Skip to main content

Kampung


Bahang hari raya semakin menghangat. Kampus kian lengang. Pelajar kelihatan berbondong-bondong meninggalkan kampus seawal pagi semalam lagi, atau mungkin ada yang telah pun pulang lebih awal dari itu. Wajah-wajah ceria jelas terpancar tanpa selindung. Keterujaan untuk balik kampung sememangnya satu fenomena yang tidak dapat dibendung setiap kali raya menjelang. Saya sudah lama tidak mengalami keseronokan balik kampung begitu. Sejak saya mengambil keputusan untuk menetap di Kg Gudang Garam, Segamat kira-kira 13 tahun yang lalu,keghairahan untuk balik kampung menyambut raya bukan milik saya lagi. Kali terakhir saya dan isteri menghitung hari membelai kesabaran untuk balik kampung ialah bila kami bertugas di Jengka Pahang. Lima tahun saya di sana. Namun kegerangan paling hebat dirasakan sebagai seorang pelajar yang merantau selama empat tahun awal 80an dulu. Gamitan untuk balik kampung beraya bersama keluarga terutama ayah dan bonda bukan kepalang hebatnya sehingga sehari dirasa bagai setahun! Masih segar diingatan berasak-asak dalam keretapi selama 3 jam perjalanan menahan lengoh berdiri bergayut pada besi bagaikan kelawar. Malah ada ketikanya bersidai di pintu keretapi menahan paluan bayu malam yang amat dingin menyepak muka. Namun keseronokan untuk beraya di kampung mengatasi segala kepayahan yang dirasa.

Ketika pasangan yang lain sebok-sebok merangka MOU sejak awal tahun lagi tentang giliran balik kampung, atau mungkin yang bertelagah atau bertegang leher bertikam lidah, bermasam muka, berperang dingin fasal balik kampung siapa, saya dan isteri cukup selesa berada dan beraya di kampung sendiri dikelilingi sanak saudara. Itulah hikmahnya memiliki pasangan dalam kawasan sewaktu!

Pena Tumpul - Rumah emak sejauh 500 kangkang kera dan rumah mentua pula sekadar sepelaung

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w