Skip to main content

Rezeki


Malam ini saya bersama isteri dan Haziq sempat beraya lagi. Saya berkunjung ke rumah seorang kawan lama waktu sekolah dahulu. Sekali terserempak di bazar Ramadan dan berbual ringkas sambil bertanya khabar, kami sama-sama mempelawa ke rumah untuk bercerita panjang. Saya janji pada Rosli, tunggu saya pada Hari Raya. Rosli yang lebih mesra dipanggil Chot sudah 20 tahun tidak saya tahu tentangnya apa tah lagi untuk bersua. Berjumpa kawan lama banyak perkara yang tersimpan lama diluahkan menjadi bahan cerita.

Melihatkan banyaknya kueh yang tersaji di meja, satu pertanyaan yang amat klise dan memang sudah dijangka terpacul dari mulut Wati. "Banyaknya kueh, buat sendiri ke?" Jawapan isteri Rosli yang juga klise bunyinya juga sudah saya duga. "Kuih tunjuk aja, malaslah nak buat, lagi pun senang kalau beli aja". Saya mencelah, "Betul tu, rumah saya pun kuih tunjuk jugak, Wati manalah ada masa nak buat. Sibuk dengan kerja". Masing-masing ketawa. Memang itulah yang berlaku sekarang. Kebanyakan rumah yang dikunjung rata-rata mempamerkan kuih yang bukan buatan sendiri. Tidak perlu hendak bersengkang mata, berpuli-puli menguli adunan, menahan bahang ketuhar kalau sudah ada kuih yang siap tersedia menunggu untuk dipilih dan dibeli. Sebut sahaja kuih apa yang dihajati, kuih bangkit, ros, bahulu, almond london, kapal, makmur, semuanya ada. Kita beli dari mereka dan itu rezeki mereka kerana memudahkan kerja kita. Kadang-kadang kita ingin melakukan segala-galanya sehingga lupa bahawa ada orang lain yang sepatutnya diberi peluang untuk melakukan kerja itu untuk kita. Misalnya, dengan sedikit kemahiran yang kita ada, kita ingin membetulkan paip yang rosak di rumah sedangkan kerja itu tentunya lebih bagus dilakukan oleh tukang paip yang lebih arif tentangnya. Melihat rumput yang panjang di sekeliling rumah, adakalanya tercetus juga hasrat untuk mengupah orang lain untuk memotongnya, tetapi terfikir juga kalau boleh dibuat sendiri, mengapa perlu upah orang lain? Memang itu pun yang saya lakukan selama ini. Namun menjelang hari raya lalu, dalam kesibukan saya disaran oleh isteri agar mengupah orang lain untuk melakukannya. Saya akur kerana saya percaya itu rezeki miliknya untuk menyambut hari raya.

Pena Tumpul - Dari rumah ke rumah saya mencari-cari sagun, tetapi hampa

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...