Thursday, December 31, 2009

Pilihan


Pak Utih ada menyuarakan hasrat untuk menukar kereta. Katanya kereta yang dimiliki sekarang sudah agak uzur sesuai dengan usianya yang sudah lebih 20 tahun. Dia bukan berhajatkan kereta baru. Pak Utih cuma mahu menukar kereta yang lebih baik. Dia sukar membuat pilihan kerana banyaknya yang menarik hati dan mata. Dia perlukan pandangan saya dan saya tidak ada masalah untuk membantunya membuat pilihan. Pastinya pilihan yang tepat dan berbaloi.

Pengalaman memiliki beberapa buah kereta terpakai mengajar saya agar tidak terpedaya kereta yang menyilau mata namun menggores hati. Kereta yang nampak baru tidak semestinya baik. Kereta begitu berkemungkinan dirawat cat baru lalu nampak cantik dan sekaligus menyorokkan segala yang karat dan tercemar. Saya katakan pada Pak Utih supaya terpedaya dengan kereta yang asli luarannya, tanpa salutan cat baru dan ada kemik-kemik sedikit. Bunyi macam lucu. Namun yang penting kereta begitu tidak menyembunyikan sebarang cacat cela yang tidak terpandang dek mata. Pak Utih disalut kemanguan dengan nasihat dari saya yang antara patut diterima atau sebaliknya. Saya biarkan Pak Utih berfikir sambil bercerita padanya kisah seorang jejaka tampan yang mendambakan seorang gadis sesuai ketampanannya tetapi akhirnya tertipu dek pandangan mata. Dia menolak mentah-mentah gadis pertama yang dijumpainya sedikit cacat di jarinya. Dia juga tidak cukup berkenan dengan seorang gadis yang kelihatannya juling-juling air. Tetapi memilih seorang gadis yang serba sempurna dek pedaya mata hanya untuk menyedari bahawa dia sebenarnya tertipu bahawa gadis itu bukanlah gadis lagi. Kesian jejaka itu.

Yang dilihat istemewa ada kurangnya dan yang kelihatan kurang sebenarnya lebih istemewa.

Pena Tumpul - Kaca atau permata

Wednesday, December 30, 2009

Batu


Hari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini.

Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya.

Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingnya.

Untuk menarik perhatian orang yang ada di bawahnya itu,Denko melemparkan wang emas di depan temannya. Temannya berhenti bekerja, mengambil wang itu, lalu bekerja kembali. Denko mencuba lagi, tetapi usahanya yang kedua pun tetap gagal menarik perhatian temannya.

Tiba-tiba Denko mendapat idea. Dia mengambil batu kecil lalu melemparkannya ke arah temannya tadi. Batu itu tepat mengenai kepala temannya, dan kerana merasa sakit, barulah temannya mendongak ke atas. Dan Denko dapat menjatuhkan catatan yang berisi pesanannya.

Begitulah Tuhan kekadang menurunkan ujian kesusahan yang agak ringan untuk membuat kita menengadah kepadaNya. Seringkali Tuhan melimpahi kita dengan berkatNya, tetapi itu tidak cukup untuk membuat kita menengadah kepadaNya. Justeru itu, agar kita selalu ingat kepadaNya, Tuhan menjatuhkan "batu kecil" kepada kita. Dan kita tersentak sekejap.

Pena Tumpul - Seesekali terkena batu yang terpelanting masa mesin rumput, sakit juga...

Tuesday, December 29, 2009

Liat


Seorang anak saudara perempuan ini liat untuk disuruh bersolat.Bagaikan pahat yang perlu dipasak dengan tukul setiap kali waktu solat. Dia bakal mencecah usia 13 tahun. Banyak songel, banyak alasan dan cepat menjawab. Isteri sudah habis daya menasihatinya.

Pagi ini dia dilihat masih liat untuk bangun solat subuh. Isteri yang sudah hampir putus asa meminta saya mencuba. Saya memikirkan cara paling baik untuk mendepani anak perempuan yang sedang membesar ini.

"Kenapa tak bangun sembahyang lagi ni.Subuh dah nak habis ni.Bangun!" saya menjerkahnya. Betul kata isteri saya. Dia menjawab bagai peluru. Sebelum habis saya berkata, dia menjawab begini selamba dan yakin, "Semalam dah sembahyang subuh" Mudahnya jawapan.

Dia cuba menguji saya. Saya tidak pernah menjangka jawapan begitu terpacul dari mulut anak ini. Saya tahu dia sedang menantikan tindak balas dari saya. "Kalau macam tu, hari ini jangan bernafas. Jangan sedut udara segar milik Allah ini. Tutup hidung tu!" tanpa direncana saya diberi kekuatan untuk membalun emosinya dan menyentak mindanya. Kali ini dia tidak berkata apa-apa. Saya tahu dia cukup mengerti maksud saya tadi. Saya harap begitulah.

Nikmat Allah tidak terhingga. Kita yang alpa dan terlupa. Firman Allah yang bermaksud; "Maka nikmat Allah yang mana lagi yang kamu dustakan?" (Ar-Rahman:13).

Allah berfirman lagi, “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl: 18)

Pena Tumpul - Suruh dia menyenaraikan segala nikmatNya dan senarainya cukup panjang

Monday, December 28, 2009

Bas


Tidak seperti selalunya, kali ini Mantoba tidak menunjukkan keghairahannya untuk membonceng bas dua tingkat lagi. Tragedi yang meragut 10 nyawa melibatkan bas ekspres dua tingkat beberapa hari lalu begitu menakutkannya. Semalam dia memilih naik bas biasa sahaja untuk balik ke KL.

Saya melihat kehadiran bas dua tingkat dalam sistem pengangkutan negara tidak ada salahnya. Cuma yang tidak betulnya apabila ia dikendalikan oleh seorang manusia yang tidak memikirkan keselamatan orang lain. Memandu ikut rasa dan hati. Memecut sesuka hati tanpa memikirkan puluhan jiwa yang dikendongnya. Tentunya amat aneh dengan kelajuan saya di kereta sekitar 110km sejam, sebuah bas ekspres masih mampu memotong saya. Bahawa kelajuan bas eskpres yang telah direncanakan sepatutnya tidak lebih daripada 100km sejam cuma omong-om0ng kosong sahaja!

