Tuesday, January 26, 2016

Pandangan

Apa pula pandangan kita melihat gambar ini?
Lain orang lain lain pandangannya. Kita tidak boleh mengharapkan pandangan orang lain perlu sama dengan pandangan kita. Setiap orang berhak untuk berlainan pandangan sebenarnya dan itu perlu dihormati. Pandangan yang berbeza terbit dari latarbelakang, pegangan, fikiran dan fahaman yang juga berbeza. Justeru itulah budak-budak melihat sungai sebagai tempat yang seronok untuk bermandi manda sementara di mata seorang penggila ikan air tawar, sungai dipandang sebagai lubuk ikan. Bak kata orang putih, thinking make it so.

Saya menemukan kisah yang melucukan ini dalam kantung email saya. Ia ada kaitan dengan berbeza pandangan. Ada seorang wanita dalam keadaan berbogel menahan sebuah beca lantas menaiki beca tersebut. Sepanjang perjalanan, pengayuh beca langsung tidak mengalihkan pandangannya dari menatap gadis tersebut. Merasakan dirinya diperhatikan oleh pengayuh beca tersebut, gadis itu berkata “kenapa, tak pernah tengok perempuan bogel ke?” “Bukan begitu, cik adik. Pakcik cuma tertanya tanya, dari mana wang tambang beca ni adik nak keluarkan” jawab pengayuh beca itu.

Dua pandangan yang berbeza dari tukang beca dan wanita bogel itu sendiri. Kalaulah seorang anak kecil yang melihatnya, pandangannya sudah tentu lain. Kalau seorang Ustaz yang melihatnya pula, pandangannya sudah tentu juga lain. Seorang kaki perempuan, pandangannya sudah tentu lain. Seorang pakar sakit jiwa juga pasti lain pandangannya.

Dan, di kalangan masyarakat yang semuanya wanita berbogel, mungkin orang tidak peduli untuk pandang pun!

Pena Tumpul - Hormati pandangan orang lain

Monday, January 25, 2016

Urut


Haziq dikesan berjalan terhincut-hincut bila balik daripada latihan sukan petang tadi. Tentunya gara-gara bermain bola sepak, sukan yang amat diminatinya. Saya tidak mampu menahan minatnya cuma sering berpesan supaya jangan terlalu rakus di padang. Namun, keseronokan di padang membuatnya lupa segala pesanan yang diberikan. Nah, dia yang menanggung padahnya.

Kesian juga tengok, apabila sebelah malamnya merengek minta di urutkan. Saya enggan kerana ingin memberi pengajaran yang paling berharga buatnya supaya lebih berhati-hati bila bila di padang. Mama yang belas tidak sampai hati cuba mengurut kalau-kalau boleh mengurangkan kesakitan yang ditanggung.

Mama gagal melegakan malah menambah kesakitan yang ada. Saya cadangkan supaya Haziq dibawa berurut dengan Tok Yem  yang memang agak hebat juga dalam bab mengurut. Haziq tiada pilihan tetapi akur dengan cadangan saya. Syukur, Haziq pulih dari seliuhnya. Pagi ini, dia sudah mula bising-bising mula mohon diizinkan bermain bola lagi dengan kawan-kawannya petang ini. Saya tidak mampu menahan kegilaan Haziq terhadap bola. Saya pesan lagi....jangan rakus sangat.

Pena Tumpul - Tahu Haziq mewarisi minat arwah atoknya yang memang kaki bola

Sunday, January 24, 2016

Tiru


Saya selalu percaya menunjukkan contoh teladan yang baik  adalah cara paling terbaik dalam mendidik anak-anak kita. Lazimnya, anak kita akan buat apa yang dia nampak kita buat. Dia akan tiru apa yang kita buat di depan matanya. Kalau baik yang kita pamerkan, baiklah yang akan dilakukannya. Begitulah sebaliknya.

Justeru itu, kalau kita mahu anak kita baca buku dan mengulangkaji pelajarannya, kita sendiri perlu baca buku sama atau pun sekurang-kurangnya membaca suratkhabar. Adalah sangat janggal ketika kita bertegang leher menyuruhnya membaca buku, kita pula sebok melayari internet misalnya. Bila kita kata, tidak baik untuk merokok, sepatutnya kita sendiri pun tidak merokok. Kalau kita suruh dia bangun awal pagi, kita sepatutnya bangun lebih awal dari itu dan bukannya bangkit dinihari. Bila kita kata, makan sayuran itu sangat bagus, adalah sangat pelik bila kita sendiri benci kepada sayur. Senarainya sangat panjang. Itu dan ini. Begitu dan begini.

Sebaik-baiknya, janganlah kita jadi seperti ketam yang mahu anaknya berjalan betul, sedang dirinya sendiri tidak berjalan betul pun! Anak-anak kita acuan kita.

