Tuesday, January 26, 2010

Childlike


In my class of creative thinking today, I advise my students to be childlike in order to be creative. Be like a child but not be childish. I used to tell them stories to ignite their interests or they might turn bored listen to me babbling. Today I share with them this interesting piece of story.

It was about a heavy truck which became lodged under an overpass. For several hours, the police had been endeavouring to get it unstuck. The crowd gathered offered all sorts of suggestions. "Saw of the top of the truck," one old man bellowed, half-joking. "Dismantle the bridge", said another. These suggestions did not contain a feasible solution. Finally, a little boy stepped forward with this idea, " Why dont you let some air out of the tyres?"

Do not get stuck at the top end of the truck but let free our mind to look at the opposite end, where in fact the solution lay waiting.

Pena Tumpul - Reminded me of the cunning boy Hang Nadim of Singapura dilanggar todak

Monday, January 25, 2010

Amanat

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan memperkenalkan 200 program baru di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda termasuklah kursus-kursus yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana universiti awam tempatan. Ini adalah intipati amanat Naib Canselor yang baru, Datuk Profesor Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Amanatnya didengar warga UiTM seluruh negara yang dipancarkan menerusi laman sesawang petang ini

Ia satu langkah yang amat wajar kerana UiTM perlu bergerak selari dengan kepantasan yang berlaku dalam industri. Saya tertarik apabila beliau berkata langkah ini bukan drastik tetapi deras sikit. Ucapan sulung beliau yang memakan masa hampir dua jam itu turut menyentuh peranan UiTM dalam melahirkan teknokrat Melayu dan bumiputera dalam membangunkan negara.

Kepada pensyarah beliau tegaskan bahawa kegiatan penyelidikan dan penerbitan tetap akan diberikan penekanan tetapi tidaklah sampai menjadi lebih penting daripada tugas mengajar dan membimbing pelajar itu sendiri. Beliau juga menyebut kemungkinan penilaian rakan sejawat sebagai salah satu faktor yang diambil kira dalam proses kenaikan pangkat.

UiTM menanti perubahan besar yang bakal diterjemah dalam tempoh dua tahun pentadbiran seorang Naib Canselor baru yang pernah menjadi pelajarnya dulu.

Pena Tumpul - Sekali air bah sekali pasir berubah


Friday, January 22, 2010

Mangkat


Sultan Johor yang berjiwa rakyat mangkat pada 7.15 hari ini. Saya, isteri, mak mentua, Haziq dan Denko sedang makan di warong mee bandong Tangkak bila dikejutkan dengan berita Tengku Mahkota Johor (TMJ) dilantik Pemangku Raja lewat TV3. Saya singgah di warong ini dalam perjalanan balik dari Melaka. Saya sudah merasakan ada sesuatu yang berlaku. Saya melihat kesedihan di wajah TMJ. Menteri Besar Johor akhirnya menjawab segala persoalan bila mengumumkan kemangkatan baginda lewat TV1 jam 11.20 malam. Seluruh rakyat Johor berkabung dan bersedih dengan kemangkatan Sultan yang amat dikasihi ini. Saya turut merasakan kehilangannya.

Yang pasti, hari esoknya (Sabtu) adalah cuti umum. Seluruh Johor diselubungi kemurungan. Namun rakyat Johor dikurniakan pula seorang Sultan yang amat hampir dengan rakyat. Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas roh baginda.

Pena Tumpul - Haziq belajar beberapa istilah istana: gering, bersiram, beradu, santap


Wednesday, January 20, 2010

Impak3

Dr Fadzilah meneruskan bicara pendeknya namun mengesankan di ruang udara awal pagi ini. Dan saya masih menjadi pendengar setianya. Masih lagi berkisar tentang kecilnya yang kita lakukan kepada seseorang namun impaknya cukup besar. Kecil pada pandangan kita tetapi besar pada penerimaan orang. Kecil nilainya pada kita yang sudah biasa dengannya namun tidak ternilai besarnya pada yang tidak pernah memilikinya. Segelas air kosong tentunya tidak sama nilainya pada seorang yang sedang dahaga berbanding pada seorang yang tidak.

Pagi ini dia mengajak pendengar seperti saya melakukan sesuatu yang juga kecil. "Apa kata kalau pergi pasar, sesekali tanya mak cik kat sebelah rumah, kalau-kalau dia nak kirim beli apa-apa. Dia mungkin tinggal seorang diri dan tidak punya kemampuan untuk ke pasar". Satu saranan yang cukup baik dan bukan susah pun untuk dilakukan. Kata pakar motivasi ini, mak cik ini pasti gembira bukan kepalang. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang masih lagi mengambil berat tentangnya.

Kecilnya namun besar kesannya. Ibarat sebatang skru. Ia amat kecil tapi cukup besar peranannya. Sebatang skru yang cukup kecil itu jika tanggal dari sebuah jam tangan, jam tangan yang mahal pun sudah tidak berguna lagi!

