Friday, October 30, 2009

Seleweng


Ketika membentangkan Belanjawan 2010 Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Whistleblower tahun depan manakala 14 Mahkamah Sesysen Khas Rasuah dan empat Mahkmah Tinggi Khas Rayuan akan ditambah untuk memerangi rasuah. Satu langkah yang tepat dan sesuai bagi membendung segala macam bentuk penyelewengan yang berlaku sekarang. Saya pernah menulis tentang isu ini di akhbar tidak lama dulu. Penyelewengan dikatakan berleluasa dalam sektor awam justeru tiada pihak yang berani tampil ke depan memberi maklumat mendedahkannya. Lantas, Akta 'Whistleblower' dilihat amat perlu bagi melindungi pemberi maklumat.

Laporan Ketua Audit Negara baru lalu mendedahkan tentang banyaknya kepincangan dalam pentadbiran serta salah urus dana. Bayangkan RM42,320 digunakan untuk membeli sebuah komputer riba yang sudah ketinggalan zaman. Tidak masuk akal langsung! Sebuah kerusi berputar pula berharga di antara RM810 dan RM1,050.Bayangkan bagaimana kelulusan boleh dibuat ke atas pembelian ‘thumbdrive’ 1GB dengan harga RM480 sedangkan harga pasaran RM90.

Penyelewengan yang melibatkan dana awam bisa berlaku di mana sahaja tidak kira kecil atau besar jumlahnya wang yang dilibatkan. Yang pasti ada habuan yang dapat masuk ke dalam poket sendiri. Audit dalaman sepatutnya lebih berperanan untuk mempastikan berlakunya ketelusan dalam tadbir urus sesebuah organisasi. Dedahkan segala kepincangan agar setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan sebaik-baiknya supaya tidak sampai tiris ke kantung mereka yang mabuk wang.

Tiuplah wisel dan bongkarkan segala penyelewengan!

Pena Tumpul - Teringat dailog "20 persen" dalam Tiga Abdul

Tuesday, October 27, 2009

Kelawar

Spesis mamalia yang boleh terbang ini benar-benar menguji kesabaran saya dan isteri. Sekumpulan kelawar ini berkampung bawah atap rumah sejak sekian lama. Kehadirannya telah lama kami sedari namun tidak sangat dihiraukan pada peringkat awalnya, justeru tidak memberi kesan yang amat ketara. Sejak akhir-akhir ini bilangan yang menyinggah kian meningkat dan sekaligus membangkitkan rasa tidak selesa penghuni Teratak Kasih. Selain sisa-sisa najis yang dibiarkan bertaburan merata jatuh ke kaki lima dan menjengkelkan, habuk yang dihasilkan juga menyesakkan rongga hidung. Pelbagai ikhtiar sudah dilaksana namun mamalia yang dikaitkan dengan "vampire" ini tetap tidak mahu beredar pergi. Pemasangan lampu kalimantang juga tidak berhasil mengusirnya. Kata orang, letakkan daun mengkuang dan saya melakukkannya tetapi binatang unik ini tetap enggan pergi. Saya dan isteri putus asa namun masih mencari jalan penyelesaian terbaik.

Ada yang menarik tentang kelawar rupanya dan begitu menarik untuk dikongsi pastinya.

Suatu hari Allah S.W.T. memerintahkan malaikat Jibril as. untuk pergi menemui salah satu makhlukNya iaitu kerbau dan menanyakan pada si kerbau apa dia senang telah diciptakan Allah S.W.T. sebagai seekor kerbau. Malaikat Jibril as segera pergi menemui si Kerbau.

Di tengahari yang panas itu si kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat Jibril as mendatanginya kemudian mulai bertanya kepada si kerbau, "hai kerbau apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai seekor kerbau. Si kerbau menjawab "MasyaAllah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana aku dijadikanNya sebagai seekor kerbau, daripada aku dijadikanNya sebagai seekor kelawar yang ia mandi dengan kencingnya sendiri:. Mendengar jawapan itu Malaikat Jibrail as segera pergi menemui seekor kelawar.

Malaikat Jibril as mendatangainya seekor kelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam sebuah gua. Bertanya pula kepada si kelawar, "hai kelawar apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai seekor kelawar...? "MasyaAllah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana aku dijadikan sebagai kelawar daripada dijadikan sebagai seekor cacing bertubuh kecil, tinggal di dalam tanah berjalan pula menggunakan perut..." jawab si kelawar. Mendengar jawapan itu malaikat Jibril as segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap...

Malaikat Jibril as bertanya kepada si cacing, "Wahai cacing kecil apakah kamu senang telah dijadikan Allah S.W.T. sebagai seekor cacing..?" Si cacing menjawab, "MasyaAllah .. alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah s.w.t. yang telah menjadikan aku sebagai seekor cacing, daripada dijadikanNya aku sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh ketika mereka mati mereka akan disiksa selama-lamanya. Wallahhualam..