Di luar negara, saya kira bas dua tingkat ini merayap di jalan-jalan dalam bandar untuk santai-santai dan perjalanan yang dekat-dekat. Sebaliknya, lebuh raya negara ini menyaksikan kehadiran bas dua tingkat meluncur bagaikan pelesit. Pengendalian bas yang agak tinggi pastinya berbeza dengan bas yang biasa. Ia menuntut kemahiran dan pengetahuan. Sedikit pengetahuan tentang teori graviti perlu ada pada pemandu- bahawa bas yang tinggi lebih berpotensi untuk terbalik kalau tidak kena gaya pemanduannya.

Salah menyalah, penubuhan badan siasatan bas, tuding menuding, penggantungan lesen bas, bergema lagi.Beginilah, sudah terantuk baru nak tengadah!

Pena Tumpul - Setiap kali kemalangan bas, pemandu selalu terselamat

Wednesday, December 23, 2009

Takut


Justeru kenakalannya, Hafiz acapkali ditakut-takutkan. Selalunya, kata-kata beginilah yang diulang-ulang, "Jangan, ada hantu...takut..!" Dan selalunya juga kanak-kanak yang masih hijau dan tidak mengerti apa-apa mudah sahaja termakan dengan momokan itu. Ibu dan bapa ternyata lega kerana rasa berjaya membendung kenakalan anak cara begitu. Proses didikan begini berlarutan sehingga akhirnya anak yang tidak pernah kenal hantu itu pun akhirnya benar-benar takut pada hantu, sedangkan ia tidak sepatutnya begitu. Anak ternyata menjadi mangsa kita ibu bapa yang suka mencari jalan pintas dalam menangani kerenah mereka. Di usia rebung begitu amatlah ruginya anak dididik untuk takut kepada hantu tetapi bukan kepada Tuhan. Saya kira Hafiz bukan keseorangan kerana pastinya ramai lagi anak-anak yang ditakut-takutkan begitu.

Saya suka untuk berkongsi kisah yang pernah saya dengar dari seorang Ustaz ini dan pastinya wajar dijadikan pengajaran. Abdullah bin Zubair seorang anak lelaki kepada sahabat Rasulullah iaitu Az-Zubair bin Awwam yang juga salah seorang yang dijamin syurga kepadanya bersama Asma' binti Abu Bakar merupakan seorang anak yang pintar dan berani hasil didikan oleh kedua ibu-bapanya yang juga orang-orang hebat. Suatu ketika, Abdullah bin Zabair budak kecil ini sedang bermain dengan kawan-kawannya di pinggir kota Madinah. Sedang asyik leka bermain, suasana yang riang dan ceria dengan permainan mereka tiba-tiba menjadi gempar dan kelam kabut. Budak-budak kecil yang sibuk bermain tadi kelam-kabut bertempiaran lari menyembunyikan diri masing-masing. Keadaan itu disebabkan oleh kedatangan kelibat Saidina Umar berjalan melalui tempat kawasan permainan mereka. Mereka takut melihat kelibat Umar. Namun disebaik kekalutan tersebut, seorang budak terus berdiri meneruskan permainannya tanpa menghiraukan langsung terhadap kedatangan Umar sahabat nabi itu. Keberanian itu menimbulkan kekaguman dalam diri Umar lalu bertanya,"Mengapakah engkau tidak lari bersama-sama kawanmu?" Lantas anak kecil itu menjawab,"Ibu saya mengajar agar takut kepada Tuhan sahaja, bukan kepada manusia", "Siapakah namamu wahai anak?"timbul minat di hati Umar untuk mengetahui siapakah orang tuanya yang hebat ini. "Nama saya Abdullah bin Az-Zubair",jawab anak kecil ini dengan berani.

Inilah dia kata-kata daripada seorang anak yang hebat yang ditanam dengan sifat keberanian yang tinggi dan aqidah yang mantap dalam diri. Budak kecil yang diajar untuk takut hanya kepada Allah dan bukan kepada yang lain. Dengan didikan yang diberikan, Abdullah bin Zubair menjadi seorang abid dan mujahid pada zaman dewasanya.

Saya melihat Hafiz, Hadif dan Haziq dan masih belum terlambat untuk mengubah ketakutannya!

Pena Tumpul - Elok diharamkan saja cerita hantu di tv yang menyesakkan dan memualkan itu

Tuesday, December 22, 2009

Hutang


Sebuah kereta ini tiba-tiba dilihat di atas jalanraya dan anehnya ia tidak dipandu apatah lagi dimiliki oleh seorang yang sedang bersusah payah membayar ansuran bulanannya. Malangnya nasib Kak Long, sebagai penjamin, dia terpaksa melangsaikan hutang tertunggak kereta ini gara-gara perbuatan empunya yang tidak cukup mampu membayarnya. Sampai kini yang berhutang cukup selesa dan lepas tangan. Dan Kak Long sedang membayar atas sesuatu yang tidak pernah pun dimilikinya.

Saya kira bukan sedikit yang menjadi mangsa kepada peminjam yang tidak bertanggungjawab begini. Senangnya bila segala beban didokong bagai biawak hidup dek penjamin yang selalunya tidak punya pilihan untuk lepas tangan juga. Saya sendiri pernah dianiayai rakan "baik" yang licik lalu memaksa saya menjunjung segalanya di batu jemala sehingga segalanya lunas.

Kata Ustaz, adalah berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Dan saya yakin semua orang tahu tentangnya.