Pena Tumpul - Kadang-kadang gajah besar di depan mata kita tak nampak tetapi kuman yang kecil di seberang lautan itu pula yang kita nampak

Tuesday, January 19, 2010

Impak2

Pagi ini Dr Fadzilah didengar lagi berbicara tentang yang kecil namun besar impaknya. Dia menyarankan apa salahnya sesekali melepasi tol membuat sesuatu yang kecil. Memang kecil dan tidak pernah terlintas pun untuk melakukannya pun. Saya sendiri tidak tahu sama ada saya boleh melakukannya walaupun ia kecil dan tidaklah susah sangat pun.

"Apa salahnya kalau sesekali kita beli chewing gum atau cookies (biskut) yang tidak sampai pun sepuluh ringgit harganya dan kita berikan pada pengutip tol" kata Dr Fadzillah. Bunyinya macam pelik. Namun pemberian yang kecil itu mungkin besar maknanya kepada mereka. Sekurang-kurangnya mereka rasa dihargai dan paling tidak pun dapat juga mengonyel dalam kepenatan memungut tol dari kereta yang silih berganti. Pastinya ada yang mencemuh idea ini begini, "Dahlah duit kita dia ambil, nak bagi sesuatu pulak". Kalau kita selalu fikirkan begitu lebih baiklah tidak payah buat langsung.

Yang kecil itu besar. Ibarat seekor semut yang kecil tetapi impaknya sampai boleh mengejutkan seorang yang sedang lena tidur dek ketipan bisanya itu.

Pena Tumpul - Paling tidak senang dengan mereka yang lempar batu sembunyi tangan





Monday, January 18, 2010

Impak


Dalam Sarapan Minda lewat Sinar FM pagi ini, pakar motivasi ini bercakap tentang sesuatu yang nampak kecil namun berimpak besar. Kata Dr Fadzilah Kamsah,kita buat perkara yang kecil sahaja namun kesannya mungkin dirasakan oleh ramai orang. Sambil berjalan-jalan dan terpandang sampah apalah salahnya kita kutip dan masukkannya dalam tong sampah.Lagi pun menjaga kebersihan itu satu daripada cabang iman. Rasanya tidak perlulah kita mengharap sepenuhnya kepada tukang sapu untuk melakukannya. Suatu perlakuan yang nampak kecil tetapi tidak ramai yang sedia membuatnya. Yang banyak orang buat ialah membuang sampah sesuka hati kendatipun tong sampah sudah tersedia di depan mata. Lebih memilukan bila kita sebagai ibu bapa adakalanya tidak mempamerkan contoh perlakuan yang baik pada anak-anak. Kalaulah kita mengutip sampah di depan mereka pastinya perlakuan baik ini akan menjadi ikutan mereka. Jika tong sampah tiada kelihatan, tidaklah salah kalau sampah itu dimasukkan sahaja dalam kocek seluar kita, seperti yang dilakukan oleh orang Jepun.

Sayangnya negara kita yang memiliki pelbagai kemudahan kelas pertama namun dihuni sebilangannya oleh mereka yang mempunyai minda kelas ketiga atau kelas keempat, kata Dr Fazillah.

Yang kecil itu besar!

Pena Tumpul - Tengok sehelai daun kering bertaburan di laman rumah pun sudah tidak selesa!

Sunday, January 17, 2010

Getah

"Kadang-kadang kalau hari tak hujan boleh dapat sehingga RM100 sehari. Kalau rajin sikit, boleh santak sampai RM200". Itu kata Pak Timan yang balik dari kebun getahnya. Badannya berbau. Bau lantun yang menusuk hidung. "Busuk tak kesah, yang penting duit masuk". Saya berseloroh. Pak Timan tidak pernah sekolah tinggi pun. Seingat saya dia cuma berhenti setakat darjah enam sahaja. Kesempitan hidup keluarga membenamkan hasratnya untuk terus belajar. Dia terus duduk di kampung dan mewarisi kerja ayahnya. Katakan apa sahaja kerja kampung yang tidak pernah dibuatnya. Menoreh getah, menjala ikan, menuba, memburu pelandok dan kijang, menugal jagung, memanjat pokok petai dan jering, bukanlah asing padanya. Pak Timan tidak pernah kekok dengan kerja-kerja kampung.

Bila saya ke rumahnya di Padang Kiambang semalam, Pak Timan tiada seperti yang dijangka. Jangan harap dia lekat di rumah. Dia bukan melepak. Tidak juga dia merambu dan membuang masa tidak tentu hala. Pak Timan dibadai kegilaan menoreh. Pendapatan lumayan gara-gara harga getah melambung sekitar RM5 sekilo membikin Pak Timan tidak senang duduk. Pagi dia berkebun dan petang pula menoreh. Khabarnya Pak Timan tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk sayur. Sesekali bila teringin ikan sungai, sungai akan ditebar jala dan ditahan lukah atau dilempar kail. Sempat saya merasa ikan seluang masak asam rencah belimbing masakan berperisa isterinya. Sudah jemu disogok dengan ikan air masin. Suapan makin laju dengan ulam kerdas yang masih baru dari pokok.