Pena Tumpul - Actions not words

Saturday, January 16, 2016

Peranan

Sejak kehilangan pekerjaan tiga tahun yang lalu, seorang kenalan rapat saya ini duduk di rumah ketika isteri keluar bekerja. Di rumah dia berperanan bagaikan suri (sura lebih sesuai) rumah. Dia buat apa yang selalunya dibuat oleh wanita. Dia mencuci pakaian dan menyidainya dijemuran malah mengangkitnya juga setelah kering, mengemas rumah juga memasak. Pendek kata dia melakukan kerja-kerja yang kelihatannya agak janggal untuk dilakukan oleh kaum lelaki secara sepenuh masa begitu.

Sesekali berpeluang menemuinya, dia tetap berkata tanpa gagal, "Saya selesa dengan apa yang saya lakukan selama tiga tahun kebelakangan ini, tak ada masalah pun" Semalam saya menemuinya lagi dan jawapan yang sama tetap terpacul dari mulutnya. Saya menjangkakan dia telah pun memiliki pekerjaan baru setimpal dengan kelayakan, kebolehan dan pengalamannya. Bukan dia tidak pernah berusaha untuk itu, barangkali belum berjumpa yang secocok dengan minatnya. Saya mengira dia pastinya sudah "sedap" duduk di rumah agaknya. Pernah saya mencadangkannya mencuba nasib sebagai pemandu di tempat saya bekerja yang secara kebetulan sedang membutuhkan pemandu baru, namun dia pantas menolaknya. Alasannya isteri tidak sepenuh hati menyukainya justeru ada kemungkinan dia perlu "outstation" dan ini bukan sesuatu yang digemari isterinya.

Semalam saya mencadangkannya kerjaya pengawal keselamatan yang pernah ditolaknya mentah-mentah dulu atas sebab gaji yang cukup kecil dan sifat kerja itu sendiri yang membosankan. Dengan tawaran gaji permulaan yang lebih menarik sekarang, saya harap dia tidak menolaknya lagi. Kalau dia menolak lagi, kemungkinannya hanya kerana dia memang sudah amat seronok melakukan kerja-kerja yang lazimnya dibuat oleh wanita. Dia seronok sangat memasak agaknya dan isteri pula mungkin tiada masalah dengan apa yang berlaku sekarang.

Satu saya katakan padanya, "Tidak manis lelaki duduk di rumah sedangkan isteri bekerja dan yang paling penting Islam memang melarangnya pun". Saya harap dia memikirkannya dengan teliti. Dia perlu kembali semula memegang peranan asalnya.

Pena Tumpul - Suka buat semua kerja rumah kecuali memasak

Friday, January 15, 2016

Mudahnya

Dalam hidup ini kita sering di beri dua pilihan. Ada yang memilih jalan mudah dan tidak kurang yang cenderung untuk memilih jalan susah. Ada benda yang mudah untuk diperoleh dan ada yang susah juga untuk kita miliki. Kadang-kadang kita tidak perlu bersusah-susah pun untuk mendapatkan sesuatu yang kelihatannya susah. Tidak kurang yang memandang remeh benda yang nampak mudah. Namun yang nampak mudah itulah yang sebenarnya bukan susah pun sangat untuk kita kecapi. Saya ingin berkongsi cerita yang memaparkan bahawa mudahnya untuk memperolehi sesuatu sekiranya kita memandangnya mudah.

Mantoba, seorang pencari kerja yang bakal masuk ke bilik temuduga, memungut sampah kertas di lantai ke dalam tong sampah,dan hal itu terlihat oleh seorang yang bakal menemuduganya, dan dia mendapatkan pekerjaan tersebut.Ternyata untuk memperoleh penghargaan sangat mudah, cukup memelihara kebiasaan yang baik.

Di situasi yang lain, Mantoba dilihat bekerja di bengkel kereta. Suatu hari ada seorang yang agak tinggi kedudukannya menghantarkan keretanya yang rosak untuk diperbaiki. Selain memperbaiki kereta tersebut, Mantoba cukup rajin untuk membersih dan menggilap kereta tersebut. Rakan-rakannya mentertawakan perbuatannya. Keesokan hari tuan punya kereta datang mengambil semula keretanya, dan sekaligus menawarkan Mantoba pekerjaan yang lebih baik di syarikatnya. Ternyata untuk menjadi orang yang berhasil sangat mudah, cukup punya inisiatif sedikit sahaja.

Mantoba dilihat pula berkata kepada emaknya: “Emak nampak sungguh cantik hari ini.” Emak menjawab: “Mengapa?” Anak menjawab: “Kerana hari ini emak sama sekali tidak marah-marah seperti selalunya."Ternyata untuk memiliki kecantikan sangatlah mudah, hanya perlu tidak marah-marah.

