Skip to main content

Prasangka

Lazimnya kita sebagai manusia biasa mudah sangat bersangka yang bukan-bukan sekiranya terpandang sesuatu yang luar dari biasa. Pelbagai andaian yang tidak elok yang menerjah difikiran. Lebih menyakitkan sekiranya akan terpacul dari mulut menghamburkan kata-kata yang tidak enak di dengar. Alangkah eloknya sekiranya disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan terhadap apa yang kita lihat. Atau lebih baik, diam sahaja supaya tidak ada hati yang terguris.

Kisah ini amat menarik untuk dikongsi. Seorang tua dan anaknya dalam lingkungan awal 20an berada dalam keretapi yang menunggu masa untuk bergerak. Sebaik-baik sahaja keretapi bergerak, anak muda ini gembira bukan kepalang bagaikan tidak pernah naik keretapi lakunya. Ketika bapanya bagaikan tidak kesah dengan apa yang berlaku, penumpang-penumpang yang lain dibungkam kehairanan.

Anak muda ini menjulurkan sebelah tangannya keluar tingkap dan merasakan pukulan angin yang kuat mendesah tangannya. "Ayah, tengok pokok-pokok tu semua pergi belakang", kata anak muda bila melihat pokok-pokok yang ditinggalkan di belakang sepantas kelajuan keretapi yang bergerak. Itu sepatutnya tidaklah menghairankan sangat pada sesiapa pun. Namun si ayah yang faham akan keadaan anaknya cuma mampu tersenyum dan dapat merasakan apa yang sedang dirasai anaknya itu.

Bertentangan dengan anak muda itu duduk seorang perempuan yang cukup asyik memerhatikan  gelagatnya. Perempuan itu dijangkiti kehairanan tahap tinggi melihat anak muda yang lakunya tak ubah bagai anak kecil.
Perhatian perempuan itu tersentak apabila tiba-tiba anak muda ini menjerit, "Ayah, tengok ada kolam, ada binatang tu. Cantik awan tu bergerak sama macam kita" 

Sejurus kemudian, hujan mula turun dan membasahi tangan anak muda ini. Sekali lagi dia berlonjak keseronokan. Betul2 bagai anak kecil lagaknya. Perempuan itu merasakan semacam ada yang tidak kena dengan anak muda. Dia juga rasa malu melihat anak muda terus-terusan berkelakuan yang tidak sepatutnya itu. Pada dia, ia memalukan di mata orang lain. Lantas dia bersuara dan melontarkan pertanyaan kepada ayah anak muda ini, "Pak Cik, kenapa anak Pak Cik tu. Pak Cik tak bawa dia jumpa doktor untuk dapatkan rawatan ke?".

"Ya, Pak Cik baru sahaja balik dari hospital ambil anak Pak Cik. Hari ini dia memang ada sebab untuk gembira kerana hari inilah dia boleh melihat dan menikmati keindahan alam ini", jawab orang tua itu selamba.

Perempuan itu malu sendiri kerana salah sangka.

Pena Tumpul - Ada mata pandang, ada telinga dengar, itu lebih baik

Comments

Popular posts from this blog

Kuasa

B ila memandu di lebuhraya, keinginan untuk memandu laju melampaui had yang ditetapkan cukup membuak-buak. Sesekali ada peluang kereta dipecut semahunya. 110km sejam yang ditetapkan bagai tidak diendah lagi. Tidak terfikir lagi tentang perangkap laju yang mungkin tersorok di mana-mana menunggu mangsa. Kuatnya pengaruh kuasa. Saya memotong kereta satu demi satu tanpa gusar dan ragu.Namun momentum terus bertukar perlahan sebaik sahaja memotong sebuah kereta Waja. Kereta ini benar-benar mempengaruhi saya supaya tidak terus memandu laju. Sebabnya mudah sahaja. Kereta yang saya potong itu ada logo Polis di belakangnya. Walaupun saya tahu bukanlah satu kesalahan pun untuk memotong mana-mana kereta berlogo begitu namun pengaruh logo itu memang cukup kuat. Begitu juga kesan daripada warna baju hijau memantul cahaya yang selalu dipakai polis. Terpandang sahaja kelibat baju hijau ini dari jauh, tali pinggang yang sengaja tidak dipakai akan bergolot dipakai. Akhirnya tertipu sendiri bila ...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...