Pena Tumpul - Guna tahi kelawar sebagai baja

Monday, October 26, 2009

Ibu

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah" ( Surah Al-Ahqaf:15)

Ustazah ini, Dr Sharifah Hayaati menghiris perasaan dan hati kecil saya malam tadi. Saya tidak sampai menangis berjujuran, namun cukup tersentuh. Saya sebak dan tanpa dipaksa terasa mata bergenang. Saya terus teringat ibu. Terbayang wajah ibu .Saya juga dapat melihat kesebakan yang tidak mampu disembunyi oleh penceramah comel dan petah ini. Saya percaya tidak ada hati yang tidak tersentuh bila berkisah tentang ibu. Ustazah berkisah tentang ibu yang perlu dimulia dan dihormat untuk kesekian kalinya. Tidak ada yang barunya cerita tentang perlunya anak memuliakan ibunya. Begitu juga peringatan berulang-ulang kali kepada anak supaya jangan sampai derhaka kepada ibunya. Cumanya, kadang-kadang tanpa kita sedari dalam diam-diam kita melukakan hati ibu, dan dikhuatiri sampai dikira menderhaka pula.

Haziq yang menonton sama, sempat disindir-sindir oleh ibunya, "Dengar tu, bila mama panggil, jangan buat tak dengar aja, jangan nak merungut....."bila Dr Hayaati berkongsi kisah yang berlaku kepada ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij yang berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya. Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

Saya membaca kisah menyayat hati seorang gadis dehaka kepada ibu yang berlaku di Sabah 1994 lalu dan melihat kisah si Tanggang dalam versi baru berulang dan berulang!

Pena Tumpul - Terharu bila ibu kata dia tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan anak-anaknya dunia dan akhirat

Sunday, October 25, 2009

Campur

Saya menonton sebuah filem Inggeris yang agak menarik lewat TV2. Saya tahu mengapa saya boleh sampai terpaku di depan tv sehingga usai walaupun cerita sudah di pertengahan tayangan. "Guess Who's Coming for Dinner" terbitan 1967 mengangkat persoalan yang cukup menarik. Berkisar pada isu yang cukup kontroversial- "perkahwinan campur"yang melibatkan dua warna kulit yang berbeza, putih dan hitam. Perkahwinan campur sememangnya ditentang hebat malah dianggap menyalahi undang-undang di Amerika sehinggalah undang-undang membenarkannya diluluskan oleh Mahkamah Agung lewat 60an. Namun di kebanyakan tempat, ia masih ditentang keras.

Lakonan hebat Sidney Poitier, Katherine Hepburn dan beberapa yang lain. Garapan yang amat menarik. Makan malam di dahului dengan suasana tegang pertikaman lidah antara kedua belah pihak. Pasangan lelaki dan perempuan menunggu dengan resah sehingga empat jam sebelum ibubapa kedua-duanya bersetuju dengan hasrat mereka. Saya mengharapkan tema begini ditonjolkan dalam filem kita sebagai salah satu usaha mempromosi gagasan 1Malaysia.

Rasulullah SAW sendiri menggalakkan para sahabat berkahwin dengan pasangan yang jauh atau yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.Perkahwinan campur ini sering terjadi di zaman Rasulullah SAW. Malah Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan Safiyah, wanita keturunan Yahudi dan Mariah keturunan Qibti. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya ; “Pilihlah yang jauh dan jangan pilih kerabat yang dekat.”


Pena Tumpul - Pilih sawo matang

Thursday, October 22, 2009

Letter


Read this "HATE letter". It is so funny and creative. This is a love letter from a boy to a girl... .

However, the girl's father does not like him and want them stop their relationship... ... and so.. the boy wrote this letter to the girl.. he knows that the girl's father will definitely read this letter..

1----"The great love that I have for you
2---- is gone, and I find my dislike for you
3---- grows every day. When I see you,
4---- I do not even like your face;
5---- the one thing that I want to do is to
6---- look at other girls. I never wanted to
7---- marry you. Our last conversation
8---- was very boring and has not
9---- made me look forward to seeing you again.
10--- You think only of yourself.
11--- If we were married, I know that I would find
12--- life very difficult, and I would have no
13--- pleasure in living with you. I have a heart
14--- to give, but it is not something that
15--- I want to give to you. No one is more
16--- foolish and selfish than you, and you are not
17--- able to care for me and help me.
18--- I sincerely want you to understand that
19--- I speak the truth. You will do me a favor
20---if you think this is the end. Do not try
21--- to answer this. Your letters are full of
22--- things that do not interest me. You have no
23--- true love for me. Good-bye! Believe me,
24--- I do not care for you. Please do not think that
25--- I am still your boyfriend."

So bad!! However, before handing over the letter to the girl, the boy told the girl to "READ BETWEEN THE LINES", meaning-only to read 1.3.5.7.9.11.13.15.17.19.21.23.25. (Odd Numbers) So.. Please try reading it again! It's so smart & sweet...

