan pedoman AlQuran dan Sunnah. Gerabak-gerabak itu bagaikan jasmani dan rohani yang mengangkut dosa dan pahala bercampur baur. Sejurus keretapi bergerak meninggalkan stesyen ia bagaikan seorang bayi yang baru keluar dari perut ibunya, mendaki usia sebelum membawanya semakin hampir dan hampir menuju destinasi akhirat yang abadi. Beruntunglah kalau gerabak yang dibawa bersama penuh dengan pahala, dan rugilah pula kalau dosa yang lebih banyak dibawa. Satu analogi yang amat menarik dan mengesankan.

Saya beredar meninggalkan rumah Ustaz di Bukit Siput sejurus sebelum Maghrib menyapa dengan isteri yang makin lebar senyumannya dan saya sendiri yang sempat minum air sambil menyelam. Gelas yang kosong makin bertambah isinya!

Pena Tumpul - Ilmu bukan dari buku sahaja

Tuesday, July 21, 2009

Suara


Kekayaan tidak dapat diraih dalam sekelip mata. Kalau demikian mudahnya untuk menjadi kaya, rasanya ramai yang berebut-rebut untuk kaya. Kekayaan terbit dari kerja keras dan semangat yang tidak pernah luntur, malah sentiasa membakar dan membara. Justeru sukarnya untuk kaya, ramai yang tumpas ditengah jalan akibat tidak mampu melawan pelbagai bentuk cabaran yang datang dari segenap sudut. Suara-suara negatif yang membunuh kecekalan dan keazaman untuk terus berjuang berselang seli dengan hamburan kata-kata positif yang membina keyakinan untuk terus berjuang dan menggapai impian.

Saya kagum dengan semangat kental dan daya juang yang dimiliki oleh seorang isteri saya. Apabila saya bersetuju untuk menyuntik sejumlah RM20,800 bagi beliau memulakan bisnes penapis air dulu,dia telah bertekad untuk tidak patah semangat walau apa pun cabaran yang bakal menerjah. Dia sedang membuktikannya. Suara-suara meluntur semangat dia benamkan sedalam-dalamnya. Kata-kata yang memperlekehkan bisnes MLM yang bakal menguntungkan satu pihak tertentu sahaja juga beliau tepis dan humban jauh-jauh. Nah, tidak sampai pun sebulan sejumlah 8 unit penapis bernilai lebih kurang RM17 ribu telah berjaya dia jual. Satu pencapaian yang bisa diperoleh berkat kerja kerasnya. Kini dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Bila semangatnya seakan goyah, saya bawakan gelas sentengah berisi setengah kosong untuk diamati dan difikir dalam-dalam lantas semangatnya menyala kembali. Bagi yang optimis, nampak gelas yang berisi dan yang pesimis terus melihat gelas yang kosong dan Alhamdulillah isteri saya nampak gelas yang berisi!

Pena Tumpul - Bukan senang nak senang

Monday, July 20, 2009

Gudang Garam

Kawan yang baru saya kenali dalam bisnes Hai-O, Uncle Khalid datang dari Kuantan bersama isteri Aunty Rokiah untuk pertama kali ke Gudang Garam. Saya dan isteri mengundang beliau ke rumah dan sekaligus ke dua buah rumah berhampiran untuk pemasangan penapis air Bio Aura. Beliau berseloroh dengan nama kampung Gudang Garam yang selalu dikaitkan dengan satu jenama rokok kretek. Sesiapa pun akan berkata begitu untuk pertama kali diperkenalkan dengan kampung ini. Malah saya pun pernah begitu dulu. Memang melucukan tentang nama kampung yang telah saya kenali 25 tahun yang lalu ini. Pada mulanya saya tidak pernah tahu akan kedudukan kampung yang sebenarnya cuma kira-kira 5 km sahaja ke bandar Segamat. Sejak mengenali isteri saya, nama kampung ini tidak lagi pelik dan luar biasa.

Berdasarkan maklumat lisan daripada penduduk yang dikira paling tua di kampung ini, Encik Ayub Lamin, 85 tahun, kampung ini mendapat nama ekoran daripada peristiwa aneh dua ekor kerbau yang dilihat begitu asyik menjilat-jilat tanah di salah sebuah lembah yang terdapat di kampung ini. Menurut cerita yang lain, lembah tersebut pernah dijadikan stor atau gudang menyimpan garam semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 40an. Begitulah ceritanya.

Kampung ini tidak terpinggir dari arus pembangunan. Pelbagai kemudahan awam ada disediakan untuk para penduduknya seperti balairaya, sekolah tadika dan menjelang bulan Februari tahun depan sebuah masjid baru bakal tersergam menggantikan masjid lama yang telah usang. Sebatang jalanraya yang menghubungkan beberapa buah kampung ke bandar kian hari kian sebok dengan kenderaan yang keluar masuk dari dua persimpangan - Kg Gemereh dan Jalan Temenggong. Sesuatu yang tidak boleh dilupakan - durian dari kampung ini dikatakan antara durian yang terbaik dan sedap.

