Monday, August 31, 2009

Fasa1


"Awal atau mulanya (bulan Rama-dhan) adalah rahmat, tengahnya pengampunan dan akhirnya ialah kemerdekaan dari api neraka".


Diam tidak diam sudah 10 hari umat Islam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Begitu pantasnya masa beredar. Bermakna fasa pertama yang sarat dengan rahmat kurniaan Allah akan berlalu dan bakal menyusul Fasa kedua yang datang bersamanya anugerah pengampunan dari Allah untuk hambanya yang berpuasa penuh ketaqwaan. Rahmat Allah tentunya lebih daripada sekadar limpahan harta benda atau wang ringgit, besarnya rumah, tingginya kedudukan atau banyaknya makanan yang tersaji di meja sewaktu berbuka puasa. Pastinya juga anugerah hati yang tenteram, fikiran yang tenang, fikiran yang tidak kusut, sihat tubuh badan dan bahagianya kehidupan yang dikecapi dan dinikmati. Malah segala amal baik, soleh dan ibadah sunat dan wajib kita pada bulan Ramadhan ini akan diberikan ganjaran pahala berlipat ganda. Setiap ibadah wajib yang diamalkan akan digandakan ganjaran pahalanya di sisi Allah Ta'ala sehingga 70 kali ganda. Amat banyaknya anugerah Allah di bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini.

Pena Tumpul - Bersyukur hidup bernaungkan langit dan berpaksikan bumi yang merdeka cipataan Allah

Sunday, August 30, 2009

Juadah

Berbuka puasa bagaikan tidak lengkap tanpa sajian pelbagai makanan dan aneka minuman di atas meja. Buah tamar atau khurma yang sunat dijamah sejurus selepas berbuka dan sepatutnya sudah dikira memadai tidak mampu menahan jeritan selera di siang bulan puasa. Lonjakan untuk meninjau-ninjau gerai-gerai makanan yang tumbuh bagai cendawan di setiap pelusuk begitu kuat saban petang. Rambang mata dalam membuat pilihan. Pembelian tanpa perancangan selalunya akan berakhir dengan pembaziran. Kuih yang nampak amat menyelerakan sebelum berbuka tidaklah sedap sangat untuk dinikmati lagi selepas beberapa suapan makanan. Beberapa jenis air yang dibeli yang dirasakan bagaikan tidak cukup banyak untuk menghilangkan dahaga seharian akhirnya tidak mampu dihabiskan selepas beberapa gogokan. Runtunan nafsu sekali lagi menewaskan kita. Justeru amat sedar dengan penipuan nafsu ini, Ramadan kali ini membuatkan saya lebih berhemah.

Kunjungan ke bazar tidak lagi kemestian pada setiap petang. Ada hikmahnya apabila pandemik H1N1 tiba-tiba melanda. Namun tidak ramai yang sedar. Saya malu pada diri sendiri apabila saya, isteri dan Haziq antara sejumlah kurang daripada 10 orang yang mengambil langkah pencegahan dengan bertopeng apabila berkunjung ke bazar Ramadan paling besar di Segamat petang ini - kunjungan pertama saya setelah sembilan hari Ramadan berlalu. Setelah mundar mandir menjamu mata dari gerai ke gerai, saya pulang dan cukup puas dengan Roti John (kegemaran isteri), buah melaka pilihan tetap saya dari dulu, sekeping murtabak dan tentunya sebungkus nasi ayam untuk Haziq. Melihat kepada sesaknya orang, hasrat untuk berkunjung lagi mungkin akan dikuarantinkan buat sementara waktu. Justeru bazar Paya Pulai yang tidaklah begitu sesaknya dikira pilihan yang lebih baik.

Berbuka puasa petang ini begitu mengundang kemarahan isteri dek Roti John yang indah rupa dari rasa dan murtabak yang berkulit tebal tanpa isi. Mudahnya berniaga dan membuat untung di bulan mulia ini membiarkan pembeli merungut tertipu.

Pena Tumpul - Buah melaka buatan emak lebih sedap lagi apatah lagi kuih koci labunya

Saturday, August 29, 2009

Daud

Suara dari corong radio memang jarang kedengaran di rumah kecuali sekali sekala terbit keinginan untuk mendengar lagu-lagu lama khususnya irama 60an yang mengusik jiwa. Radio cuma berperanan sebagai teman penghibur semasa kebosanan memandu. Sebuah radio yang telah dibeli sejak bertahun yang lalu tinggal rosak tanpa dibaiki. Ketika hariraya semakin hampir dan lagu hari raya sudah kedengaran dimainkan, keinginan untuk mendengar radio tiba-tiba timbul mendadak. Sedar akan radio yang rosak, saya teringat Daud seorang rakan karib di waktu sekolah yang sememamgnya mahir dalam membaiki peralatan elektrik khususnya radio dan tv. Satu yang istemewa tentang Daud ialah beliau tidak pernah mengambil kesempatan untuk mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggannya.