Sabda Rasul S.A.W. yang bermaksud: “Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasul S.A.W. lagi yang bermaksud; “Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas”. (Riwayat Baihaqi)

Berhutang itu diharuskan oleh Islam, manakala membayar balik hutang itu pula diwajibkan. Dalam hal ini, besarnya kewajipan melunaskan hutang diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”

Dalam kepayahan Kak Long tidak jemu berdoa agar yang berhutang jadi kaya dan ambil biawak hidupnya semula
Pena Tumpul - Cukup bulan bayar hutang itu dan ini

Monday, December 21, 2009

Rebung

Hujan turun saban petang dan saya sedar Haziq nampak gusar. Sudah dua hari berturut-turut dia menahan kegilaan melampaunya pada bola. Petang semalam masih mendung tanda hujan akan turun lagi. Saya perasan Haziq cukup resah kerana kalau hujan lagi petang itu, hasratnya untuk main bola bakal tidak tercapai lagi. Haziq beritau saya, "Hujan pun, aziq tetap nak main" sambil berlalu menuju padang. Asar akan masuk waktunya tidak sampai beberapa minit pun lagi. Saya tidak mahu Haziq silap memilih prioriti, antara ketaksuban bermain bola dan kewajipan kepada yang Esa. Saya tahu dia bakal melewatkan solatnya dan mengutamakan bolanya.

Saya ajukannya beberapa soalan. "Haziq tau tak siapa yang beri kekuatan untuk menyepak bola itu?Dan tau tak atas bumi siapa yang Haziq latam tu untuk seronok-seronok main bola?"
Tidak susah pun untuk dia memberikan jawapannya. "Jadi, kalau dah tahu, tentunya tidak adil kepadaNya, kita guna nikmatnya tetapi kita tidak ikut perintahNya".

Solat Haziq petang itu diakhiri dengan doanya yang saya dengar meminta padaNya agar tidak turun hujan petang itu. Tidak pernah saya dengar Haziq berdoa begitu.

Hujan segan hendak turun semalam dan Haziq bermain bola sesuka hatinya dan saya yakin Haziq semakin yakin dengan kehebatanNya.

Pena Tumpul - Dia masih lagi rebung untuk dilentur, syukurlah..

Saturday, December 19, 2009

4851

Andai ditanya tarikh kelahiran berasaskan takwim Hijriah, saya kira pasti ramai yang termangu. Saya sendiri tidak tahu dan tidak ambil kisah untuk tahu sehinggalah seorang pendengar menyarankannya dalam "Tanyalah Ustaz" pagi ini. Saya kira ia saranan yang baik sehingga saya tidak tunggu lama menyelongkar khazanah ilmu di laman sesawang yang boleh membantu saya melakukan konversi. Saya menemukannya di sini dan mulai hari ini tahu bahawa saya dilahirkan oleh ibu ke dunia pada hari Ahad tanggal 29 Syawal 1380Hijrah. Saya menyapa alam di hujung Syawal rupanya, ketika hari raya hampir mencecah garisan penamat.

Kini saya mempunyai dua usia yang berbeza. 51 tahun umur Hijriah berbanding 48 tahun usia konvensional. Ternyata saya lebih tua sekiranya tahun Hijriah digunapakai.

Saya juga menemukan maklumat tentang kaitan bulan dan perwatakan peribadi. Kalau saya memilih untuk menelan bulat-bulat maklumat ini, saya dikatakan keras hatinya. Mungkin betul, mungkin tidak. Saya memilih untuk tidak mempercayainya seratus peratus namun sekiranya ia berkenaan, ia tidak lebih sekadar kebetulan. Justeru bagaimana kita membentuk dan mencorakkan peribadi itulah yang sepatutnya lebih penting daripada mengaitkannya dengan bulan kita dilahirkan.

MUHARRAM
Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna, walaupun begitu, jika dididik dengan baik, dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat.

SAFAR
Tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengakui kesalahannya. lbubapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu, jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ianya akan mendatangkan hasil.

RABIULAWAL
Perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.

RABIULAKHIR
Perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar kerana tabiat buruknya itu. Ibubapa menempuh kesukaran dalam mendidiknya.

JAMADIL AWAL
Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya, yang menemui kegagalan juga.

JAMADIL AKHIR
Wataknya berani, dia hormatkan orang lain. Berbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tapi bila dia tahu dia benar, pendiriannnya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibubapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu, kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.

REJAB
Semasa kecilnya dia degil dan nakal. lbu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun hidupnya selamat dan sentosa.

SYA'ABAN
Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawan. Kelakuannya baik, berbudi bahasa hingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya danmudah mendapat rezeki.

RAMADHAN
Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.

SYAWAL
Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya, oleh itu ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya, dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.

ZULKAEDAH
Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir, kerana sifat ini, satu hari nanti dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadang kala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang yang memuaskan.

ZULHIJJAH
Jika dia jahat dia terlalu jahat, jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya, kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. 0leh kerana dia tidak dapat memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk perbuatannya. Dia seringkali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan.

Di kemuncak segala-galanya, Wallahu 'alam.

Pena Tumpul - Orang kita lebih ingat bulan Ramadan dan Syawal sahaja dan ia bersebab

Thursday, December 17, 2009

Hijrah

Tahun baru Hijrah bakal menjelma bersama azam yang ingin dilaksana. Dalam banyak keadaan azam akan tinggal azam tanpa usaha yang gigih dan berterusan untuk mencapainya.

Hijrah mempunyai konsep dan matlamatnya yang tersendiri. Hijrah dengan makna berpindah dari satu tempat kesatu tempat yang lain sudah tidak wujud lagi. Yang ada hanyalah hijrah dalam bentuk niat dan jihad. Rasulullah s.a.w telah bersabda : « Tiada hijrah lagi selepas pembukaan Kota Makkah ( kemenangan membebaskan Makkah ), tetapi yang ada hanyalah jihad dan niat ».


Doa Akhir Tahun dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.




Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Doa Awal Tahun pula dibaca tiga kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Pena Tumpul - Berazam jadi lebih baik

Tuesday, December 15, 2009

"Tidak"


Hafiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan.

Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak akan sentiasanya perlu menurut kemahuan mereka.