Katak yang tinggal di sawah berkata kepada katak yang tinggal di pinggir jalan:“Tempatmu terlalu berbahaya, tinggallah denganku.” Katak di pinggir jalan menjawab: “Aku sudah biasa, malaslah nak pindah.” Beberapa hari kemudian katak “sawah” menjenguk katak “pinggir jalan” dan menemukan si katak sudah mati dilenyek kereta. Ternyata sangat mudah untuk menggenggam nasib kita sendiri, cukup hindari kemalasan sahaja.

Ada segerombolan orang yang berjalan di padang pasir, semua berjalan dengan berat, sangat menderita, hanya satu orang yang berjalan dengan gembira. Ada yang bertanya: “Mengapa engkau begitu santai?” Dia menjawab sambil tertawa: “Kerana barang bawaan saya sedikit. Ternyata sangat mudah untuk memperolehi kegembiraan, cukup untuk tidak serakah dan memiliki secukupnya sahaja.

Hidup ini akan terasa ringan jika kita menjadikannya mudah.

Pena Tumpul - Kadang kala ada perkara yang tidak boleh kita ambil mudah







Thursday, January 14, 2016

Pertolongan

"Hidup ini tidak sentiasa dalam keadaan stabil, adakalanya kita mengalami dugaan dan cabaran hidup. Jawatan, kekayaan dan kesenangan yang dimiliki saat ini hanyalah merupakan "baju" yang boleh hilang sekelip mata. Namun kebahagiaan yang diperoleh melalui pemberian dengan tulus ikhlas adalah sesuatu yang abadi"

Saya percaya ramai yang bersetuju bila kita berhasrat untuk menolong seseorang yang mendatangi kita di dalam saat-saat kesusahannya, soal balasan atas bantuan yang diberikan tidak sangat menjadi perkiraan. Kita juga berharap yang meminta pertolongan tidak juga memikirkan soal ganjaran yang patut diberi kepada yang menolongnya.

Sejak sebulan yang lalu saya sedaya upaya membantu seorang kenalan yang tidak begitu rapat menyelesaikan masalah yang dihadapi anaknya. Saya tidak pasti mengapa dia begitu yakin saya mampu membantunya, namun kepercayaan yang telah diberikan tidak pula ingin saya persiakan selain hajatnya yang tidak patut dihampakan.

Malam tadi dia mendatangi saya dengan berita yang amat menggembirakan. Pastinya masalah yang dikendongnya berbulan-bulan telah selesai.Penantiannya terhadap sejumlah wang lebih kurang RM5 ribu berakhir dengan sekeping chek yang baru diterimanya. Saya tumpang gembira justeru sejak dihari pertama saya bersetuju untuk memikul sama batu yang digalasnya, saya berjanji batu itu akan saya campakkan jauh-jauh ke laut dalam. Dia datang dengan sedikit "buah tangan" yang tidak mampu buat saya menolaknya. Tidak pula mahu dilihat tidak pandai menghargai pemberian orang. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Namun, bila berjabat tangan sambil memindahkan sampul surat yang sudah saya jangkakan apa isi kandungannya, saya rasa tidak enak. Episod pindah memindah sampul dari kocek ke kocek berlaku buat seketika sebelum akhirnya dia tewas dalam permainan yang tidak pernah saya duga itu.

Saya katakan ungkapan amat klise" Hari ini hari awak, esok lusa mana tau, hari saya pulak" Dia setuju dan berlalu dalam kelegaan yang tidak terkata.

Cerita "segelas susu" buah tangan Parlindungan Marpaung saya jadikan tauladan.Seorang wanita muda tidak pernah menyangka pemberian ikhlas segelas susu kepada seorang kanak-kanak miskin berakhir dengan sesuatu yang amat tidak dijangkanya. Setelah puluhan tahun berlalu dia mengecap nikmat pemberiannya itu. Kanak-kanak itu adalah Dr Ali yang merawatnya ketika dia terlantar sakit di hospital sekaligus melangsaikan kos rawatannya. Begitulah, aturan Tuhan yang tidak pernah manusia menjangkanya.

Pena Tumpul - Tidak suka susu

Wednesday, January 13, 2016

Dipilih

Kelas "Organizational Behaviour" awal pagi ini menyaksikan saya dalam keadaan yang amat kecewa. Cuma 1/5 atau kurang dari 20% yang mampu menghadirkan diri ke kelas, itu pun bersama raut wajah yang bagaikan terpaksa. Dalam tempoh setengah jam pertama, saya melihat seorang demi seorang pelajar mundar mandir masuk, tidak bermaya, kecewanya saya! Alasan paling biasa bahawa mereka dijangkiti sindrom "overslept" sudah tidak mampu untuk saya terimanya lagi. Apa gunanya memiliki telefon bimbit yang mahal-mahal dan canggih lengkap dengan penggera masa kalau ianya tidak mampu mengejutkan kita untuk terus lena diulit mimpi! Bukan itu alasannya. Saya sudah terlalu jenuh untuk menelan alasan yang tidak bertamadun begitu.