Daud juga begitu pendiam namun amat disenangi. Saya masih ingat bila sekumpulan pelajar perempuan sekelas mengunjunginya waktu hari raya, beliau menyembunyikan dirinya di bawah rumah dan enggan menjelmakan diri sehinggalah kami semua pulang. Begitulah Daud yang amat pemalu. Seingat saya sudah lebih kurang 20 tahun Daud yang memiliki kedai di Buluh Kasap ini bergantung kepada perniagaan ini untuk menyara hidupnya. Saya kira Daud adalah satu-satunya anak Melayu di Segamat ini yang masih bertahan dalam bidang yang rata-ratanya di kuasai oleh kaum bukan Melayu ini. Saya pernah mencadangkan kepadanya supaya membesarkan perniagaannya dengan menjual peralatan elektrik namun beliau menyatakan belum cukup bersedia untuk itu.

Pena Tumpul - Pernah menyimpan cita-cita seperti Daud sewaktu zaman sekolah dahulu

Friday, August 28, 2009

Tempayan2


Pelbagai cara digunakan oleh peniaga untuk menarik perhatian pelanggan di bulan Ramadan. Ketika berjalan kaki menuju ke masjid Kampung Jawa untuk solat Jumaat mata saya tertarik kepada sebuah gerai yang menyajikan Ayam Kukus Tempayan yang saya kira tidak pernah pun ditemui dimana-mana pun sebelum ini. Peniaga ini pastinya cukup kreatif dengan mempelbagaikan serta meluarbiasakan masakan ayamnya. Ayam golek, ayam panggang, ayam percik, sup ayam, sate ayam dan ayam tomato sudah amat selalu kita temui dan merasainya. Apalah agaknya keistemewaan ayam kukus tempayan ini? Adakah sehebat roti tempayan?

Pena Tumpul - Jemunya makan daging ayam

Thursday, August 27, 2009

Tempayan1

Selepas usai mengerjakan sembahyang tarawih, dalam perjalanan pulang Along menyuarakan rasa sedihnya kerana hari raya tahun ini beliau tidak mungkin dapat menyumbang apa-apa untuk keluarga lebih-lebih lagi buat emak seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya tahu Along tidak dapat menyembunyikan rasa tidak enaknya justeru sejak beberapa bulan lalu beliau tidak memiliki pekerjaan tetap. Along terbabit dalam pemberhentian pekerja. Beliau nampak kecewa sangat kerana sampai sekarag masih gagal menemukan pekerjaan yang amat seseuai untuknya. Dia ada berjanji kepada emak hendak memberi warna baru pada rumah emak. Saya katakan kepadanya bahawa ada seribu satu cara lain lagi untuk membuat emak gembira. Tidak semestinya wang ringgit, namun kesediaan untuk menghulurkan tenaga juga sudah dikira satu sumbangan yang tidak ternilai harganya. Lalu saya katakan kepadanya walau bagaimana pun keadaan kita, kita masih lagi penting. Saya ceritakan kesah tempayan yang retak kepadanya.

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan, yang dibawa menyilang pada bahunya.Satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan itu hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya, kerana dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akan ketidaksempurnaannya dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari jumlah yang seharusnya dapat diberikannnya. Ia malu kerana dirinya yang retak itu membuatnya gagal untuk menyumbang air yang banyak kepada tuannya.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas kasihannya, ia berkata,

“Jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan.”

Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari bahwa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan, dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan kembali tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya. Si tukang air berkata kepada tempayan itu,

“Apakah kamu memerhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang lain yang tidak retak itu. Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu, dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang.”

Moralnya, setiap dari kita memiliki cacat dan kekurangan kita sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Tuhan akan menggunakan kekurangan kita untuk menghiasNya. Di mata Tuhan yang bijaksana, tidak ada yang terbuang percuma. Jangan takut akan kekurangan kita. Kenalilah kelemahan kita.

Saya melihat kekuatan di dalam kelemahan diri sambil membiarkan Along yang kelihatan sudah bertukar ceria.

Pena Tumpul - Berhati-hati dengan mereka yang bermulut tempayan

Tuesday, August 25, 2009

Tarawih


Sejak empat malam yang lalu saya menunaikan sembahyang sunat tarawih di masjid-masjid yang berlainan. Ia menjadi begitu kerana Gudang Garam sedang memberi laluan kepada sebuah pembinaan masjid yang baru. Saya kira inilah masanya yang sesuai untuk berhijrah dari masjid ke masjid sepanjang bulan puasa ini. Masjid Segamat Baru menjadi rumah Allah yang pertama untuk saya sempurnakan ibadat ini bersama-sama dengan Haziq, isteri dan emak. Kebetulan saya mengunjungi emak yang menghabiskan masa melayan kerenah cucu-cucunya semalam dua di rumah adik bongsu di taman perumahan di sekitar Segamat Baru. Satu permulaan tarawih yang meruntun keinsafan seorang hamba di sisi Penciptanya. Sembahyang tarawih malam pertama ini menjadi begitu dihayati dengan alunan bacaan menyentuh jiwa insan kerdil daripada seorang Imam yang saya kira bertaraf hafiz.

Malam keduanya saya bercadang untuk berkumpul bersama-sama adik beradik yang pulang dari jauh untuk berbuka puasa bersama emak di Batu Anam. Terkesima dengan aneka juadah yang disajikan di hari pertama berbuka puasa. Tidak putus-putus saya memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi di depan ahli keluarga betapa beruntungnya kita di anugerahkan dengan rezeki yang melimpah ruah. Pelbagai makanan dan minuman. Tidak cukup dengan yang dimasak sendiri oleh emak, masing-masing pulang dengan aneka kuih dan minuman yang dibeli dari bazar Ramadan. Emak pula menyediakan bubur kacang hijau untuk kami semua. Sedap juga, lebih-lebih lagi apabila dapat peluang makan beramai-ramai sekali sekala. Ketika seronok berbuka, tiba-tiba teringatkan arwah ayah yang sudah 10 tahun meninggalkan kami. Saya bertarawih di Masjid Batu Anam yang menyimpan kenangan ketika bertarawih sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Imam Abu Seman masih lagi imam setelah bertahun-tahun. Imam yang diingati kerana bacaan lajunya apabila mengimamkan sembahyang tarawih. Saya masih ingat betapa saya bertungkus lumus untuk menyesuaikan diri dengan momentum imam ini. Malam ini saya masih lagi diimamkan oleh Imam Abu Seman dan saya selesa. Masih lagi ada kelibat Cikgu Kasim, Cikgu Lias dan Bilal Husin.

Di malam ketiganya, tiba-tiba isteri mengadu agak letih dan tidak cukup gagah untuk ke masjid. Saya bercadang untuk ke masjid Lubuk Batu sebenarnya. Lalu sembahyang jumaah di rumah sahaja. Malam tadi, bersama Haziq saya menunaikan ibadat tarawih di Masjid Lubuk Batu. Haziq cukup teruja dengan bacaan Imamnya yang pastinya seorang Hafiz. Ternyata luar biasa rasa dan kesannya berimamkan seorang Hafiz.

Saya melihat perlunya Imam bertaraf Hafiz di masjid-masjid.

Pena Tumpul - Sedang menimbangkan cadangan Haziq untuk menunaikan tarawih di 30 buah surau dan masjid yang berlainan di Segamat ini

Monday, August 24, 2009

Adab


Ustaz Ismail Kamus dalam bukunya, Indahnya Hidup Bersyariat, menggariskan beberapa perkara yang berkaitan dengan amalan puasa ini. Antara yang menarik dan cukup elok untuk disegarkan kembali dalam ingatan dan amalan ialah yang menyentuh soal adab-adab berpuasa. Antara lain yang amat dianjurkan ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat, memfitnah, mengeji mencela serta mengeluarkan kata-kata kesat. Selain itu, tuntutan kepada penahanan diri daripada mengikut kehendak nafsu disamping begitu bersederhana ketika berbuka dan makan sahur. Amalan tidor pada siang Ramadan juga elok dikurangkan sebaliknya diisi dengan membaca AlQuran dan amalan berzikir. Beliau juga turut menyarankan supaya kita sentiasa berazam untuk menjadikan ibadat puasa yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah maha Agung disamping tidak lupa memikirkan pelbagai hikmah disebalik melakukan ibadat puasa.

Pena Tumpul - Bulan Ramadan bulan untuk menggandakan amalan maaruf

Sunday, August 23, 2009

Quran


Ramadahan yang mulia ini menyediakan peluang paling berharga untuk kita mendapatkan ganjaran dan pahala yang banyak dari Allah SWT. Antara yang amat baik kita lakukan ialah bertadarus Al-Quran.

Menurut pendapat yang dikongsi daripada Ustaz Mursyid, jika kita tidak berapa lancar membaca Al-Quran bolehlah mengamalkan membaca Surah Al-Ikhlas 100 kali . Ini tentunya lebih baik daripada kita merangkak-rangkak membaca Al-Quran tanpa aturan tajwid yang betul.Namun begitu, jika kita berniat untuk belajar memperbaiki mutu bacaan Quran tentunya lebih afdal lagi.

Jika amalan membaca Al-Quran sudah begitu sebati dengan diri kita,tentunya tidak terbit masalah tetapi bagaimana pula sekiranya sudah 10 tahun amalan membaca Al-Quran ini kita tinggalkan? Sememangnya bulan Ramadhan memberi kita cukup ruang untuk mendekatkan diri dengan Quran justeru ganjaran pahalanya yang berlipat-lipat ganda.Seorang rakan memberikan saya satu congakan mudah bagaimana kita boleh khatam Alquran dalam tempoh sebulan Ramadan AlMubarak ini.
Menurutnya, kita hanya perlu membaca empat setengah muka Al-Quran selepas setiap kali solat waktu. 4.5 X 5 X 30 = 604 muka surat=jumlah muka surat dalam Al-Quran. Susah sangatkah? Saya menyoal diri saya sendiri.

Pena Tumpul - Harap akan khatam lagi bulan Ramadan kali ini

Saturday, August 22, 2009

Ramadan

Di bulan yang mulia dan penuh rahmat ini, email yang bersangkut dengan amalan puasa mencurah-curah masuk. Rata-ratanya membawa mesej yang cukup baik sebagai ingatan kepada kita yang mungkin lupa. Elok rasanya dikongsi bersama untuk manafaat semua semoga ibadah puasa kita lebih sempurna dan diredai Allah.
Antara kesilapan sewaktu berpuasa

1) Makan dan minum dengan bebas setelah terbatal puasa dengan sengaja(bukan kerana uzur yang boleh diterima Islam).
Keadaan seperti ini ada disebutkan dalam hadith ertinya: "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan(batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki harinya itu"
(riwayat Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya "Aslah" (waktu terakhir di hujung malam.
Imam Ibnu Hajar menegaskan "melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh NABI SAW."
(Fathul-Bari,4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain. Ini satu kesilapan besar bagi umat Islam kini. Waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik unntuk istighfar dan menunaikan solat malam. Waktu sahur adalah salah satu waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh ALLAH SWT..

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ini adalah satu kesilapan yang amat besar. Memang benar solat bukanlah syarat sah untuk seseorang berpuasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tunggak kepada keISLAMan seseorang. Sesungguhnya solat itu adalah soalan pertama yang akan ditanya oleh ALLAH kepada kita di akhirat kelak.
5) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja2 di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang kita lakukan di pejabat atau di mana2 tempat kerja pun, bila diniatkan Ibadah maka sudah pastinya akan menambahkan lagi pahala untuk kita.
6) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah satu ibadah. Sedangkan Imam As-Suyuti menegasakan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah amat lemah.
(Al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi,6/291)
7) Tidak mengutamakan solat subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ramai yang lupa & tidak mengetahui kelebihan besar semua solat Fardhu berbanding solat sunat, terutama sekali solat Subuh Berjemaah yang disebut oleh NABI SAW: "Bagi orang yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
8) Menunaikan solat Tarawih di masjid dengan niat sekadar inginkan meriah. Malangnya mereka kerana setiap amalan adalah dikira berdasarkan niat, jika niat utama seseorang itu(lelaki mahupun wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah, dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharapkan ganjaran redha ALLAH SWT sebagaimana yang ditetapkan oleh NABI SAW di dalam hadith:
ertinya: "sesungguhnya amalan itu adalah dikira dengan niat".
(Riwayat Bukhari)

Wallahu'alam...

Pena Tumpul - Sentiasa bermohon semoga Allah menerima ibadat puasa yang dilakukan

Friday, August 21, 2009

Bergelut


"Boleh saya gunakan Bahasa Melayu, untuk terangkan......"

Seorang pelajar ini menjadi pelajar pertama dalam sejarah pengajaran saya di kampus ini meminta izin untuk menggunakan bahasa ibunda dalam menerangkan sesuatu di dalam kelas. Sejak 12 tahun yang lalu, saya seboleh-bolehnya tidak akan memberi ruang walau sedikit pun untuk penggunaan bahasa ibunda kepada pelajar, lebih-lebih lagi dalam kelas pengajaran Bahasa Inggeris. Memang begitu pun sepatutnya. Saya tidak langsung berkompromi dalam soal bahasa ini. Tidak patut ada unsur rojak dalam soal berbahasa ini. Saya berjaya bertahan dengan tradisi ini sehingga kejutan berlaku pagi ini. Saya sedar pelajar berkenaan berdepan masalah pada tahap teruk untuk menyampaikan pendapatnya dalam bahasa orang putih ini. Saya terpaksa mengalah dan memberinya laluan tetapi bersyarat. Saya amat tidak gemar mendengar penuturan rojak. Berbahasa ibunda sepenuhnya tanpa disulam-sulam dengan Bahasa Inggeris itu. Tidak enak didengar bahasa dipertuturkan bercampur baur begitu. Dia gagal dengan syarat itu. Dia bukan sahaja dilihat gagal dalam Bahasa Inggeris malah tahap bahasa ibundanya lebih mengecewakan. Cungkang kelalak. Idea yang ingin disampaikan juga menerawang tanpa jelas butirannya. Saya pantas membuat kesimpulan bukan bahasa isunya, tetapi kegagalan pelajar itu sendiri dalam merungkai idea.

Ketika melihat kebanyakan pelajar bergelut dengan bahasa penjajah ini saya semakin toleran dalam soal bahasa.