Saya setuju cara Mantoba melayani permintaan Hafiz kali ini. Mantoba bertindak selayaknya sebagai seorang ayah yang ingin melihat Hafiz membesar menjadi dewasa di luar zon selesa. Haziq sendiri pun sudah acap kali saya nafikan tuntutan melampaunya. Saya nafikan permintaan tidak masuk akalnya untuk menyediakan sebuah gelanggang futsal berpagar. Begitu juga hasratnya untuk cuba-cuba menonggang motosikal seperti mana rakan sebayanya yang punya peluang begitu. Saya mungkin akan dilihat tidak popular dimatanya dengan tindakan ini. Saya mungkin dirungut dan diprotes dalam diam. Namun, kini dia semakin faham dan sedar bahawa niat ayahnya ini cukup murni untuk menjadikannya seorang manusia yang berdikari dan tidak banyak meminta-minta.

Pena Tumpul - Meminta kepadaNya dan kita tidak akan pernah dikecewakan

Monday, December 14, 2009

Perisai

Saya menjumpai kotak rokok bersepahan lagi di dataran permainan bola pagi ini. Saya pasti ada dikalangan mereka yang bermain itu yang merokok. Kalau tidak, mana mungkin ada kotak rokok di situ. Saya bimbang dengan apa yang saya lihat. Kotak rokok tidak seharusnya berada di kalangan mereka. Mereka masih bersekolah dan terlalu tidak wajar untuk merokok. Saya hairan bagaimana rokok boleh lepas ke tangan mereka. Rokok tidak sepatutnya dijual kepada mereka yang jelas masih di bawah umur. Tidakkah ibu bapa mereka cukup kesah tentang anak yang merokok ini. Saya amat kesal kalaulah dataran permainan ini dijadikan tempat untuk mereka melepaskan rasa gian mereka terhadap rokok.

Saya tambah bimbang kerana Haziq bersama mereka dan bergaul hampir setiap hari. Saya khuatir kalau anak lelaki yang sedang membesar ini tidak cukup kuat berdepan dengan pengaruh liar rakan sebaya. Menarik Haziq dari mereka sudah pasti satu tindakan yang tidak mungkin dapat diterima Haziq, saya amat pasti. Haziq tidak perlu dikuarantin begitu. Dia tidak perlu mengorbankan keinginan bersosial bersama rakan sebaya hanya kerana ingin lari dari pengaruh negatif itu yang sebenarnya boleh dikawal secara sedar.

Saya mengambil dua pendekatan. Haziq masih boleh lepas bebas bermain dengan mereka. Namun saya membekalkannya dengan satu azimat penting. Dia perlu jadi seperti ikan di laut dan dalam masa yang sama menjadi asam di darat juga. Dia kebingungan pada mulanya sehingga saya memberikan penjelasan.

"Tengok ikan yang kau makan tu, walaupun dia hidup di laut yang masin, tapi rasanya tak masin kan? Lainlah kalau ikan masin. Betapa kentalnya isi ikan tu sehinggakan air laut yang begitu masin tidak dapat menembusi zat badannya. Jadi, Haziq juga perlu jadi bagaikan ikan itu yang punya benteng ampuh untuk menangkis segala pengaruh tidak baik yang datang daripada kawan-kawan!"

Saya mahu Haziq jadi seperti asam juga. Asam yang dapat mengubah atau menambah rasa kepada sesuatu makanan. Letaklah dalam apa-apa masakan pun, rasa asam itu tetap mendominasi rasa-rasa yang lain. Sifat masamnya itu mempunyai pengaruh yang kuat!

Saya mencabarnya, "Kalau mampu, Haziq kena mengubah mereka supaya meninggalkan perbuatan merokok itu".

Saya tahu ia tugas yang amat berat buat Haziq namun saya menaruh kepercayaan kepadanya lepas bebas di lautan yang cukup masin itu. Pendekatan kedua agak melampau. Saya katakan kepadanya, " Kalau nak merokok sangat, lantak...ayah boleh belikan banyak-banyak!"

Pena Tumpul - Suka ikan lais masak asam pedas, enaknya....

Saturday, December 12, 2009

eKhutbah


Saya singgah sebentar di tapak pembinaan masjid baru Kg Gudang Garam. Ia bakal siap dalam tempoh lebih kurang tiga bulan dari sekarang. Satu hadiah yang tidak ternilai harganya untuk kami penduduk kampung ini dan qariah di sekitarnya setelah berpuluh tahun menantinya.

Saya melontarkan cadangan kepada isteri supaya masjid ini nanti dilengkapkan dengan peralatan multimedia. "Buat apa"? isteri bertanya. Saya tahu dia tahu apa maksud saya dengan cadangan itu. Dia cuma inginkan penjelasan barangkali. Penyampaian khutbah akan lebih berkesan dengan bantuan multimedia. Saya tidak pernah mengalaminya, tetapi saya tahu sudah banyak masjid yang telah melakukannya, jadi tidak salah kalau masjid baru ini hendak mencuba. Malah saya melihat ini adalah satu kaedah yang efektif dan berkesan untuk menjadikan sesuatu khutbah itu mudah difahami jemaah. Pemaparan intipati khutbah termasuk ayat-ayat AlQuran dan Hadis serta terjemahannya di samping visual menarik yang mengiringi alunan suara khatib pastinya membantu jamaah untuk menghayati khutbah yang disampaikan.

Saya cuba meyakinkan Wati supaya cadangan ini boleh dia suarakan terus pada ayahnya, Imam dan juga Ketua Kampung ini. Cadangan ini memang menarik namun pastinya akan tinggal cadangan kerana kami tahu ongkos yang agak tinggi untuk merealisasikannya. Kalaulah ada pihak yang cukup dermawan untuk membiayainya, segalanya akan menjadi amat mudah.

"Bila masjid ini siap, kita kena lebih kerap berjamaah ok, itu yang lebih penting" isteri mengingatkan saya.

Pena Tumpul - Kadangkala mengantuk bila dengar khutbah


Friday, December 11, 2009

Kitab


Saya membongkar khazanah lama peninggalan arwah ayah apabila mengunjungi emak malam tadi. Antara yang masih tersimpan ialah beberapa buah kitab lama. Saya membelek-belek kitab-kitab yang sebahagiannya sudah nampak usang dimamah usia. Namun kandungan didalamnya masih kelihatan segar untuk digali ilmunya. Saya menemui kitab lama seawal tahun 1963 berbicara tentang hadis. Kitab terbitan Indonesia ini sudah amat kuning lahiriahnya. Beratus-ratus naskah lama Warta Jabatan Agama Johor juga turut tersimpan kemas dalam gerobok usang milik ayah. Saya masih ingat warta bulanan inilah yang menjadi rujukan kepada khatib setiap kali Jummat dalam menyampaikan khutbah mingguannya. Sesuatu yang tidak dapat saya lupakan, ada ketikanya saya sendiri akan berlagak seperti khatib membaca teks khutbah yang terdapat dalam warta tersebut.