Teruja saya dengan kebun getah Pak Timan. Bersih,tidak semak dan tidak menyemakkan mata. Walaupun tidak luas namun cukup untuk memberikan pendapatan yang agak lumayan buat Pak Timan. Isteri sudah mula bising-bising supaya ditolak sahaja kebun pisang yang tidak berapa menjadi itu dan diganti dengan getah. Saya tidak cepat bertindak seperti yang diminta walaupun sudah acap kali disaran begitu. Saya belum bersedia. Saya juga tidak punya banyak masa untuk itu. Anak getah perlu dijaga sentiasa sebelum boleh ditoreh di usia enam atau tujuh tahunnya. Perlu di racun juga rumpai yang tumbuh meliar. Musuh yang menyerang di kala kita alpa. Dan perlu dibaja juga. Banyaknya kerja. Dan saya tidak tahu menoreh!

Pena Tumpul - Pernah ikut Atok Dolah menoreh lepas SPM dulu tetapi cuma kutip susu dari cawan getah sahaja

Saturday, January 16, 2010

Panjat

Saya sudah lama tidak memanjat. Bila disuruh isteri memanjat semalam saya agak enggan. Namun keinginan tinggi untuk merasai dokong yang sudah mula ranum menewaskan keengganan itu. Saya memang peminat nombor satu buah ini. Dan buah ini kena dipetik kemas bergugus. Kalau dikait dokong akan jatuh dan bertaburan di tanah. Kata Mak Mentua dokong akan tahan lebih lama kalau dipetik begitu. Mesej ini cukup jelas. Saya diperlukan untuk memanjat. "Kalau nak dokong, kena panjat", kata isteri.

Memanjat bukanlah susah sangat. Memanjat lebih mudah jika pokok agak renek dan berdahan seperti dokong. Memanjat menjadi susah sekiranya ada kerengga yang berselirat di pokok. Saya teringat hampir jatuh bila diserang serangga yang mengetip hampir seluruh tubuh. Saya beralih dari satu pokok ke satu pokok. Terasa seronok pula sambil memakan terus dokong dari atas pokok.

Memandang Mak Mentua dan isteri yang tekun mengutip dokong yang jatuh, saya ketawa sendiri. Ada cerita yang masih terpahat kemas dalam ingatan. Cerita Mak Mentua yang memanjat pokok duku dan tiba-tiba terpijak dahan rapuh. Dia hampir sahaja tersembam ke tanah. Tuhan masih melindunginya kerana dia sempat mencapai satu lagi dahan sambil bergayut sebelum saya cepat-cepat menyambarnya!

Namun cerita rekaan ini lebih menarik lagi. Cerita seorang budak kecil yang sedang memanjat pokok mangga ditepi rumahnya. Tiba-tiba dibawahnya melintas penghulu kampung tersebut sambil memandang keatas. "MasyaAllah" Tok penghulu tersebut bersuara dan menyuruh budak kecil tersebut turun. Setelah budak kecil itu turun, Tok penghulu memarahi beliau.
" Hey budak, lain kali kalau nak memanjat pokok, pakai seluar dalam dulu. Tak senonoh betul!"
Tok penghulu tersebut memberikan wang RM5.00 dan menyuruh budak itu membeli seluar dalam.Setelah pulang kerumah, budak tersebut menceritakan segala-galanya kepada emaknya. Esok pagi-pagi lagi, emak budak tersebut pula memanjat pokok tersebut tanpa memakai seluar dalam.Dalam hatinya berkata "kalau anak aku boleh dapat RM5.00, aku yang dah besar ni, koman-koman boleh dapat RM20.00".

Seperti semalam, Tok penghulu sekali lagi melintas kawasan tersebut sambil memandang keatas."MasyaAllah" sekali lagi Tok penghulu terkejut dan memanggil emak budak tersebut turun. Dia turun dengan hati yang gembira kerana fikir perangkapnya untuk mendapat RM20.00 mungkin menjadi kenyataan.

"Kamu dengan anak kamu sama saja, dah tahu nak panjat pokok, pakai lah seluar dalam... tak senonoh betul.!" jerkah Tok Penghulu.

Selepas selesai membebelTok penghulu menyeluk poketnya dan mengambil wang lalu berkata,
"Nah 50 sen, pergi beli pisau cukur".

Pena Tumpul - Pernah cuba panjat pokok kelapa tetapi separuh jalan sahaja

Friday, January 15, 2010

Kesihatan

Kesihatan adalah sebuah gudang harta paling besar. Ia jauh lebih mahal berbanding wang ringgit. Jauh lebih berharga daripada segala kemewahan yang kita miliki. Jika sakit harta yang melimpah tidak akan bermanafaat pun. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, wang bertimbun tidak selalunya dapat memberi kita nikmat sihat semula. Seperti kisah seorang tycoon yang cuma bergantung kepada roti untuk kekal hidup. Sepatutnya dalam limpahan wang ringgit dia boleh sahaja menjadi sihat semula. Namun ia tidak semudah seperti yang disangka. Ia perlu berpuas hati bahawa sakitnya cuma mengizinkannya untuk roti itu sahaja.