Pena Tumpul - Once in a while, love to read jokes too

Tuesday, October 20, 2009

Bingkas


"Anda tidak minat buat penyelidikan? Kalau begitu, jangan panggil diri anda pensyarah"

Begitu kata Presiden KLIUC yang sempat dilontarkan oleh PM Mustafar Kamal Hamzah orang penting RMI dalam satu program ILQAM. Saya akui saya sangat terpukul sebab saya memang kurang minat dengan penyelidikan. Kecenderungan saya tidak di situ. Namun ungkapan itu membuat cili yang dirasa begitu amat pedasnya. Saya perlu bergerak dari mana-mana titik pun saya berada sekarang. Saya perlu bingkas. Senario yang bakal direntasi masa depan benar-benar "menakutkan" Menjelang 2015, UiTM bakal dinobat menjadi Universiti Penyelidikan (RU). Kata Mustafar, ketika itu pengajaran di kelas bukan lagi prioriti.

Menurut Mustafar lagi, penyelidikan dalam bidang sains sosial akan menjadi "obsolete". Sains dan Teknologi serta yang menjurus kepada BioTeknologi dan angkasa bakal meraih lebih perhatian dan tumpuan. Penyelidikan antara disiplin malah merentas disiplin berstatus goreng pisang panas. Selain itu tumpuan kepada "Research Collaboration" Bagaimana mungkin seorang penyelidik linguistik ingin bekerjasama dengan seorang penyelidik kejuruteraan? Fikir-fikirkanlah, kata Mustafar melayan persoalan berbaur kegusaran yang dibangkitkan oleh seorang pensyarah bahasa. Lebih dari itu, penyelidikan yang berimpak tinggi kepada masyarakat dan negara menjelang 2020.

Saya dihantui kebimbangan berimpak tinggi!

Pena Tumpul - Saya perlu bingkas atau bakal tumpas

Saturday, October 17, 2009

Serentak



Bekalan tenaga terhenti secara tiba-tiba dan serentak melanda seluruh pelusuk kampus beberapa minit menjelang pukul 2 Rabu lalu. Pendingin hawa gagal berfungsi. Lampu tiba-tiba padam. Bilik hilang cerahnya dan suhu yang nyaman betukar panas dan membahang. Pembentangan yang sedang berlangsung tergendala. Pelajar mula merungut kepanasan. Hati dipujuk bahawa keadaan ini tidak akan lama berlarutan. Jangkaan kami ternyata silap, bekalan cuma mampu dipulihkan sekitar jam 7 malam. Ia adalah kerosakan besar di pencawang utama. Alternatif dicari dan seluruh kampus bergantung harap kepada sebuah janakuasa, sementara masalah diatasi sepenuhnya. Dengan kapasiti bekalan yang amat terhad seluruh warga dirayu agar berhemah dalam penggunaan. Tidak membazir tenaga. Keadaan tidak menentu ini berlaku lagi dua hari berikutnya. Pastinya, seluruh warga direnggut keselesaannya.

Saya melihat keadaan ini dalam konteks yang berbeza. Ketika saya menghadiri ceramah agama tidak lama dulu, seorang Ustaz ini ditanya begini: "Ustaz, saya melihat tsunami meragut ratusan ribu nyawa secara serentak. Mana mungkin Allah melakukannya? . Ustaz bijak beranalogi apabila beliau membalas begini: "Kalau seluruh negara boleh bergelap justeru lampu yang padam secara serentak dan tiba-tiba, apalah sangat keajaiban yang kamu saksikan itu pada Allah. Allah Maha Berkuasa melakukan menurut kehendaknya" Begitulah kehebatan Allah.

Dari sudut lainnya, apa yang berlaku ini sepatutnya mengajar kita sesuatu. Ketika nikmat tenaga melimpah ruah, kita dilihat gagal menghargai selayaknya. Tenaga dibazir tidak mengira. Kita sering alpa dalam nikmat yang tidak terhingga.

Pena Tumpul - Pernah guna pelita ketika di kampung bila bangun pagi muka berjelaga

Thursday, October 15, 2009

Lekat


Entah dari mana datangnya, saya merasakan ada sesuatu yang melekit di kasut. Saya terpijak gula getah rupanya ketika berjalan menuju perpustakaan.Angkara siapa agaknya yang wewenang sahaja memancutkan sisa gula getah merata begitu. Malangnya nasib gula getah, habis manis sepah dibuang. Sudah sifat umum gula getah, sekali sudah melekat,sukarnya untuk memisahkannya dari kasut atau selipar yang dipakai. Ia melekat dan melekit bagaikan tidak mahu tanggal-tanggal lagi. Berpuluh-puluh tahun dahulu, kawan saya hampir maut justeru tercekik gula getah ini. Tidak lama dulu ada politikus yang menyifatkan Belanjawan 2009 belanjawan gula getah. Macam-macam.