Saya membawa pulang kitab-kitab lama peninggalan ayah. Ia merupakan harta yang tidak ternilai harganya lebih daripada harta benda dan wang ringgit. Ayah mungkin tidak meninggalkan harta bertimbun namun pada saya khazanah lama yang saya miliki ini bukan kepalang nilainya.

Pena Tumpul - Sedang membaca semula penuh teliti kitab Matla'al Badrin

Thursday, December 10, 2009

Puntung



Perjalanan ke JB semalam meninggalkan kesan yang tidak menyenangkan hati seorang saya apabila saya membontoti sebuah kereta mewah untuk dipilih bagi menyaksikan satu perlakuan yang agak tidak bermoral. Saya selalu percaya sebuah kereta mewah lebih-lebih lagi yang punya nombor kecil-kecil begini dipunyai oleh seorang yang hebat lakunya sehebat kereta itu sendiri. Lagipun saya tidak nampak mengapa orang dalam kereta yang saya ekori cuma buat seketika ini perlu memilih cara begitu untuk melakukannya. Saya rasa kereta itu cukup mewah kelengkapan di dalamnya untuk melampiaskan perbuatannya yang saya anggap sumbang itu. Atau pun setidak-tidaknya tunggulah sehingga ke mana-mana hentian rehat terdekat untuk melakukannya. Pastinya lebih wajar dan tidak menyakitkan hati mereka yang mudah tersinggung seperti saya.

Perlakuan itu mungkin nampak kecil tetapi cukup untuk menghimpun masalah setinggi gunung andainya dibiarkan berlaku tanpa kesedaran. Lebuhraya yang bersih pastinya akan bertukar menjadi lautan kekotoran sekiranya perlakuan tidak bertamadun ini dipandang enteng dan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan segala kotoran yang terpalit ini tiba-tiba menjadi malas dan terhakis minatnya untuk melangsai tugasnya selama ini.

Mencampak puntung rokok dari dalam kereta ibarat menghumban sama nilai murni yang dikendong oleh mereka yang kononnya hebat, berprestij dan bergaya tetapi tidaklah lebih baik daripada seorang pengutip sampah di lebuh raya itu sendiri.

Kalau kita pandai merokok seharusnyalah juga kita perlu lebih pandai lagi untuk meletakkan puntung rokok di tempatnya.

Pena Tumpul - Najis hanya kelihatan kotor sekiranya tidak diletakkan di tempatnya

Wednesday, December 09, 2009

Solusi


Saya berkenalan dengan majalah Solusi pagi ini. Kandungannya menarik. Kolum-kolum ditulis oleh ramai penulis yang dikenali. Antaranya Ustazah Bahiyah, Fadzli Yusoff dan Irfan Khairi, Ustaz Mohd Nidzam dan beberapa nama besar lagi. Ustaz Hj Zahazan Mohamed yang berperanan sebagai Konsultan Syariah menjadikan majalah ini cukup menarik.

Diharap majalah ini dapat menjadi solusi kepada semua permasalahan sosial, agama, ekonomi dan peradaban pada masa kini. Saya ingin melihat majalah ini bertahan lama dalam industri dalam mengimbangi lambakan majalah hiburan dan picisan yang manfaatnya sangat minima. Saya membacanya kulit ke kulit dan pelaburan 9 ringgit ternyata berbaloi dengan kesaratan ilmunya.

Saya tertarik dengan secebis kisah yang termuat di dalamnya dan suka untuk memaparkannya di sini.

Seorang ulama telah mengajar di sebuah madrasah selama 40 tahun dengan tekun. Dia tidak pernah “ponteng” walaupun sekali melainkan apabila ada uzur syarie. Namun, ketekunan ulama tua itu tidak dihargai sebahagian besar anak muda yang menuntut ilmu dengannya.
“Sepanjang kita belajar dengannya, sedikit pun tidak terserlah keluarbiasaannya,” kata salah seorang anak muridnya.“Berbanding dengan guru-guru lain di tempat kita, guru kita ini tidak punya apa-apa keistimewaan. Semua yang ada padanya biasa-biasa sahaja,” tambah yang lain.
“Betul. Aku dengar guru di kampung sebelah pernah mengeluarkan cahaya dari celah-celah jarinya. Malang betul nasib kita...”

Akhirnya, sungutan-sungutan itu kedengaran sampai jua ke telinga ulama tua itu. Lalu beliau bertekad untuk memberi pengajaran berguna kepada anak-anak muridnya...

Ketika mengajar pada suatu hari, beliau dengan sengaja telah melepaskan kapur ketika menulis di atas papan hitam. Namun anehnya kapur itu tidak jatuh... sebaliknya terus bergerak dan menulis perkataan yang hendak ditulis oleh ulama tua itu.

Melihat kejadian aneh itu semua anak muridnya berdiri dan melopong kekaguman. Tidak sangka bahawa guru yang mereka anggap lekeh selama ini rupanya turut memiliki karamah. Melihat kekaguman anak-anak muridnya, guru yang tua itu pun menepuk papan hitam dengan kuat lantas berkata, “Aku sangat hairan melihat sikap kamu semua. Melihat kapur ini menulis hanya beberapa ketika telah membuat kamu kagum. Bagaimana dengan aku yang telah menulis selama 40 tahun di papan hitam ini?”

Istiqamah itu hakikatnya lebih hebat daripada karamah. Allah sangat cintakan amalan istiqamah sekalipun sedikit. Orang yang istiqamah lebih terjamin imannya daripada orang yang memperoleh karamah. Sejarah mencatatkan betapa ramai orang yang pernah diberikan karamah tersesat kerana iman yang tidak istiqamah.