Pernah ditanyakan kepada Bisyr al-Hafi seorang imam, ahli hadis yang wara', zuhud dan ahli ibadah tentang lauk yang dia makan. Beliau orang fakir. Katanya "Laukku adalah kesihatan tubuh." Jawapan yang cukup menarik. Ketika kita sehat apa pun dirasa sedap dan enak. Namun ketika sakit, selazat mana pun makanan di depan mata tidak terbuka selera kita untuk menjamahnya apatah lagi melantak semahunya. Sekeping roti tawar yang dimakan dengan sekadar segelas air kosong ketika sihat cukup nikmat dan lazat berbanding sepinggan nasi beriani gam dan segelas kopi panas yang tidak mampu untuk dijamah pun ketika sakit.

Ironinya, ketika sedang sakit itulah orang sakit akan ditawarkan makanan yang sedap-sedap. Ketika melawat yang sakit di hospital misalnya, buah-buahan sentiasa jadi buah tangan. Di saat sakit begitu, ketika tekak payau dan pahit tidak ada apa yang larat untuk di telan pun! Justeru itu, kata orang ketika tengah sihat makanlah apa sahaja yang menyelera.

Tok Atan di ajak makan semalam namun pantas menolak. Emak menyediakan lauk yang cukup istemewa. Tok Atan yang sudah lewat 80 tahun tidak terpanggil pun. Tok Atan sudah dua hari demam rupanya. Tekak pahit katanya. Tidak berselera walau untuk sesuap nasi pun.

Pena Tumpul - Emak masak sambal petai dan saya makan penuh selera, syukur dengan nikmatNya

Thursday, January 14, 2010

Derma

"Ayah, boleh tak aziq nak bagi duit kat orang tu". Selalunya Haziq tidak pernah bertanya kalau dia ingin memasukkan seringgit dua dalam kantung pengemis yang ditemuinya. Malam tadi ketika jalan-jalan di pasar malam Haziq pantas terpandang seorang peminta sedekah. Dia seorang China.Itulah masalah Haziq. Kerana dia orang China Haziq teragak-agak hendak memberi. "Nak derma tidak kira siapa. Janji ikhlas" saya katakan padanya.

Pada zaman Rasulullah saw ketika umat Islam sedikit dan kecil, diperintahkan kalau beramal itu hanya pada sesama muslim sahaja,namun ketika sudah besar, dan kaya, Allah memerintahkan untuk memberi sedekah kepada semua orang tidak kira agama dan keyakinan orang itu.

Malah diriwayatkan oleh An Nasa’i, Al Hakim, Al Bazzar, At Thabarani yang bersumber dari Ibnu Abas. Ibnu Abbas berkata: “Dahulu para sahabat tidak suka memberi harta kepada keluarga mereka yang masih musyrik. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah saw, dan beliau pun membenarkan mereka." Maka turunlah ayat ini:

"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka ( yang kafir) mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan (mendermakan) sesuatu melainkan karena mencari keridaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan).
(Albaqarah:272)

Menurut Tafsir Pimpinan Ar Rahman, di zaman Rasulullah, sebilangan orang Islam agak keberatan hendak menderma kepada orang kafir lalu turunlah firman Allah ini yang menerangkan bahawa apa yang mereka dermakan, sama ada kepada orang Islam atau kafir, adalah berpahala belaka, asalkan derma itu diberikan semata-mata kerana Allah, bukan kerana riya' atau lainnya. (ms.88)

Pena Tumpul - Jalan-jalan cari putu bambu

Wednesday, January 13, 2010

Hadiah

Khabarnya, lelaki Melayu kurang romantik. Itu pandangan Syed Hashim Syed Ali Habshi. Saya tidak fikir ramai lelaki yang setuju dengan kenyataan liar ini.Pagi ini saya lemparkan kenyataan ini pada pelajar untuk memancing reaksi mereka. Rata-rata perempuan bersetuju. Lelaki yang cuma tiga orang langsung tidak bersuara, pastinya tidak bersetuju. Kata Syed lagi,lelaki Melayu juga kebanyakannya tidak mengingati pun tarikh lahir isteri sendiri. Apatah lagi menghadiahkan sesuatu yang istemewa sempena hari paling bermakna itu.

Siti Nurhaliza pastinya bertuah pada setiap sambutan tarikh lahirnya sejak tiga tahun yang lalu. Khabarnya hadiah hari lahir yang dianugerah oleh suaminya mahalnya bukan kepalang. Tahun ini dia diberikan beg tangan yang menyamai tiga tahun pendapatan seorang buruh kasar. Dua tahun berturut yang lalu khabarnya nilai hadiah hari lahir Siti pemberian suaminya bernilai 1 juta ringgit! Beruntungnya Siti. Ia bukan berlaku secara kebetulan dalam hidupnya. Bahawa dia pernah susah dizaman sekolahnya dahulu pastinya membakar semangatnya untuk bangkit dari keperitan hidup yang pernah diharunginya. Adillah begitu. Dia berjaya kerana dia bekerja kuat. Saya mahu pelajar melihat Siti sebagai ikon hebat begitu. Saya percaya ada pelajar yang diam-diam memendam hasrat mahu jadi seperti Siti.