Dilaporkan, masyarakat Maya di Selatan Mexico merupakan masyarakat pertama yang menjumpai gula-gula getah. Gula-gula getah diperolehi daripada pokok liar sapodilla. Mereka menoreh dahan pokok itu dan menadah cecair getah yang keluar dari pokok itu. Kemudian Thomas Adams Jr. dan William Wrigley Jr. mempopularkan jenama Wrigley Chewing Gum.Sejak itu, gula-gula getah mendapat perhatian seluruh dunia.

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik antarabangsa menunjukkan gula-gula getah yang boleh memberikan rehat yang lebih, bersenam, urutan mata dan kelegaan kepala adalah antara tabiat sihat yang boleh membantu orang muda memberikan tumpuan yang lebih baik. Betulkah begitu?

Namun pandangan seorang ustaz ini lebih menarik. Beliau mengaitkan gula getah dengan jahiliyah.Ia melekit dan melambatkan serta menyukarkan perjalanan dalam berdakwah. Katanya, di saat hati kita dilekati lekit Jahiliah, hati sangat susah untuk tersentuh dengan AlQuran. Namun apabila Jahiliah ditanggalkan, akan dirasa kemanisannya. Kemanisan yang amat sukar untuk diceritakan pastinya.

Pena Tumpul - Kerana gula getah melekat lekit di pintu MRT, Singapura mengharamkan gula getah, negara kita bila lagi?

Tuesday, October 13, 2009

Kulit

"Idea yang disebut kreatif mestilah memenuhi dua syarat. Pertama, idea itu bersifat novel iaitu baru sama sekali. Ia belum pernah didengar ataupun dicipta sebelumnya. Kedua, idea itu hendaklah berguna kepada masyarakat"

Saya diperlukan untuk mengadili persembahan drama beberapa kumpulan pelajar. Mereka menjadi kelompok pertama dalam sejarah UiTM Johor diberi penghormatan merintis peluang mengeksploitasi dan memanipulasi minda agar lebih kreatif dan kritis. Sebagai fasilitator, saya juga cukup teruja kerana diberi kepercayaan untuk berkongsi dengan 25 orang pelajar selama 4 jam seminggu tentang dua jenis pemikiran ini. Bukan mudah tentunya untuk mentransformasi pemikiran yang sudah lama tidak kreatif dan kritis di kalangan pelajar. Apatah lagi bila bercakap soal innovasi dan invensi. Terasa sukarnya. Persembahan drama itu adalah terjemahan kepada tahap kemampuan mereka dalam menggarap idea pemikiran kritis dan kreatif.

Sengaja saya mengangkat pandangan Ainon Mohamad, SifuPTS lewat bukunya, "Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu" agar tidak sampai tersasar bila berbicara tentang apa itu kreatif dan sekaligus menjadikan pandangan ini sebagai neraca dalam menilai 16 persembahan yang disajikan.

Saya melihat elemen-elemen adaptasi, ciplak dilakukan secara wewenang dan sembrono. Mencedok idea hebat beberapa komersial lewat media tv untuk dipersembahkan di pentas dilihat menarik dan berjaya meraih sorakan penonton tetapi tidaklah cukup kreatif kerana ia bukan cetusan baru. Menyaksikan dikir barat dialun dalam versi Bahasa Inggeris juga menarik tetapi tidak juga kreatif justeru ia bukan lagi luarbiasa pun-persembahan begini sudah acapkali disajikan. Melihat Rapunzel, Cinderella, Red Riding Hood dipentaskan mungkin menarik, tetapi saya tercari-cari di mana dihumban pemikiran kreatifnya? Elemen pop masih tebal bersarang di kotak fikiran bila muzik dan lagu diselitkan dalam persembahan dan penonton begitu teruja! Persembahan yang kelihatannya serius tanpa lagu dan muzik disahut hambar. Pemikiran berada ditahap paling gawat melihat beberapa adegan yang tidak wajar untuk dipertontonkan pun! Kadang-kadang terasa bagaikan menonton satu persembahan tadika yang mungkin menghiburkan namun tidak pula sejajar dengan tahap pemikiran pelajar yang sewajarnya. Keseluruhannya, pelajar dilihat gagal menyingkap makna sebenar pemikiran kreatif. Masih selesa dan santai bermain di permukaan namun gagal menyelam sehingga ke dasarnya.

Saya terpaksa memilih untuk berpuashati menyaksikan dari awal hingga akhir selama sehari suntuk beberapa persembahan yang cantik kulitnya namun sayang, tiada isinya!

Pena Tumpul - Akui gagal menjana pemikiran pelajar

Hikmah

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut" (Surah Taaha:43-44).