Pena Tumpul - Orang yang mampu istiqamah akan mendapatkan Karamah, tetapi orang yang mencari Karamah belum tentu dapat Karamah sekaligus juga belum tentu boleh istiqamah


Tuesday, December 08, 2009

Amalan


Terjemahannya:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai 'Arasy yang besar."

Fadhilat Ayat 128-129 Surah at-Taubah

1. Ayat ini boleh memanjangkan usia dengan izin Allah jika dibaca secara berulang-ulang kali.
2. Jika dibaca tujuh kali setiap hari maka ia boleh memudahkan urusan dunia dan akhirat.
3. Jika dibaca pada pagi, ia boleh menjauhkan ancaman untuk hari itu, begitu juga jika dibaca pada waktu petang, boleh menghindarkan ancaman pada waktu malamnya. Insya-Allah.
4. Ayat ini juga boleh menambah keteguhan iman seseorang itu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Wallahu a'lam.

Pena Tumpul - AlQuran mukjizat yang maha agung

Monday, December 07, 2009

Arak

Arak diharamkan meminumnya di dunia tetapi sebaliknya menjadi minuman untuk dinikmati semahunya di syurga Allah. Begitulah intipati perbicaraan Ustaz Zahazan yang terus didengar tanpa jemu lewat Radio IKIM dalam siri Tafsir AlQuran. Tidak rugi meluang masa 15 minit bersama Ustaz ini. Pagi ini Ustaz menyambung bicara tentang nikmat yang dirasai oleh penghuni syurga. Dua ayat dari Surah Al Thur dikupas dan ditafsir serta mendasari bicaranya.

Mereka di dalam Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain): berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul (dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan (peminumnya menanggung) dosa. (Surah Al Thur:22-23)

Di dunia, Allah mengharamkan arak justeru ia memabukkan dan memudaratkan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Siapa yang minum khamr (arak) seteguk, Allah tidak menerima amal fardu dan sunatnya selama tiga hari. Siapa yang minum khamr segelas, Allah SWT tidak menerima solatnya selama 40 hari. Orang yang tetap minum khamr selayaknya Allah memberinya minum dari Nahrul Khabaal (darah yang bercampur nanah ahli neraka).

Namun begitu di syurga Allah menjanjikan arak yang putih bersih dan tidak memeningkan kepala sesiapa yang meminumnya. Ini diterangkan oleh Allah melalui firmannya dalam beberapa petikan ayat-ayat AlQuran.

"Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. "(Surah AlWaqiah:18-19)

"Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka
(Surah Muhammad:15)

"Diedarkan kepada mereka gelas yang berisi khamar dari sungai yang mengalir. (Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum. Tidak ada dalam khamar itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerananya" (Al Safat:45-47)

"Dengan membawa gelas, cerek dan piala berisi minuman yang diambil dari sungai yang mengalir,mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk".(AlWaqiah: 18-19)

Nabi Muhammad juga bersabda,
"Siapa yang meminum khamar (arak) di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar(arak) di akhirat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saya menjumpai sebuah kisah tentang arak yang disifatkan ibu segala perbuatan yang keji ini.
Di dalam Kitab Jauharul Mauhuub ada menerangkan tentang seorang abid (orang yang kuat beribadat) yang bernama Barsyisya yang taat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, akan tetapi di akhir hayatnya beliau telah meninggal dunia dengan melakukan dosa-dosa besar termasuklah mensyirikkan Allah Subhanahu Wata'ala.

Diriwayatkan bahawa Barsyisya telah didatangi oleh iblis laknatullah yang telah menyamar diri sebagai manusia yang kuat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, lalu berkatalah iblis : Aku seorang 'abid' kepada Allah Subhanahu Wata'ala, aku dapat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala selama tiga hari berturut-turut tanpa tidur, tanpa makan dan minum. Maka terpesonalah Barsyisya dengan helah yang dilakukan oleh iblis itu. Kemudian bertanyalah Barsyisya : Apakah sebabnya supaya aku boleh menjadi sepertimu berbuat ibadat selama tiga hari tanpa tidur, tanpa makan dan minum? Iblis laknatullah pun menjawab : 'Lakukanlah maksiat kepada Allah Subhanahu Wata'ala kemudian engkau bertaubat, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pengampun sehinggalah engkau menikmati kemanisan dalam melakukan ibadat.

Kemudian iblis laknatullah pun terus mencadangkan : 'Engkau lakukanlah maksiat dengan berzina atau membunuh orang'. Lalu Barsyisya pun menjawab : 'Aku tidak sanggup melakukannya! 'Iblis pun berkata : 'Engkau minumlah arak supaya lebih mudah melakukannya".

Barsyisya pun memilih untuk meminum arak kerana menyangka dosa meminum arak adalah ringan dibandingkan dengan dosa berzina dan membunuh. Setelah berlaku Barsyisya pun ternampak seorang wanita cantik penjual arak dan lantas membeli arak darinya dan terus meminumnya sehingga mabuk dan melakukan zina dengan wanita itu dan kemudian membunuhnya.

Sayangnya begitu ramai yang terpesona dan terperangkap dengan "syurga" dunia.

Pena Tumpul - Minum air BioAura

Sunday, December 06, 2009

Amanah

Ustaz Ahmad Husni menyambung bicaranya lagi tentang Fiqh Pengurusan. Ada lagi sebuah kisah yang dikongsi dan boleh dijadikan iktibar kepada kita sebagai pemimpin dan pemegang amanah Allah. Beliau melestarikan keindahan dan kemurnian akhlak Khalifah Umar Abdul Aziz yang tiada tolok bandingnya.

Pada suatu hari raya puteri-puteri Umar Abdul Aziz datang kepadanya, “Ya Ayah, besok hari raya. Kami tidak punya baju baru…”Mendengar keluhan puteri-puterinya itu, khalifah Umar berkata kepada mereka. “Wahai puteri-puteriku sayang, hari raya itu bukan bagi orang yang berbaju baru, akan tetapi bagi yang takut kepada ancaman Allah.”