Saya mungkin tidak mampu memberi hadiah mahal begitu namun saya bangga kerana masih mampu mengingati tarikh lahir isteri saban tahun walaupun hadiah sekadar ucapan semoga panjang umur untuk terus beribadat kepadaNya dan murah rezeki. Saya mungkin tidak romantik tetapi tidak pula sampai tidak reti menyayang, disayang, membelai dan dibelai!Memadailah.

Pena Tumpul - Tahun ini warga kampus hilang sesuatu: ucapan hari lahir dari majikannya

Tuesday, January 12, 2010

Provokatif


Saya mengajar "Critical and Creative Thinking"dan membaca sebuah buku ini tentang penjanaan minda kreatif. Penulisnya menganjurkan perlunya bertanya soalan-soalan provokatif. Misalnya dengan soalan yang bunyinya agak bodoh begini; kenapa rumah perlu ada bumbung? Ya, bunyi bodoh namun kata penulisnya ia mungkin boleh menyumbang kepada penciptaan baru sebagai pengganti kepada bumbung! Banyak lagi soalan provokatif yang boleh difikirkan dan dihamburkan.

Dalam kelas saya mahu pelajar bertanya soalan provokatif begini. Lalu pelbagai soalan yang bukan-bukan dan tidak pernah difikirkan sebelum ini terhasil. 25 soalan yang gila-gila bila mereka diberikan kebebasan untuk bertanya apa sahaja. Saya tidak mampu menjawab sebahagian besar daripadanya. Satu percubaan yang berani tetapi memerangkap diri.Saya perlu mengakui kedangkalan ilmu di dada.

Saya teringat cerita seorang guru geografi yang sering merendahkan kebolehan saya dan rakan-rakan dalam kelas. Dia juga terkenal garangnya. Ia masih segar dalam ingatan saya. Kawan saya ini memang suka bertanya dalam kelas. Kami semua kagum dengannya berbanding saya yang lebih banyak mendiamkan diri. Guru ini bercerita tentang bumi. Dia memang hebat dan masak betul dalam subjeknya ini. Sebelum kelas berakhir dia biasanya mencabar kami semua untuk bertanya soalan. Tidak ada yang menyahut kecuali seorang kawan saya ini. Dia mengangkat tangannya dan bertanya, "What is the weight of the earth,sir?" Saya tahu guru itu tidak tahu jawapannya namun cuba menyembunyikan kelemahannya dengan berkata, "That is a very good question. I want all of you to go home and find out the correct answer; consider this your homework for today!" Saya nampak dia bergegas ke perpustakaan sejurus meninggalkan kelas 6Kenanga.

Esoknya guru ini masuk kelas lagi dan bertanya," Did any of you find the answer to the question?" Tidak ada seorang pun daripada kami yang mengangkat tangan. Semua tunduk dan kecut perut. Guru ini pantas menyimpul dan membentak, "Well, I knew you lazy guys would not get the answer" Dia menulis jawapan di papan hitam dan kemudian bertanya, "Are therae any more questions?"Kawan saya yang satu ini memang tidak habis dengan soalan. Dengan selamba dia bertanya, "Sir, is that the weight of the earth with people on it or without people on it?" Saya nampak muka cikgu ini tiba-tiba merah padam dan cuma sempat membentak kami lagi, "Keep quiet and read your textbook!"

Saya melihat adakalanya saya dan mungkin orang lain juga tidak cukup berani untuk menerima kenyataan bahawa ilmu yang dimiliki amat terbatas. Takut dan malu untuk mengakui kelemahan diri. Ia membantutkan penjanaan minda kreatif di kalangan anak-anak didik kita. Kita membunuh naluri ingin tahu mereka.

Pena Tumpul - Persoalan telur dan ayam yang mana satu dahulu masih tidak terjawab


Monday, January 11, 2010

Hancing


"Bau apa ni, teruk betul....entah siapalah yang makan jering ni", rungut Haziq awal pagi tadi sebaik sahaja usai mandi. Bau hancing bilik air betul-betul menusuk hidung. Kalau dah makan jering, sesuatu yang perlu dibuat betul-betul ialah basuh bilik air dan sental kuat-kuat. Bau hancing jering memang kuat melekat. Saya dan isteri senyum sendiri. Tidak ada siapa lagi yang didapati makan jering kecuali kami berdua. Semalam ketika singgah di pasar tani, kami tidak mampu menahan keinginan untuk membeli ulam yang kurang disenangi justeru baunya ini. Kami memang peminat jering nombor satu selain petai juga.

Orang kita memang penggemar ulam. Kata orang ulam ini banyak khasiatnya malah pernah dibuktikan pun dari sudut kesihatannya. Ulam juga pembangkit selera. Saya sendiri kadangkala bagaikan tiada selera tanpa ulam. Sekurang-kurangnya kacang botol sudah cukup untuk memacu suapan. Kalau tidak pun peria yang pahit apatah lagi kalau direbus dan dicicah pula dengan sambal belacan. Sedapnya! Emak sudah faham kegilaan saya terhadap ulam-ulam ini. Kalau tidak ada langsung ulam yang bisa dicapai, adakalanya emak akan rebus terung gewang. Terung panjang, kobis mentah pun pernah emak jadikan ulam juga. Saya mencubanya dan tidak kurang sedapnya.