Pena Tumpul - Sebelas tahun di sekolah, tidak belajar Bahasa Inggeriskah?

Thursday, August 20, 2009

Rongak

Bulan puasa yang sarat dengan kerahmatan menjengah lagi untuk kesekian kalinya. Bulan untuk beramal dan mengumpul pahala berganda. Bulan untuk muhasabah diri. Setiap kali kehadiran bulan mulia ini, ingatan mengimbau ketika berpuasa di zaman kanak-kanak dulu. Tidak pernah penuh sebulan tetapi rongak di sana sini, lebih-lebih lagi di penghujungnya. Ketika itulah godaan dari segala sudut amat kuat dan tidak mampu untuk ditangkis. Sememangnya dugaan di hari terakhir amat hebatnya bukan kepalang. Terik panasnya berbeza dengan hari-hari sebelumnya.

Godaan dari rakan sekelas juga tidak kurang hebatnya. Masih segar diingatan di hari terakhir Ramadan, saya bersama empat rakan rapat Zul, Johari, Rosli, Zahanudin berpakat untuk curi-curi minum air paip di tandas sekolah. Seronoknya tanpa sedikit pun rasa bersalah kepadaNya. Bila pulang ke rumah, berpura-pura letih bagaikan berpuasa atau bakal menerima habuan dari arwah ayah. Ketika kami boleh bertahan tanpa masalah di hari-hari Ramadan yang lain, hari terakhir kami anggap begitu berat untuk kami akhiri dengan sempurnanya. Begitulah yang kami lakukan hampir saban tahun sehinggalah kami berada di darjah empat. Selepas itu, saya amat pasti puasa saya tidak pernah rongak lagi kecuali atas sebab-sebab yang betul-betul tidak dapat dielakkan.

Pena Tumpul - Akan berbuka puasa dengan emak di hari pertama Ramadan ini

Wednesday, August 19, 2009

Sidek

Saya amat selektif dalam menonton drama Melayu yang dipaparkan di tv. Selain jalan cerita yang lemah dan tema yang klise dan stereotype, mutu lakonan yang kurang mantap para pendukung watak juga turut menolak keinginan saya untuk menggemari drama Melayu. Kebanyakan drama yang disajikan kepada umum dilihat gagal berperanan menjana minda apatah lagi menerapkan unsur pengajaran dan teladan. Drama tempatan sebenarnya begitu ketandusan para pelakon berwatak tetapi dibanjiri dengan para pelakon yang cuma gah pada paras rupa dan gaya namun mutu lakonan yang tidak seberapa. Saya mencari-cari nama-nama besar yang pernah menyuntik kehebatan kepada drama Melayu sekitar 70an dulu dan menjumpai semula Sidek Hussin - pelakon yang pernah mewarnai drama tv era hitam putih. Saya masih ingat lakonan hebatnya penuh berkarakter sebagai samseng kampung dalam drama "Cantiknya Membangun" yang menghiasi slot Potret Pekerti terbitan RTM.

Ketika Tv merupakan satu-satunya sumber hiburan kepada orang ramai kala itu, kemunculan slot drama dan Tayangan Gambar Melayu seminggu sekali sentiasa dinantikan. Saya sendiri membesar dengan drama-drama lakonan Sidek Husin, Razali Buyong, Ahmad B, Karim Latif, Samad Arshad, Abu Bakar Omar, Ahmad Yatim, Rahim Razali, Rubiah Suparman, Noraini Hashim dan beberapa nama lagi yang sudah pudar dari ingatan. Kehadiran semula Sidek Husin di persada drama Melayu menarik semula minat saya untuk menonton drama Melayu. Malam tadi saya sempat menyaksikan lakonan hebat Sidek lewat drama Sebuah Keranda Kayu garapan pengarah yang juga hebat Rashid Sibir. Mengesankan. Menyentuh perasaan. Sarat dengan pengajaran.

Pena Tumpul - Bayar 10 sen untuk tonton Cerita Melayu di TV setiap malam sabtu di kedai Pak Ngah Hasan, satu-satunya yang memiliki tv janaan kuasa generator

Tuesday, August 18, 2009

90/10


I never know about 90/10 until the students delivered it in their presentation this morning. It really caught my mind that the moment I got hold to my notebook later after the class, I quickly sought for the information and found it.

This principle is so true and inspiring. It is so basic yet we often crowded by our emotion and can’t actually see it.

After seeing it, you will find that we MUST be responsible for what we do and the situation that we end up now. There will be less meaningless complains in your life.

Spend 5 minutes go through it and I beg your vision horizon will be widened and being more in control of your life. Thanks to Covey.


10% of life is made up of what happens to you
. 90% of life is decided by how you react. What does this mean? We really have no control over 10% of what happens to us. We cannot stop the car from breaking down. The plane will be late arriving, which throws our whole schedule off. A driver may cut us off in traffic. We have no control over this 10%. The other 90% is different. You determine the other 90%.

