Skip to main content

Desiran

Desiran air terjun yang didengar mengalir deras di celah-celah batu terasa menenangkan. Saya singgah sebentar di Air Terjun Gunung Ledang dalam perjalanan pulang dari Melaka. Ramainya orang sehingga hampir setiap pelusuk ditakluki. Namun saya, isteri dan Haziq dapat juga melolosi ruang yang masih tinggal. Main-main air. Sejuk dan menyegarkan. Mahu sahaja berendam terus dengan pakaian yang melekat di tubuh.

Seingat saya kali terakhir saya di sini sekitar 10 tahun lalu. Lamanya. Di waktu sekolah dahulu sekitar awal 80an agak kerap juga saya ke sini, bermandi manda bersama rakan-rakan. Seronoknya kala itu menghabiskan masa setengah hari berendam sambil menikmati keindahan panorama. Tidak perlu bawa makanan pun. Beli sahaja nasi lemak bungkus daun pisang yang dijaja oleh budak-budak di situ. Murah tetapi sedap. Masa itu stamina masih hebat. Menyusuri air terjun selagi terdaya.

Hari ini setelah lebih 20 tahun berlalu saya ingin terus naik lebih atas lagi. Terasa mengahnya. Isteri pula awal-awal sudah menyerah kalah. Sakit kaki katanya, maklumlah pakai kasut bertumit.

Dalam perjalanan balik, saya terserempak dengan sekumpulan budak-budak yang saya kira masih bersekolah, ditahan polis. Pastinya ada yang tidak kena. Barangkali tidak punya lesen. Sekali lagi ia menerjah ingatan saya yang juga pernah "curi" motosikal ayah untuk ke sini dan tidak punya lesen pun. Nekad bersama rakan-rakan lain yang juga tidak berlesen. Nasib kami baik, lancar pergi dan balik.

Pena Tumpul - Berkira-kira untuk bawa pelajar sambil berfikir merenung ciptaan Tuhan dan ia pasti seronok

Comments

asyllaghazalli said…
huhu nakal ya Sir kecik2.. siap rembat motor ayah Sir nk pergi gunung ledang..
Kamil said…
Nakal sikit aja....

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w