Mengetahui hal tersebut, pengelola baitulmal mencadangkan kepada Baginda, “Ya Amirul Mukminin, kiranya tidak akan menimbulkan masalah kalau untuk baginda menggunakan terlebih dahulu wang dari Baitulmal untuk memenuhi hasrat kedua tuan puteri Baginda berbaju baru di hari raya".

Umar bin Abdul Aziz sangat berang mendengar perkataan pengurus Baitulmal dan berkata, “Celaka engkau! Apakah kekuasaan yang engkau miliki untuk menghidupkan aku kembali seandainya aku tidak sempat bernafas sehingga keesokan harinya? " Baginda menambah lagi, "Siapakah yang akan melunaskan hutangku itu nanti"

Sewajarnyalah kepimpinan berakhlak dan berjiwa mukmin sehebat Umar dijadikan model dalam mengemudi sebuah negara, organisasi dan apa pun yang membabitkan kepentingan massa agar tidak tersasar dari haknya.

Teringat saya satu adegan Anak Bapak buah tangan P.Ramlee ketika menolak cadangan kawan baiknya Ibrahim Din supaya menggunakan wang syarikat dalam menyelesaikan kemelut kewangan yang ditanggungnya. "Walaupun harta syarikat dan ladang ini bapak aku yang punya, tidak bermakna aku boleh gunakannya untuk kepentingan diri aku sendiri. Ini adalah amanah orang. ....Cadangan busuk!"

Ironinya, ketika menggalas amanah pemimpin bukan kepalang beratnya, berbondong-bondong pula yang melobi untuknya!

Pena Tumpul - Sedang membaca buku "The Art of Followership"

Saturday, December 05, 2009

Mengurus


"Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Dalam Tanyalah Ustaz pagi ini, Ustaz Ahmad Husni memaparkan kisah yang amat menarik tentang AlFateh. Kata Ustaz ini, apabila Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam pada 1453, Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) manakala Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Dikhabarkan Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Kata Ustaz lagi, pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya ketika menggali Parit Khandaq.

Ustaz Ahmad Husni yang berbicara tentang Fiqh Pengurusan dihujani panggilan telefon dan utusan email melingkari pengurusan organisasi, pekerja, masjid, jenazah malah soal pengurusan perkahwinan. Antaranya cerita pekerja yang mencuri masa semasa bekerja, cerita masjid yang tidak di urus dengan baik oleh AJK yang dilantik, cerita pengurusan jenazah dan perkahwinan yang begitu tinggi belanjanya. Permasalahan ini menuntut kepada kaedah pengurusan yang baik dan falsafah model pengurusan Islam adalah penyelesainya.

Falsafah pengurusan Islam pastinya yang terbaik dan paling berkesan dalam mengubat penyakit-penyakit dalam mengurus manusia ini kerana ia meletakkan tuntutan Allah sebagai keutamaan teratas lebih dari memenuhi kehendak manusia itu sendiri sebagai matlamatnya.

Pena Tumpul - Kalaulah kaedah AlFateh ini digunakan dalam pemilihan imam, tidak dapat dibayangkan ramai atau tidaknya yang layak menjadi imam sekarang

Friday, December 04, 2009

Pensyarah


Pak Andak mengalami keseronokan berganda bila dua anaknya serentak ditawarkan jawatan pensyarah di dua kampus UiTM yang berbeza. Firdaus ditempatkan di Arau Perlis, sementara Hanim pula cukup gembira dilunaskan impiannya untuk menabur bakti di Segamat. Hanim dilihat luarbiasa gembiranya kerana hasratnya untuk menjadi pensyarah di kampus idamannya tercapai. Saya tidak pernah bertanya kepadanya mengapa Segamat menjadi pilihannya ketika kampus Jengka lebih hampir dengan bandar ikan patin, tempat tinggalnya. Juga saya tidak dapat mengelak apabila Pak Andak cuba melibatkan saya dalam keghairahannya mendapatkan tempat buat Hanim Mei lalu. Pak Andak berharap kapasiti saya sebagai pensyarah di sini akan sedikit membantu walaupun jauh di lubuk hati saya, saya amat sedar siapalah saya. Saya selalu percaya Hanim dipilih kerana dirinya sendiri dan lebih dari itu memang sudah rezekinya.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, petang ini saya berjaya menemukan Hanim dengan rakan pensyarah yang kebetulan sedang membutuhkan seorang teman untuk sebuah bilik yang kosong di sebuah rumah sewa di Taman Bendahara. Kerja Pak Andak dan Mak Andak menjadi semakin mudah sementara menunggu Hanim melaporkan diri sebagai pensyarah perakaunan dua minggu mendatang.

Saya ingin berkongsi cerita seorang pemuda yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang pensyarah yang bijaksana dan hebat. Cukup menarik.

Seorang pemuda yang bekerja sebagai pemandu seorang pensyarah yang bijaksana sedang duduk di belakang dewan kuliah untuk menunggu tuannya itu habis menyampaikan kuliah.
Boleh dikatakan setiap hari pemandu itu mendengar setiap ilmu yang disampaikan oleh pensyarah itu dan boleh hafal apa yang akan diperkatakan oleh pensyarah. Semua soalan yang dikemukakan oleh para pelajar dijawab dengan mudah oleh pensyarah. Semakin hari semakin jemu untuk mendengar apa yang disampaikan oleh pensyarah tersebut. Pada suatu hari si pemandu ingin menukar tempat dengan sipensyarah. Dengan rasa hati yang terbuka mereka pun menukar tempat. Si pensyarah menjadi pemandu, si pemandu menjadi pensyarah dalam hati kedua-dua berkata "Sungguh seronok yer kerja macam ni".

Sampai di satu dewan kuliah yang lain si pemandu yang menyamar pun masuk ke dalam dewan kuliah dan menyampaikan segala apa yang patut disampaikan oleh si pensyarah. Si pensyarah yang sebenar duduk di belakang mendengar apa yang di sampaikan oleh pemandu itu. Si pensyarah berasa bangga apa yang disampaikan oleh pemandu itu. Apabila tiba sesi bertanya semua soalan dapat dijawab dengan mudah dan lancar.