Pena Tumpul - Pernah merasai jalan merah berdebu bila mula-mula bertandang kerumah bakal isteri

Sunday, July 19, 2009

Tambang

Tambang pengangkutan awam akan naik mula Ogos ini. Bagi pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada bas dan teksi, kenaikan ini pastinya membebankan dan mengecilkan pendapatan bolehguna mereka. Keadaan lebih memeritkan bagi mereka yang menghuni kota-kota besar seperti KL justeru inilah satu-satunya perkhidmatan yang tinggal untuk dipilih selain daripada menggunakan kenderaan sendiri dalam mengharungi kesesakan jalan raya yang tidak pernah selesai.

Saya sendiri sejak sekian lama tidak menggunakan bas dan teksi sebagai pilihan utama untuk kemana-mana destinasi kecuali benar-benar perlu. Sesekali ingin bersantai sebagai penumpang untuk perjalanan yang agak jauh barulah bas dijadikan sasaran. Justeru itu, saya tidak pernah merasakan kesukaran yang dialami oleh pengguna pengangkutan awam ini saban hari.

Di Segamat, sejak puluhan tahun yang lalu, perkhidmatan pengangkutan awam tidak banyak berubah. Syarikat yang sama masih terus beroperasi. Bagi pengguna bas, Yow Hoe Company dan NWJ dilihat masih terus menguasai jalanraya sepanjang perjalanan Segamat ke Gemas, Air Hitam dan Muar meninggalkan syarikat Lian Lock yang sudah lama berkubur.

Pena Tumpul - Lebih selesa memandu kereta sendiri

Saturday, July 18, 2009

Ujikaji


Isu PPSMI masih belum reda walaupun kerajaan telah memutuskan ia akan dimansuhkan pada tahun 2012. Banyak pihak yang bersuara. Ada yang melahirkan kegembiraan khususnya kalangan yang dipanggil pejuang bahasa kerana tindakan mereka menentang habis-habisan dahulu akhirnya membuahkan kejayaan. Kerajaan akur dengan kemahuan mereka sekurang-kurangnya pada pandangan orang ramai. Mungkin kerajaan Najib ada sebab lain untuk tidak meneruskan "brainchild" Mahathir ini. Tidak kurang yang menyatakan rasa kecewa kerana PPSMI ini bukan tidak ada baiknya. Sekurang-kurangnya ia memberi lebih ruang kepada murid-murid untuk menggunakan bahasa ini dalam konteks sains dan teknologi. Sementelah lagi bahasa ini jugalah yang mendominasi gerbang ilmu dan maklumat era digital.

Antara sebab yang didedahkan kepada umum - kemerosotan pencapaian dalam kedua-dua subjek Matematik dan Sains dikalangan pelajar di dalam peperiksaan awam sejak PPSMI dilaksankan.Ada kebenarannya justeru guru-guru yang diamanahkan untuk mengajar subjek tersebut didapati tidak cukup mantap penguasaan Bahasa Inggerisnya. Logiknya, kalau begitu keadaannya adalah wajar PPSMI ini dimakamkan sahaja. Guru-guru yang terlibat tidak tertekan dan murid pula tidak terus dihimpit kesukaran bergelut antara bahasa dan kandungan.

Namun dilihat dari kacamata yang lebih realistik dan praktikal, tidak pula saya nampak salahnya Sains dan Matematik di ajar dalam Bahasa Inggeris. Keadaan akan menjadi gawat sekiranya semua subjek di ajar dalam Bahasa Inggeris hatta pengajaran Bahasa Melayu itu sendiri. Jati diri Melayu tidak akan hilang hanya kerana perkara remeh begini. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Kalau benar dan sungguh pendemokrasian pendidikan ingin direalisasikan, beri pilihan kepada rakyat. Kalau perlu apa salahnya berbalik kepada sistem pendidikan dwi aliran seperti dahulu. Saya masih ingat ketika mana bapa memilih untuk saya belajar dalam aliran Inggeris walaupun aliran Melayu memang ada. Kebetulan saya merupakan kelompok terakhir sebelum kerajaan memansuhkan aliran Inggeris ini. Satu keputusan yang diambil atas alasan integrasi nasional kononnya, namun tidak cukup bijak.

Saya melihat dari dulu sistem pendidikan menerima kesan langsung paling hebat setiap kali pucuk kepimpinan politik negara bertukar tangan. Bak kata orang, sekali air bah sekali pasir berubah. Anak-anak sekolah terus dijadikan bahan ujikaji dan sepak terajang pemain-pemain politik tanah air. Kasihannya, gajah sama gajah berjuang, pelandok mati di tengah-tengah.
Cukup-cukuplah mempolitikkan soal pendidikan ini!

Pena Tumpul- Kalau hydrogen cuma bertukar hidrogen apalah sangat Sains dalam Bahasa Melayu yang masih tandus istilah!

Wednesday, July 15, 2009

Analogy


This morning, in the class of CCTS, I told the story below to my students to generate better understanding how analogy is employed in the thinking process. I am expecting that they will come up with better examples out of their creative thinking process.

A man went to a barbershop to have his hair cut and his beard trimmed. As the barber began to work, they began to have a good conversation.

They talked about so many things and various subjects. When they eventually touched on the subject of God,

The barber said: "I don't believe that God exists."
"Why do you say that?"asked the customer.

"Well, you just have to go out in the street to realize that God
doesn't exist. Tell me, if God exists, would there be so many sick people? Would there be abandoned children?


If God existed, there would be neither suffering nor pain. I can't imagine a loving God who would allow all of these things."

The customer thought for a moment, but didn't respond because he didn't want to start an argument.


The barber finished his job and the customer left the shop. Just after he left the barbershop, he saw a man in the street with long, stringy,dirty hair and an untrimmed beard. He looked dirty and unkempt. The customer turned back and entered the barber shop again and he said to the barber: "You know what?

Barbers do not exist.""How can you say that?" asked the surprised barber. "I am here, and I am a barber. And I just worked on you!" "No!" the customer exclaimed.

"Barbers don't exist because if they did, there would be no people with dirty long hair and untrimmed beards, like that man outside."

"Ah, but barbers DO exist! " answered the barber. " What happens, is, people do not come to me.

"Exactly!"- affirmed the customer. "That's the point! God, too, DOES exist!

What happens, is, PEOPLE DON'T GO TO HIM AND DO NOT LOOK FOR HIM...

That's why there's so much pain and suffering in the world."

Don't forget to give God his due - Do Prayer !!!

Pena Tumpul - Interesting class

Tuesday, July 14, 2009

Masa


Kepentingan menepati masa kelihatannya tidak begitu diberikan perhatian di kalangan sebahagian besar daripada kita. Di kalangan masyarakat Melayu konsep masa sebenarnya begitu elusif dan tidak spesifik. Masa sering dikaitkan dengan lima waktu sembahyang. Lalu terbentuklah semacam budaya masa yang berkait rapat lima waktu ini. Ungkapan-ungkapan seperti lepas zohor, lepas asar, maghrib dan seumpamanya lebih kerap digunakan daripada menyatakan waktu secara tepat.

Sekiranya waktu lepas zohor yang di ungkapkan bermakna masa senggang sekitar tiga jam sebelum muncul waktu asar itulah yang perlu dipegang. Saya melihat konsep masa yang diamalkan begini tidaklah begitu baik justeru ia menyusahkan dan sekaligus membiarkan masa berlalu percuma. Malam tadi saya dibiarkan menunggu sehingga satu jam untuk satu temu janji yang dirancang berlaku selepas Maghrib. Sehingga hampir mendekati Isyak, barulah yang di nanti menjelma. Walau apa pun alasan yang diberikan, saya mengambil pendirian untuk tidak berkompromi sama sekali kerana jelas dia memang bermain dengan masa.

Pena Tumpul - Demi masa manusia selalu dalam kerugian, kecuali......

Friday, July 10, 2009

Syukur

Kisah berikut diterima melalui email daripada seorang rakan dan elok untuk dikongsi bersama.

Nabi Musa a.s. memiliki ummat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa a.s.. Ia begitu miskinnya pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu.

Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa a.s., "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. permohonanku ini agar Allah s.w.t. menjadikan aku orang yang kaya." Nabi Musa a.s. tersenyum dan berkata kepada orang itu, "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.". Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, "Bagaimana aku mau banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini saja"!. Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa a.s.. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa a.s., "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu." Nabi Musa a.s.pun tersenyum, lalu ia berkata, "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.". "Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah s.w.t.?. Allah s.w.t. telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah s.w.t. telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu. Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya.

Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah s.w.t. tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah s.w.t. mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mau bersyukur kepada Allah s.w.t.

Wallahualam..

Pena Tumpul - Bersyukur dengan nikmat Allah

Thursday, July 09, 2009

Teknostres


Craig Brod, peneraju dalam penyelidikan teknostres menyatakan teknostres adalah masalah yang terbit dari kegagalan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi seperti komputer dan sebagainya.

Namun saya ingin melihatnya dalam perspektif yang berbeza. Penggantungan secara berlebihan kepada gajet teknologi adakalanya memberi impak negatif dan menimbulkan stres. Ketika sedang menulis sesuatu menggunakan komputer, sekonyong-konyong bekalan elektrik terputus. Keadaan menjadi lebih parah sekiranya maklumat yang penting tidak sempat disimpan. Begitu juga ketika kita terlalu bergantung kepada sistem pendingin udara untuk persekitaran suhu kerja yang lebih nyaman dan selesa, ia tiba-tiba gagal berfungsi juga atas faktor masalah tenaga elektrik yang tidak kita jangka.Kepanasan pastinya.

Begitu hebatnya penggayutan kita pada sumber tenaga moden ini, sesekali dia gagal berfungsi, merencat seluruh aktiviti harian kita. Penggunaan mesin basuh, periuk nasi, seterika dan pelbagai radas yang bernyawakan tenaga elektrik di rumah mahu pun di pejabat tidak mampu kita elakkan lagi atas nama permodenan. Bayangkan kejenuhan menyusur tangga setinggi 10 tingkat bila lif tidak boleh digunakan!

Teknologi tidak selalunya menyenangkan malah adakalanya menekan perasaan lebih-lebih lagi punca masalah tidak bongkar-bongkar.

Pena Tumpul - Teringat nenek dengan dapur tanahnya

Wednesday, July 08, 2009

Pasangan


Ada lelaki ada perempuan
Ada putih ada hitam
Ada tinggi ada rendah
Ada kaya ada miskin
Ada rajin ada malas
Ada cantik ada hodoh
Ada syurga ada neraka
Ada Raqib ada 'Atid
Ada panjang ada pendek
Ada sedih ada ketawa
Ada luas ada sempit
Ada terang ada gelap
Ada pandai ada bodoh
Ada mahal ada murah
Ada baik ada jahat
Ada pemurah ada kedekut
Ada cepat ada lambat
Ada antan ada lesung
Ada high profile ada low profile
Ada peramah ada pendiam
Ada yang suka menonjolkan diri ada yang suka menyembunyikan diri
Ada yang kuat ada yang lemah
Kalau sudah begitu pasangannya
Terimalah seadanya
Jangan ada yang mengada-ngada cerita


Pena Tumpul - Geram

Tuesday, July 07, 2009

Kuasa


Bandar Segamat yang sunyi sejak beberapa minggu lalu kini kembali hiruk pikuk dan sebok dengan kehadiran pelajar-pelajar UiTM. Kewujudan UiTM tidak dinafikan memberi sumbangan yang bukan sedikit kepada kerancakan dan kesuburan aktiviti perniagaan di bandar ini. Pelajar UiTM merupakan antara kuasa beli yang terbesar dan ini dinyatakan sendiri oleh beberapa peniaga yang sempat saya temui tidak berapa lama dahulu.

Restoran makanan segera, kiosk telefon bimbit dan kedai alat tulis antara perniagaan yang paling banyak memindahkan wang dari kocek pelajar ke dalam kocek mereka. Dengan kemasukan baru sekitar 1400 orang, peniaga pastinya tersenyum lebar untuk bebarapa bulan mendatang ini. Restoran kopitiam yang menawarkan sistem WIFI percuma juga cukup bijak menerkam peluang. Tidak terkecuali pengusaha bas yang mengangkut pelajar keluar dan masuk saban hari turut berkongsi laba. Petang ini, peniaga pasar lambak menerima asakan luar biasa daripada pelajar yang nampaknya tidak begitu kesah sangat dengan hujan yang mencurah.

Pena Tumpul - Teringat idea Restoran makanan segera dalam kampus yang pernah dibangkitkan di era pengurusan terdahulu....apa sudah jadi?

Saturday, July 04, 2009

RM20,800


RM20,800 untuk 10 unit panapis air BIOAura, perlu dilaburkan dan saya serta isteri diberitahu dalam beberapa bulan, impian untuk lima angka bakal menjadi kenyataan. Mudahnya. Bak kata pepatah Inggeris, "easier said than done" Namun itulah yang dikhabarkan oleh Puan Juraidah dan suaminya En Ahmad bila berkunjung ke rumah malam tadi. Dia bercakap dengan dirinya sebagai bukti kepada kejayaan yang telah pun diraihnya. Teruja juga mendengarnya.

Sejak sedekad lalu bisnes ala MLM ini tidak pernah membuatkan saya amat tergoda dengannya.Sekadar untuk menjaga hati kawan, ia selalunya terkubur bersama-sama dengan kit permulaan yang tidak pernah pun membakar semangat untuk bergerak selepas itu. Avon,Amway, Revell, Cosway, Newton, Caileygirl, KLink antara yang pernah dicuba.

Juraidah yang sanggup datang dari Kuantan meninggalkan saya dan isteri sekitar 12 malam yang masih gagal untuk diyakinkan sepenuhnya. Saya sedang melihat sebiji gelas yang setengah berisi dan setengah kosong.

Pena Tumpul - Tahu 9/10 rezeki datang dari bisnes

83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...