Kata Ustazah lewat program Halaqah, Hasan dan Husin memerhatikan seorang tua mengambil wuduk dan menyedari sesuatu yang tidak betul pada cara wuduknya. Kedua-duanya ingin menegurnya namun dihinggapi ketakutan yang melampau serta bimbang teguran nanti bakal mengguris hati orang tua tersebut. Lantas keduanya memikirkan jalan yang amat terbaik. Hasan menyuruh Husin mengambil wuduk seperti mana yang dilakukan oleh orang tua tadi. Hasan menegur Husin dan sekaligus didengari oleh orang tua itu yang pastinya mengerti maksud dan tujuan kedua beradik tersebut. Orang tua tidak terasa, yang muda tidak pula dilihat bagaikan menunjuk pandai. Cantiknya.

Begitulah paparan hikmah. Dalam pengertian yang paling mudah, hikmah itu kebijaksanaan. Namun dalam kebanyakan buku, hikmah itu merujuk kepada sesuatu yang tepat dan betul dari segi percakapan dan perbuatan serta yang paling penting meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dan antara yang amat dituntut dalam hikmah itu ialah sentiasa berlembut dalam percakapan dan tidak sampai menyinggung pihak yang lain. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung pula tidak tinggal berserak. Indahnya kalau begitu yang dapat kita cernakan dalam tindakan dan tuturbicara kita. Saya sering berdepan dengan situasi yang amat rumit ini. Ditegur salah namun tidak ditegur semakin bertambahlah salahnya. Bak kata pepatah, ditelan mati emak diluah mati bapak. Sukarnya membuat pilihan begini. Tidak ada yang terasa. Begitu juga yang dibelasah rasa kecewa yang menyakitkan. Akhirnya apa yang ingin kita capai ialah pastinya situasi menang, menang.

Pena Tumpul -Peringatan buat diri sendiri yang lupa untuk kesekian kalinya

Saturday, October 10, 2009

Gambir


Perjalanan yang tidak pernah dirancang pada pagi ini membawa saya dan isteri ke sebuah pekan,Bukit Gambir. Saya ingat pernah ke pekan kecil ini dahulu kira-kira 20 tahun lalu. Waktu itu Bukit Gambir bagaikan sebuah pekan koboi yang dijajari oleh deretan rumah kedai papan yang usang dan sentiasa kelihatan kuning dihinggap debu jalan tanah merah. Mengunjunginya lagi kali ini saya terpukau dengan pembangunan fizikal yang luar biasa pesatnya. Bukit Gambir sudah bertukar wajah. Deretan kedai-kedai baru mengisi setiap pelusuk bandar bersama-sama dengan taman perumahan bagi memenuhi permintaan penghuni bandar ini yang kian bertambah. Selesanya berbelanja di sini. Tidak sangat hiruk pikuk dan sesaknya macam bandar-bandar lain setarafnya, Segamat setidak-tidaknya. Segalanya dilihat terancang.

Sambil menyelam minum air. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Pucuk dicita ulam mendatang. Bagaikan mengantuk disorongkan bantal. Tiba-tiba teringat akan sanak saudara yang dikatakan masih ada di sini. Alangkah baiknya kalau dapat bertemu mereka yang telah lama tidak kunjung sua di bulan Syawal yang mulia ini, sementelah lagi suasana raya yang masih panas terasa. Kalau sudah rezeki hendak berjumpa, hasrat yang dicita menjadi nyata. Saya dihidang juadah yang cukup enak untuk dilupakan sampai bila-bila. Nasi beriani ikan yang menyelera ketika tembolok sudah begitu tidak selesa melayan rasa. Sedapnya sambil mengimbau kesah-kesah lama yang pernah dilalui bersama dulu.

Dalam perjalanan pulang, saya sempat berkongsi kesah lama dengan Haziq tentang aruah Atok Senah yang sering kelihatan merah mulutnya dek penangan sireh dan kapor serta gambir yang digobeknya itu. Sayangnya Haziq tidak mengenal pun apa itu gambir!

Pena Tumpul - Pernah dengar cerita kehebatan gambir Sarawak juga namun betulkah?

Thursday, October 08, 2009

Batik


Saya bukan penggemar batik. Walaupun hari Khamis digalakkan penjawat awam memakai batik, saya memilih untuk tidak memakainya pun dalam kebanyakan hari Khamis yang telah ditempuhi. Sebab paling utama untuk menolak batik pastinya kerana dilihat begitu formalnya berpakaian batik. Kurangnya koleksi pakaian batik penyumbang kedua mengapa batik tidak menjadi corak pakaian pilihan saya.

Hari ini tiba-tiba tercetus keinginan untuk menyalut batik di batang tubuh ini. Saya tidak punya banyak pilihan untuk diperagakan, kecuali tiga pasang baju batik yang sempat saya beli di Pasar Payang tidak lama dulu. Hasrat dihati ingin menambah simpanan yang ada namun sering tertangguh justeru tidak begitu sangat terdesaknya keperluan untuk itu. Isteri tumpang sama berbatik kerana sudah lama tidak berbatik ke tempat kerja katanya. Sekali-sekali berpakaian batik terasa kelainannya. Nampak macam menarik walaupun diselit kejanggalan.