Tiba-tiba seorang siswa yang boleh diperkatakan bijak menanyakan satu soalan yang tak pernah didengari olehnya, dengan muka selamba si pemandu itu berkata "Soalan awak terlalu mudah untuk dijawab, soalan sebegitu pemandu saya pun boleh jawab.....driver tolong bagi tau jawapannya".

Dengan bangga si pensyarah yang menyamar sebagai pemandu itu menjawab soalan itu dengan mudah.

Perjalanan Hanim masih pantas, jauh dan berliku berbanding saya yang semakin perlahan dan tersenggut-senggut momentumnya!

Pena Tumpul -Terimakasih kepada Nurulhasni kerana sebuah bilik yang kosong itu

Thursday, December 03, 2009

Bayi


Apabila menghuraikan surah Al-Thur ayat 21, "Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga);dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya", Ustaz Zahazan sempat menceritakan kisah Nabi Sulaiman a.s. yang diminta oleh bapanya Nabi Daud untuk mengadili dua orang wanita yang berebut seorang bayi. Ustaz ini ingin menganjurkan perlunya anak diberikan peluang untuk didengar pandangannya dalam rangka melahirkan zuriat yang beriman dan beramal soleh.

Menurut Ustaz, kedua-dua ibu ini mengaku bahawa merekalah ibu sebenar kepada bayi tersebut. Perbicaraan ini adalah kes rayuan kerana sebelumnya keputusan telah pun dibuat oleh Nabi Daud a.s. yang memihak kepada wanita yang lebih tua. Demi mencapai keadilan memandangkan kedua-dua wanita ini enggan mengalah antara satu sama lain, maka Baginda a.s. pun mengarahkan supaya sebilah pisau diberikan kepada Baginda untuk membelah dua bayi tersebut, dan seterusnya kedua-dua pihak yang bertelagah mendapat bahagian secara saksama.

Hairannya, wanita yang lebih tua tersebut menerima cara pengadilan Nabi Sulaiman, sedangkan dia sebelum itu telah pun memenangi kes tersebut dengan keputusan yang dibuat oleh Nabi Daud a.s, juga tidak memikirkan kesan yang akan berlaku sekiranya pembahagian tersebut benar-benar dilakukan. Sebaliknya wanita yang lagi satu bersungguh-sungguh membantah keputusan yang dibuat oleh Nabi Sulaiman a.s, dan menyatakan kesanggupannya supaya bayi itu diserahkan kepada wanita yang lebih tua untuk dipelihara. Melihat kepada tindakan balas yang diterima oleh kedua-dua belah pihak, Nabi Sulaiman a.s membuat anggapan bahawa naluri seorang ibu akan menjadikan si ibu sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan anaknya. Dia lebih rela tidak memiliki semula asal sahaja kelangsungan hidup anaknya terpelihara. Seterusnya Nabi Sulaiman membuat keputusan bahawa wanita yang muda itulah ibu sebenar kepada bayi tersebut.


Pena Tumpul - Ketika ada berebut bayi, ada pula yang tergamak membuang bayi

Wednesday, December 02, 2009

Boss




It's a fine sunny day in the forest and a rabbit is sitting outside his burrow, tippy-tapping on his typewriter. Along comes a fox, out for a walk.

Fox: "What are you working on?"
Rabbit: "My thesis."
Fox: "Hmm... What is it about?"
Rabbit: "Oh, I'm writing about how rabbits eat foxes."
Fox: "That's ridiculous ! Any fool knows that rabbits don't eat foxes!"
Rabbit: "Come with me and I'll show you!"

They both disappear into the rabbit's burrow. After few minutes, gnawing on a fox bone, the rabbit returns to his typewriter and resumes typing.

Soon a wolf comes along and stops to watch the hardworking rabbit.

Wolf: "What's that you are writing?"
Rabbit: "I'm doing a thesis on how rabbits eat wolves."
Wolf: "you don't expect to get such rubbish published, do you?"
Rabbit: "No problem. Do you want to see why?"

The rabbit and the wolf go into the burrow and again the rabbit returns by himself, after a few minutes, and goes back to typing.

Finally a bear comes along and asks, "What are you doing?
Rabbit: "I'm doing a thesis on how rabbits eat bears."
Bear: "Well that's absurd ! "
Rabbit: "Come into my home and I'll show you"

As they enter the burrow, the rabbit introduces the bear to the lion. Poor bear..a good meal for the lion.
Moral of the story: It doesn't matter how silly your thesis topic is; what matters is whom you have as a supervisor.

Pena Tumpul - It doesnt matter how bad your performance is; what matters is whether your boss likes you or not

Tuesday, December 01, 2009

Baling


Petang ini saya menziarahi Mak Ngah di Kampung Kuala Paya dan tertarik kepada papantanda " 40km/jam, laju!!, baling batu" yang terpacak di bahu jalan. Mesejnya cukup jelas. Orang kampung ini memberi amaran kepada pemandu kenderaan yang melalui jalan kampung ini supaya tidak memandu melebihi had yang ditetapkan iaitu 40km sejam atau bakal menerima padah kenderaan mereka dibaling dengan batu!

Ia mungkin sekadar amaran tanpa tindakan. Saya tidak fikir orang kampung ini cukup berani untuk membaling batu ke arah kenderaan yang dipandu laju itu. Mereka bakal berdepan dengan pelbagai kemungkinan yang akan menyusahkan mereka juga. Adakah mereka akan bertanggungjawab sekiranya ada yang tercedera dibaling batu nanti. Saya tidak dapat mengagak bilangan kereta yang menjadi mangsa balingan batu setakat ini atau mungkin tiada langsung.

Kendatipun begitu, saya melihat mesej beramaran ini berjaya mencapai maksudnya. Ia menggentarkan saya sekonyong-konyong terpandang kepadanya. Kenderaan yang pada mulanya saya pandu agak laju tiba-tiba menyusut kederasannya. Saya tidak pasti adakah pemandu lain juga mengelegas bila terpandang mesej ini.

Saya bukan takut dibaling batu tetapi menghormati permintaan orang kampung Kuala Paya ini.

Pena Tumpul - Tidak senang dengan mereka yang baling batu sembunyi tangan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails