Skip to main content

Perpaduan

Gagasan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas wajar diterima baik oleh semua pihak khususnya UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) dan juga PKR serta DAP yang membentuk Pakatan Rakyat(PR). Perbincangan tentang penubuhan kerajaan perpaduan ini terhenti seketika apabila ada kelompok dalam PAS, malah DAP dan PKR yang masih lagi tidak memahami maksud sebenar gagasan ini dan sekaligus menolak sebarang usaha untuk bersekongkol dengan BN.

Apa itu kerajaan perpaduan? Adakah gagasan kerajaan Perpaduan Hadi berbeza dengan kerajaan perpaduan yang pernah dilakukan di setengah-setengah negara seperti Britain, Amerika Syarikat, Israel dan lain-lain itu? Wikipidea mendefinisikan kerajaan perpaduan sebagai sebuah kerajaan yang biasanya dibentuk hasil dari gabungan beberapa buah parti utama ketika perang atau pun dalam menghadapi krisis. Saya melihat saranan Hadi juga bermotif yang sama iaitu untuk menyatukan pemerintahan negara di bawah satu panji iaitu kerajaan tanpa pembangkang bagi menangani pelbagai masalah yang mencengkam negara kini- masalah sosial dalam negara dan ekonomi global yang memberi impak kepada negara.Cuma, kalau ada pun perbezaan yang kurang ketara sebenarnya gagasan ini dicetuskan oleh parti bukan kerajaan dan bukannya parti yang memerintah.

Di negara-negara seperti Kanada,Britain, Amerika Syarikat malah Israel tawaran dimulakan oleh parti kerajaan kepada parti pembangkang untuk bersama-sama menganggotai kerajaan dalam merencana pentadbiran negara.

Walaupun ada kelompok yang menentang gagasan ini dan pastinya berasaskan fahaman sempit parti politik yang mereka dokongi, usaha ke arah merealisasikan kerajaan ini perlu diteruskan. Sikap terbuka Perdana Menteri berhubung idea ini dilihat sebagai satu petanda amat cerah untuk rundingan kedua-dua pihak bagi memperhalusi gagasan murni ini.

Sebenarnya kerajaan perpaduan ini bukanlah baru dalam konteks negara ini yang terdiri daripada pelbagai parti politik. Sekiranya gagasan kerajaan perpaduan ini dilihat dari perspektif bagaimana gagasan Barisan Nasional dicetuskan oleh Tun Razak pada 1974 dahulu, menghimpunkan semua parti-parti politik yang berbeza ideologi tentunya menjadi mudah. Kalau Gerakan boleh dipujuk untuk tinggal sebumbung bersama UMNO, MCA dan MIC bagi sama-sama menggubal dasar dalam menghadapi masalah perkauman yang dimanifestasikan melalui rusuhan kaum 13 Mei 1969, percaturan kerajaan perpaduan kali ini ternyata lebih mudah kerana parti politik tidak sampai mengorbankan ideologi politik masing-masing justeru tujuan utamanya adalah kesejahteraan negara dan kepentingan rakyat.

Malah saya melihat gesaan Datuk Najib supaya parti-parti komponen dalam BN melakukan restropektif bakal memudahkan lagi usaha untuk merealisasikan kerajaan campuran. Saranan supaya parti politik tidak dijadikan platform untuk memburu jawatan-jawatan demi kepentingan politik peribadi tetapi sebaliknya lebih mendekati rakyat dan merasai denyut nadinya, adalah intipati kerajaan perpaduan itu sendiri - politik yang memihak kepada rakyat. Lanskap politik negara yang berubah secara ketara selepas PRU12 memberi isyarat yang cukup jelas kepada BN bahawa rakyat menolak parti yang membelakangkan kepentingan rakyat.

Selain itu, ia juga memberi petunjuk kepada perlunya kerajaan perpaduan dibentuk dalam mentadbir negara secara bersama bagi menghadapi masalah yang mengancam negara luar dan dalam. Malah sesuatu yang tidak dapat tidak perlu diterima bahawa politik abad 21 menuntut kepada perubahan dalam pengurusan sesebuah negara. Sesebuah negara tidak lagi boleh ditadbirkan secara individual dan singular malah menuntut kepada perkongsian dan kesepakatan. Justeru, kerajaan perpaduan dilihat disuarakan pada masa yang amat sesuai dan tidak seharusnya dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk menjadikannya satu kenyataan dalam konteks pemerintahan negara ini.

Penubuhan kerajaan perpaduan ini seharusnya dijadikan medan untuk BN membuktikan kepada rakyat bahawa ia memang benar-benar jujur berjuang untuk rakyat kali ini atau bakal di tolak secara total dalam pilihanraya akan datang. BN perlu bersedia menerima kehadiran pembangkang dalam kerajaan di atas kapasiti untuk mentadbir kerajaan secara kolektif demi kepentingan rakyat dan negara.

Kita tidak perlu menunggu sehingga negara di landa kepunahan yang hebat, ketika mana segala-galanya telah musnah baru kita hendak duduk semeja berunding mencari jalan penyelesaiannya.
Inilah masanya yang paling sesuai untuk setiap pendokong parti politik yang berlainan ideologi mengorbankan cita-cita politik mereka agar dilihat oleh rakyat berjuang untuk kepentingan mereka dan meletakkan kesejahteraan negara sebagai agenda utama.

Saya melihat kerajaan perpaduan gagasan PAS ini selari dengan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri. Kalau IMalaysia berakar di rakyat, kerajaan perpaduan pula di tunjangi oleh para pemimpin politik. Justeru itu kedua-dua entiti ini perlu berganding bahu untuk mencapai hasrat melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang ampuh bagi menghadapi pelbagai cabaran di peringkat global yang semakin hebat sekarang.

Seharusnya kita belajar dari kematangan berpolitik Obama yang membawa masuk seteru politiknya seperti Clinton dan McCain ke dalam White House selepas dipilih sebagai Presiden Amerika. Ini pernah dilakukan oleh Abraham Lincoln malah ia mendorong Obama untuk mewujudkan "Team of Rivals" dalam pentadbirannya. Mungkinkah ini berlaku di kalangan para pemimpin politik kita?

Comments

kamarularifin said…
saya juga bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan ini...lebih2 lagi cadangan ini datangnya drp Parti PAS...ini akan menambahkan lagi kekuatan orang2 melayu khasnya...orang2 bukan melayu tentu tidak mahu melihat orang2 melayu bersatu padu sebagaimana orang2 barat memecahbelahkan Islam....HIDUP MELAYU

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w