Sebenarnya pemakaian batik dalam busana tradisi mempunyai sejarah yang lama berlangsung dari zaman awal tamadun Melayu. Dipakai oleh semua golongan, dari raja ke bangsawan sampai ke rakyat jelata, batik menzahirkan dirinya sebagai seni asli yang praktikal dan popular. Dalam tradisi penulisan tradisi, kain cindai misalnya disebut dalam banyak hikayat-hikayat silam. Batik menjadi hadiah perpisahan dan perlambangan cinta dalam Hikayat Malim Deman dan persalinan dijadikan tanda penganugerahan darjat dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam seni wayang yang lebih terkemudian; dalam filem Sumpah Orang Minyak (P. Ramli 1968) batik dijadikan lambang pernyataan cinta yang terlarang. Dan siapa yang boleh melupakan Ramona berkemban dengan batik lepas bermandi bunga dalam Fenomena (M.Nasir 1996).

Pena Tumpul - Akan ke Pasar Payang cari lebih banyak batik bila ke Terengganu Hari Raya Haji nanti

Wednesday, October 07, 2009

Solat


Saya sedang membaca sebuah buku yang diharap dapat mempertingkatkan lagi kualiti solat. Antara yang menarik perhatian saya ialah bahawa semua unsur solat dikatakan dapat memicu pada perkembangan kepada tiga sikap tawakal kepada Allah iaitu rasa takut pada hukuman Allah, takwa yang dikaitkan dengan sosial: takut akan segala akibat buruk perbuatan kita dan akhirnya takwa secara spiritual; takut kehilangan rasa cinta pada Allah. Menurut penulisnya, bacaan al-Fatihah dilihat paling berpotensi untuk mencapai takwa yang dimaksudkan itu.

Bagaimana bacaan al-Fatihah dalam solat dapat menjadikan hati kita menaruh rasa percaya tahap tertinggi pada Allah? Hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Muslim mampu menjelaskannya.

Allah berkata, "Aku membahagi solat menjadi dua bahagian, iaitu satu bahagian untukku dan satu bahagian lagi untuk hambaku, dan hambaku akan mendapatkan apa yang dimintanya."

Apabila seseorang hamba mengucapkan " Alhamduliahirabbil alamin (segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam), maka Allah menyahut, "Hambaku memujiku,"

Apabila dia mengucapkan "Arrahmanirrahim" (yang maha pemurah lagi maha penyayang), maka Allah menyahut, "Hambaku menyanjungku."

Apabila dia mengucapkan "Maliki yaumiddin," (yang menguasai Hari Kiamat), maka Allah menyahut, Hambaku memujaku.

Apabila dia mengucapkan "Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in (hanya kepadamu kami memohon pertolongan), maka Allah menyahut, "Inilah bahagianku dan bahagian hambaku, Hambaku akan mendapat apa yang dipohonnya."

Apabila dia mengucapkan "Ihdinashshiratathal-mustaqim" (tunjukilah kami jalan yang lurus), Shirathal-ladzina an'amta'alayhim ghayril-maghdhubi 'alayhim wa ladhdhallin" (jalan nya orang-orang yang kau beri nikmat, bukan yang kau murkai dan bukan pula yang sesat), maka Allah menyahut. "Itulah hak-hak hambaku dan hambaku akan mendapat apa yang dipohonnya."

Justeru bagi mengembangkan ketiga-tiga jenis sikap tawakal ini, sebaik-baiknya kita mendiamkan diri sejenak di antara ayat-ayat itu. Dengan itu, kita mempuyai waktu yang cukup bagi memahami maknanya dan menghayati jawapan Allah di dalam solat.

Pena Tumpul - Peringatan buat diri sendiri

Tuesday, October 06, 2009

Hadif


Hadif menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke2 Ahad lalu. Saya tidak pernah ketinggalan untuk menumpang kegembiraan meraikannya. Seperti juga Hafiz abangnya, Adif dilayan dan ditatang bagaikan anak sendiri. Keinginan yang meluap untuk memiliki seorang anak lagi sekurang-kurangnya diubati dengan kehadiran dua anak comel ini. Berbanding Hafiz, Hadif dilihat lebih suka menyendiri, tidak selesa sangat untuk diuliti apatah lagi digomoli lebih-lebih lagi oleh si isteri yang sudah tidak mahu melahirkan lagi. Hadif kerap dibimbangi kerana diusia begini, kosa katanya begitu terhad berlawanan dengan Hafiz yang dikagumi tuturbicaranya. Hadif lebih banyak senyum. Kalau ada pun yang boleh dibanggai, Hadif suka sangat mengungkapkan ini: Allahu Akbar.