Hari ini saya tidak mahu menyalahkan mereka. Saya bersikap terlalu jujur dan apologis kepada yang hadir. " If you think my teaching does not fulfill your needs, feel free to voice out your grouses and grievances. And if you think, coming to my class is a waste of time and doesnt contribute to any addition of new knowledge, I believe you are adult enough to decide the best thing to be done. You are infact mumayyiz to distinguish between good and bad. I will very much happy to see all of you come to my class wholeheartedly rather than presenting yourselves halfheartedly. What is so great about coming to class, if you are actually forced to come! The choice is yours! 

 Saya cukup beremosi dan memang tidak dapat mengawalnya. "I am completely aware that I am not humorous enough to create jokes. I know that I fail to retain your genuine presence in my class. I admit that. Tidak pernah saya beremosi begitu. Namun mereka perlu disedarkan dari terus hanyut dalam zon selesa. Saya mungkin tidak adil kerana bukan mereka sepatutnya yang perlu dilontarkan kata-kata begitu. Namun saya hargai kehadiran mereka kerana telah dipilih untuk hadir ke kelas pagi ini ketika rakan-rakan mereka yang lain yang mungkin masih melelapkan mata di pembaringan.

Pena Tumpul - Dewan kuliah berhawa dingin, kerusi yang cukup selesa, tidak cukup lagi ke?

Tuesday, January 12, 2016

Mendengar

Hampir sebulan saya mencari secebis kertas yang saya ingat-ingat lupa terselit di antara laman-laman buku yang saya pernah baca.Cebisan kertas itu terkandung di dalamnya nombor telefon yang perlu sangat untuk saya hubungi. Nombor telefon itu memang amat penting bagi saya malah keluarga saya juga.

Pagi ini saya digerakkan hati dan begitu terdorong untuk membaca semula sebuah buku yang pernah saya baca dulu. Saya menulusuri dan menghayati bab demi bab dan helaian demi helaian tanpa gagal. Membaca sebuah buku buat kali kedua selalunya memberi kesan yang berbeza berbanding bacaan pertama dulu. Lebih mendalam penghayatannya. Ingatan terhadap cebisan kertas yang hilang itu tidak pernah padam pun sejak saya mula kehilangannya dulu. Sesekali ia menerjah dalam fikiran namun tidak pula sampai menganggu tumpuan terhadap buku yang sedang dibaca.

Keajaiban berlaku. Kebesaran Tuhan dipertontonkan dengan jelas di depan mata.  Allah memang maha mendengar rintihan hambanya. Seperti kata pengarang buku ini, "Ini bukan kebetulan, nasib atau kemujuran. Ia adalah aturan Allah yang maha mendengar, kerana adalah mustahil Dia pekak dan tuli"

Dan Allah mengaturkan cebisan kertas itu saya temui semula di halaman yang membincangkan tajuk Maha Mendengar. Subhanallah!

Pena Tumpul - Syukur dan lega












Sunday, January 10, 2016

Damai


Sepupu saya yang diperlukan untuk berpindah tempat kerja masih lagi berbelah bagi dalam membuat keputusan. Saya menemuinya semalam dan setelah seminggu berlalu, beliau dilhat agak enggan untuk meninggalkan bandar kecil ini. Beliau betul-betul tidak mahu berhijrah ke kota batu, Kuala Lumpur. Alasannya mudah, beliau tidak betah dengan hiruk pikuk kosmopolitan. Beliau tahu beliau tidak akan rasa damai dan selesa di Kuala Lumpur, berbanding Segamat. Saya setuju dan juga tidak setuju. Saya beritahu padanya sebuah cerita yang saya harap dapat mengubah tanggapannya tentang damai.

Seorang raja menganjurkan satu pertandingan lukisan yang bertemakan damai. Akhirnya dua lukisan yang menyentuh hatinya terpilih untuk diadili. Lukisan pertama menggambarkan sebuah telaga yang tenang. Cukup tenang airnya sehingga ia bagaikan cermin yang berupaya memantulkan kedamaian gunung-gunung yang menjulang tinggi disekitarnya. Di atasnya terpampang langit biru dengan awan putih berarak-arak. Semua yang memandang lukisan ini pastinya akan berkata ia adalah lukisan terbaik mengenai kedamaian

Lukisan kedua menggambarkan pegunungan juga. Namun tampak kasar dan gondol. Di atasnya terlukis langit yang gelap dan merah menandakan turunnya hujan badai, sedangkan tampak kilat menyambar-nyambar liar. Di sisi gunung ada air terjun deras yang berbuih-buih, sama sekali tidak menampakkan ketenangan dan kedamaian. Namun, sang raja melihat sesuatu yang menarik - di sebalik air terjun itu tumbuh semak-semak kecil dicelah-celah batunya. Didalam semak-semak itu kelihatan seekor ibu burung pipit di sarangnya. Di tengah-tengah riuh rendahnya air terjun, seekor ibu burung pipit sedang mengerami telurnya dengan damai. Benar-benar damai. Ingin tahu lukisan mana yang dipilih sang raja?

