Skip to main content

Juadah

Berbuka puasa bagaikan tidak lengkap tanpa sajian pelbagai makanan dan aneka minuman di atas meja. Buah tamar atau khurma yang sunat dijamah sejurus selepas berbuka dan sepatutnya sudah dikira memadai tidak mampu menahan jeritan selera di siang bulan puasa. Lonjakan untuk meninjau-ninjau gerai-gerai makanan yang tumbuh bagai cendawan di setiap pelusuk begitu kuat saban petang. Rambang mata dalam membuat pilihan. Pembelian tanpa perancangan selalunya akan berakhir dengan pembaziran. Kuih yang nampak amat menyelerakan sebelum berbuka tidaklah sedap sangat untuk dinikmati lagi selepas beberapa suapan makanan. Beberapa jenis air yang dibeli yang dirasakan bagaikan tidak cukup banyak untuk menghilangkan dahaga seharian akhirnya tidak mampu dihabiskan selepas beberapa gogokan. Runtunan nafsu sekali lagi menewaskan kita. Justeru amat sedar dengan penipuan nafsu ini, Ramadan kali ini membuatkan saya lebih berhemah.

Kunjungan ke bazar tidak lagi kemestian pada setiap petang. Ada hikmahnya apabila pandemik H1N1 tiba-tiba melanda. Namun tidak ramai yang sedar. Saya malu pada diri sendiri apabila saya, isteri dan Haziq antara sejumlah kurang daripada 10 orang yang mengambil langkah pencegahan dengan bertopeng apabila berkunjung ke bazar Ramadan paling besar di Segamat petang ini - kunjungan pertama saya setelah sembilan hari Ramadan berlalu. Setelah mundar mandir menjamu mata dari gerai ke gerai, saya pulang dan cukup puas dengan Roti John (kegemaran isteri), buah melaka pilihan tetap saya dari dulu, sekeping murtabak dan tentunya sebungkus nasi ayam untuk Haziq. Melihat kepada sesaknya orang, hasrat untuk berkunjung lagi mungkin akan dikuarantinkan buat sementara waktu. Justeru bazar Paya Pulai yang tidaklah begitu sesaknya dikira pilihan yang lebih baik.

Berbuka puasa petang ini begitu mengundang kemarahan isteri dek Roti John yang indah rupa dari rasa dan murtabak yang berkulit tebal tanpa isi. Mudahnya berniaga dan membuat untung di bulan mulia ini membiarkan pembeli merungut tertipu.

Pena Tumpul - Buah melaka buatan emak lebih sedap lagi apatah lagi kuih koci labunya

Comments

Popular posts from this blog

Mirip

Biasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu sahaja. Yang lain-lain itu kala…

Seluar

Seorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar
untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat.

Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang.

Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan.

Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat sembahya…

Klang

Saya selalu percaya pengajaran dan pembelajaran tidak hanya terhad dalam lingkungan bilik kuliah semata-mata. Sesekali para pelajar perlu diberi ruang dan peluang untuk mengembangkan sayapnya dan meluaskan pandangannya. Sekaligus menterjemahkan apa yang diperoleh dalam kelas dalam bentuk amalan dan tindakan di lapangan.

Saya berkesempatan turun padang bersama lebih 100 orang pelajar menawarkan khidmat tenaga secara sukarela di Majlis Perbandaran Klang (MPK). Aktiviti yang dilakukan memang menyeronokkan. Kami sama-sama menanam bunga di Pengkalan Batu selain daripada mengecat gerai-gerai yang disewakan oleh MPK.

Saya lihat ada juga yang kekok memegang cangkul. Malah tidak tahu buat batas juga. Ini tidaklah menghairankan sangat kerana remaja kini bukan macam zaman remaja kita. Mereka mungkin tidak pernah ada peluang untuk "menanam" di laman rumah. Barangkali tiada laman atau semuanya dilakukan oleh tukang kebun. Mereka tidak boleh disalahkan kerana mereka lahir ketika aktiviti …