Skip to main content

Kalkulator


Haziq sedang bertarung dengan peperiksaan akhir tahunnya. Matematik menjadi minatnya paling utama walaupun sesekali mengeluh kerana berdepan dengan soalan yang agak rumit untuk diselesaikan. Saya kata, ia tidak sepatutnya jadi masalah kerana kalkulator menjadikan pengiraan semakin mudah. Nombor yang besar-besar boleh dicampur tolak, darab dan bagi dalam masa yang amat singkat. Malah penyelesaian masalah yang melibatkan algebra juga menjadi sangat enteng dengan bantuan mesin hitung ini.

Zaman saya sekolah dahulu, lebih-lebih lagi di sekolah rendah kalkulator tidak dikenali langsung. Sepuluh jari tangan dan sepuluh jari kaki diguna semaksimumnya untuk tolak dan campur. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang biji getah, lidi kelapa, biji saga digunakan. Untuk soalan-soalan yang melibatkan darab pula, kami di "dera" supaya menghafal sifir setinggi sifir 16! Saya masih ingat saat-saat ponggong dihinggapi rotan Cikgu Jamaludin kerana tidak cukup lancar membaca sifir di depan kelas. Ketika kalkulator bersaiz poket berada di pasaran sekitar awal 70an dulu, harganya cukup mahal untuk saya miliki. Saya tidak cukup tergamak untuk menyusahkan ayah untuk sebuah kalkulator yang lebih mahal daripada makanan keluarga untuk seminggu. Saya terpaksa berpuas hati dengan apa yang ada. Sesekali malu-malu meminta ihsan kawan yang memilikinya.

Saya mahu Haziq bersyukur kerana memiliki kalkulator ketika saya tidak mampu untuk memiliki satu dahulu. Lebih dari itu menginsafi bahawa betapa bertuahnya dia dilahirkan ketika Tuhan menganugerahkan kepandaian kepada manusia untuk mencipta gajet sehebat ini.

Saya juga mahu dia tahu bahawa bukan kalkulator itu yang hebat, bukan juga pencipta kalkulator itu tetapi Allah lah yang hebat!

Pena Tumpul - Congak sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w