Ibunya membelikan kek yang cukup istemewa untuk Hadif. Atoknya yang tumpang gembira dari awal pagi lagi sudah menyediakan pelbagai makanan yang cukup hebat dan berselera untuk dinikmati. Lodeh, sambal kacang, kari daging dan ayam, soto yang meliurkan berserta bubur caca yang enak dan tidak kurang lemang yang cuma sempat dibeli. Saya sendiri cukup berselera menikmati kari daging emak yang sejak dari dulu tidak ada tandingnya, sekurang-kurangnya pada pandangan anak lelakinya ini. Bubur caca emak juga bukan kepalang enaknya lebih-lebih lagi bila sekali-kali dapat menikmatinya.

Pena Tumpul - Sesuaikah mendukung anak lagi atau disangka cucu nanti

Monday, October 05, 2009

Perubahan

"Nak menoreh jugak pagi ni, dah lewat ni....". ..."Menoreh, kena pergi jugak.....anak nak sekolah..."

Ketika jam sudah menunjukkan pukul 8, Pak Atan masih meneruskan hasratnya untuk menoreh getah pada pagi ini. Saya sempat berbual dengan beliau yang hampir mencecah usia 90 tahun dan menyara hidup dengan hasil getah bila secara kebetulan menemuinya pagi ini. Di usia yang sepatutnya sudah "gantung pisau" itu, Pak Atan masih lagi bertenaga untuk menggagahkan dirinya mendatangi sebatang demi sebatang pokok getah di kebunnya. Dia sudah sewajarnya berihat di usia intan begitu. Namun dia tiada banyak pilihan. Dia perlu menanggung satu-satunya anaknya yang masih belajar dan sedang butuh wang sangat-sangat.

Ada yang cukup menarik tentang Pak Atan ini. Dia mengayuh basikalnya sejauh 5km ke kebun getahnya. Bukan tidak ramai yang mencadangkan kepadanya agar beralih kepada sesuatu yang lebih baik dan tidak memenatkan- motosikal pastinya. Malah ada yang cukup prihatin sampai sanggup membelikannya sebuah motosikal terpakai untuknya melupakan buat selama-lamanya kecanduan berbasikal yang hampir sebaya dengannya. Cadangan ditolak mentah-mentah. Pak Atan gagal untuk dilunturkan kesetiaan ampuhnya pada basikalnya itu. "Basikal ini sudah banyak jasanya",katanya.

Pak Atan dilihat menolak perubahan. Bukan sedikit orang yang berfikiran seperti beliau. Sekurang-kurangnya Pak Atan jauh lebih baik daripada mereka yang lebih selesa untuk berjalan kaki sahaja. Orang seperti beliau pastinya punya sebab tersendiri sehingga begitu sukar menerima perubahan. Yang pasti kita begitu selesa dan enggan menyimpang daripada kelaziman dan kebiasaan. Sesuatu yang baru selalu difikirkan segala yang buruk bakal terjadi sekiranya diterima.

Selain itu, seperti kata Ainon Mohd lewat bukunya "Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu", kita juga tidak berubah kerana kita tidak mahu menyoal itu dan ini sehingga membiarkan banyak tradisi remeh dan tidak berfaedah berkekalan begitu lama di sekeling kita. Kisah seorang pengawal yang setia berkawal di satu sudut bangunan hanya kerana begitu setia menjaga kawasan simen yang di sangkanya masih basah seperti yang diceritakan oleh Ainon cukup menarik. Tidak ada siapa yang berani menyoal mengapa perlu pengawal berkawal di situ sedangkan kawasan bersimen basah yang dikawalnya dari dipijak orang sudah lama kering dan tidak perlu untuk dijaga lagi.

Pena Tumpul - Sudah lama mencadangkan emak menggunakan telefon bimbit namun emak masih enggan

Sunday, October 04, 2009

Mentol

"Ziq, muka ayah nampak macam pencuri ke"

Soalan tersebut saya ajukan pada Haziq secara bergurau selepas satu adegan yang tidak ingin dilihat berlaku pagi ini. Saya dituduh mencuri sebiji mentol bernilai RM4.80 di sebuah pasaraya. Ketika ingin membuat pembayaran di kaunter, saya diminta oleh seorang pekerja untuk mengeluarkan mentol berkenaan dari kocek. Tanpa rasa gentar pun saya melakukan apa yang disuruh. Selesai. Saya tidak mencuri. Saya tidak bersalah.

Saya cenderung untuk mengupas insiden ini dari dua sudut yang berlainan. Saya setuju ia terbit dari salah faham. Pekerja tersebut menjalankan tugasnya justeru berhak untuk bertindak kepada sesiapa yang dilihat mencurigakan. Saya mungkin dilihat begitu pada pekerja itu apabila memasukkan kotak berisi mentol yang saya bawa dari rumah ke dalam kocek saya. Saya ingin membeli "bulb holder" oleh itu perlu membawa mentol tersebut bersama untuk memastikan mentol dan saiz "holder" tepat. Mudah sahaja ceritanya. Saya akur dan hormat dengan tindakannya. Dia menjalankan tugasnya sepatutnya.