Sang Raja memilih lukisan yang kedua dan bukan yang pertama seperti yang dijangka.Sang Raja ada sebab mengapa memilih yang kedua bila dia berkata, “Kedamaian bukan bererti anda harus berada di tempat yang tanpa keributan, kesulitan dan hiruk pikuk yang menggugat ketenangan. Kedamaian adalah hati yang tenang dan damai, meski anda berada di tengah-tengah keributan luar biasa justeru kedamaian hati adalah kedamaian sejati.

Saya membiarkan Badrul menghadam cerita itu dengan harapan damai yang dicarinya akan bisa beliau temui tidak kira di mana pun sementara saya menghadam penuh selera mee goreng mamak dengan damainya.

Pena Tumpul - Sesekali dengar lagu lama Ku cari damai dihati alunan merdu Gingerbread

Saturday, January 09, 2016

Prasangka

Lazimnya kita sebagai manusia biasa mudah sangat bersangka yang bukan-bukan sekiranya terpandang sesuatu yang luar dari biasa. Pelbagai andaian yang tidak elok yang menerjah difikiran. Lebih menyakitkan sekiranya akan terpacul dari mulut menghamburkan kata-kata yang tidak enak di dengar. Alangkah eloknya sekiranya disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan terhadap apa yang kita lihat. Atau lebih baik, diam sahaja supaya tidak ada hati yang terguris.

Kisah ini amat menarik untuk dikongsi. Seorang tua dan anaknya dalam lingkungan awal 20an berada dalam keretapi yang menunggu masa untuk bergerak. Sebaik-baik sahaja keretapi bergerak, anak muda ini gembira bukan kepalang bagaikan tidak pernah naik keretapi lakunya. Ketika bapanya bagaikan tidak kesah dengan apa yang berlaku, penumpang-penumpang yang lain dibungkam kehairanan.

Anak muda ini menjulurkan sebelah tangannya keluar tingkap dan merasakan pukulan angin yang kuat mendesah tangannya. "Ayah, tengok pokok-pokok tu semua pergi belakang", kata anak muda bila melihat pokok-pokok yang ditinggalkan di belakang sepantas kelajuan keretapi yang bergerak. Itu sepatutnya tidaklah menghairankan sangat pada sesiapa pun. Namun si ayah yang faham akan keadaan anaknya cuma mampu tersenyum dan dapat merasakan apa yang sedang dirasai anaknya itu.

Bertentangan dengan anak muda itu duduk seorang perempuan yang cukup asyik memerhatikan  gelagatnya. Perempuan itu dijangkiti kehairanan tahap tinggi melihat anak muda yang lakunya tak ubah bagai anak kecil.
Perhatian perempuan itu tersentak apabila tiba-tiba anak muda ini menjerit, "Ayah, tengok ada kolam, ada binatang tu. Cantik awan tu bergerak sama macam kita" 

Sejurus kemudian, hujan mula turun dan membasahi tangan anak muda ini. Sekali lagi dia berlonjak keseronokan. Betul2 bagai anak kecil lagaknya. Perempuan itu merasakan semacam ada yang tidak kena dengan anak muda. Dia juga rasa malu melihat anak muda terus-terusan berkelakuan yang tidak sepatutnya itu. Pada dia, ia memalukan di mata orang lain. Lantas dia bersuara dan melontarkan pertanyaan kepada ayah anak muda ini, "Pak Cik, kenapa anak Pak Cik tu. Pak Cik tak bawa dia jumpa doktor untuk dapatkan rawatan ke?".

"Ya, Pak Cik baru sahaja balik dari hospital ambil anak Pak Cik. Hari ini dia memang ada sebab untuk gembira kerana hari inilah dia boleh melihat dan menikmati keindahan alam ini", jawab orang tua itu selamba.

Perempuan itu malu sendiri kerana salah sangka.

Pena Tumpul - Ada mata pandang, ada telinga dengar, itu lebih baik

Friday, January 08, 2016

Desiran

Desiran air terjun yang didengar mengalir deras di celah-celah batu terasa menenangkan. Saya singgah sebentar di Air Terjun Gunung Ledang dalam perjalanan pulang dari Melaka. Ramainya orang sehingga hampir setiap pelusuk ditakluki. Namun saya, isteri dan Haziq dapat juga melolosi ruang yang masih tinggal. Main-main air. Sejuk dan menyegarkan. Mahu sahaja berendam terus dengan pakaian yang melekat di tubuh.

Seingat saya kali terakhir saya di sini sekitar 10 tahun lalu. Lamanya. Di waktu sekolah dahulu sekitar awal 80an agak kerap juga saya ke sini, bermandi manda bersama rakan-rakan. Seronoknya kala itu menghabiskan masa setengah hari berendam sambil menikmati keindahan panorama. Tidak perlu bawa makanan pun. Beli sahaja nasi lemak bungkus daun pisang yang dijaja oleh budak-budak di situ. Murah tetapi sedap. Masa itu stamina masih hebat. Menyusuri air terjun selagi terdaya.