Begitulah orang kita yang tidak boleh dipisahkan dengan ulam-ulaman. Malah cenderung pada ulam-ulam yang menerbitkan aroma bukan kepalang hancing dan pengar seperti jering, petai dan kerdas!

Pena Tumpul - Tidak suka tempoyak






Sunday, January 10, 2010

Tulang


Majlis kenduri dan tahlil di rumah Mak Tipah malam tadi diselit dengan insiden yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Saya tercekik tulang ikan. "Man, ikan apa ni,". Saya mengambil seekor ikan masin itu dan beberapa saat selepas itu terasa ada tulang yang tersangkut di kerongkong. Suapan saya menjadi perlahan. Tumpuan sudah tidak lagi pada aneka lauk yang menyelerakan. Saya tidak mahu orang lain tahu. Kalau tidak mahu saja saya beredar pergi dan menyelesaikan tulang yang menyesakkan tekak itu. Saya tahu tulang yang tersangkut bukan kecil.

Sekonyong-konyong saya teringat pesan Atok Senah "Kalau cekik tulang, pusing-pusingkan pinggan nasi yang kita makan, lama-lama hilanglah rasa tulang tu". Saya mencubanya tetapi tidak berhasil seperti yang pernah atok katakan itu. Itu sekadar petua yang boleh jadi betul dan tidak betul. Tulang yang tersangkut semakin menyucuk-nyucuk dinding kerongkong. Saya amat tidak selesa. Bila Mantoba menunjukkan mangkuk nasi tambah saya cepat menolaknya. Selera saya sudah tertutup. Mak pernah kata," ambil nasi dan kepal-kepalkan kemudian telan". Saya melakukannya tetapi tulang masih enggan untuk lolos bolos meninggalkan kerongkong.

"Jom cari pisang", saya mengajak isteri sebaik sahaja meninggalkan majlis itu. "Nak buat apa dengan pisang?, tanya isteri sedikit hairan. "Lagi pun mana ada kedai yang buka dah pukul 10 malam ni", jawabnya. "Saya tercekik tulang dan kata Pak Tahir kalau kita makan pisang, nanti elok". Pisang yang dicari tidak ditemui. Saranan isteri untuk ke klinik saya tolak kerana saya harap boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga esoknya. Sebelum tidor saya sempat mencuba satu lagi petua. Mak kata, " Masukkan air dalam senduk dan minum". Tidak juga berhasil. Malam tadi tidor saya tidak cukup lena. Rasa tidak selesa mengganggu tidor hingga ke pagi.

Akhirnya, pagi ini sewaktu berwuduk untuk solat Subuh tulang berjaya saya keluarkan. Kecilnya tulang ujianNya itu tapi cukup untuk merentap pelbagai nikmatNya.

Pena Tumpul - Sudah mula fobia dengan ikan

Thursday, January 07, 2010

Parkir

Parkir adalah keadaan tidak bergerak suatu kenderaan yang bersifat sementara karena ditinggalkan oleh pengemudinya. Itu definisi yang saya cedok bulat-bulat di sini. Perkataan ini adalah pinjaman dari bahasa Belanda, iaitu parkeren. Parkir dilihat sesekali digunakan dan tidak meluas berbanding perkataan parking itu sendiri. Kekeliruan terjawab bila saya merujuknya di laman sesawang pagi ini.

Pun begitu bukan konotasi parkir itu yang jadi isunya. Biarkannya kepada pakar bahasa. Soal parking bertelur dan membiakkan masalah berpanjangan yang tidak pernah selesai. Bilangan kenderaan yang pesat bertambah hampir setiap hari menjadikan masalah parking semakin gawat. Adakalanya ruang parkir tidak sepenuhnya berupaya menampung keperluan untuk parkir yang mendesak. Ruang parkir sentiasa sahaja terisi tidak kira berapa pun kadar caj yang dikenakan.

Saya melihat isu parkir ini dari sudut yang berbeza. Parkir menjadi masalah apabila manusia yang mengemudi kenderaan itu sendiri yang sebenarnya bermasalah. Antara yang paling ketara ialah bila kita tidak mahu berenyah. Kalau boleh kereta ingin diparkir betul-betul depan kedai, supermarket, pejabat dan sebagainya lalu tidak perlu untuk membetis jauh-jauh. Keluar sahaja dari kereta dan setapak dua sudah berada di tempat yang dituju! Malasnya saya dan mereka juga.

Begitu juga, parkir bukan juga masalah besar yang menghambat kotaraya seperti KL dan JB sekiranya idea "car pool" diterima baik dulu. Malangnya ramai kalangan kita yang lebih memikirkan tentang keselesaan mengemudi kereta sendirian daripada berkongsi dan membonceng kereta orang lain! Saya pernah diberitahu di Singapura, ada cara cukup berkesan untuk mengawal ledakan kereta di jalanraya dan sekaligus berjaya menyelesaikan masalah parkir. Di hari-hari tertentu sudah dikuatkuasakan hanya kereta yang berakhir nombor pendaftaran yang ganjil dan genap sahaja silih berganti dibenarkan keluar di jalanraya. Betulkah begitu? Mudahkah perlaksanaannya?