Kendatipun begitu, saya amat tidak selesa dicurigai begitu. Apatah lagi dimalukan begitu di depan orang lain. Lebih-lebih lagi bukan saya untuk mencuri begitu. Saya sepatutnya ditegur secara lebih berhemah dan didatangi dengan lebih baik dan bersopan. Namun lebih baik kalau tidak dicurigai walau sedikit pun kerana saya memang bukan pencuri!

Pena Tumpul - Perlu lebih berhati-hati supaya tidak dicurigai lagi

Saturday, October 03, 2009

Santau

Antara mahu dan tidak mahu percaya saya "mendengar" cakap-cakap bahawa punca kematian yang berlaku terhadap hamba Allah ini awal malam ini di kampung saya dikaitkan dengan aniaya ilmu hitam atau sihir atau lebih tepat lagi santau. Dikhabarkan, kulitnya merah mengelupas bagaikan dibakar berjerait dengan pakaian yang menutup tubuh, Allahu akbar. Pandangan perubatan bahawa punca kematian ekoran dari alahan terhadap makanan laut yang meratah kulit simati tidak cukup menyakinkan untuk diterima dengan puashati.

Menurut Dr Harun Din, santau biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang. Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, di sekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya. Namun apa yang terpamer di depan mata adalah bukti kekuasaanNya yang sewajarnya menjadi pengajaran cukup bermakna kepada yang masih hidup.

Amalan sihir bukan tidak berlaku, malah begitu sinonim dikalangan masyarakat Melayu. Begitu juga kepercayaan tahyul, karut dan kurafat yang sering disangkutkan dengan punca kematian seseorang. Dari kaca mata Islam, perbuatan menganiayai orang sangat dilarang sama sekali, lebih-lebih lagi melalui cara halus seperti perbomohan, sihir atau ilmu hitam.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pena Tumpul - Allah Maha Mengetahui

Friday, October 02, 2009

English!

This is a true story from the Japanese Embassy in US!!!
A few days ago, Prime Minister Mori was given some Basic English conversation training before he visits Washington and meets president Barack Obama... The instructor told Mori Prime Minister, "When you shake hand with President Obama, please say 'How are you?'. Then Mr. Obama should say, 'I am fine, and you?' Now, you should say 'Me too'. Afterwards we, translators, will do the work for you."

It looks quite simple, but the truth is...
When Mori met Obama , he mistakenly said 'Who are you?' (Instead of 'How are you?'.) Mr. Obama was a bit shocked but still managed to react with humor: 'Well, I'm Michelle's husband, ha-ha...' Then Mori replied 'Me too, ha-ha...'

Then there was a long silence in the meeting room.

Pena Tumpul - Sometimes enjoys jokes sent by friends via emails

Thursday, October 01, 2009

Selenggara

"Kita memiliki kemudahan kelas pertama, tetapi sayangnya aspek penyelenggaraan berada pada tahap kelas ketiga"

Saya perlu bersetuju dengan kenyataan di atas berdasarkan pengalaman yang tidak menyenangkan apabila berdepan dengan rentetan masalah dalam penggunaan teknologi media di dalam kelas sepanjang minggu ini. Ketika saya melihat keseluruhan bilik kelas sudah diperlengkapkan dengan peralatan canggih ini sejak beberapa minggu lalu, tidak dapat saya gambarkan betapa beruntungnya saya dan saya kira yang lain pun berkongsi perasaan yang sama diberikan kemudahan begini. Saya sudah lama mengucapkan selamat tinggal kepada OHP yang sudah mula kelihatan "obsolete" dan ketinggalan zaman apatah lagi papan kapor yang berhabuk itu. Tidak perlu lagi nota-nota kertas tetapi cukup setakat kantong maklumat yang sekecil dan seringan sebatang pen. Mudahnya. Paparkan di skrin dan bermulalah satu episod pengajaran yang penuh warna warni, pelbagai dan tidak sangat menjemukan berbanding OHP yang kaku dan layu. Saya amat berbangga institusi pengajian yang diuruskan oleh Bumiputera ini kini gah setanding dengan yang lain.

Malangnya, panas yang diharap sampai ke petang basah dek hujan ditengahari. Sejak Isnin yang lalu saya terpaksa bersabar mendepani beberapa episod kegagalan sistem yang dibanggakan itu. Penyampaian pelajar tergendala bersama masa yang dibiarkan berlalu sia-sia.

Peralatan secanggih mana pun tidak akan memudahkan malah menyusahkan sekiranya penyelengaraan tidak dimartabatkan. Itulah kelemahan kita dan perlu kita akui.

Pena Tumpul - Kadang-kadang panas setahun mudah sahaja dihapuskan oleh hujan sehari

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...