Skip to main content

Getah

"Kadang-kadang kalau hari tak hujan boleh dapat sehingga RM100 sehari. Kalau rajin sikit, boleh santak sampai RM200". Itu kata Pak Timan yang balik dari kebun getahnya. Badannya berbau. Bau lantun yang menusuk hidung. "Busuk tak kesah, yang penting duit masuk". Saya berseloroh. Pak Timan tidak pernah sekolah tinggi pun. Seingat saya dia cuma berhenti setakat darjah enam sahaja. Kesempitan hidup keluarga membenamkan hasratnya untuk terus belajar. Dia terus duduk di kampung dan mewarisi kerja ayahnya. Katakan apa sahaja kerja kampung yang tidak pernah dibuatnya. Menoreh getah, menjala ikan, menuba, memburu pelandok dan kijang, menugal jagung, memanjat pokok petai dan jering, bukanlah asing padanya. Pak Timan tidak pernah kekok dengan kerja-kerja kampung.

Bila saya ke rumahnya di Padang Kiambang semalam, Pak Timan tiada seperti yang dijangka. Jangan harap dia lekat di rumah. Dia bukan melepak. Tidak juga dia merambu dan membuang masa tidak tentu hala. Pak Timan dibadai kegilaan menoreh. Pendapatan lumayan gara-gara harga getah melambung sekitar RM5 sekilo membikin Pak Timan tidak senang duduk. Pagi dia berkebun dan petang pula menoreh. Khabarnya Pak Timan tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk sayur. Sesekali bila teringin ikan sungai, sungai akan ditebar jala dan ditahan lukah atau dilempar kail. Sempat saya merasa ikan seluang masak asam rencah belimbing masakan berperisa isterinya. Sudah jemu disogok dengan ikan air masin. Suapan makin laju dengan ulam kerdas yang masih baru dari pokok.

Teruja saya dengan kebun getah Pak Timan. Bersih,tidak semak dan tidak menyemakkan mata. Walaupun tidak luas namun cukup untuk memberikan pendapatan yang agak lumayan buat Pak Timan. Isteri sudah mula bising-bising supaya ditolak sahaja kebun pisang yang tidak berapa menjadi itu dan diganti dengan getah. Saya tidak cepat bertindak seperti yang diminta walaupun sudah acap kali disaran begitu. Saya belum bersedia. Saya juga tidak punya banyak masa untuk itu. Anak getah perlu dijaga sentiasa sebelum boleh ditoreh di usia enam atau tujuh tahunnya. Perlu di racun juga rumpai yang tumbuh meliar. Musuh yang menyerang di kala kita alpa. Dan perlu dibaja juga. Banyaknya kerja. Dan saya tidak tahu menoreh!

Pena Tumpul - Pernah ikut Atok Dolah menoreh lepas SPM dulu tetapi cuma kutip susu dari cawan getah sahaja

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...