Hari ini setelah lebih 20 tahun berlalu saya ingin terus naik lebih atas lagi. Terasa mengahnya. Isteri pula awal-awal sudah menyerah kalah. Sakit kaki katanya, maklumlah pakai kasut bertumit.

Dalam perjalanan balik, saya terserempak dengan sekumpulan budak-budak yang saya kira masih bersekolah, ditahan polis. Pastinya ada yang tidak kena. Barangkali tidak punya lesen. Sekali lagi ia menerjah ingatan saya yang juga pernah "curi" motosikal ayah untuk ke sini dan tidak punya lesen pun. Nekad bersama rakan-rakan lain yang juga tidak berlesen. Nasib kami baik, lancar pergi dan balik.

Pena Tumpul - Berkira-kira untuk bawa pelajar sambil berfikir merenung ciptaan Tuhan dan ia pasti seronok

Thursday, January 07, 2016

Nostalgik


"Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu"
Lontaran dialog klasik oleh Allahyarham seniman Nordin Ahmad sekitar 50 tahun lalu sememangnya masih diingati sehingga kini.

Diungkapkan menerusi filem Sri Mersing arahan Allahyarham Salleh Ghani, dialog penuh emosi itu cukup dikagumi oleh segenap penggemar filem Melayu sehinggakan ia tetap segar biarpun sudah berpuluh tahun berlalu. Saya menontonnya lagi malam tadi untuk kesekian kalinya. Tidak rasa bosan pun. Begitulah penangan keasyikan, penghayatan dan kuatnya emosi yang dibawakan oleh Allahyarham seniman itu yang boleh dikatakan cukup sinonim dengan filem-filem Melayu klasik

Saya melihat Sri Mersing adalah karya yang mengangkat martabat bangsa Melayu. Indahnya Bahasa Melayu yang digunakan. Istilah dan dialog yang tersusun rapi disulami dengan seloka, pantun, gurindam dan madah yang cukup enak didengar. Struktur naratifnya lembut namun bergelora. Kehalusan gerak-geri dan budi pekerti orang Melayu terpancar dalam filem hitam putih 1961 ini. Ironisnya, setelah 50 tahun berlalu, filem ini masih diminati sekurang-kurangnya oleh seorang seperti saya.

Pun begitu saya masih tertanya-tanya kenapa begitu kerasnya hati Damak sampai sanggup membuang Seri Mersing yang begitu setia padanya. Penonton tentunya mengharapkan suatu penyudah yang manis sekurang-kurangnya melihat Damak menerima Seri. Ia tidak berlaku begitu.

Damak mewakili seorang lelaki Melayu yang punya harga diri dan maruah yang bukan kepalang!

Pena Tumpul - Ingin ke Air Papan

Wednesday, January 06, 2016

Kesukaran


"Kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan." (Alam Nashrah:5-6)

Allah menegaskan ini dan mengulanginya sebanyak dua kali. Bahawa kita perlu berkeyakinan bahawa setiap kesukaran selalu membawa kemungkinan-kemungkinan yang bertentangan di masa hadapan.

Seorang Ustaz yang didengar di corong radio awal pagi ini membacakan ayat ini sebagai asas kepada keperluan untuk kita bersabar dengan dugaan kesukaran yang kita hadapi. Selalunya kemudahan akan menyusul selepas berlalunya kesukaran. Juga akan hadirnya nikmat selepas beredarnya dugaan yang menimpa di awalnya. Itu janji Allah pada kita. Seperti kata Abdullah Alwi AlHadad, "Jika dengan hikmah Allah suatu jalan ditutup d hadapan, maka dengan rahmatNya juga, satu jalan lain yang lebih bermanafaat akan dibuka kemudiannya". Cukup indah.

Jika dengan hikmahNya, suatu jalan tertutup di hadapan kita, maka dengan rahmatNya juga, jalan yang lebih baik akan terbuka bagi kita. Kesukaran datang dalam pelbagai bentuk yang cuma menuntut akal fikiran kita untuk menginsafinya. Kadang-kadang ia berlaku tanpa kita sedari dan sering kali juga kita melihat apa yang berlaku sebagai satu kebetulan.

Haziq yang merungut kerana disajikan lauk yang tidak memenuhi citarasanya oleh mamanya di waktu tengahari kemudiannya tersenyum lebar bila di sebelah malamnya Ucunya mengajaknya makan di restoran makanan segera kegemarannya. Dia cukup kenyang dan puas. Begitulah janjiNya. Sepasang suami isteri yang menunggu bertahun-tahun untuk kelahiran seorang bayi comel akhirnya dianugerahkan dengan pasangan kembar. Segalanya berlaku di depan mata kita.

