Skip to main content

Terengganu

Saya berada di Terengganu untuk menghadiri sesi "vetting" yang berlangsung selama 4 hari bermula 12 hingga 14 di UiTM Dungun. Bertolak meninggalkan Segamat sekitar 645 petang dan sampai di Hotel UiTM Dungun kira-kira jam 1130 malam. Perjalanan menjadi laju dengan pemanduan bagaikan lipas kudung Encik Salem.

Hari pertama "vetting" berlangsung pantas tanpa masalah bersama rakan-rakan dari Perlis, Kedah, Pahang dan juga Terengganu. Pada hari kedua "vetting" tamat sekitar pukul 2 petang dan kami mengambil keputusan untuk ke Pasar Payang. Kata orang tidak lengkap ke Terengganu kalau tidak berkunjung ke sini. Begitu juga kalau tidak membeli keropok lekor Losong yang menjadi buah mulut sesiapa sahaja sekiranya singgah di Terengganu.

Keropok lekor atau lebih dikenali sebagai 'kepok gote' di kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu dan diadun menjadi satu adunan lembut yang kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus. Keropok lekor amat sinonim dengan Losong.Saya bertanya mengapa losong? Menurut sumber, nama tersebut di gunakan sempena nama Kampong Losong atau nama asal kampung tersebut ialah Kampung Losong Haji Su,nama seorang penduduk asal di kampung tersebut.Keropok lekor lebih dikenali di Losong memandangkan rasanya yang enak serta lebih lembut berbeza daripada tempat lain. Tidak hairanlah sepanjang jalan dari Dungun ke Kuala Terengganu, ada penjual yang mengambil kesempatan menggunakan nama Losong untuk menarik perhatian orang ramai. Encik Salem memberitahu agar tidak terpengaruh dengan gimik itu. Dia mencadangkan supaya singgah di sebuah gerai di Kemaman dalam perjalanan pulang nanti.

Kami menghabiskan masa lebih kurang 2 jam di Pasar Payang. Tidak ada yang benar-benar menarik pun walaupun itu kunjungan pertama saya. Saya cuma teruja untuk membeli dua pasang kain sutera untuk isteri selain saya sendiri membawa balik 2 helai baju batik. Selebihnya, beberapa bungkus keropok, apa lagi?

Saya meninggalkan Terengganu awal pagi dan sempat singgah di beberapa buah gerai di Kemaman untuk keropok lekor. Sempat menikmati nasi dagang dan merasa buat pertama kalinya "sata", yang begitu asing pada saya. Tidaklah begitu sedap untuk saya mencubanya lagi di lain kali. Selepas meninggalkan Kemaman, Salem memecut laju dan sampai semula di Segamat sekitar jam 1 tengahari.

Pena Tumpul - Suka sotong celup tepung




Comments

Popular posts from this blog

Mirip

Biasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu sahaja. Yang lain-lain itu kala…

Seluar

Seorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar
untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat.

Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang.

Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan.

Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat sembahya…

Klang

Saya selalu percaya pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam lingkungan bilik kuliah semata-mata. Sesekali para pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk mengembangkan sayapnya dan meluaskan pandangannya. Sekaligus menterjemahkan apa yang diperoleh dalam kelas dalam bentuk amalan dan tindakan di lapangan.

Saya berkesempatan turun padang bersama lebih 100 orang pelajar menawarkan khidmat tenaga secara sukarela di Majlis Perbandaran Klang (MPK). Aktiviti yang dilakukan memang menyeronokkan. Kami sama-sama menanam bunga di Pengkalan Batu selain daripada mengecat gerai-gerai yang disewakan oleh MPK.

Saya lihat ada juga yang kekok memegang cangkul. Malah tidak tahu buat batas juga. Ini tidaklah menghairankan sangat kerana remaja kini bukan macam zaman remaja kita. Mereka mungkin tidak pernah ada peluang untuk "menanam" di laman rumah. Barangkali tiada laman atau semuanya dilakukan oleh tukang kebun. Mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka lahir ketika aktiviti …