How? By your reaction. You cannot control a red light., but you can control your reaction. Don't let people fool you; YOU can control how you react.

Let's use an example. You are eating breakfast with your family. Your daughter knocks over a cup of coffee onto your business shirt. You have no control over what just what happened. What happens when the next will be determined by how you react.You curse. You harshly scold your daughter for knocking the cup over. She breaks down in tears. After scolding her, you turn to your spouse and criticize her for placing the cup too close to the edge of the table. A short verbal battle follows. You storm upstairs and change your shirt. Back downstairs, you find your daughter has been too busy crying to finish breakfast and get ready for school. She misses the bus. Your spouse must leave immediately for work. You rush to the car and drive your daughter to school. Because you are late, you drive 40 miles an hour in a 30 mph speed limit. After a 15-minute delay and throwing $60 traffic fine away, you arrive at school. Your daughter runs into the building without saying goodbye. After arriving at the office 20 minutes late, you find you forgot your briefcase. Your day has started terrible. As it continues, it seems to get worse and worse. You look forward to coming home, When you arrive home, you find small wedge in your relationship with your spouse and daughter.

Why? Because of how you reacted in the morning. Why did you have a bad day?

A) Did the coffee cause it?

B) Did your daughter cause it?

C) Did the policeman cause it?

D) Did you cause it? The answer is " D".

You had no control over what happened with the coffee. How you reacted in those 5 seconds is what caused your bad day. Here is what could have and should have happened.

Coffee splashes over you. Your daughter is about to cry. You gently say, "It's ok honey, you just need, to be more careful next time". Grabbing a towel you rush upstairs. After grabbing a new shirt and your briefcase, you come back down in time to look through the window and see your child getting on the bus. She turns and waves. You arrive 5 minutes early and cheerfully greet the staff. Your boss comments on how good the day you are having.

Notice the difference? Two different scenarios. Both started the same. Both ended different.

Why? Because of how you REACTED. You really do not have any control over 10% of what happens. The other 90% was determined by your reaction.

Here are some ways to apply the 90/10 principle. If someone says something negative about you, don't be a sponge. Let the attack roll off like water on glass. You don't have to let the negative comment affect you! React properly and it will not ruin your day. A wrong reaction could result in losing a friend, being fired, getting stressed out etc.

Pena Tumpul - Sometimes we earn good information from our students too

Monday, August 17, 2009

Pulih

Saya masuk kelas 8 pagi ini tanpa seorang pelajar pun yang bertopeng. Ia jauh sekali berbeza dengan apa yang saya lihat Isnin yang lalu- ramai yang bertopeng selain beberapa orang pelajar yang tidak hadir atas faktor kesihatan ekoran pandemik H1N1 sekarang. Pelajar pagi ini kelihatannya lebih ceria - bukan tidak bermaya seperti pada pertemuan minggu dulu. Khabarnya bilangan yang berkunjung ke pusat kesihatan membutuhkan rawatan juga mencatatkan penurunan. Kalau apa yang diperhatikan ini boleh dijadikan petunjuk, panjatan syukur tidak terhingga ke hadrat Esa di atas kurniaan rahmatnya kepada warga pelajar kampus ini. Semoga kampus ini akan terus pulih dari serangan virus yang tidak terduga ini.

Namun cerita di luar agak membimbangkan malah mampu membuat kita paranoid. Ramalan WHO bahawa 5 juta rakyat negara ini bakal dijangkiti H1N1 memang menggusarkan. Pelbagai cerita yang tersebar dan di dengar yang tidak diketahui sahih tidaknya. Cakap-cakap tentang etnik mana yang lebih ramai menjadi mangsa juga tidak terlepas dari menjadi bahan perbualan panas sepanas wabak yang melanda. Antara percaya dan tidak percaya seorang doktor perubatan yang saya temui malam tadi berkata bahawa etnik Melayu menjadi mangsa paling ramai selsema babi ini. Mengapa tidak etnik yang lain-lain itu.....faktor makanan pastinya. Menurutnya etnik bukan Melayu lebih pantas bertindak dengan bergegas mendapatkan suntikan anti selsema sejak penularan selsema burung lagi.

Pena Tumpul - Langkah lebih drastik perlu diambil tangani pandemik yang semakin mengganas ini


Friday, August 14, 2009

Terengganu

Saya berada di Terengganu untuk menghadiri sesi "vetting" yang berlangsung selama 4 hari bermula 12 hingga 14 di UiTM Dungun. Bertolak meninggalkan Segamat sekitar 645 petang dan sampai di Hotel UiTM Dungun kira-kira jam 1130 malam. Perjalanan menjadi laju dengan pemanduan bagaikan lipas kudung Encik Salem.

Hari pertama "vetting" berlangsung pantas tanpa masalah bersama rakan-rakan dari Perlis, Kedah, Pahang dan juga Terengganu. Pada hari kedua "vetting" tamat sekitar pukul 2 petang dan kami mengambil keputusan untuk ke Pasar Payang. Kata orang tidak lengkap ke Terengganu kalau tidak berkunjung ke sini. Begitu juga kalau tidak membeli keropok lekor Losong yang menjadi buah mulut sesiapa sahaja sekiranya singgah di Terengganu.

Keropok lekor atau lebih dikenali sebagai 'kepok gote' di kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu dan diadun menjadi satu adunan lembut yang kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus. Keropok lekor amat sinonim dengan Losong.Saya bertanya mengapa losong? Menurut sumber, nama tersebut di gunakan sempena nama Kampong Losong atau nama asal kampung tersebut ialah Kampung Losong Haji Su,nama seorang penduduk asal di kampung tersebut.Keropok lekor lebih dikenali di Losong memandangkan rasanya yang enak serta lebih lembut berbeza daripada tempat lain. Tidak hairanlah sepanjang jalan dari Dungun ke Kuala Terengganu, ada penjual yang mengambil kesempatan menggunakan nama Losong untuk menarik perhatian orang ramai. Encik Salem memberitahu agar tidak terpengaruh dengan gimik itu. Dia mencadangkan supaya singgah di sebuah gerai di Kemaman dalam perjalanan pulang nanti.

Kami menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di Pasar Payang. Tidak ada yang benar-benar menarik pun walaupun itu kunjungan pertama saya. Saya cuma teruja untuk membeli dua pasang kain sutera untuk isteri selain saya sendiri membawa balik 2 helai baju batik. Selebihnya, beberapa bungkus keropok, apa lagi?

Saya meninggalkan Terengganu awal pagi dan sempat singgah di beberapa buah gerai di Kemaman untuk keropok lekor. Sempat menikmati nasi dagang dan merasa buat pertama kalinya "sata", yang begitu asing pada saya. Tidaklah begitu sedap untuk saya mencubanya lagi di lain kali. Selepas meninggalkan Kemaman, Salem memecut laju dan sampai semula di Segamat sekitar jam 1 tengahari.

Pena Tumpul - Suka sotong celup tepung




Monday, August 10, 2009

Tauladan

Selingkar kisah hidup haiwan yang dipaparkan ini yang saya terima dari seorang rakan rasanya elok dikongsi sebagai tauladan.

S
epasang suami dan isteri petani pulang ke rumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan kepalang. Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkap tikus!" Sang Ayam berkata, " Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak ada kena-mengena dengan aku. "

Tikus lalu menemui Lembu. Ia mendapat jawapan yang sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah lembu sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus. "

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular. Sang ular berkata "Elehh
engkau ni... Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si suami pun membawa isterinya ke rumah sakit. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam.

Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan...Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Pena Tumpul - Suka baca novel satira Tikus Rahmat

Friday, August 07, 2009

Kamil

"Ceramah dan penyampaiannya malah dia sendiri memang hebat" kata seorang pelajar baru yang mendaftar Julai lalu di UiTM Segamat. Neneknya mencelah, "Kalau kau nak tahu dia tu bukan orang lain, sedara kita jugak" Si cucu yang tidak pernah mengenali saya khabarnya bagaikan tidak mampu menolak untuk percaya dengan kata neneknya.

Isteri saya mengajuk dialog pendek ini kepada saya lewat petang ini. Saya tersenyum dengan kelucuan yang dibawa balik oleh isteri selepas pertemuannya secara tidak sengaja dengan Mak Tisah (saudara saya) di satu majlis rewang. Untuk kesekian kalinya, saya terbabit lagi dalam fenomena salah orang. Isteri cepat memberi penjelasan kepada nenek ini bahawa saya bukanlah orang yang dimaksudkan itu. Kata isteri, suaminya Kamil seorang yang pendiam, "low-profile", tidak menonjol dan cuma seorang pensyarah biasa yang tidak dikenali dan itulah Kamil yang pernah dikenali dari dulu pun. Saya juga pernah tidak disenangi oleh Pak Ngah Yem gara-gara tidak meluluskan permohonan anaknya untuk satu projek di UiTM tidak lama dahulu. Saya sudah dapat mengagak Pak Yem sudah tersalah orang. Tentunya bukan saya yang dimaksudkan itu. Tidak kurang rakan taulan yang sudah lama tidak berjumpa memaculkan "hebat engkau sekarang ya" Sama ada itu gurauan atau apa pun saya cuma mampu tersenyum kerana saya amat yakin saya menjadi mangsa salah orang kerana sama nama.