Pena Tumpul - Makan nasi bungkus sekali sekala namun bersyukurlah bahawa masih ada nikmat makan

Tuesday, January 05, 2016

Perbezaan

Kadang-kadang kita bertanya pada diri mengapa kita tidak bernasib baik seperti orang lain. Mengapa juga kita tidak kaya seperti orang lain. Tidak juga banyak harta seperti orang lain. Tidak punya kereta besar dan rumah besar dan mewah. Kita tidak puas hati dengan apa yang kita miliki. Dicelah-celah persoalan itu, adakalanya hati kita terubat juga bahawa memiliki itu semua bukanlah segala-galanya dalam hidup di dunia ini. Lantas kita sedar semula dan mula mensyukuri apa yang kita ada.

Pagi ini, seorang Ustaz ini didengari lagi berbicara tentang Umar bin Khatab yang terkenal gagah perkasa itu juga menangis. Bahkan dalam satu riwayat, Nabi menyebutkan Syaitan pun amat segan dengan Umar sehingga kalau Umar lewat di suatu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain untuk menghindari Umar yang digeruni itu. Justeru kalau Umar sampai menangis ia sememangnya peristiwa yang menakjubkan.

Mengapa "singa padang pasir" ini sampai menangis? Satu hari Umar menemui Rasulullah. Ia mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang sangat kasar buatannya. Sebahagian tubuh baginda melepak di atas tanah dan hanya berbantalkan pelepah kurma yang keras. Umar mengucapkan salam kepadanya dan duduk di dekatnya.

"Aku tidak sanggup menahan tangisku" kata Umar. Rasul yang mulia bertanya, "Mengapa engkau menangis ya Umar?" Umar menjawab, "Bagaimana aku tidak menangis. Tikar ini telah menimbulkan bekas pada tubuh engkau, padahal Engkau ini Nabi Allah dan kekasihNya. Kekayaanmu hanya yang aku lihat sekarang ini. Sedangkan Raja dan Permaisurinya duduk di singgahsana emas dan berbantalkan sutera".

Nabi berkata, "Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang juga; sebuah kesenangan yang akan cepat berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhir. Perumpamaan hubunganku dengan dunia ibarat orang yang mengembara di musim panas. Berlindung sejenak di bawah pohon, kemudian berangkat dan meninggalkannya."

Sungguh indah perumpamaan Nabi akan hubungan baginda dengan dunia ini. Dunia ini hanyalah persinggahan sementara; tempat berteduh barang sejenak, untuk kita meneruskan perjalanan yang sesungguhnya. Ketika kita sedang terlena dan sibuk dengan urusan dunia yang penuh pesona ini, tiba-tiba Allah memanggil kita pulang kembali ke sisiNya. Bagaimana bekalan kita.

Ketika ada sahabat yang bertanya tentang perbezaan dunia dan akhirat, Nabi berkata, "Celupkan tanganmu ke dalam lautan, air yang ada di jarimu itulah dunia, sedangkan sisanya adalah akhirat"

Pena Tumpul - Dunia hanya  sementara

Monday, January 04, 2016

Meniru

Seorang pelajar yang disyaki meniru dalam peperiksaan yang berlangsung pagi ini cuba menafikannya dengan satu alasan yang paling tidak masuk akal. Ketika ditangkap dengan sehelai nota dia membuat pengakuan dengan mengatakan bahawa dia tidak menyedari nota berkenaan terselit dicelah-celah helaian buku jawapan yang diedarkan.

Saya dan rakan yang mengawas tidak langsung terpesona dengan alasan yang diberikan. Adalah mustahil sehelai nota yang sangat relevan dengan subjek yang diuji boleh berada dalam buku jawapan. Nota itu tidak mungkin berada dalam buku jawapan jika tidak diseludup masuk oleh pelajar itu sendiri. Kami tahu dia sangat panik lalu terpacul dari mulutnya alasan yang sangat tidak munasabah itu. Kasihan pelajar ini. Pucat lesi mukanya. Mungkin dia malu juga dengan kawan-kawannya yang memerhatikannya kerana tindakan tidak bijaknya itu.

Kenapa perlu meniru? Lazimnya mereka yang meniru dalam peperiksaan kerana tidak cukup bersedia. Mungkin juga kerana soalan yang dijangka disoal dalam peperiksaan tidak pula keluar. Lantas langkah persediaan diambil awal-awal iaitu menyeludup nota ke dalam dewan peperiksaan. Ternyata pelajar yang ditangkap ini tidak bijak untuk meniru maka kerana itulah dia dicurigai dan seterusnya ditahan. kerana meniru. Pun begitu, adalah lebih baik kalau dia tidak meniru langsung tetapi menyiapkan diri sepenuhnya untuk bertarung dalam peperiksaan. Mendapat keputusan yang baik dengan meniru bukanlah kejayaan yang bermaruah. Biar tidak baik keputusan yang diperoleh tetapi jalannya betul dan terhormat!

