Skip to main content

Tulang


Majlis kenduri dan tahlil di rumah Mak Tipah malam tadi diselit dengan insiden yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Saya tercekik tulang ikan. "Man, ikan apa ni,". Saya mengambil seekor ikan masin itu dan beberapa saat selepas itu terasa ada tulang yang tersangkut di kerongkong. Suapan saya menjadi perlahan. Tumpuan sudah tidak lagi pada aneka lauk yang menyelerakan. Saya tidak mahu orang lain tahu. Kalau tidak mahu saja saya beredar pergi dan menyelesaikan tulang yang menyesakkan tekak itu. Saya tahu tulang yang tersangkut bukan kecil.

Sekonyong-konyong saya teringat pesan Atok Senah "Kalau cekik tulang, pusing-pusingkan pinggan nasi yang kita makan, lama-lama hilanglah rasa tulang tu". Saya mencubanya tetapi tidak berhasil seperti yang pernah atok katakan itu. Itu sekadar petua yang boleh jadi betul dan tidak betul. Tulang yang tersangkut semakin menyucuk-nyucuk dinding kerongkong. Saya amat tidak selesa. Bila Mantoba menunjukkan mangkuk nasi tambah saya cepat menolaknya. Selera saya sudah tertutup. Mak pernah kata," ambil nasi dan kepal-kepalkan kemudian telan". Saya melakukannya tetapi tulang masih enggan untuk lolos bolos meninggalkan kerongkong.

"Jom cari pisang", saya mengajak isteri sebaik sahaja meninggalkan majlis itu. "Nak buat apa dengan pisang?, tanya isteri sedikit hairan. "Lagi pun mana ada kedai yang buka dah pukul 10 malam ni", jawabnya. "Saya tercekik tulang dan kata Pak Tahir kalau kita makan pisang, nanti elok". Pisang yang dicari tidak ditemui. Saranan isteri untuk ke klinik saya tolak kerana saya harap boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga esoknya. Sebelum tidor saya sempat mencuba satu lagi petua. Mak kata, " Masukkan air dalam senduk dan minum". Tidak juga berhasil. Malam tadi tidor saya tidak cukup lena. Rasa tidak selesa mengganggu tidor hingga ke pagi.

Akhirnya, pagi ini sewaktu berwuduk untuk solat Subuh tulang berjaya saya keluarkan. Kecilnya tulang ujianNya itu tapi cukup untuk merentap pelbagai nikmatNya.

Pena Tumpul - Sudah mula fobia dengan ikan

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...