Yang pasti, bilangan kereta terus membiak bersama pengemudinya yang tidak habis-habis memburu keselesaan!

Pena Tumpul - Sesekali naik motor dan tidak perlu susah-susah nak fikir fasal parkir

Tuesday, January 05, 2010

Gula

Haziq meminta supaya belanja hariannya di tambah. Alasannya harga makanan dan juga minuman yang di jual di kantin naik. Wang poket yang diberi seperti selalu sudah menurunkan kuasa belinya. Saya pernah cadangkan kepada isteri supaya sediakan makanan seadanya dan Haziq boleh bawa "bekal" sahaja. Ia bukan sahaja menjimatkan tetapi terjamin kebersihannya. Namun saya perlu memahami mamanya tidak punya cukup waktu untuk itu. Lalu cadangan itu tidak pernah dibangkitkan lagi. Haziq pun tidak cukup bersedia untuk itu. "Malulah....lecehlah." antara alasannya. Berbanding dulu, tidak ramai budak sekolah yang gemar bawa bekal ke sekolah.

Kenaikan harga barangan selalunya diikuti dengan harga barang lain yang turut sama naik. Bila harga gula naik beberapa hari lalu,minuman dan makanan yang berasaskan gula juga naik. Rayuan kerajaan agar tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan lain tidak didengar oleh peniaga yang sentiasa mahu untung lebih. Saya makan di kedai yang biasa saya pergi malam tadi dan menyaksikan harga minuman dinaikkan. Mudahnya memindahkan beban kenaikan kepada pengguna setiap kali berlaku kenaikan harga.

Saya bersyukur kerana kenaikan harga gula tidak menjejaskan perbelanjaan. Gula tidak pernah penting dalam menu sajian kami. Kami memang kurang menggunakan gula sehingga untuk menghabiskan satu kilo gula dalam sebulan pun bukan mudah.

Pena Tumpul - Suka yang pedas





Monday, January 04, 2010

Cantik


Hari pertama kuliah bermula dengan segalanya cantik. Jadual waktu yang paling cantik pernah saya ada sejak 22 semester yang lalu. Dengan Amanah Tugas Akademik (ATA) 16 jam seminggu memberi saya sedikit selesa untuk mengalih pandangan pada tugas bukan mengajar. Hari Khamis menyaksikan tiada kelas langsung. Terima Kasih kepada AJK Jadual Waktu kerana menganugerahkan saya jadual yang cantik begitu.

Saya masuk ke kelas pertama seawal 8 pagi ini di serikan dengan 14 kuntum bunga yang juga cantik dan seekor kumbang, bagus juga sekurang-kurangnya saya tidak keseorangan. Fenomena biasa dominasi wanita yang kian ketara di IPTA. Cantiknya kelas dengan 15 orang pelajar. Ia bermakna tumpuan dan perhatian boleh diberikan kepada hampir setiap pelajar sewajarnya. Bilik C315, bilik yang pernah dilabel sebagai bilik buangan satu ketika dahulu justeru keterpencilan dan ketinggiannya juga sudah cantik sekarang. Kerusi dan meja baru yang masih lagi bersalut plastik menambah keselesaan.

Pengajaran perlu cantik, sikap juga mesti cantik, kedatangan juga kena cantik dan yang pentingnya pencapaian akademik juga turut cantik di akhirnya nanti!

Pena Tumpul - Tidak cantik bila lihat perabut-perabut baru terbiar, parit-parit menghadang laluan dan bilik asrama yang sifar kemudahan jadi kelas

Sunday, January 03, 2010

Kilat

Sebahagian bandar Segamat hampir tenggelam petang ini. Dentuman petir dan kilat sabung menyabung mencurahkkan hujan yang bukan sedikit. Saya dan isteri terperangkap di tengah-tengah kesesakan orang ramai yang memburu tempat perlindungan. Beberapa orang pelajar UiTM yang keluar membeli belah setelah bercuti panjang di kampung juga kelihatan resah menunggu bas.

Adakah tragedi bah besar yang membadai Segamat 2006 dulu berulang lagi? Segalanya mungkin andai faktor penyumbang kepada petaka itu tidak diberikan perhatian. Sistem perparitan yang tidak sempurna dilihat katalis kepada fenomena banjir kilat. Inilah yang berlaku petang ini. Tidak susah untuk mencari puncanya. Parit yang cetek gagal menampung limpahan air lalu mencetuskan banjir kilat.

Banjir kilat petang ini adalah satu amaran awal betapa kita boleh dibalun musibah seandainya kita memperlekehkan tuntutan alam maya. Jangan sampai kita korbankan hutan hijau untuk membangunkan hutan batu yang bakal mengundang padah!