Pena Tumpul - Era digital ini macam-macam cara orang meniru

Sunday, January 03, 2016

Labu

Aishah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Hai Aishah apabila kau masak gulai, maka perbanyakkan dalamnya buah labu kerana labu itu menguatkan hati yang duka".

Ustaz Zainudin kata Nabi kita suka makan labu. Jadi sebagai umat yang sayangkan Nabi kita mesti buat apa yang Nabi suka buat. Serba serbi hatta dalam soal makanan pun. Kalau kita tidak cukup mampu untuk buat apa yang Nabi buat, seeloknya janganlah kita memperlekehkan orang lain yang membuatnya.

Ceramah Ustaz sempena sambutan Maulidur Rasul di masjid Kampung Gudang Garam pada saya menyajikan sesuatu yang agak baru dari segi isinya. Rata-rata yang hadir bersetuju dengan saya. Kisah-kisah hidup Nabi masa kecil, perjuangan Nabi dan dakwah Nabi sudah biasa sangat kita dengar. Sayang kepada Nabi tidak cukup dengan hanya meraikan hari kelahirannya kerana Abu Lahab pun buat begitu. Semua tahu bahawa Abu Lahab penentang nombor satu ajaran yang di bawa oleh Nabi sehingga turun surah khas untuknya bahawa Abu Lahab selayaknya dihumban ke dalam neraka jahanam. Sambutan bukan sekadar sambutan, dengar ceramah macam dengar cerita tetapi tidak pula diikuti dengan tindakan dan amalan.

Kata Ustaz lagi bagaimana mungkin Nabi akan ingat apatah lagi sayang kepada kita kalau kita sendiri tidak ingat dan sayang pada baginda. Untuk sayang baginda mudah sahaja. Ikut dan amalkan sunahnya dan selalu pula mengingatinya dengan berselawat padanya bukan sahaja di dalam solat tetapi juga di luar solat. Jangan buat apa yang Nabi tidak suka umatnya buat.

Pena Tumpul - Suka gulai labu masak lemak tetapi tidak boleh selalu makan kerana angin

Saturday, January 02, 2016

Mudah


Adakalanya kerana terlaku terikat dengan gaya berfikir yang biasa, masalah yang kelihatan sukar sebenarnya bukan sangat susah pun untuk diselesaikan. Adakalanya juga masalah itu tidak memerlukan mereka yang cukup hebat dan pakar pun untuk dirungkai. Malah boleh diselesaikan oleh mereka yang biasa-biasa sahaja bahkan oleh mereka yang kelihatannya usia baru setahun jagung.


Kata orang, kecil jangan disangka anak dan besar pula jangan disangka bapak. Pepatah lama ini cukup relevan dalam kita melihat bagaimana acapkali mereka yang nampaknya macam bodoh dan usia bagai setampuk pinang tidaklah sangat diperlukan pandangan dan buah fikiran mereka.

Jangan dilupa dalam keadaan-keadaan tertentu tanpa kita jangka, mereka yang kita nampak macam biasa-biasa inilah yang berupaya mengatasi daya berfikir mereka yang didakwa dan tampak hebat itu. Cumanya mereka tidak pernah diraih dan diberi kesempatan untuk itu. Saya ingin berkongsi cerita yang saya baca ini. Bahawa kita tidak boleh memandang remeh dan memperlekeh kebolehan orang lain sejauh mana hebat dan pandai pun kita. Ia juga menjelaskan bahawa sesuatu yang kelihatan payah itu sebenarnya mudah. Ia menjadi payah kerana cara berfikir kita. Itu sahaja.

Mantoba berjumpa doktor pakar mengadu tidak boleh tidor malam kerana fikirannya terganggu. Dia merasakan ada seekor dinasour bersembunyi di bawah katilnya yang menunggu masa untuk membahamnya kalau dia memejamkan matanya. Doktor meyakinkan Mantoba bahawa itu cuma pemikirannya sahaja. Tiada dinasaur pun. Mantoba gagal diyakinkan begitu.

Bantuan rakan-rakan doktor pakar yang lain diminta. Namun pandangan yang diberikan bukanlah cukup terbaik untuk menyelesaikan masalah Mantoba. Doktor hampr hilang ikhtiar dan bermenung sendirian di rumah memikirkan masalah Mantoba. Seorang anaknya yang berusia tujuh tahun menawarkan diri untuk membantu dan memberi pandangan. Pada mulanya si ayah terdetik hatinya memperlekehkan anaknya yang baru setahun jagung itu.

"Potong sahaja kaki katilnya. Bila kaki katil dipotong, dinasour tiada tempat untuk sembunyi lagi." saran anaknya.

Cadangan disampaikan kepada Mantoba. Selepas itu, ternyata Mantoba sudah boleh tidor dengan nyenyak.

Banyaknya masalah besar yang dapat dilerai dengan gaya fikir yang santai, bebas dan keluar daripada kotak pemikiran yang biasa.

Pena Tumpul - Mudahkan yang payah

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...