Pena Tumpul - Tahu arwah ayah memilih nama ini untuk saya kerana Tan Sri Nik Ahmad Kamil

Thursday, August 06, 2009

Cegah


Saya masuk ke dewan kuliah pagi ini menyaksikan sebilangan pelajar dengan topeng muka. Tindakan amat wajar saya kira bagi memperisaikan diri dari serangan virus selsema babi yang penularannya diluar jangka sekarang. Setiap hari ada sahaja kematian yang direkodkan. Membimbangkan dan mencemaskan. Kalaulah maklumat berikut boleh digunapakai, ternyata pandemik ini bukannya sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ketika seorang pelajar sebok mengagihkan topeng muka kepada pelajar-pelajar yang lain, saya meminta untuk memiliki satu.

Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.”Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia,” kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini. Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya “Flu measures: Confusion rather than non-compliance” yang diedarkan kepada beberapa media semalam. [Baca artikel penuh]

h1n1 flu malaysia school children students wearing mask 260609 02Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda – sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya. Setakat ini, vaksin belum ditemui dan dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

Pena Tumpul - Allahussamad


Wednesday, August 05, 2009

Permainan


Lewat petang ini saya membawa Hafiz ( anak saudara yang paling manja dan amat rapat dengan saya) keluar. Dia amat seronok. Begitu juga isteri saya yang sememangnya tidak mampu bertahan lama untuk sentiasa bertemu, bermanja dan bermain dengan budak berusia 3 tahun lebih ini. Hafiz tidak banyak kerenahnya kecuali yang satu ini - pantang melintasi kedai permainan, permintaannya untuk permainan memang tidak mampu ditangkis. Hari ini saya dan isteri tewas lagi dengan rengekan manjanya untuk kesekian kalinya. Hafiz berjaya memiliki sebuah basikal dan berlonjak kegembiraan! Saya pesan kepadanya supaya bercermat dan jangan sampai mencederakan permainan. Pengalaman lalu menunjukkan banyak permainannya yang bersepai di sana sini. Memang Hafiz tidak pernah puas hanya dengan sekadar bermain tetapi berminat pula untuk mengusik mana-mana yang perlu, memang itu sifat kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu. Ternyata Hafiz tidak berusaha untuk menghargai permainan yang diperolehinya tidak seperti Haziq yang lebih cermat dan sayang kepada setiap permainan yang dimilikinya.

Saya dan isteri melihat pertumbuhan Hafiz yang pantas bersama baki-baki usia kami yang semakin menyusut hari ke hari.

Pena Tumpul - Teringat keseronokan menyorong kereta mainan dibuat daripada tin susu

Saturday, August 01, 2009

Kesempatan


Dalam hidup, kita diberi banyak pilihan dan kesempatan. Namun jika kita tidak mau membuka hati dan mata kita untuk melihat dan menerima kesempatan yang Tuhan berikan maka kesempatan itu akan hilang begitu saja.

Dan hal ini hanya akan menciptakan penyesalan yang tiada guna di kemudian hari, saat kita harus berucap: "Ohhhh... andaikan aku tidak mensia-siakan kesempatan itu dulu ..!!!?
Maka bijaksanalah pada hidup, hargai setiap detik kesempatan dalam hidup kita.
Di saat sulit, selalu ada kesempatan untuk memperbaiki keadaan;....
Di saat sedih, selalu ada kesempatan untuk meraih kembali kebahagiaan; ....
Di saat jatuh selalu ada kesempatan untuk bangkit kembali; .....
Bila kita setia pada perkara yang kecil maka kita akan mendapat perkara yang besar. Bila kita menghargai kesempatan yang kecil, maka ia akan menjadi kesempatan yang besar seperti yang terpapar jelas dalam kisah seekor beruang dan seekor ikan kecil.

Seekor beruang yang bertubuh besar sedang menunggu seharian dengan sabar di tepi sungai deras, waktu itu memang tidak sedang musim ikan.

Sejak pagi ia berdiri di sana mencoba meraih ikan yang meloncat keluar air. Namun, tak satu juga ikan yang berhasil ia tangkap. Setelah berkali-kali mencoba, akhirnya ... hup ... ia dapat menangkap seekor ikan kecil.

Ikan yang tertangkap menjerit-jerit ketakutan, si ikan kecil itu meratap pada sang beruang, "Wahai beruang, tolong lepaskan aku."
"Mengapa? " tanya beruang.
"Tidakkah kau lihat, aku ini terlalu kecil, bahkan hanya cuma mampu terlekat di celah-celah gigimu," rintih sang ikan.

"Lalu kenapa?" tanya beruang lagi.

"Begini saja, tolong kembalikan aku ke sungai, setelah beberapa bulan aku akan menjadi ikan yang besar, di saat itu kau boleh menangkapku dan memakanku untuk memenuhi seleramu." kata ikan.

"Wahai ikan, kau tahu kenapa aku bisa tumbuh begitu besar?" tanya beruang. "Mengapa," ikan balas bertanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Kerana aku tidak pernah menyerah walau sekecil apapun rezeki yang telah tergenggam di tangan!" jawab beruang sambil tersenyum lebar dan puas.

"Ops!" teriak sang ikan.

Pena Tumpul - Suka sambal ikan bilis Kak Long...sedap

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...