Pena Tumpul - Teringat banjir besar 1971

Saturday, January 02, 2010

Beralah

Saya ingin berkongsi sebuah cerita tentang lembu. Ia mengajar kita supaya jangan tertipu dalam membuat pilihan. Juga tidak didorong haloba dan mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Dalam banyak keadaan yang lemah tidak selalunya kalah. Kita selalu diingat agar beralah.Antara abang dan adik, abanglah yang selalunya diminta beralah. Antara yang kuat dan lemah, yang lemah itulah yang selalunya beralah. Antara yang banyak cakap dan kurang cakap, yang kurang cakap itulah yang seringnya beralah.Tidak ada faedahnya bertegang leher untuk sebuah kemenangan yang belum tentu pastinya. Justeru yang kalah sekarang mungkin akan menang kemudiannya. Yang dilihat menang sekarang,belum tentu menang diakhirnya.
{Pak Dollah meninggal lima tahun selepas isterinya meninggal.Tinggallah dua anak mereka Chan dan Chin.Tiada harta berjuta yang Pak Dollah tinggalkan selain sebuah rumah dan seekor lembu betina....

Chan dan Chin tiada masalah tempat tinggal kerana Pak Dollah tinggalkan rumah pusaka kepada mereka.Chan menoreh getah di kebun penghulu manakala Chin menjual ikan.Tiada masalah dalam mencari nafkah.Namun yang menjadi masalah mereka ialah soal lembu betina yang seekor itu.

"Kita bahagikan lembu ini kepada dua bahagian,"kata Chin.Chan bersetuju.
"Siapa yang akan mengambil bahagian depan?"Chin bertanya."Terserahlah kepada kau, saya tidak kisah depan atau belakang"jawab Chan.

Chin segera terfikir, bahagian depan adalah bahagian yang baik.Bahagian depan ada kepala.Ada kepala ada otak.Ada otak ada fikiran.Jadi, aku akan ambil bahagian depan.Chin tersenyum sendirian.

"Saya akan ambil bahagian depan, dan abang ambil bahagian belakang.Boleh?"Chin mahu jawapan Chan "Abang ikut saja,"jawab Chan

Chin gembira.Dia dapat mengenakan abangnya.Dia teringatkan tahi lembu."Bahagian belakang ialah bahagian lembu berak,"Chin berfikir dan tersenyum.

Pada satu petang, ada orang datang membeli tahi lembu untuk dijadikan baja tembikai.Chan mengambil semua duit itu,kerana tahi lembu itu keluar dari bahagian belakang lembu.

Pada esok harinya, seorang petani datang ke rumah mereka.Petani itu marah kerana tanamannya telah dimakan oleh lembu mereka."Awak berdua mesti membayar ganti rugi.Saya rugi seratus!."petani bersuara tegas.

Chan melihat wajah Chin.Chin mengeluh. "Kita kena keluarkan duit RM50 seorang."kata Chin
"Tidak."balas Chan. "Awak seorang saja yang kena bayar.Yang makan padi ialah mulut.Mulut berada di depan.Bahagian depan adalah milik awak."

Chin terperanjat.pembahagian lembu itu merugikan dirinya. Dua bulan kemudian lembu itu bunting,Chan berkata, "Andai anak lembu itu keluar dari bahagian belakang, anak lembu itu milik aku,"

Ini kerugian ketiga bagi Chin.Dia bersedih.

Pena Tumpul - Selalu beralah dan tidak rugi beralah

Friday, January 01, 2010

Baru


Hari ini hari pertama 2010. Tahun baru meninggalkan 365 hari tahun lama 2009. Tahun baru sering dikaitkan dengan yang baru. Azam baru. Semangat baru. Pelajar baru. Dan kampus ini yang dikemudi Pengarah baru. Saya sempat mengimbas lalu di laman sesawang dan dimaklumi bahawa Prof Madya Sohaimi Zakaria adalah orang maklumat. Pastinya berbeza pembawaan dan tumpuannya.

Di hari pertama tahun lalu saya sempat menanam beberapa azam namun tinggal terbenam. Pernah bertekad untuk menulis satu laman sehari bagi sebuah novel yang tidak pernah berjudul sampai ke penghujung tahun. Saya gagal untuk menghasilkan hatta seperenggan pun! Hari ini saya ingin "memperbaharui" azam yang sama ini.

Seusai solat Jumaat, saya terserempak dengan seorang penulis yang dikira bernama besar. Kepada Baharudin Kahar saya khabarkan hasrat untuk belajar "menulis" Saya tahu beliau kaya pengalaman dan kaya ilmu dalam bidang ini. Sementelah lagi karya beliau "Senjakala" pernah diangkat sebagai teks sastera SPM beberapa tahun lalu. Apabila sebuah karya sudah diberikan keistemewaan begitu, selayaknya dia orang senang sekarang. Namun itu tidak berlaku pada Baharudin. Dia amat-amat sederhana dengan basikal tuanya dan khabarnya menyara hidup dengan jualan satenya.

Ketika menyaksikan Pak Baharudin mengayuh lesu basikalnya beredar pergi, saya masih lagi menunggu ilham yang tidak kunjung datang untuk muka surat pertama novel impian saya!

Pena Tumpul - Sedang membaca Senjakala dan Saga

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails